Tuesday, June 14, 2011

Andainya Kau Tahu - 25


"Dapat call Aliya?" Lembut suara itu menyapa. 

Hizwan menoleh. Bibirnya tersenyum tawar sebelum menggeleng perlahan. Dia merebahkan dirinya di atas sofa. Lama matanya merenung ke arah telefon bimbit. Tiada panggilan telefon atau mesej daripadanya yang dibalas oleh Aliya.

"Dia sibuk agaknya." Ujar Hizwan, cuba meyedapkan hatinya sendiri. Dia membiarkan ibunya duduk di sebelah. 

"Ya, dia sibuklah agaknya tu." Ibunya menepuk-nepuk bahunya.

"Mak, Hizwan..." Hizwan mmandang wajah ibunya. Terasa mahu diluahkan sahaja segala masalah kepada ibunya.

"Kenapa Hizwan?" tanya ibunya. Sengaja dia datang untuk bertemu anak bujangnya itu. Ingin juga dia menolong di dalam majlis perkahwinan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Namun masih terbayang-bayang di ruang matanya, wajah Hizwan yang muram. Sungguh tidak ceria. Berbeza benar jika hendak dibandingkan dengan bakal raja sehari yang sepatutnya tersenyum sampai ke telinga.

"Hizwan dah buat salah pada Aliya. Salah besar, mak." Tutur Hizwan. Sudah tidak tertanggung rasa hati. Mimpi yang membebani tidurnya membuatkan hidupnya tidak tenteram. Sangkanya dia dapat sahaja melupakan isu itu namun dia gagal. Perkara lama seakan menghantui dirinya.

Ibunya diam, mendengar. Wajah Hizwan yang tunduk, ditatap lama. Wajah Hizwan tegang, nampak seperti dihimpit penyesalan.

"Perlukah Hizwan berterus-terang dengan Aliya, mak? Tentang segala kesilapan yang Hizwan dah lakukan? Tentang semua kesalahan dan pembohongan Hizwan? Tentang semuanya? Perlukah mak?" Dia bertanya. 

Suaranya perlahan. Matanya masih tunduk, tidak sanggup memandang wajah ibunya. Dia tidak tahu ke mana lagi dia mahu mengadu semuanya. Hanya ibunya sahaja yang dia ada. Dia tidak mahu menipu lagi. Jiwanya benar-benar dihurung segunung rasa bersalah.


"Hizwan tak tahu samada Aliya akan maafkan Hizwan kalau dia tahu semua ni. Hizwan tak nak dia tinggalkan Hizwan." Tutur Hizwan lagi.

Ibunya tersenyum, cuba menenangkan jiwa anak lelakinya. Dia tidak tahu apakah kesalahan anaknya itu dan dia tidak ingin tahu sekalipun. Cukuplah anaknya itu nampak menyesal dengan apa yang telah terjadi.

"Boleh mak tanya sesuatu?" 

Hizwan mendongak, menatap wajah ibunya.



"Kalau Aliya lakukan kesalahan yang sama macam apa yang Hizwan lakukan, Hizwan rasa Hizwan akan maafkan Aliya tak?" soal ibunya, membuatkan Hizwan terdiam lama.

Aku akan maafkan Aliya kah jika aku berada di tempat Aliya? Lama persoalan itu bermain di fikirannya.


"Apa sahaja jawapan Hizwan, itu jugalah jawapan Aliya." Tambah ibunya. 

***

Daun pintu dibuka luas. Bulat matanya memandang gerangan yang berdiri di depan pintu.

"Hai." Lelaki itu menyapa.

Aliya tergamam. "Hizwan?"

"Boleh saya masuk?" tanya Hizwan. Aliya tidak berkata apa-apa. Namun dia bergerak ke tepi, membiarkan lelaki itu masuk ke dalam rumahnya.

"Seorang saja?" tanya Hizwan, memerhatikan rumah yang sunyi. Aliya menarik tangan, berdiri memeluk tubuhnya.

"Tak. Adik saya ada di atas. Study." Pendek sahaja jawapan Aliya. Dia memandang lama ke arah Hizwan. Sudah beberapa hari dia tidak bertemu lelaki itu. Mesej atau panggilan telefon daripada Hizwan sengaja dibiarkan tidak berbalas.

"Saya takkan lama di sini, Aliya. Saya cuma nak kita berbincang. Mungkin di tempat lain?"

Aliya menggeleng. "Kalau awak nak cakap apa-apa, cakap saja di sini." Suara Aliya kedengaran dingin.

Hizwan dapat merasakan perubahan sikap Aliya itu. Dahinya berkerut. "Awak okey, Aliya? Kenapa awak layan saya macam ni? Awak tak sihat?"

Hizwan cuba menyentuh dahi Aliya namun tunangnya mengelak. Terguris hati Hizwan tika itu.

"Awak nak cakap apa, Hizwan?" soal Aliya.

Hizwan menarik nafas dalam-dalam. "Fiza." Terluah jua nama itu. Terlihat riak wajah Aliya berubah bila mendengar nama itu.

"Saya tipu awak tentang Fiza. Sebenarnya dia bekas teman wanita saya ketika di kolej dulu." Tutur Hizwan. Dia mengetap bibir. Tidak sanggup untuk menyatakan kebenaran namun Aliya perlu tahu. Dia tidak mahu membohongi Aliya lagi.

"Dan?" tanya Aliya. Hizwan diam.

"Apa lagi, Hizwan? Apa yang awak cuba nak beritahu saya?" Aliya menekan Hizwan.

"Saya tipu awak. Saya keluar dengan Fiza semula selepas kita bertunang. Saya berhubung semula dengan dia secara diam-diam di belakang awak. Tapi saya sedar sekarang. Hanya awak sahaja di hati saya, Aliya. Bukan Fiza. Bukan sesiapa pun." Beritahu Hizwan.

Terdiam Aliya mendengar setiap bait kata yang keluar dari mulut Hizwan. Terasa retak hatinya. Tanpa sedar air matanya mengalir laju di pipi.

"Keluar Hizwan." Pinta Aliya.

Hizwan menggeleng. Enggan meninggalkan Aliya dalam keadaan begitu.

"Tolong, keluar dari sini." Aliya merayu. Esak tangisnya tidak dapat ditahan lagi.

Hizwan tewas. Kalah dengan air mata Aliya. Hancur hati Aliya, hancur lagi hatinya melihat setiap air mata yang menitis ke lantai disebabkan dirinya. Perlahan-lahan dia mengundur keluar dari rumah Aliya.

Pintu dihempas kuat di depan mukanya. Hizwan tunduk.

"I'm so sorry, Aliya. Saya tak bermaksud nak sakitkan hati awak. Saya cuma tak nak sembunyikan apa-apa daripada awak lagi." Bisik Hizwan, dari luar pintu, mengharapkan Aliya dapat mendengarnya walaupun mustahil.

"Akak? Akak okey?" tanya adiknya, muncul dari tingkat atas. Dia tidak dapat mendengar apa-apa pun namun bila melihat wajah Aliya yang basah dek tangisan,dia terasa risau. Bergaduhkah mereka?

Aliya enggan membuka mulut. Laju sahaja kakinya berlari ke arah bilik. Pintu bilik dikunci rapat.
Terima kasih kerana menyokong AKT (andainya kau tahu)
 bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:

 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 11  | 12  | 13  | 14  | 15  | 16  |  17  |  18  |  19  |  20  |  21  |  22  |  23  | 24  |

3 comments:

Unknown said...

Ehm confuse lah dgn citer ni,. .
Hero dgn Heroin nya x jelas!!
..
Hero nya Hizwan or Zaril?
Heroin nya Aliya or Fiza?

Anonymous said...

Bagus Aliya,
jgn maafkan si Hizwan tu!!!
Aliya kahwin dgn Zaril je

IVORYGINGER said...

hmmp... apa yg Ayie aka Yizuue kata tu agak benar confuse ckit sapa hero sebenar. But itu cara penulis nk bt kt bteka2x. klu tak xde la trailnya kan. he... but why not Liya give a chance to Hizwan change. lgpun dia dah sedar kesalahan dia. Majlis pun dah dekat xkan nk batal. Zaril plak susah nk teka perasaan dia. Sat dia really take care about Liya but jap lg ngan Fiza pun dia take care smpai sanggup bkorban nyawa derma buah pinggang. mn satu cinta hati dia??? ke ada sbb dia bt smua ni. sbb dia ni org perantaraan utk smua org. ada mslh smua cari dia. he.. ;D

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)