Wednesday, June 15, 2011

Andainya Kau Tahu - 26


"Kenapa?" tanya Nizam. Tiba-tiba sahaja raut wajah Zaril berubah selepas menjawab panggilan telefonnya.

"Liya." Pendek sahaja jawapan Zaril. Nizam diam. Dia membiarkan sahaja Zaril menghidupkan enjin kereta sebelum memecut laju meninggalkan kawasan medan selera. 

Kereta yang dipandu Zaril memotong laju beberapa kenderaan yang lain. Naik risau pula Nizam melihatnya.


"Zaril, aku tahu kau nak cepat tapi tolong bawa kereta aku elok-elok. Boleh?" Pesan Nizam. Raut wajah Nizam serius. Dia tidak akan bergurau jika perkara itu melibatkan keselamatan keretanya.

Zaril menarik nafas dalam-dalam. "Aku minta maaf."

Perlahan-lahan dia menurunkan kelajuan. Sedikit pun tidak sedar dia memijak pedal minyak dengan kuat tadi.

"It's okay. Biar perlahan, asalkan selamat." Ujar Nizam. Zaril mengangguk. Fikirannya terganggu saat itu. Panggilan tadi membuatkan hatinya dilanda kegusaran.

***
Suhani berdiri di luar. Sesekali matanya tertoleh-toleh ke arah jalan, seolah-olah sedang menunggu sesuatu. Beberapa kereta yang lalu-lalang diperhati dengan teliti. Bukan, hatinya berbisik.

Wajahnya berubah lega bila melihat sebuah kereta dipandu Zaril sedang menuju ke arah rumahnya. Suhani melambai ke arah kereta tersebut. Kelajuan kereta diperlahankan dan akhirnya berhenti tepat di depan tempatnya berdiri.

Zaril dan Nizam sama-sama turun dari kereta. Namun Zaril lebih laju melangkah ke arah Suhani.

"Apa yang dah jadi, Hani?" Zaril bertanya. Wajahnya menunjukkan sejuta kerisauan.

"Sejak pagi tadi Kak Liya tak nak keluar dari balik. Sejak pagi jugalah dia tak makan. Hani risau kalau apa-apa jadi pada Kak Liya. Lepas Abang Hizwan datang, dia terus berkurung dalam bilik." Beritahu Suhani.

Suhani benar-benar risau akan kakaknya itu. Sejak beberapa hari lagi kakaknya menunjukkan perubahan sikap yang ketara. Selalu saja bermuram. Sangkanya hanya bergaduh dengan Hizwan. Tetapi bila keadaan menjadi semakin parah, Suhani mulai terasa risau.

Sudah berkali-kali diketuk pintu kakaknya. Dia cuba memujuk Aliya agar keluar namun tidak bersahut. Adakalanya dia mendengar kakaknya menangis tersedu-sedu. Belum pernah dia melihat kakaknya dalam keadaan begitu.

Hilang punca Suhani dibuatnya. Dalam situasi itu, dia tidak tahu dengan siapa lagi dia boleh meminta bantuan kecuali Zaril. 

"Ada kunci spare?" tanya Zaril, dibawa ke bilik Aliya. Nizam hanya mengekori dari belakang.

"Semua kunci spare memang akak yang simpan dalam bilik dia." Beritahu Suhani. Zamri mengetap bibir. Mereka akhirnya tiba di depan pintu bilik Aliya.

"Liya?" Zaril memanggil nama Aliya. Sunyi, tiada jawapan.

"Liya, Zaril ni. Tolong buka pintu. Adik awak risau dengan awak, Liya." Pujuk Zaril. Zaril mengetuk-ngetuk pintu Aliya. Hatinya dipagut bimbang. Hendak sahaja dipecahkan pintu Aliya saat itu. Dia mahu melihat Aliya. Bimbang jika ada perkara buruk yang akan terjadi ke atas gadis itu. Tolong buka pintu, Liya. Dalam diam dia merayu.

Aliya yang berselimut di atas katil, hanya membatukan diri. Telinganya dipekakkan, enggan mendengar suara-suara dari luar. Tangisannya cuba  ditahan namun gagal. Jiwanya terluka! Dia ingin bersendiri di situ. Tinggalkan aku sendiri! Batin Aliya menjerit kuat.


"Jangan buat macam ni, Liya. Awak dah buat semua orang risaukan awak. Tolong buka pintu," kata Zaril lagi. Namun usahanya tampak sia-sia sahaja.

"Kak, buka pintu kak. Hani risaukan akak." Tambah Suhani pula. Tetapi jawapan Aliya tetap sama. Langsung tidak diendahkan.

Nizam yang hanya berdiam di situ akhirnya mulai masuk campur. Dia meminta Zaril beralih dari muka pintu.

"Aliya, kalau awak tak buka pintu dalam kiraan tiga, saya akan pecahkan pintu bilik awak!"

Kata-kata Nizam menyambar pandangan Zaril. Wajah Nizam direnung lama. "Kau takkan pecahkan pintu ni kan?"



Nizam sekadar menjungkit bahu. "Tak mahal mana pun harga pintu bilik kan?" Ujar Nizam.

"Apa? Kau betul-betul nak pecahkan pintu bilik Aliya?!"

"SATU!" Laung Nizam, enggan mempedulikan Zaril.

"Nizam.." Zaril memanggil nama rakannya itu, memberi amaran. Jika benar Nizam akan merempuh bilik itu, dia akan terlebih dahulu menghalang.

"DUA!" Nizam meneruskan kiraan. Dia sudah bersedia untuk menendang pintu itu jika Aliya terus berdegil. Sunyi.

"TI.." Daun pintu dikuak perlahan dari dalam. Wajah sembab Aliya terjegul di muka pintu. Zaril memandang ke arah Nizam yang tersenyum. Bangga kerana berjaya membuatkan Aliya mengalah.

"Liya, awak tak apa-apa?" tanya Zaril, terus mendapatkan Aliya.

"Kenapa Hani telefon dia?" Aliya memandang wajah Suhani. Langsung tidak memandang ke arah Zaril. Apatah lagi Nizam.

"Sebab akak kan tak keluar-keluar. Jadi Hani.."

"Suruh mereka balik! Akak tak nak tengok muka diorang!" 

Zaril terkedu. Nizam mulai bengang diperlakukan Aliya sebegitu. Suhani pula terasa sedih kerana niat baiknya tidak dihargai.

Aliya melangkah masuk semula ke dalam biliknya.  Belum sempat pintu ditutup rapat, Zaril terlebih dahulu menghadang. Aliya sedaya upaya cuba menutup daun pintu namun kudratnya tidak sekuat Zaril yang bersahaja di situ. 

"Tepilah!" Arah Aliya, marah.

Zaril menolak pintu lebih kuat. Aliya terdorong ke belakang. Mudah sahaja lelaki itu masuk ke biliknya. Sebaik sahaja melangkah ke dalam, pintu bilik itu ditutup rapat oleh Zaril. Dikunci dari dalam.

"Keluar dari bilik saya!" Kemarahan Aliya semakin menjadi-jadi. Zaril sekadar menggeleng.

Bengang, Aliya berlari ke arah pintu. Dia ingin keluar dari bilik itu. Dia tidak mahu berada di ruang yang sama dengan Zaril. Tidak!

Namun Zaril menghalangnya. Dia ditarik daripada terus mendekati pintu.

"Lepaskan saya! Lepaskan saya!!" Pekik Aliya, meronta minta dilepaskan. Walaubagaimanapun, pegangan Zaril terhadapnya tetap kemas, enggan melepaskannya.

Aliya akhirnya berhenti melawan. Dia tahu walau apa pun, dia takkan dapat melepaskan diri dari Zaril. Tangisannya pecah semula. Air matanya mengalir tidak henti-henti seolah tidak pernah kering.

Zaril memegang kemas kedua bahu Aliya. Diseka air mata gadis itu. Sakit hatinya melihat Aliya dalam keadaan begitu. 

Dia tahu mengapa Aliya dilanda lara sebegitu. Dia tidak mengerti mengapa Hizwan mahu berterus-terang sedangkan dia boleh merahsiakannya terus daripada pengetahuan Aliya. Malah Fiza juga sudah pergi dari hidup mereka. Kenapa Hizwan mahu memberitahu Aliya?

"Tolong pergi, Zaril." Luah Aliya, diselang-seli sedu-sedan.

"Saya takkan tinggalkan awak, Liya." Not now. Not ever. Tambah Zaril.

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:

 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 11  | 12  | 13  | 14  | 15  | 16  |  17  |  18  |  19  |  20  |  21  |  22  |  23  | 24  | 25  |

0 comments:

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)