Tuesday, August 30, 2016

Saksi Cinta - 2

Ileana buka kabinet dapur dan mengeluarkan sekotak bijirin sarapan. Dituang bijirin ke dalam mangkuk kaca. Berdentang-denting bunyinya. Kemudian Ileana melangkah dua tapak ke kiri, mendapatkan susu dari peti sejuknya.
Kedua-duanya dibawa ke meja makan. Dia senang menikmati sarapan ringan sebegitu. Bukan sahaja mudah, tetapi cukup berkhasiat.
Sebelah tangan mencapai remote control lalu hidupkan siaran tv. Terpapar rancangan masakan Korea berasaskan bayam. Tertarik pula dia melihat cara penyediaan makanan yang begitu mudah.
Sedang dia leka menikmati sarapan, telinganya menangkap bunyi mangga sedang dibuka dari luar. Gril besi ditarik dan kemudian daun pintu ditolak, menandakan ada orang masuk ke dalam rumah.
“Assalamualaikum...” Sapa satu suara, berlagu-lagu.
Terjegul kepala seorang gadis tersenyum ceria. Rambutnya lurus melepasi dada. Mujur rumahnya terang dengan cahaya lampu. Jika tidak pasti Ileana terkejut melihat lembaga berambut panjang itu.
“Baru sekarang kau tahu nak balik, Fiza?” Ileana mengerling teman serumahnya itu.
Sudah lebih dua tahun Fiza tinggal bersama-samanya. Selepas tamat zaman universiti, mereka terputus hubungan sehinggalah dia bertemu Fiza secara tidak sengaja di KLCC.
Ketika itu Fiza baru habis bekerja dan sedang mencari rumah sewa yang baru. Terus diajak agar tinggal bersama-samanya. Sejak itu Fiza menjadi rakan serumahnya. Kehadiran Fiza membuat kehidupan bujangnya tidak lagi sunyi seperti sebelumnya.
Fiza tersengih mendengar soalan Ileana. Daun pintu ditutup rapat. Kasutnya disusun ke atas rak.
“Ala.. Sorry babe. Aku ada kerja di pejabat sampai lewat malam. Sedar-sedar dah pukul 1.00 pagi. Takut pula aku nak drive jauh-jauh. Terpaksa aku tumpang tidur di rumah kawan aku.”
“Tidur rumah kawan? Kawan lelaki ke perempuan?”
“Kawan perempuan, mummy...” jawab Fiza, meleret-leret.
Balik-balik itulah modalnya. Fiza akan panggil dia mummy, jika merasakan dia mula berleter. Padahal, niatnya baik kerana bimbangkan Fiza.
“Apa mummy-mummy? Anak aku seorang saja. Namanya Jojo.” Ileana mengingatkan.
Fiza mencemik. “Jojo tu kucing. Kucing dengan manusia bukannya dari spesis yang sama!”
“Eh, suka hati akulah. Sekurang-kurangnya Jojo tak pandai menjawab macam kau. Sepuluh patah aku bebel pun, dia mengiau je.”
“Tapi Jojo tak pandai beli nasi lemak. Aku ada bawa balik nasi lemak untuk kau. Kau nak tak?” Fiza angkat bungkusan makanan yang berada di tangannya.
“Kau kan tahu aku tak makan makanan berat sebagai sarapan? Aku tak nak mengantuk.”
“Hari inikan hari Sabtu. Nanti kau sambunglah tidur sampai tengah hari. Penat aku beratur untuk beli nasi lemak ini tadi. Sambal dia sedap gila tau!”
Bersungguh-sungguh Fiza memuji hingga Ileana tak sampai hati untuk menolak.
“Bak sini nasi lemak tu. Biar aku rasa sendiri sambal yang sedap sangat tu.”
Fiza terus hulurkan sebungkus nasi lemak kepada Ileana. Sebungkus lagi untuknya.
“Jojo mana?” tanya Fiza sebelum menyudu nasi ke dalam mulut. Tercari-cari jugaa kelibat kucing kesayangan Ileana itu.
“Ada kat dalam bilik aku. Dia tengah seronok main dengan wool ball yang baru aku belikan.”
Terbayang-bayang bebola yang baru dia beli dari kedai aksesori haiwan peliharaan itu. Jojo langsung tidak mengendahkan dirinya selepas mendapat bebola itu. Begitu asyik dengan permainan barunya. Asalkan kau bahagia, Jojo...
Tumpuan Ileana kembali pada sarapannya. Dia suap nasi lemak bersama sedikit sambal. Sambalnya memang sedap. Rasa pedas dan manis yang saling melengkapi antara satu dengan lain.
“Macam mana? Betul tak apa yang aku cakap tadi? Sambal dia sedap kan?” Fiza sejak tadi memerhatikannya makan. Ternanti-nanti komen dari mulut Ileana.
“Iya, memang sedap. Beriya-iya kau nak promote nasi lemak ini kenapa? Ada syer dengan tauke dia ke?”
Fiza tergelak suka. Ileana pula hanya menggeleng. Mereka habiskan sarapan berat pada pagi itu dengan gelak tawa.
“Oh, ya! Hari ini kau tak pergi mana-mana kan?” tanya Ileana, selepas membersihkan dapur. Mudah sungguh menjaga dapurnya yang tak pernah berasap itu. Tiada kesan minyak mahupun gris yang menyakitkan mata.
“Minta maaflah ye. Aku dah ada date dengan boyfriend kesayangan aku,” ujar Fiza, lalu tersengih-sengih bagai orang gatal.
“Susahlah kau ni. Asyik keluar dengan dia saja. Bila kau nak keluar jalan-jalan dengan aku?” Ileana meluahkan rungutan.
Hampir setiap minggu gadis itu akan keluar bersama teman lelakinya. Minggu lain pula, Fiza akan pulang ke kampung halaman. Walaupun tinggal serumah, mereka hanya berpeluang untuk bertemu ketika waktu malam.
“Kau carilah boyfriend untuk diri sendiri. Kau kan lawa, berkebolehan. Kaya pula tu! Takkan takde orang yang nakkan kau?” Fiza meneguk jus oren untuk membasahkan tekak. Terasa lega tekaknya.
Ileana tiada hati untuk membalas. Memang ramai yang cuba mendekat. Tetapi dia telah tutup pintu hatinya rapat-rapat. Kemudian dia belenggu dengan rantai besi dan dikunci dengan mangga. Kuncinya pula dilempar jauh ke dasar laut.
Dia tidak akan biarkan sesiapa cuba membuka pintu hatinya lagi. Ileana sudah serik!
***
“Nuha, Cik Ileana ada?” tanya Hairil pada setiausaha Ileana yang duduk di luar bilik Ileana.
Nuha mendongak, memandang wajah COOnya yang sentiasa bergaya itu. Mujur dia sudah punya suami. Jika tidak, mungkin dia akan menjamu mata sepuas-puasnya. Nuha segera tunduk, menyemak jadual Ileana di dalam iPadnya.
“Tak, Encik Hairil. Cik Ileana keluar untuk sesi temuramah. Petang nanti baru Cik Ileana akan masuk pejabat. Encik Hairil nak tinggalkan sebarang pesanan ke?” soal Nuha, melayan Hairil penuh hemah.
“It’s okay. Petang nanti saya datang jumpa dia. Dia takde sebarang meeting atau appointment lepas ini kan?” Hairil mahu membuat pengesahan.
“Takde, Encik Hairil.”
“Okey. Terima kasih,” Hairil masuk ke dalam biliknya. Dia lepaskan keluhan perlahan, sedikit kecewa. Nampak gayanya, dia terpaksalah pergi ke kilang tekstil sendirian.
Sebaik pintu biliknya ditutup rapat, muncul kelibat seorang wanita mengatur langkah ke meja Nuha. Gerak-gerinya tersusun rapi. Langsung dia tidak memandang ke kiri atau kanan. Nuha duduk tegak bila wanita itu menghampiri.
“Selamat pagi, puan.” Nuha menyapa.
“Pagi.” Wanita itu membalas, sedikit bongkak. Ditanggalkan kaca mata gelap yang dipakainya lalu dimasukkan ke dalam tas tangan jenama Coach miliknya.
“Bos kamu ada di dalam?”
“Maaf, puan. Cik Ileana akan masuk petang nanti.” Nuha memberitahu.
“Betul ke dia takde? Atau dia sengaja tak nak jumpa saya?” Mata wanita itu menjeling pintu bilik Ileana.
“Bukan begitu. Dia memang ada urusan di luar. Petang nanti Cik Ileana akan masuk kerja.”
“Dia buat apa di luar sampai masuk pejabat ikut suka hati dia? Apa hal yang penting sangat sampai abaikan kerja?”
Nuha tetap mempamer ekspresi wajah yang sama. Malas dia mahu melayan kerenah wanita itu. Setiap hari datang dengan nada marah-marah. Macam nak minta hutang!
“Puan nak tinggalkan sebarang pesanan untuk Cik Ileana?” Nuha tenang melayan wanita itu.
“Tak payah! Nanti saya call dia sendiri.” Wanita itu terus berpaling dan meninggalkan Nuha.
***
Ileana cuba bergaya mengikut arahan jurukamera. Nasibnya baik kerana dia pernah menghadiri sesi fotografi sebelum ini. Jadi, dia sudah tahu apa yang perlu dia lakukan di depan kamera.
Denyar kamera menyilaukan pandangan namun dia tetap menguntum senyum di depan lensa. Selesai sesi fotografi, Ileana dibawa ke ruang rehat untuk ditemubual pula.
“Kami ucapkan terima kasih kepada Cik Ileana kerana luangkan masa untuk ditemuramah kami. Kami takkan ambil masa yang lama. Jadi, boleh kita mulakan temuramah dengan beberapa soalan?” tanya wartawan tersebut. Bersedia dengan alat perakamnya.
“Ya, takde masalah.” Ileana menghirup jus yang tersedia. Dia telah menyusun jadual agar dapat menghabiskan masa selama tiga jam bersama wartawan majalah korporat itu.
“Cik Ileana menduduki tempat pertama dalam kategori usahawan muda bagi tahun kedua berturut-turut. Cik bermula dengan perniagaan butik selepas tamat pengajian. Kemudian cik berjaya mengembangkan butik kepada empayar busana dalam masa yang singkat. Boleh cik kongsikan apa rahsia cik?”
“Sebelum menceburi apa-apa bidang, kita mesti ada ilmu dan pengetahuan asas terlebih dahulu. Tapi dua perkara itu sahaja masih tak cukup. Saya belajar banyak daripada pengalaman dan kesilapan lalu. Butik saya hampir ditutup kerana kerugian tapi saya belajar untuk bangkit dan terus maju ke depan. Berkat bantuan pembekal yang sentiasa percayakan saya dan pekerja yang sanggup bersusah-senang dengan saya, akhirnya saya dapat berdiri di tempat saya hari ini.”
Terbayang wajah Hairil di ingatan. Lelaki itu ada di sisinya sejak awal-awal lagi. Dulu Hairil yang membantu membuat kerja-kerja berat dan logistik. Dia pula menguruskan inventori dan bajet. Bila perniagaan mereka membesar, mereka mengupah lebih ramai staf sehinggalah tertubuhnya syarikat yang dia miliki saat ini.
“Bagaimana pula dengan keluarga? Adakah mereka menyokong apa yang cik lakukan?”
Ileana terdiam tatkala soalan itu diajukan. Keluarga? Siapa yang dia ada? Jojo? Fiza?
“Cik Ileana?” Panggilan wartawan itu mematikan lamunannya. Nampak tertanya-tanya kerana dia tiba-tiba mengelamun jauh.
“Ya, mereka menyokong sepenuhnya. Soalan seterusnya?” Ileana cepat-cepat minta wartawan itu menyoal soalan seterusnya.
“Okey...” Wartawan itu tunduk, memandang senarai soalan yang telah disediakan lebih awal. Kerutan di wajahnya disembunyikan sebaik mungkin. Pelik bila Ileana enggan menjawab lebih lanjut mengenai keluarganya.
“Apa rancangan Cik Ileana untuk masa hadapan?”
“Saya akan cuba kembangkan perniagaan saya yang sedia ada. Kalau boleh, saya nak menembusi pasaran Asia kerana banyaknya permintaan untuk pakaian di sana.” Memang itulah harapan Ileana. Selain Asia, dia juga ingin memasuki pasaran Eropah. Namun dia perlu bersaing dengan jenama yang sudah sedia ada.
“Bagaimana pula dengan rancangan cik untuk keluarga? Cik ada merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat?”
Tak mungkin dia akan berkahwin dalam masa yang terdekat. Dengan siapa dia hendak kahwin?
“Saya mahu tumpukan perhatian dalam kerjaya saya dahulu. Bila saya dah betul-betul berpuas hati dengan kerja saya, barulah saya akan fikirkan tentang perkara lain.”
***
“Macam mana dengan sesi temuramah you tadi?” Hairil tarik kerusi, duduk di hadapan Ileana.
“Biasa sahaja.” Ileana jawab acuh tak acuh. Matanya melekat pada dada skrin. Begitu banyak emel yang perlu disemak. Betapa banyak kerja yang perlu dia siapkan. Boleh kusut kepalanya begini!
“Janganlah cakap macam tu. Ceritalah pada I apa yang mereka tanya pada you tadi.”
“Macam tahun-tahun lepas, mereka tanya soalan yang lebih kurang sama. Sampai I dah boleh tahu apa yang I perlu jawab.” Ileana lepaskan tetikus dan mengalihkan pandangan, menatap wajah Hairil.
“You datang ke pejabat semata-mata kerana hal ini ke?” Ileana bertanya. Takkanlah Hairil cuma hendak tahu tentang sesi temubualnya tadi.
“Tak, sebenarnya I datang cari you tadi. I nak bincang tentang kilang yang jadi pembekal tetap kita itu.” Hairil memperkemaskan duduknya.
“Okey. Kenapa dengan kilang tu?”
“Ada perubahan berlaku dengan management mereka. I’m not really sure about their exact internal issues. Tapi keadaan mereka sekarang ini kurang memuaskan. Lebih-lebih lagi, management baru yang demand harga yang lebih mahal untuk produk mereka. I rasa kita tak patut terus ambil material dengan mereka lagi,” luah Hairil.
Selepas dia pergi ke kilang untuk melihat dengan mata kepalanya sendiri, berundur diri adalah pilihan terbaik yang mereka ada saat ini. Hairil tidak mahu kerana masalah dalam pembekal, mereka pula yang ditimpa musibah.
“Kalau you dah kat begitu, okey. I setuju. Kita akan tamatkan urusniaga dengan mereka. Tapi dalam masa yang sama, kita kena cari kilang yang baru untuk gantikan mereka. You ada sebarang cadangan?”
I received a few proposals. Nanti you boleh tengok dan putuskan mana yang terbaik.” Hairil hulurkan beberapa fail yang dia terima.
Ileana menyambut huluran. Begitu pantas Hairil melakukan kerja. Segala-galanya sudah sedia di depan mata.
“Thanks, Hairil. I tak tahu apa akan jadi dengan company ini kalau you takde.”
Hairil tersenyum namun tidak membalas apa-apa.
“Bila majalah tu akan keluar? I nak tengok apa yang you jawab dalam temuramah tadi.”
“Bulan depan. You jangan risau. Nanti I akan beri satu salinan untuk you.”
Great! Then I’ll see you tommorow.” Hairil bingkas bangun dari tempat duduknya.
Jumpa esok? Ileana terus toleh untuk memandang jam di dinding. Sudah 5.40 petang rupanya! Dia tidak sedar begitu cepat masa berlalu.
“You balik dengan apa? Kereta you rosak kan?” tanya Hairil, berdiri di muka pintu. Teringat kereta Ileana dihantar ke bengkel beberapa hari lepas.
“I balik dengan kereta I. Mekanik I hantar kereta I petang semalam.”
Terangguk-angguk Hairil mendengar jawapannya.

“Drive save, okay?” pesan Hairil sebelum meninggalkan pejabatnya.

Saturday, August 6, 2016

Saksi Cinta

Salam. Novel baru. Novel lama dalam proses untuk dibukukan. Doa yang terbaik, ya?

Prolog


Sebaik duduk, matanya tertumpu pada sekeping sampul di tengah meja. Terdapat namanya ditulis dengan tulisan tangan di atas sampul itu.
“Surat dari siapa pula ini?” Bibirnya serta-merta mengukir senyum. Entah mengapa dia rasa teruja.
Diletakkan beg tangan di tepi meja sebelum tumpuannya kembali pada sampul itu. Biasanya dia hanya dapat dokumen atau surat rasmi dari pihak pembekal, klien dan wakil jualan.
Kali ini dia dapat surat yang berbeza. Sudah lama rasanya dia tidak mendapat sampul bertulis tangan. Perlukah dia buka sekarang?
Hujung sampul coklat itu dikoyak dengan tangan. Surat setebal empat muka surat dikeluarkan dan dibaca perlahan. Senyumannya mulai pudar dan perlahan-lahan terus lenyap dari bibirnya.
Jantungnya seakan hendak terhenti. Tangannya menggeletar. Dibaca berkali-kali untuk yakinkan diri. Namun perkataan dan ayat itu masih tidak berubah.
Perlahan-lahan surat itu digenggam dan dironyok kuat. Hatinya remuk. Sakit! Dia tidak sangka surat ini akan sampai ke tangannya. Sampai hati! Sampai hati dia buat aku begini!
Darahnya mendidih panas. Surat dan sampul itu dikoyak-koyak dengan pantas. Cebisan kecil bertaburan di atas meja.
“Aaahhh!!!” Dia memekik nyaring, sekuat hati.
Staf yang berada di luar tersentak mendengar jeritan yang datang dari dalam pejabat. Buat seketika mereka senyap. Tiada siapa berani bersuara. Hanya mata terpaku pada pejabat bertutup itu.
“Memang bos kita selalu begini ke?” bisik seorang staf. Dia baru bekerja di situ. Tetapi ini pula yang berlaku. Bagaimana dia hendak bekerja denga bos yang beremosi begini?
“Shh.. jangan masuk campur. Jom buat kerja kita.”

1

Morning,” sapa jejaka segak bersut itu. Senyum dikuntum. Matanya mengecil sama.
Good morning, Mr. Hairil. Macam biasa kopi latte panas untuk encik,” penyambut tetamu itu menghulurkan secawan kopi kepada Hairil.
“Laa.. Kenapa awak susah-susah belikan kopi untuk saya, Shereen? Berapa kali saya dah pesan awak tak perlu buat semua ini untuk saya.” Hairil tergeleng.
“Apa salahnya Encik Hairil? Lagipun, Encik Hairil kan memang tak boleh mulakan hari tanpa kopi?” Shereen tahu benar tabiat lelaki itu. Selepas masuk ke pejabat, lelaki itu akan keluar sebentar untuk membeli kopi dan bersarapan.
“Terima kasih.” Hairil beralah saja. Tidak mahu menolak rezeki. Kopi bertukar tangan.
“Tengah hari nanti saya belanja awak makan, ya?” ujar Hairil selepas menghirup minuman di tangan.
“Betul ke ni, Encik Hairil?” Mata Shereen seakan bersinar-sinar. Bagai tidak percaya mendengar pelawaan lelaki paling kacak di pejabatnya itu. Adakah dia sedang bermimpi?
Hairil mengangguk. “Takkanlah asyik saya sahaja yang dapat breakfast percuma? Nanti saya tunggu awak di sini jam 1.00 petang. Jangan lambat pula, ya.”
“Baik, Encik Hairil.” Shereen tersenyum girang.
“Ehem!” Satu suara berdehem membuat Shereen tersentak. Pantas dia berdiri tegak bila menyedari siapa yang sedang berdiri di depan kaunter.
Hairil menoleh. Senyumannya melebar bila melihat ke arah yang sama.
“Bukan main seronok lagi you jual minyak kat sini.” Tas tangan diletak di atas kaunter penyambut tetamu itu.
Shereen diam menikus. Tidak berani untuk bernafas pun.
“Mana ada I jual minyak. I cuma nak hargai staf kita saja. Salahkah apa yang I buat tu, Cik Norul Ileana?” balas Hairil. Wajah Ileana ditatap bersahaja.
Ileana diam, tidak menjawab. Pandangannya tertumpu pada Shereen.
“Shereen, I bayar you untuk sambut tetamu dan sambungkan semua panggilan yang masuk. Bukan untuk belikan kopi untuk Encik Hairil. Faham?” tegur Ileana. Sudah beberapa kali dia perasan. Cuma tidak sempat ditegur saja.
“Saya minta maaf, Cik Ileana.”
“Ada apa-apa surat untuk saya hari ini?” Ileana tidak mengendahkan ucapan maaf Shereen.
“Saya dah letak di pejabat Cik Ileana.”
“Okay.” Ileana ambil semula tas tangannya. Dibawa langkah ke arah lif. Hairil mengekor rapat di belakang.
“You jealous ke Shereen belikan kopi untuk I?” Hairil bertanya. Suaranya perlahan, enggan bicaranya didengar sesiapa selain Ileana.
“Muka I nampak macam cemburu ke?”
Sebaik lif terbuka, Ileana terus melangkah ke dalam. Hairil turut masuk ke dalam lif yang sama. Ditekan butang angka 8, aras pejabatnya dan Ileana ditempatkan. Pintu lif tertutup rapat.
“Cakap sajalah kalau cemburu...” Suara Hairil berlagu-lagu. Peluang untuk mengusik Ileana diambil kerana mereka hanya berdua di dalam lif tersebut.
“Hairil, kalau boleh I nak you kawal sikit perangai you tu. Peramah tak bertempat! I tak nak satu hari nanti semua staf perempuan kat sini bergaduh bertarik rambut sebab you! Huru-hara syarikat I ni nanti.”
“Semua staf? Maksudnya termasuk dengan you sekali?”
“Hairil...” Tegur Ileana.
“Baiklah, Cik Ileana. Mulai hari ini I akan ramah bertempat.”
Ileana tergeleng. Jika bukan kerana kualiti kerja Hairil yang sentiasa first class, pasti dia akan tendang lelaki itu keluar dari syarikatnya.
Dalam diam, dia akui Hairil sememangnya seorang lelaki yang sangat baik. Tutur katanya sentiasa sopan. Malah ramah dan begitu baik dengan semua orang tidak mengira jawatan.
“Cantik you hari ni. Ada date ke?” Suara Hairil memecah sunyi.
Ileana tatap wajah Hairil. Asyik tersenyum 24 jam! Memang beginikah cara dia bercakap dengan semua perempuan? Tak hairanlah ramai staf perempuan seperti angau dengan Hairil.
“I memang hari-hari cantik.”
Hairil ketawa besar mendengar jawapan balasnya. Bila lif terbuka, Ileana susun langkah ke arah pejabatnya. Tertera papan tanda di tengah daun pintu. ‘CEO: Norul Ileana Nordin’.
Terselit rasa bangga di hati Ileana. Siapa sangka dalam usia yang muda, dia mampu jadi CEO syarikat pakaian wanita yang terbesar di negara? Bermula dari tudung, dia pelbagaikan produk dengan menjual pakaian, tas tangan, kasut dan lain-lain.
Hairil melangkah ke biliknya yang bertentangan dengan bilik Ileana.
“I masuk kerja dulu, ya?” ucap Hairil sebelum tutup pintu. Perkataan ‘COO: Hairil Nurhalim’ terpampang di depan mata Ileana.
Ileana senyum. Syarikat yang dibina sejak lima tahun lalu akhirnya mampu berdiri teguh. Semua ini takkan terjadi tanpa bantuan Hairil yang setia berada di sisinya.
***
“Penatnya...” keluh Ileana. Dia letak kunci atas pinggan kristal di tepi pintu. Dentingnya bergema.
Tas tangan dan kot diletak di atas sofa sebelum langkah diheret ke arah beranda. Ditarik getah yang mengikat rambutnya. Dibiarkan angin membelai rambut yang panjang melepasi dada.
Matanya menjelajah daerah Langat. Damai yang sedang dia rasa tidak mampu membunuh sunyi di jiwa. Saban hari rutinnya sama. Pagi pergi kerja. Petang balik ke rumah.
Tinggal bersendirian memang ada baik dan buruknya. Baik kerana tidak diganggu sesiapa. Buruk kerana tiada siapa yang boleh berbicara atau berbual dengannya.
Kahwin? Perkataan itu terlintas sendiri di dalam kepala. Dia tidak rasa dia dapat hidup bersama seseorang sepanjang hidupnya. Dia tak boleh! Bagaimana dia hendak biarkan seluruh hidupnya dikawal seorang lelaki?
“Kalau susah sangat you kahwin sajalah dengan I.” Pernah Hairil meluahkan kata-kata itu kepadanya. Tika itu, dia tidak tahu sama ada lelaki itu serius atau hanya bergurau. Apatah lagi dengan senyum yang asyik bertampal di muka.
“Kalau you kahwin dengan I, you tak perlu risau sebab I takkan kongkong you. Takkan atur-atur hidup you. Takkan kawal you. Hubungan kita di pejabat tetap macam biasa. Cuma hubungan kita di luar yang berbeza. Lebih dalam.”
Ileana geleng kepala. Dia belum terdesak lagi untuk berkahwin. Dia boleh uruskan diri sendiri. Kalau dia perlu berkahwin sekalipun, dia akan cari lelaki lain. Hairil terlalu sempurna untuk dirinya.
Selama ini pun perasaannya pada Hairil terhad sebagai rakan sekerja. Pernah mereka keluar bersama-sama tetapi perbualan mereka hanya berkisar tentang kerja. Tidak pernah lebih daripada itu.
“Meow..” bunyi kucing mengejutkan Ileana.
Pantas Ileana menoleh ke arah kucing yang berdiri di hujung kaki. Hampir dia terlupa akan kucingnya itu. Dek kesunyian, dia beli kucing baka Russian Blue itu sebagai peneman.
Pertama kali lihat, dia sudah jatuh suka pada kucing berbulu pendek dan berwarna kelabu itu. Paling buat dia suka, kucing itu tidak banyak kerenah dan tidak kisah ditinggalkan sendirian.
Ileana terus tunduk dan mendukung kucingnya.
“Jojo lapar ya?”
Jojo dipeluk dan dicium berkali-kali namun tidak mempamer sebarang perasaan. Ileana mendukung Jojo ke dapur dan mengeluarkan makanan kucing dari ruang kabinet. Dituang makanan ke atas piring khas untuk kucingnya itu. Sebaik diletak ke atas lantai, Jojo melompat dari pelukan dan terus mendapatkan makanannya.
Ileana tersenyum. Terhibur melihat Jojo makan walaupun dirinya tidak diendahkan. Jojo memang tidak akan peduli apa-apa bila makanan ada di depan mata.
Bila makanan berbaki separuh, Ileana tuang air ke dalam mangkuk dan diletakkan di tepi piring Jojo tadi.
“Makan banyak-banyak ya? Mummy nak pergi mandi dulu.” Ileana usap kepala Jojo perlahan sebelum bergerak ke bilik air.
“Meow...” sahut Jojo sebelum tunduk makan semula.

Ileana tersenyum senang.

bersambung... 

Thursday, February 4, 2016

Demi Rindumu - 51

Nurhana terkejut melihat ibunya pada hari itu. Berkali-kali dia mengerdipkan mata. Mahu memastikan dia tidak tersalah pandang. Matanya terus berkalih pada ayahnya yang berada di sisi ibunya.
“Papa, betul ke apa yang Na tengok ni?” tanya Nurhana, mahu kepastian.
Hussin mengangguk. “Ya, inilah mama Na. Bukan isteri baru papa.”
Kata-kata Hussin disambut dengan cubitan Mariam.
“Ada hati nak pasang nombor dua ke?” Mengecil mata Mariam.
“Yang seorang pun tak terjaga. Takkanlah saya nak tambah satu lagi.” Suka Hussin mengusik isterinya. Sengaja mahu tengok Mariam cemburu. Cemburu kan tandanya sayang?
“Na tumpang gembira tengok mama begini.” Nurhana meluru laju ke arah ibunya. Tubuh wanita itu dipeluk erat. Tudung yang dikenakan menyerlahkan keanggunan ibunya. Nampak wajah itu begitu tenang.
“Na ni macam dah setahun tak jumpa mama!” luah Mariam, melepaskan tawa kecil dari bibirnya.
“Mama nampak cantik sangat!” puji Nurhana. Matanya tidak lepas dari memandang ibunya.
“Na pun boleh cantik macam mama juga,” balas Mariam.
Nurhana tidak menjawab. Dia hanya tersenyum nipis sebelum segera melarikan pandangan.
“Mama papa, masuklah dulu.” Nurhana terlupa pula mempelawa ibu bapanya masuk.
Sebaik ibu bapanya duduk, Nurhana segera ke dapur untuk menyediakan minuman buat mereka. Gerak-gerinya pantas. Tidak lagi canggung seperti mula-mula dahulu.
Tidak lama kemudian, dia keluar membawa dulang berisi kuih karipap dan teh panas.
“Siapa yang buat kuih ni? Na ke?” Terkejut Hussin melihat kuih yang terhidang.
“Taklah. Nik,” jawab Nurhana seraya tersengih. Manalah dia tahu buat kuih itu semua. Hendak memasak masakan ringkas pun dia terkial-kial. Inikan pula kuih karipap.
Haznik ada mengajar dia bagaimana hendak mengelim kuih karipap pagi tadi. Tapi entah kenapa langsung tidak menjadi. Haznik pula buat dengan begitu bersahaja sehingga dia naik hairan. Bila ditanya belajar dari mana, laju sahaja Haznik menjawab satu perkataan; internet.
“Mana Nik? Mama tak nampak pun.” Mariam panjangkan leher.
“Dia keluar ke pejabat. Ada kerja.”
“Sejak kebelakangan ni, selalu pula Nik takde kat rumah,” luah Mariam, kecewa. Dia begitu sukakan menantunya. Haznik dianggap pengganti bagi anak lelakinya yang telah ‘pergi’.
Namun ketiadaan Haznik membuat dia risau. Adakah Haznik mahu menjauhkan diri kerana anaknya tidak dapat melahirkan zuriat?
“Jangan cakap macam tu, mama. Selalunya memang Nik terperap dalam rumah. Lepas tu asyik nak mengganggu Na. Sampai naik rimas Na dibuatnya. Hanya sejak beberapa minggu ini saja dia ada banyak projek baru. Kalau mama telefon sebelum datang tadi, pasti dia takkan keluar dan tunggu mama dan papa.”
“Amboi! Bukan main sayang lagi anak kita dengan suami dia, bang. Sepatah saya bercakap. Berjela-jela dia menjawab!”
“Dah nama pun suami. Mestilah dia nak bela suami dia. Katakanlah ada orang mengata saya, awak nak diamkan diri saja ke?”
“Siapa yang berani mengata awak? Biar saya cili-cilikan mulut dia!” Mendadak marah Mariam.
Nurhana tergelak melihat reaksi spontan ibunya. Walaupun berpuluh tahun berkahwin, hubungan kedua-duanya begitu mesra. Sering saja bergurau-senda dan bergelak-tawa. Dia harapkan perkara yang sama dengan Haznik.
“Kalau mama dan papa nak, Na boleh call Nik dan minta dia balik sekarang.” Nurhana sudah angkat telefon bimbitnya.
“Eh, tak payahlah, Na. Papa dengan mama pun tak nak ganggu kalau Nik sibuk. Dapat jumpa Na pun dah cukup bagus.”
mmm
Nurhana menarik brek tangan. Dia menyandarkan tubuhnya pada kerusi. Terbayang kerja yang berlambak di pejabat. Tidak menang tangan dibuatnya.
Lama Nurhana duduk di dalam keretanya. Nurhana bagai dapat terdengar-dengar pesanan ibunya semalam.
Malah ibunya cukup berhati-hati ketika berbicara. Episod kegugurannya disebut sebagai ujian. Dia tahu ibunya tidak mahu dia terasa hati.
Perlukah dia berubah? Matanya mendarat pada pelakon perempuan yang menjadi menjadi watak utama dalam drama itu. Walaupun bertudung, pelakon itu masih nampak begitu manis. Keayuannya terserlah.
“Apa yang buat mama berubah begini?” Nurhana teringat soalannya kepada ibunya. Ketika itu ayahnya ke bilik air untuk membersihkan diri.
Mariam hela nafas perlahan.
“Mama rasa kehilangan Nasrul adalah ujian untuk kita. Satu peringatan. Selama ini mama banyak buat silap. Walaupun mama berusaha jadi ibu dan isteri yang baik, mama lupa tunaikan kewajipan sebagai seorang muslimah. Mama salah, Na. Mama patut baiki diri mama.”
Wajah Nurhana ditatap lama ibunya. Nurhana tahu apa yang cuba disampaikan.
“Tapi Na tak bersedia lagi ma..” Nurhana menyentuh hujung rambutnya yang didandan rapi.
Sejak bersekolah, dia tidak pernah menyarung tudung. Ibu bapanya pun tidak memaksa. Hanya ketika di matrikulasi dahulu dia memakainya. Itupun kerana semua pelajar perempuan Islam diwajibkan menutup aurat. Masuk ke zaman universiti, tudungnya terbang melayang entah ke mana.
“Mama tahu. Tapi Na tak kasihankan Nik ke? Dia terpaksa tanggung segala kesalahan Na sebab Na isterinya.”
Nurhana kunci mulut. Tidak pernah terlintas perkara itu di dalam kepala. Haznik juga tidak pernah menyebut apa-apa tentang cara pemakaiannya. Asalkan sopan, teringat pesanan Haznik.
“Walaupun tak nak, Na kena paksa diri untuk berubah. Semua ujian yang Dia berikan ke atas diri Na dan pada rumahtangga Na, pasti ada sebabnya. Kita sama-sama berubah untuk kebaikan, ya?” pujuk Mariam, lembut.
Nurhana hela nafas perlahan. Dia tidak yakin dapat berubah sebegitu. Dia bukannya cukup baik. Dia tidak penyabar. Dia ada banyak kelemahan.
Tetapi ada benar dalam kata-kata ibunya. Dirinya begitu hebat diuji sehingga dia hampir rebah. Jika tiada sokongan keluarga dan Haznik, pasti dia tidak mampu menghadapi ujian itu.
Nurhana melangkah keluar dari kereta. Saat fikirannya bercelaru, dia tidak sedar ada seseorang sedang berdiri di belakangnya. Bila Nurhana terdengar derap langkah dari arah belakang, dia segera menoleh. Namun mata dan mulutnya terus dipekup.
mmm
Nurhana tidak dapat melihat apa-apa. Segala-galanya gelap gelita. Matanya ditutup dengan kain hitam, membataskan penglihatan.
Dia cuba guna deria yang lain. Kakinya sedang memijak lantai yang sejuk. Angin dingin menampar kulitnya. Sejuknya sehingga ke tulang.
Selebihnya, kosong. Telinganya tidak dapat mendengar sebarang bunyi. Keadaan terlalu hening dan sunyi. Ke mana dirinya sedang dibawa?
Nurhana ingin bertanya tetapi mulutnya bagaikan sedang terkunci. Dia menurut saja ke mana dirinya dipimpin pergi.
Langkah mereka tiba-tiba terhenti dan dia dibiar berdiri di suatu ruang yang tidak dia ketahui. Beberapa detik berlalu tanpa sebarang bunyi. Nurhana dilanda resah. Apa yang sedang terjadi?
“Senang betul nak culik awak.” Satu suara parau memecahkan kesunyian.
“Apa awak nak buat sebenarnya?” Nurhana memberanikan diri untuk bertanya. Dapat dia dengar suara itu ketawa perlahan.
“Kalau nak tahu, bukalah penutup mata.”
Nurhana perlahan-lahan mencapai kain yang menutup matanya sejak tadi. Cahaya silau menusuk ke dalam mata. Selepas beberapa saat, barulah dia dapat melihat dengan jelas.
“Apa semua ni, Nik?” Senyuman Nurhana mekar.
Mata Nurhana tidak berkedip memandang ruang makan mereka. Meja makan diterangi sinar lilin. Tersedia makanan barat di atasnya. Aromanya begitu membuka selera. Suasana terasa cukup romantis.
Haznik tersenyum panjang. “Dah lama kita tak makan berdua-duaan.”
“Bukankah selama ini kita memang makan berdua sahaja di rumah ini?” Nurhana tidak mengerti. Dia mendongak, menatap wajah Haznik.
Ketika dia dipekup tadi, memang nafasnya bagai hendak terhenti. Tetspi sebaik dia menghidu pewangi yang amat dia kenali, ketakutannya beransur tenang.
“Memang betul apa yang awak kata tu. Tapi hari ini special sikit.” Tangan Haznik meraih pinggang Nurhana. Ditarik Nurhana rapat ke sisinya.
“Kenapa? Apa yang istimewanya dengan hari ini?” Terlontar soalan itu dari mulut Nurhana. Dia begitu yakin hari ini bukan hari ulang tahun perkahwinan mereka. Bukan juga hari lahir salah seorang daripada mereka. Jadi hari apa?
Haznik tidak segera menjawab. Sebaliknya dia renung sahaja wajah Nurhana tanpa kata.
“Tak. Takde apa-apa yang istimewa.”
Nurhana dapat mengesan nada kecewa dalam suara lelaki itu. Dia ingin bertanya tetapi Haznik tiba-tiba menghulurkan sebuah beg kertas kepadanya.
“Boleh tak awak tolong tukar baju dahulu?”
“Kenapa? Baju saya buruk sangat ke?”
“Awak pakai apa pun, awak tetap nampak cantik. Tapi saya nak awak pakai baju ini. Please...
Cair hati Nurhana melihat senyuman Haznik. Rayuan lelaki itu boleh buat dia menurut tanpa sebarang bantahan.
“Awak tunggu sekejap ya?”
Nurhana bergegas ke kamar bersama beg kertas yang diberi Haznik. Bulat matanya bila mengeluarkan baju yang berada di dalam beg itu. Biar betul Nik ni!
mmm
“Wow!” Hanya itu saja yang keluar dari mulut Haznik. Tidak berkelip matanya memandang Nurhana yang menyarung gaun malam yang dibeli olehnya.
Nurhana tertunduk, segan. Memang Haznik sengaja mahu mengenakan dirinya. Entah baju jenis apalah yang dia sedang pakai ini.
“Saya ingat nak bawa awak makan di luar. Tetapi takkan saya nak biarkan isteri saya pakai baju seksi begini di depan orang lain, kan? Rugilah saya. Sebab tu saya sediakan semua ni di rumah. Dapat tengok awak puas-puas. Tak perlu kongsi dengan orang lain. Paling penting, mudah nak tukar lokasi untuk agenda seterusnya.”
“Agenda apa tu ya, Encik Haznik?” Sengaja Nurhana menduga walaupun sudah faham benar maksud tersirat di balik bicara suaminya itu.
Well, you know...” Haznik mengenyitkan mata, nakal.
Nurhana tergeleng. Namun tawa kecil tetap meniti di bibirnya.
 “Awak nampak terlalu seksi malam ini. Tak sia-sia saya belikan baju ini untuk awak.”
Mata Haznik masih tidak lepas dari memandang Nurhana. Malah sengaja dia membiarkan Nurhana berdiri tadi, mahu melihat Nurhana sepuas-puasnya. Bila lagi dia akan dapat peluang keemasan sebegitu?
Nurhana bagaikan hadiah yang dibalut dengan pembalut berwarna merah. Ikutkan hati, mahu saja dia tinggalkan meja makan dan angkat Nurhana ke bilik. Kemudian dia akan segera membuka ‘pembalut’ untuk mendapatkan ‘hadiahnya’.
Haznik geleng kepala sebelum tarik nafas dalam-dalam. Sabar.. Dia ingatkan dirinya sendiri.
Nurhana segera melarikan pandangan. Segan bila ditatap begitu. Siapalah yang tidak seksi dalam gaun lace singkat berwarna merah garang ini? Ditambah pula dengan bahagian dada dan bahu yang terdedah luas.
Seumur hidupnya, tidak mungkin dia akan menyarung pakaian seperti ini. Mujurlah lelaki yang berada di depannya ini adalah Haznik, suaminya. Tidak salah berhias di depan suami sendiri kan?
“Awak memang suka tengok perempuan yang pakai baju seksi-seksi ke?” tanya Nurhana, ingin tahu selera sebenar suaminya.
“Saya hanya suka tengok awak seorang saja.”
“Iyalah tu..” Susah Nurhana hendak percaya.
“Buat apa saya nak tipu awak, Hana?”
 Nurhana dapat melihat telus di mata Haznik.
“Tapi awak jangan pakai begini depan orang lain pula. Nak seksi boleh tapi hanya depan saya saja tahu!” Haznik mengingatkan.
“Jangan risau. Saya pun tak berani nak pakai begini di luar rumah.”
Haznik tersenyum senang mendengar bicara Nurhana. Dia menggapai gelas berisi jus oren. Didekatkan bibirnya dengan mulut gelas. Namun matanya masih tidak lari dari mengamati wajah Nurhana.
“Awak nampak handsome hari ini.” Nurhana memuji. Walaupun rambut Haznik sedikit kusut, gaya itulah yang paling dia suka. Tidak perlu sebarang gel. Cukup rambut yang disisir kasar dengan jari-jemari saja.
Handsome je? Macam mana kalau saya buat begini?” Haznik mulai membuka beberapa butang atas pada kemejanya.
Darah menyerbu laju ke muka Nurhana.
“Nik!” Nyaring nada suara Nurhana hanya membuat Haznik ketawa suka.
“Awak nak kita makan atau apa?” Nurhana sudah jadi tidak betah. Resah dengan pandangan Haznik. Padahal makanan di atas meja masih belum terusik.
“Ya. Saya nak makan banyak-banyak. Kumpul tenaga untuk aktiviti seterusnya.” Haznik mengangkat-angkat keningnya.
Nurhana tergeleng kecil. Ditatap lama wajah Haznik. Ketara nakal pada malam itu. Dan kenakalan itu membuat Haznik tampak keanak-anakan.
Tetapi dia bukannya tidak tahu mengapa Haznik melakukan semua ini. Sengaja mahu mengalihkan tumpuannya daripada terus memikirkan tentang perihal abangnya.
Nurhana sedar betapa murungnya dia kebelakangan ini tetapi dia langsung tidak berdaya untuk mengelak dari berperasaan begitu. Dia benar-benar mahu tahu apa yang telah terjadi kepada abangnya. Namun kesudahannya dia hampa.
“Saya tahu kenapa awak buat semua ni, Nik. Terima kasih,” ucap Nurhana, tulus dari hati.
Obvious sangat ke?” Haznik bertanya.
Memang itulah tujuannya. Sejak mereka bertemu Muszafar, emosi Nurhana sedikit terganggu. Adakala dia melihat Nurhana termenung sambil merenung gambar Nasrul.
Dia mahu lihat Nurhana yang dulu dan Haznik sanggup lakukan apa sahaja untuk melihat senyuman Nurhana.
“Awak tak perlu risau. Saya tak apa-apa. Saya okey saja,” Nurhana cuba menyakinkan Haznik. Dilemparkan senyumannya yang paling manis.
Jauh di sudut hati Nurhana rasa cukup bersalah. Dia tahu betapa lelaki itu sibuk. Pastinya sukar Haznik mencuri masa bagi menyediakan semua ini untuknya.
“Macam mana dengan anak?” Terpacul soalan dari mulut Nurhana. Setelah beberapa kali dia pergi berubat, dia rasa dirinya sudah pulih sepenuhnya. Tetapi masih tiada berita baik yang boleh dia berikan kepada Haznik.
Haznik meraih tangan Nurhana. Jari-jemari isterinya digenggam lembut.
“Malam ni, kita tak payah fikir tentang perkara lain. Tonight is about us and us only. Let’s just eat and enjoy the night. Okay?”
“Tapi...”
“Hana sayang, kita dah berusaha. Dah cuba segala-gala. Sekarang biar Dia yang tentukan segala-galanya ya?”
Nurhana mengangguk. Dia tunduk memandang stik daging yang berada di depan matanya. Kenangan lalu segera singgah di dalam ingatan. Dia tersenyum sendiri.
“Awak yang masak stik ni?”
“Ya. Menu hari ini adalah steak chateaubriand. Cooked well done for you and medium for me. Served with bernaise sauce, a classic French sauce with a slight vinegar tang and peppering of fresh tarragon. Hasselback roast potatoes as side dishes and roasted vegies as extra sides.” Haznik mempersembahkan hidangan pada malam itu bak seorang chef.
“Mana awak belajar semua ni?” Nurhana benar-benar kagum. Malah cara makanan itu disusun tidak ubah seperti di restoran mewah.
“Dari internet. Nasib baik steak tak hangus,” balas Haznik sebelum tersenyum-senyum.
Nurhana ketap bibir. Diberi jelingan tajam kepada suaminya itu. Dia sudah agak Haznik akan mengungkit kembali apa yang telah berlaku dulu. Pantang ada peluang!
“Janganlah jeling saya macam tu. Tergoda saya dibuatnya.” Haznik meletakkan telapak tangan di atas dada kirinya sendiri.
“Bencilah awak ni!” getus Nurhana, geram.
“Saya cintakan awak juga,” ucap Haznik, tidak peduli.
Usai menikmati hidangan makan malam yang menyelerakan, Haznik mencapai tangan Nurhana dan dipimpin ke ruang tamu. Cahaya di situ sengaja dimalapkan.
“Kita nak buat apa ni?” tanya Nurhana.
Dance with me.”
Excuse me?” Bulat mata Nurhana. Dia tidak dapat membendung rasa terkejutnya. Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba mahu menari dengannya?
Dance with me, my lady,” ulang Haznik. Dia menekan skrin telefon bimbitnya. Seluruh ruang terus bergema dengan muzik berentak perlahan.
“Tapi saya tak tahu.” Mana pernah Nurhana menari. Ketika belajar dulu pun, dia mengelak daripada menyertai mana-mana kelab tarian atau seni.
No worries. Just follow my lead.” Haznik meletakkan kedua tangan Nurhana di bahunya. Tangan Haznik pula jatuh di pinggang Nurhana. Dibawa Nurhana bergerak perlahan mengikut rentaknya.
“Senang saja kan?” tanya Haznik.
Nurhana mengangguk. Tarian itu tidaklah sesusah yang dia jangka. Buat seketika mereka berdua hanyut dibuai perasaan. Tidak perlu bicara. Cukup hanya menghayati waktu berdua.
“Awak memang pelik malam ini. Hari ini memang hari yang istimewa kan?” Nurhana bertanya. Dia tidak dapat lupa reaksi wajah Haznik tadi. Ada sesuatu yang telah berlaku pada tarikh hari ini. Tetapi apa?
“Hurm... mungkin ya. Mungkin tidak.” Haznik berteka-teki.
“Nik, beritahulah...” pinta Nurhana, cuba memujuk.
“Apa tarikh hari ini?” Haznik bertanya. Tangannya mengelus lembut pipi Nurhana. Kemudian pada rambut panjang Nurhana dan disisir ke bahagian kiri.
“Hari ini? Hari ini 21 Januari. Tapi hari ini bukan hari lahir awak atau saya. Bukan hari perkahwinan kita juga.”
“Memanglah. Sebab hari ini hari pertama saya...” Haznik tiba-tiba menarik pinggang Nurhana sebelum tunduk menyatukan bibir mereka.
Nurhana terpana. Dia langsung tidak sempat mengelak.
“...cium awak.” Sambung Haznik selepas meleraikan kucupan. Senyum nakalnya makin menjadi-jadi.
Nurhan menggigit bibir. Geram. Bagaimana dia boleh terlupa saat bibirnya dipagut Haznik ketika mereka berbulan madu di Cancun dulu?
“Jangan gigit bibir awak. Kalau tak saya cium sekali lagi!” Haznik menegakkan jari telunjuk, memberi amaran.
“Cubalah kalau berani.” Nurhana mencabar. Belum sempat Haznik menarik dirinya, Nurhana segera berlari meninggalkan ruang tamu terus ke tingkat atas.

“Ke mana awak nak lari Hana?” soal Haznik sebelum mengejar Nurhana. Tawa kedua-duanya bergema di dalam rumah itu.