Tuesday, June 21, 2011

Andainya Kau Tahu - 30



"Sibuk ke?" Lelaki itu bertanya. Wajahnya ceria lelaki itu membuatkan Aliya tertanya. Apa dia buat di sini?

"Apa awak buat kat sini?" Aliya menyuarakan persoalan yang bermain di fikirannya.

"Saya teringatkan awak. So, saya terus drive ke sini. And here I am." Ujar Hizwan lalu tersenyum. 

Aliya membisu seketika. Tiada angin, tiada ribut, lelaki itu tiba-tiba datang ke tempat kerjanya. Selama ini sudah berbuih mulut dia mengajak Hizwan singgah ke pejabatnya namun lelaki itu tidak menunjukkan minat. Dan hari ini Hizwan ada di dalam ruang pejabatnya pula.

"Awak datang sebab teringatkan saya?" Aliya menyoal lagi. Tidak berpuas hati dengan jawapan tadi.

"Saya telefon ke rumah awak. Suhani kata awak belum balik lagi jadi saya terus datang ke sini. Dan kenapa saya telefon awak di rumah? Sebab saya tak dapat call handphone awak. Saya risau kalau apa-apa terjadi pada awak." Hizwan menerangkan perkara sebenar. Risau juga bila panggilannya ke telefon bimbit Aliya langsung tidak berjawab.

Aliya mengeluarkan telefon bimbitnya. Patutlah tak dengar apa-apa, dia berkata dalam hati tatkala melihat telefon bimbit yang telah ditetapkan kepada mod senyap.


"Jangan fikir yang bukan-bukan, Hizwan. Saya okey, je." Kata-kata Aliya hanya membuatkan Hizwan diam, kemudian mengangguk.

"Banyak kerja lagi?" soal Hizwan.

Dia mengambil tempat duduk di atas sofa yang tersedia di dalam pejabat Aliya. Matanya melilau memandang sekeliling. Pertama kali dia berada di situ. Pejabat Aliya ternyata kemas dan menarik. Banyak warna ceria menghias pejabat tunangnya itu.

Berbeza sungguh dengan pejabatnya. Terlalu formal dan tidak menarik seperti pejabat milik Aliya. Dalam diam Hizwan membuat perbandingan.

"Cantik bilik awak." Spontan Hizwan memuji.

Aliya tersenyum nipis. "Terima kasih. Awak nak air? Saya ambilkan." 

Hizwan mengangguk. Dia membiarkan sahaja Aliya keluar seketika sebelum pulang semula dengan segelas air.

"Maaf. Coffee maker dah rosak." Beritahu Aliya bila menghulurkan segelas air kosong.

Kedengaran Hizwan tertawa kecil. "Takpe." Ujar Hizwan, menyambut minuman yang diberikan.

"Awak tunggu sekejap ye. Saya nak kemas meja saya dulu." Beritahu Aliya, cepat-cepat mengemas mejanya.

Tidak pula Hizwan berkata apa-apa. Sempat dia merenung ke arah Aliya ketika meneguk minumannya. 


Okey kah dia? Hizwan teringat peristiwa tempoh hari bila Aliya meluahkan rasa pada sepupunya. Aliya sukakan Zaril, dia mengingatkan dirinya. Namun Zaril tidak pula menyukai tunangnya itu.

Setelah mendengar semua itu, dia terus mengangkat kaki pergi. Dia tidak ingin Aliya mahupun Zaril tahu dia ada di situ. Nizam dan Suhani juga telah dipinta agar tidak membuka mulut.

Hizwan cuba memutar kembali apa yang telah berlaku.

"Tapi saya tak, Liya. Saya tak cintakan awak." Zaril tak cintakan Aliya? Betulkah? Dia tidak yakin dengan apa yang keluar dari mulut sepupunya itu. Tetapi semenjak dia meninggalkan Fiza, tidak pula dia mendengar sebarang berita mengenai gadis itu. Bukankah sepatutnya Fiza dengan Zaril sekarang?

Liya.. Hizwan memendekkan nama tunangnya itu. Beberapa hari ini baru dia tersedar Zaril sahaja yang memanggil Aliya sebagai Liya. Kenapa?

"Hizwan?" Panggilan Aliya mematikan lamunannya. Dia meletakkan gelas ke atas meja sebelum memandang wajah polos Aliya.

"Saya dah siap kemas. Jom?" Ajak Aliya, mahu meninggalkan pejabatnya. Walaupun kerjanya masih belum selesai, dia takkan mampu melakukan kerjanya juga andai Hizwan duduk menunggu di situ. Sambung esok sajalah, fikirnya.

Hizwan mengangguk. Perlahan-lahan dia bangkit dari tempat duduknya. Dia mengekori langkah Aliya yang laju menuju ke arah pintu.

"Liya.." Panggil Hizwan, sengaja menyebut nama itu.

Langkah Aliya terhenti. Degup jantungnya serasa hampir terhenti mendengar namanya disebut begitu. Dia berpaling, melihat Hizwan yang berdiri di depan matanya.

"Ya?"

Hizwan tersenyum. "Takde apa."

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:

 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 11  | 12  | 13  | 14  | 15  | 16  |  17  |  18  |  19  |  20  |  21  |  22  |  23  | 24  | 25  |  26  |  27  |  28  |  29  |

1 comments:

Anonymous said...

Zaril kemana ye?

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)