Wednesday, June 22, 2011

Andainya Kau Tahu - 32


Rumah bernombor 23 itu tampak meriah. Orang ramai sudah mula memenuhi rumah keluarga Aliya. Ibu bapa Aliya adalah yang paling sibuk pada hari itu. Mereka cuba melayan setiap tetamu yang datang sebaiknya. Cuba memastikan majlis berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. 

Walaubagaimanapun, majlis akad nikah pada hari itu hanya dihadiri saudara terdekat atas permintaan Hizwan dan Aliya. Pada majlis persandingan nanti, barulah lebih ramai tetamu akan datang. 

"Aliya tak siap lagi ke, Hani?" tanya ibu Aliya. Wajahnya ceria berseri-seri. Pertama kali dia akan menerima menantu sulung, pastinya dialah insan yang paling gembira pada hari itu.

"Dah. Tinggal tunggu pengantin lelaki sahaja." Ujar Suhani. Telefonnya berbunyi, menandakan ada mesej masuk. 

"Sekejap ye, mak. Ada mesej." Beritahu Suhani lalu tersengih. Cepat sahaja dia berlalu pergi, sepantas lipas kudung. Tergeleng kepala ibu pengantin itu melihat keletah anak bongsunya itu.

Aliya melangkah keluar dari biliknya. Tersarung persalinan pengantin lengkap di tubuhnya. Namun, matanya melilau seolah sedang mencari sesuatu. 

Perlahan-lahan dia melangkah ke bilik adiknya. Dia mahu mencari telefon bimbit yang dicaj oleh Suhani di dalam bilik itu. Daun pintu ditolak perlahan. Matanya terpaku bila melihat ada satu susuk tubuh berada di dalam bilik Suhani.

"Zaril?" Aliya terkejut. Mengapa lelaki itu berada di dalam bilik Suhani?

Zaril menoleh. Pandangannya terus terpanah pada wajah ayu Aliya. Dia tergamam. Aliya tampak begitu menawan dalam busana pengantinnya. Bagai bidadari, hatinya berbisik sendiri.


"Ini bilik adik saya. Apa awak buat di sini?" soal Aliya. Sungguh, dia tidak menduga akan melihat Zaril di situ. Pada hari pernikahannya!

Dia mengorak langkah ke depan. Pandangannya tidak lepas dari memandang wajah Zaril. Ada sendu di hujung hati. Sayu kerana dia akan menjadi milik Hizwan selepas akad nikah nanti. Zaril bukan untuk dirinya.

"Suhani kata awak nak cakap sesuatu pada saya. Dia yang minta saya tunggu di sini." Beritahu Zaril. Ya, dia berada di situ kerana Suhani memberikan mesej kepadanya.

'Akak nak bercakap dengan Abang Zaril. Plis datang sekarang ya.'

Malah mesej tersebut masih ada di dalam telefon bimbitnya. Boleh sahaja dia menyuakan telefon bimbitnya kepada Aliya untuk diperiksa. 

"Saya nak cakap apa pula pada awak? Hari ini saya akan berkahwin. Dengan Hizwan! Lebih baik awak keluar dari rumah saya, Zaril." Arah Aliya.

Suhani reka cerita apa ni? Takkan dia tak tahu apa yang dah berlaku? Hatinya mula terasa geram dengan tindakan Suhani yang cuba memandai-mandai. Bagaimana jika Hizwan tahu Zaril ada di situ saat ini? Bagaimana jika tetamu di luar menyedari akan kehadiran lelaki lain di dalam rumahnya tika itu? Tidakkah haru jadinya nanti?

Zaril bungkam. Jadi, Suhani yang sengaja menghantar mesej kepadanya? Tapi kenapa? Dia memerhatikan Aliya. Mata bundar Aliya sudah mulai digenangi air mata. Lidahnya jadi terkelu. Perlahan dia bangun dari kerusi. Kehadirannya langsung tidak dialu-alukan. Lebih baik dia pergi.

Namun belum sempat dia membuka langkah, pintu bilik itu tiba-tiba dikatup rapat. Dikunci dari dalam. Zaril tersentak.

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:

 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 11  | 12  | 13  | 14  | 15  | 16  |  17  |  18  |  19  |  20  |  21  |  22  |  23  | 24  | 25  |  26  |  27  |  28  |  29  |  30  |  31  |

0 comments:

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)