Monday, June 13, 2011

Andainya Kau Tahu - 24


Hizwan memandang telefon bimbitnya yang kaku. Sudah seharian dia cuba menghubungi Aliya namun gadis itu tidak dapat dihubungi. Malah gadis itu tidak datang ke tempat yang mereka janjikan pada hari itu. Ke manalah Aliya pergi? Dia tertanya-tanya.

Saat itu baru dia terasa bagaimana dia memperlakukan Aliya dulu. Jika dulu dia sering sahaja membatalkan janji temu dengan Aliya. Sering sahaja dia menghantar Zaril agar menggantinya. Sedikitpun dia tidak pernah menduga begitu pahitnya perasaan menunggu itu.

Hizwan menarik nafas dalam-dalam. Biarlah.. Memang patut Aliya memperlakukannya begitu. Dia rebah ke atas katil. Matanya memandang siling yang kosong. 


Wajah polos Aliya terbayang-bayang di tubir mata. Senyuman Aliya ketika gambar pra-perkahwinan mereka bagaikan bermain semula di layar mata. Mata Aliya yang setia menyapanya dengan mesra. Tawa Aliya yang sentiasa menceriakan jiwanya.

Aliya.. Hizwan menyeru nama itu. 


Bodohnya dia kerana mempermainkan kesetiaan Aliya. Bodohnya dia kerana curang dengan Aliya hanya kerana Fiza. Dia menghela nafas penuh sesalan.

Ketukan pintu kedengaran bertalu-talu. Hizwan membuka matanya perlahan-lahan. Telinganya terasa bingit dengan bunyi bising itu. Dia akhirnya bangkit dari katil sebelum melangkah ke arah pintu rumahnya. Daun pintu terasa semakin kuat memekakkan telinganya.

"Sekejap." Laung Hizwan. Dikuak pintu luas. Matanya terarah pada Aliya yang berdiri di depannya.

"Awak tipu saya, Hizwan!" Tamparan Aliya hinggap di mukanya. Hizwan tergamam. Terasa kebas wajahnya.

"Apa maksud awak, Aliya." tanya Hizwan.

"Saya tahu, Hizwan! Saya tahu!!" Pekik Aliya, menolak-nolak tubuh Hizwan. Ada kemarahan di wajahnya. Ada tangisan di matanya.

"Tahu apa?" Suara Hizwan pula meninggi. Tidak pernah ada orang meninggikan suara terhadapnya, membuatkan dirinya naik berang.

"Awak ingat saya bodoh? Saya tahu semuanya tentang Fiza! Awak masih tak nak beritahu apa-apa tentang perempuan tu?" Jerkah Aliya. 

Hizwan bungkam. Buat seketika dia kehilangan kata-kata. Siapa yang telah memberitahu Aliya? Zaril? Tiba-tiba dia teringatkan sepupunya itu. Tidak! Bukan dia! Zaril tidak akan memberitahu Aliya. Jadi siapa? Fiza?

"Saya percayakan awak! Mati-mati saya percayakan awak sibuk dengan kerja, dengan mesyuarat, dengan semuanya! Zaril suruh saya berhati-hati dengan awak tapi saya pekakkan telinga. Saya marah dia kerana tuduh awak. Saya marah dia kerana awak! Dan ini apa yang balas pada saya?" Suara Aliya tidak lagi menjerit-jerit namun setiap bait kata benar-benar menghiris hati Hizwan. 


Seribu penyesalan terasa menghimpit jiwanya tika itu. "I'm so sorry, Aliya. Saya tak bermaksud untuk tipu awak."

"Sampai hati awak buat saya macam ni? Awak tipu saya, Hizwan. Awak tipu!" Suara Aliya kedengaran serak-serak.

"Tak Aliya.."

"Awak buat saya nampak macam orang bodoh depan Zaril, depan semua orang."

"Aliya.." Hizwan semakin hilang punca. Kata-kata Aliya benar-benar mengguris hatinya.

"Sudah. Saya tak nak dengar apa-apa." Aliya menahan sendu. Dia mengalihkan pandangan, enggan memandang wajah Hizwan.

"Mulai hari ini, awak dan saya putus!" Sambung Aliya.

Hizwan terkedu. Putus? Dia tergamam bila melihat Aliya mula meninggalkan rumahnya. Meninggalkan dirinya. Meninggalkan ikatan antara mereka. Tidak!

"No, Aliya. Awak kena dengar penjelasan saya. Fiza dan saya.." Aliya semakin menjauh. Dia mempercepatkan langkahnya, cuba mengejar tunangnya itu.

"Aliya!!" Panggil Hizwan. Hizwan membuka mata. Dia masih berada di biliknya. Tubuhnya masih di atas katil. Hizwan tunduk, menghela nafas perlahan. Aku bermimpi..


Hizwan duduk di atas katilnya. Lama dia termenung di situ. Memikirkan mimpi yang baru mengganggunya itu.
Terima kasih kerana menyokong AKT (andainya kau tahu)
 bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:

 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 11  | 12  | 13  | 14  | 15  | 16  |  17  |  18  |  19  |  20  |  21  |  22  |  23  |


0 comments:

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)