Tuesday, March 29, 2011

Andainya Kau Tahu - 5


Aliya tersenyum. Matanya leka menatap bait-bait kata dalam SMS yang baru diterimanya. Terasa hatinya berbunga-bunga tika itu. Perasaan melayang di awangan.

"Amboi, bukan main lagi! Senyum sampai ke telinga!" Tegur Kak Raudah, menyedari Aliya yang duduk setentang dengan mejanya ralat tersenyum sejak tadi.

"Biasalah kak. Tak lama lagi kan ada orang nak kahwin." Sahut Arfah, mengundang tawa Kak Raudah. Merona merah pipi Aliya.

"Mana adalah, Pah. Hizwan ajak pergi makan je petang ni. Bukannya ada apa-apa pun."

"Ingat kita nak percaya sangat ke cakap awak tu, Liya oi? Entah mesej sayang rindu dendam apalah yang tertulis agaknya tu." Balas Kak Raudah. Terkekeh-kekeh Arfah ketawa. Mujur juga bos mereka tiada pada hari itu. Dapat juga dia lepas laku sesuka hati di situ.

Aliya tergeleng-geleng. Namun bibirnya masih tidak putus dengan senyuman. Sudah agak lama dia tidak meluangkan masa dengan tunangnya itu. Dia sedar Hizwan seorang lelaki yang sibuk. Malah begitu banyak persiapan yang perlu dilakukan untuk majlis perkahwinan mereka nanti.

Kahwin? Mengenangkan perkara itu sahaja sudah membuat hatinya terasa begitu bahagia. Sebaik sahaja jam menginjak 1.00 tengah hari, Aliya pantas mencapai tas tangannya.

"Kak Raudah, Cik Pah, Liya gerak dulu, ya?" Aliya memberitahu.

"Jangan berlari pula. Tak ke mana abang awak tu." Kata-kata Kau Raudah hanya dibalas dengan senyuman.

'Kita makan tengah hari sama-sama, ya?'

Aliya membaca lagi SMS yang dihantar oleh Hizwan. Bibirnya melebar dengan senyum. Sedikit pun tidak diendahkan orang lain yang berdiri di dalam lif yang sama ketika itu. Kita.. Perkataan yang cukup besar bagi dirinya.

Pintu lif yang dinaikinya akhirnya turun jua ke lobi. Pantas sahaja kakinya menapak ke pintu ke luar lobi. Langsung tidak menoleh ke kiri, mahupun kanan.

"Liya." Namanya tiba-tiba dipanggil. Langkahnya mati. Pandangannya jatuh ke arah seorang jejaka yang sedang duduk di ruang lobi.


"Dah lama tunggu?" tanya Aliya. Tergambar sejuta keceriaan di wajahnya. Hizwan tampak kacak pada hari itu. Lelaki itu tampak sungguh bergaya dengan kemeja putih yang tersarung di tubuh.

Hizwan sekadar melemparkan senyum dan menggeleng. Perlahan dia bangun dari sofa sebelum melangkah kemas ke arah Aliya.

"Jom." Dia mengajak.

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:
 |  |  |  |

0 comments:

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)