Tuesday, May 31, 2011

Andainya Kau Tahu - 7

Tanpa berlengah lagi, Aliya terus berlari meninggalkan kawasan restoran. Hizwan hanya bangun perlahan-lahan. Langsung tidak tergerak untuk mengejar jejak Aliya. Matanya tajam merenung Zaril.

"Kau nak ke mana?" tanya Hizwan bila Zaril mahu mengekori gerak Aliya.

"Kau nak halang aku? Apa hak kau?" tanya Zaril. Tiba-tiba naik darah. Kemarahannya sudah tidak tertanggung lagi. Memikirkan Hizwan dan Fiza sahaja sudah cukup membuat hatinya bagai dirobek-robek.

"Apa hak aku? Aku tunang Aliya. Kau jangan lupa tu, Zaril." Perlahan sahaja suara Hizwan. Dia tidak mahu menimbulkan kekecohan di restoran itu. Lagipun, bukan caranya bergaduh dengan suara terpekik terlolong.

"Baguslah kalau kau masih ingat kau tu tunang Aliya. Aku ingatkan kau dah terlupa semua itu bila kau jumpa Fiza di hospital minggu lepas." Luah Zaril. Biar Hizwan tahu, dia tahu apa hubungannya dengan Fiza. Dia sudah letih berpura-pura di hadapan Hizwan. Jiwanya sakit melihat kepura-puraan Hizwan bila bersama Aliya.

Riak wajah Hizwan berubah sedikit sebaik mendengar nama itu. Namun dia berlagak tenang, seolah nama Fiza tidak memberi apa-apa kesan kepadanya.

"Aku tahu apa hubungan kau dengan Fiza. Tinggalkan Fiza!" Nada suara Zaril tegas. 

"Tak. Aku takkan tinggalkan dia hanya semata-mata sebab kau sukakan Fiza." Mujur Fiza telah menghubunginya mengenai Zaril. Walaupun pada mulanya dia seperti tidak dapat mempercayai kata-kata Fiza tika itu namun hari ini kelakuan Zaril sudah membuktikan segala-galanya. 

"Zaril sukakan saya." Terdengar-dengar suara Fiza di dalam talian malam tadi. Saat itu Hizwan hanya tertawa. Mana mungkin Zaril yang mempunyai teman wanita keliling pinggang itu akan jatuh suka pula pada Fiza. Memang diakui Fiza wanita cantik yang penuh keyakinan dan mampu menarik hati sesiapa sahaja. Tetapi tak mungkin Zaril juga akan tertarik dengan Fiza. 

"Jangan nak berguraulah dengan saya, Fiza."

"Kalau saya cakap dia datang serang saya di hospital, you tetap nak kata saya bergurau ke?" Kali ini Fiza kedengaran marah-marah. 

Tersentap perasaan Hizwan. Dalam ramai-ramai perempuan yang wujud di dunia itu, mengapa Zaril mengejar Fiza? Fiza miliknya seorang!

"Habis tu, Aliya kau nak campak mana?!" Tengking Zaril, mematikan lamunan Hizwan. Peduli apa kalau semua orang di dalam restoran itu memandang mereka. Hizwan yang berdiri di depannya itu memang tidak tahu malu. Masih lagi berlagak biasa-biasa sahaja.


"Kau nak? Ambillah!" Ujar Hizwan.

Serentak dengan itu, satu tumbukan mengenai wajahnya. Dia tersungkur ke lantai marmar restoran.

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:
 |  |  |  |  |