Friday, June 24, 2011

Bukan Sekadar Cinta - 1

Sebuah kereta meluncur perlahan di jalan kampung yang tidak berturap itu. Jejaka berkaca mata itu menurunkan cermin tingkap kereta, membiarkan udara kampung menghembus ke dalam. Segar, dia menghirup udara bersih kampung itu.

"Masuk habuklah, Haikal!" Marah lelaki yang duduk di sebelahnya.

"Mana ada habuk, Nizam. Kau jangan nak merepek.." Ujar Haikal. Nizam diam, mencebik. Dia sebenarnya tidak mahu Haikal membuka tingkap. Biarlah tingkap bertutup! Aku nak air-cond. Kampung ni panas, tahu tak?

"Kampung, tempat yang paling aman. Bebas dari pencemaran dan kesesakan kota." Tiba-tiba Haikal berkata lalu tersenyum lebar sebelum menoleh ke arah Nizam.

"Dan jauh dari arus kemodenan. Juga tiada rangkaian telefon bimbit di sini? What the..?" Nizam menjulurkan tangan, menjulang tinggi telefon bimbitnya dari dalam tingkap kereta. Kemudian menarik tangannya semula. Dia tergeleng-geleng melihat tiada servis talian disediakan di situ.

"Kau bawa aku ke ceruk mana ni, Haikal? Macam tempat jin bertendang je aku tengok!" Rungut Nizam. Haikal tertawa perlahan. Dia tergeleng-geleng.

"Macam mana aku nak cek emel? Macam mana aku nak update status aku kat facebook? Kau tahu tak betapa ramainya follower yang setia mengikuti perkembangan hidup aku?" Tambah Nizam lagi. Dia tidak boleh hidup di kampung itu. Aku akan 'mati'! 'Mati'!!

"Perasan lah kau!" Haikal tertawa kuat. Namun dia tetap meneruskan pemanduannya dengan cermat. Sedikitpun tidak terganggu dengan rungutan Nizam.

"Apalah aku nak buat di kampung ni, Haikal.." Luah Nizam.

Dapat dirasakan betapa bosannya tinggal di situ tanpa mampu berhubung dengan dunia luar. Macam manalah ada orang boleh tahan duduk kat kampung ni? Seminit dirasakan seperti sehari lamanya. Argh!! Nizam mulai rasa tertekan.

"Relaks. Kau sendiri yang kata nak lari sekejap dari 'huru-hara' di bandar." Beritahu Haikal.

"Ya, kalau bukan kerana perempuan tak betul tu kejar aku, aku takkan ikut kau ke sini." Ujar Nizam. Mindanya terus teringatkan Nisha. Dia cuma keluar sekali sahaja dengan model sambilan itu dan secara tiba-tiba dia seolah menjadi buruan. Ke mana sahaja dia pergi, pasti ada Nisha.

Gila! Perempuan gila! Nizam berkata dalam diam. Dia tergeleng-geleng, kesal dengan sikap sesetengah perempuan. Terlalu mudah salah anggap. Baru keluar sekali kot! 

Kerana itu dia datang ke kampung itu. Dia meminta Haikal membawanya ke mana sahaja asalkan Nisha tidak dapat menjejaknya. Jika selepas ini, Nisha muncul di hadapan dirinya lagi, tahulah bagaimana dia 'mengajar' Nisha. Lagipun, sudah agak lama dia tidak bercuti. Kali terakhir dia mengambil cuti ialah ketika sahabatnya berkahwin. Bagaimana Zaril dengan Aliya agaknya? 

Kereta yang dipandu Haikal akhirnya terhenti di suatu tempat. Nizam membetulkan duduknya. Matanya melilau memandang ke luar.

"Kita kat mana, Haikal?" Dia bertanya. Pandangannya tertumpu pada sebuah rumah besar yang memenuhi ruang matanya. Buat sebuah kampung yang terpinggir jauh dari pembangunan, rumah itu tampak agak mewah baginya.

Haikal ada memberitahunya nama kampung itu namun dia terlupa. Perlahan-lahan dia melangkah keluar dari perut kereta. Matanya beralih ke arah sawah terbentang luas, menghijau saujana mata memandang.

Hairan, dia seperti pernah berdiri di sini. Sawah di depan matanya itu bagai pernah dilihat. Bezanya, sawah di ingatannya berwarna kuning keemasan, bukan hijau seperti sekarang. Angin bertiup, mengelus wajahnya perlahan. Terasa segar udara di kampung berbanding di bandar.

"Nama kampung ni Kampung Paya Tenang." Beritahu Haikal.

Paya Tenang? Nama jenis apa tu? Dia tergelak sendiri. Kelakar dengan nama kampung itu. Tapi macam pernah dengar nama kampung ni. Dia diam, cuba berfikir seketika. Ah, malaslah nak fikir!

"Nizam, cuba tengok tu." Haikal menuding jari ke arah sekumpulan budak yang sedang bermain layang-layang. Angin kencang dari Laut China Selatan yang bertiup membantu menaikkan layang-layang tinggi ke udara.

Melihat keriangan kanak-kanak di tengah bendang itu sahaja sudah cukup untuk membuat Nizam tersenyum. Tiba-tiba dia terkenangkan zaman kanak-kanaknya. Begitu cepat masa berlalu.


Ingatannya mengenai zaman kanak-kanak terlalu kabur. Namun dia masih mampu mengingati beberapa perkara. Betapa gembiranya dia bila berjaya menaikkan layang-layang ketika kecil dahulu. Betapa gembiranya dirinya bila dapat terjun ke dalam sungai, membiarkan air sejuk beku menyimbah tubuhnya. 

Serta-merta fikiran Nizam terasa senang. Hatinya jadi lapang melipat tanah sawah yang terbentang luas. Jiwanya terasa damai melihat langit biru yang bersih tanpa dicalar sebarang pencakar langit. Indahnya suasana, dia memuji.

"Berani kau balik sini, ya?!" Pekik satu suara dari belakang.

Nizam dan Haikal sama-sama menoleh. Berkerut dahi Nizam memandang gadis berambut tocang dan berkaca mata itu. Dipandangnya gadis yang selesa berbaju kurung kain kapas itu dari atas ke bawah.

"Awak siapa?" Nizam bertanya.

bersambung..

Terima kasih sudi membaca BSC~


2 comments:

luv' said...

permulaan yang menarik!!!!!sy shuke!~~(^_^)

Hajar said...

Nizam best friend zaril ke ni? ^_^

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)