Sunday, June 5, 2011

Andainya Kau Tahu - 13


Zaril melangkah keluar dari kafe. Rakannya sudah pun pergi. Melilau matanya mencari kereta yang diparkir tidak jauh dari kafe. Tika itulah, matanya terarah kepada Fiza yang sedang mengejar kereta Hizwan. Dia  terkejut.  Fiza kejar kereta Hizwan? 

Dan matanya mencerlung besar bila melihat Fiza tiba-tiba rebah di atas jalan. Beberapa orang yang berada berdekatan segera mendekati Fiza. Dan kakinya juga pantas berlari mendapatkan Fiza. Tubuh gadis itu dibawa ke dalam dakapan.

"Fiza? Fiza?!" Wajah Fiza ditampar perlahan, cuba menyedarkan gadis itu. Apa yang tidak kena? Mengapa wajahnya begitu pucat? Bukankah selama ini Fiza hanya berpura-pura sakit? Sungguh, dia tidak mengerti.

Fiza akhirnya membuka mata. Air matanya mengalir bila melihat Zaril yang berada di depannya. Bukan Hizwan. Mengapa bukan Hizwan?

"You okey ke tak ni?" tanya Zaril, bimbang. Orang ramai yang mengerumuni tadi terus bersurai bila menyedari Fiza sudah sedar dari pengsan.

"Zaril.." Fiza memeluk tubuh Zaril erat. Diluahkan esak tangisnya di dada lelaki itu. Dan Zaril hanya membiarkan. Tangisan Fiza terasa begitu sayu.

"Dah, jangan menangis di sini. Kita bangun." Zaril memapah Fiza bangun. Kasihan pula pada Fiza. Gadis itu tunduk, cuba menyembunyikan wajahnya yang sembab dek air mata. Perlahan-lahan mereka melangkah pergi dari situ.
***

Malam semakin gelap. Hizwan membuka dan menutup pemetik api berkali-kali. Pandangannya tajam, tertumpu ke arah luar beranda. Masih terdengar-dengar suara Fiza memanggilnya tadi. Memintanya agar berhenti. Namun dia langsung tidak mahu membiarkan pemandunya berhenti.

Bila dia menoleh, hatinya yang sakit menjadi parah. Gadis itu sudah pun berada di dalam dakapan Zaril. Zaril!

Sejak terlihat Zaril dan Fiza di pesta sukan sekolah, hatinya sudah pun dilanda amuk. Remuk perasaannya bila melihat Zaril memegang erat tangan Fiza. Dan anehnya, Fiza membiarkan sahaja tindakan Zaril itu.

Kakinya bagaikan terus terpaku untuk berdiri di situ. Dia mahu lihat, apalagi yang bakal berlaku. Andainya Fiza tahu, betapa mendidih darahnya tidak itu. Bertambah kacau jiwanya bila melihat Zaril mengucup tangan Fiza.

"Kononnya Zaril yang kacau dia. Tapi bukan main mesra lagi bila aku takde depan mata!"
 Hizwan mengetap bibirnya. Hizwan cuba menenangkan jiwanya.

Selama ini tindak-tanduk Zaril cukup membuatkannya dia sakit hati. Memintanya putus hubungan dengan Fiza. Dan sekarang, adakah Fiza tidak setia kepadanya lalu memilih Zaril?

Hizwan terdiam beku di situ. Fikirannya terus teringatkan Aliya. Betapa dia terasa berdosa kepada tunangnya itu. Aliya langsung tidak pernah mempersoalkan apa-apa. Malah tidak pernah merungut walau sekalipun. Gadis itu terlalu baik. Hanya dia sahaja yang tersasar, memilih untuk berkasih dengan Fiza di belakang tunangnya itu.

Semua itu salahnya. Ya, salah aku, Hizwan menyalahkan diri. Fiza dan dirinya sudah berkasih sejak zaman universiti. Namun hubungan itu putus bila dia ke luar negara dan Fiza pula tidak menghubunginya.

Hanya setelah dia bertunang, barulah mereka bertemu semula. Dan entah mengapa perasaan lama mekar semula. Saat itu dia lupa pada Aliya, gadis yang menjadi pilihannya sendiri. Hizwan tunduk. Mengapa begitu mudah dia melupakan Aliya saat itu? Butakah matanya sehingga tertawan dengan keletah Fiza dan lupa pada peribadi Aliya?

Kerana  itulah, dia  meluangkan masa dengan Aliya. Ke mana sahaja Aliya mahu pergi, dia setia menemani. Hingga ke butik perkahwinan sekalipun, dia setia menunggu. Dia mahu menebus segalanya.

Aliya.. Dia menyeru nama itu. Pemetik api ditutup buat kali terakhir. Dia berpaling, meninggalkan kawasan beranda.

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:

 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 11  | 12  |

0 comments:

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)