Friday, June 3, 2011

Andainya Kau Tahu - 11


Hizwan menoleh ke arah telefon bimbitnya. Ada dua panggilan telefon daripada Fiza yang sengaja tidak dijawabnya. Air mukanya kosong. Hanya dua panggilan dan Fiza takkan menelefonnya untuk kali ketiga. Dia sudah sedia maklum dengan perangai Fiza itu. Egonya tinggi. Telefon disimpan semula ke dalam saku seluar. Sedikitpun dia tidak terasa untuk membalas panggilan itu. 

Kemudian matanya beralih ke arah majalah yang berada di riba. Diselak sehelai demi sehelai. Bosan. Hanya ada gambar perkahwinan memenuhi majalah itu. Buku apa ni? Ditutup buku tersebut untuk melihat tajuk majalah itu. Pengantin, dia membaca perkataan yang tertera.

"Awak?" Panggil satu suara, menarik perhatian Hizwan. Terus Hizwan terkedu. Hilang kata-kata sehingga majalah yang dipegangnya jatuh ke lantai.

Aliya tersenyum dan tertawa kecil. "Cantik?" Dia bertanya.

Hizwan mengukir senyum. Sungguh, dia tidak mampu berkata apa-apa bila melihat Aliya. Tidak sia-sia dia menunggu lama di butik itu. 

"Cantik ke tidak?" Aliya mengulang pertanyaan. Tersipu pula bila Hizwan hanya merenung tidak berkelip.

"Erm.. bolehlah.." Tutur Hizwan.

Aliya mencerlungkan mata. Pantas dicubit lengan lelaki itu. Hizwan tertawa. Diperhatikan lagi Aliya yang tampak cantik dengan persalinan pengantinnya. 

"Awak lebih cantik daripada semua perempuan di dunia ni." Ujar Hizwan. 

Aliya tertunduk. Wajahnya merona merah. Tidak tahu bagaimana mahu menyembunyikan perasaannya yang menggebu tika itu.

"Erm.. saya tukar baju lain dulu." Aliya berpusing namun tangannya direntap Hizwan. Langkahnya terhenti.

"Kita ambil gambar dulu." Hizwan sudah mengeluarkan telefon bimbitnya, lalu merapati Aliya. Dihalakan kamera telefon ke arah diri mereka. Hizwan dan Aliya sama-sama tersenyum di dalam gambar. 

"Satu lagi," kata Hizwan bila Aliya mahu pergi setelah gambar mereka diambil. Aliya menurut. Dibiarkan sahaja wajah Hizwan yang rapat dengan wajahnya.

"Satu, dua, tiga.." Pipi Aliya dikucup Hizwan dan gambar itu terakam di dalam kamera. Aliya terkejut. Bulat matanya memandang Hizwan.

"Dah, pergilah tukar baju." Arah Hizwan, selamba. Bagai tiada apa yang berlaku tadi. Aliya tersenyum sebelum berlalu pergi.

"Nampak bahagia, kan?" tanya Zaril. Pandangannya beralih ke arah Fiza yang berdiri di sisinya. 

Fiza diam, mengetap bibir. Hizwan.. Terasa geram saat itu. Sudah lama mereka berdiri di luar butik itu, memerhatikan drama di depan mereka. Tingkah laku Hizwan benar-benar menyakitkan hatinya.

"Kan saya dah kata, Hizwan mesti ada di sini punya." Tambah Zaril. 

Fiza enggan berkata apa-apa. Langkahnya laju meninggalkan butik itu. Hatinya sakit. Sakit!

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:
 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 

3 comments:

a'aina camilla said...

Tp Hizwan ni cute la plak..hehe..

diya jamal said...

prince caspian mmg hot. haahaa

i M a Z a i M i said...

errr..dah pening. hizwan ni tamak ke? dusshh!!

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)