Tuesday, March 29, 2011

Andainya Kau Tahu - 6


Zaril benar-benar keliru. Dia tidak pasti apa yang patut dilakukannya saat itu. Berdiam diri dan hanya melihat di satu sudut? Mampukah dia berbuat sebegitu? Tak! Aku bukan orang macam tu!

Penat berjalan ke hulu dan ke hilir, Zaril akhirnya duduk di mejanya. Ditopang dagunya. Matanya tertumpu pada skrin komputer. Namun pandangannya kosong.


Perlukah aku masuk campur? Tapi apa hak aku untuk menyibuk dalam hal ni? Zaril mengeluh berat. Digosok-gosok kepalanya dengan kedua tangan. Fikirannya terasa berserabut. Serabut!!

"Hizwan akan jumpa dengan Aliya hari ini." Kata Fiza yang tiba-tiba menelefonnya tadi.
"So?" Balas Zaril, endah tak endah. 

"Saja I nak beritahu you sebab Hizwan akan putuskan ikatan pertunangan mereka. Lepas tu, I dan dia akan berkahwin dan you takkan boleh buat apa-apa." Nada suara Fiza seakan mengejek dirinya.

Gila! Marah mendadak Zaril dibuatnya. Terus sahaja dia mematikan panggilan sebelum mendengar suara Fiza yang ketawa kemenangan.

Tak, dia belum menang lagi! 
***

Hizwan menarik cermat kerusi untuk Aliya duduk. Tersipu-sipu Aliya bila menerima layanan sebegitu daripada Hizwan. Selama dia mengenali lelaki itu, Hizwan memang seorang lelaki yang bersopan-santun. Malah, belum pernah dia melihat jejaka itu meninggikan suara kepada sesiapa pun.

"Terima kasih." Ucap Aliya.

"Kita nak makan apa?" tanya Aliya, bila Hizwan hanya memandangnya tanpa berkata apa-apa. 

Hizwan menarik nafas dalam-dalam. Terasa begitu berat untuk menuturkannya. Lebih-lebih lagi bila menatap wajah polos milik Aliya. Namun dia sudah berjanji dengan Fiza. Dia sudah berjanji akan memutuskan hubungannya dengan Fiza. Tidak mungkin dia dapat memilih kedua-dua mereka. Jadi, lebih baik dia memilih untuk bersama Fiza yang dicintai sekian lama. 

Maafkan saya, Liya.. Hatinya berbisik sayu. 

"Sebenarnya saya ada sesuatu yang nak bincang dengan awak." Akhirnya dia memulakan kata-kata. 

"Bincang? Pasal apa?"

Hizwan spontan menggapai tangannya lalu digenggam erat. Aliya tertanya-tanya. Namun dibiarkan sahaja Hizwan mengambil masa untuk menyusun kata-kata.

"Sebenarnya saya nak kita.."

"Liya!!" Nama Aliya dilaung kuat. Pandangan Aliya dan Hizwan terus tertumpu ke arah pintu restoran.

bersambung..


Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:
 |  |  |  |  | 

Andainya Kau Tahu - 5


Aliya tersenyum. Matanya leka menatap bait-bait kata dalam SMS yang baru diterimanya. Terasa hatinya berbunga-bunga tika itu. Perasaan melayang di awangan.

"Amboi, bukan main lagi! Senyum sampai ke telinga!" Tegur Kak Raudah, menyedari Aliya yang duduk setentang dengan mejanya ralat tersenyum sejak tadi.

"Biasalah kak. Tak lama lagi kan ada orang nak kahwin." Sahut Arfah, mengundang tawa Kak Raudah. Merona merah pipi Aliya.

"Mana adalah, Pah. Hizwan ajak pergi makan je petang ni. Bukannya ada apa-apa pun."

"Ingat kita nak percaya sangat ke cakap awak tu, Liya oi? Entah mesej sayang rindu dendam apalah yang tertulis agaknya tu." Balas Kak Raudah. Terkekeh-kekeh Arfah ketawa. Mujur juga bos mereka tiada pada hari itu. Dapat juga dia lepas laku sesuka hati di situ.

Aliya tergeleng-geleng. Namun bibirnya masih tidak putus dengan senyuman. Sudah agak lama dia tidak meluangkan masa dengan tunangnya itu. Dia sedar Hizwan seorang lelaki yang sibuk. Malah begitu banyak persiapan yang perlu dilakukan untuk majlis perkahwinan mereka nanti.

Kahwin? Mengenangkan perkara itu sahaja sudah membuat hatinya terasa begitu bahagia. Sebaik sahaja jam menginjak 1.00 tengah hari, Aliya pantas mencapai tas tangannya.

"Kak Raudah, Cik Pah, Liya gerak dulu, ya?" Aliya memberitahu.

"Jangan berlari pula. Tak ke mana abang awak tu." Kata-kata Kau Raudah hanya dibalas dengan senyuman.

'Kita makan tengah hari sama-sama, ya?'

Aliya membaca lagi SMS yang dihantar oleh Hizwan. Bibirnya melebar dengan senyum. Sedikit pun tidak diendahkan orang lain yang berdiri di dalam lif yang sama ketika itu. Kita.. Perkataan yang cukup besar bagi dirinya.

Pintu lif yang dinaikinya akhirnya turun jua ke lobi. Pantas sahaja kakinya menapak ke pintu ke luar lobi. Langsung tidak menoleh ke kiri, mahupun kanan.

"Liya." Namanya tiba-tiba dipanggil. Langkahnya mati. Pandangannya jatuh ke arah seorang jejaka yang sedang duduk di ruang lobi.


"Dah lama tunggu?" tanya Aliya. Tergambar sejuta keceriaan di wajahnya. Hizwan tampak kacak pada hari itu. Lelaki itu tampak sungguh bergaya dengan kemeja putih yang tersarung di tubuh.

Hizwan sekadar melemparkan senyum dan menggeleng. Perlahan dia bangun dari sofa sebelum melangkah kemas ke arah Aliya.

"Jom." Dia mengajak.

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:
 |  |  |  |

Wednesday, March 23, 2011

Andainya Kau Tahu - 4


Zaril menunggu sahaja sehingga Hizwan berlalu pergi dari wad hospital itu. Sebaik sahaja dia pasti Hizwan telah benar-benar pergi, Zaril meluru ke dalam wad 216. Matanya mencerlung memandang Fiza.

"What did you do?" Terpa Zaril.

Fiza tersentak. Jelas, dia terkejut dengan kehadiran Zaril di depannya itu.

"Apa you buat kat sini?" Dia bertanya. Zaril tampak berserabut. Raut wajah lelaki itu mnggambarkan kemarahan yang bukan sedikit. Dia marah? Tapi kenapa?

"You tak jawab soalan I tadi." Tegas Zaril.

"Well, kalau you ada mata, you boleh nampak I sedang terlantar sakit di atas katil hospital."

"You tak nampak macam orang sakit pun." Perli Zaril. Fiza kelihatan segar-bugar di matanya. Mana hilangnya wajah pucat gadis itu sebentar tadi?

"Sejak bila you jadi doktor ni?" Balas Fiza. Terbit rasa geram di ulu hati. Kata-kata Zaril terasa memedihkan. Ibarat sembilu berbisa.

"Apa Hizwan buat di sini tadi?"

"Melawat." Sepatah jawapannya. Fiza menolak selimut. Rimas. Dan tambah dia rimas dengan segala soalan Zaril. Dia nak apa ni?

"Melawat sebagai apa? Kawan? And what kind of friend that come to visit and then said all that love stuff?"

"You pasang telinga?!" tanya Fiza. Sejak bila? Sudah berapa lama lelaki itu mengintip dirinya?

"Itu bukan masalahnya. Tapi you sedar tak Hizwan tu tunang orang?" Tinggi suara Fiza, tinggi lagi suaranya.

"Hei, you peduli apa kalau Hizwan tu tunang orang atau laki orang? You sukakan I, ya? Sebab tu you datang mengamuk kat sini, kan?"

"What?! Sukakan you?"

Fiza tergeleng-geleng. "I'm sorry, Zaril. Tapi I takkan pilih you. I takkan tinggalkan Hizwan. Bukan untuk you atau putera raja negeri mana sekalipun."

Zaril menarik nafas dalam-dalam.

"Ok, fine! Kalau Hizwan tak jadi kahwin dengan Liya, I akan pastikan you tak dapat kahwin dengan dia." Usai berkata-kata Zaril terus berlalu keluar dengan marah yang meluap-luap.

Fiza ditinggalkan terpinga-pinga di dalam wad tersebut. Bengang, dia melemparkan bantal dan selimutnya ke lantai. Tak guna!!

bersambung..


Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:
 |  |  | 

Monday, March 21, 2011

Andainya Kau Tahu - 3


Langkahnya diatur laju. Wajahnya tampak resah. Melilau matanya ke kiri dan ke kanan. Mana dia? Mana? Kakinya berhenti sebaik tiba di depan muka pintu bernombor 216. Pandangannya jatuh ke atas seorang gadis yang sedang tersenyum lemah ke arahnya.

"Fiza.." Dia menyebut nama gadis itu perlahan. Diheret langkah berat ke arah katil gadis itu. Hatinya terasa sayu melihat keadaan gadis itu. Wajahnya jelas pucat, tidak bermaya.

"Awak tak apa-apa, Fiza?" Dia bertanya.

Fiza menggelengkan kepala. Matanya beralih ke arah pintu. "Awak datang seorang, Hizwan?" 


"Ya." Hizwan menggapai tangan Fiza. Sejuk.

"Saya terus datang bila dapat tahu awak pengsan."

"Jangan risau. Saya okey." Seulas senyuman mekar di wajahnya. Wajah kacak Hizwan ditatap lama. Ternyata jejaka itu benar-benar bimbang akan dirinya. 

"Janji dengan saya." Tiba-tiba Hizwan membuka mulutnya. Berkerut dahi Fiza. 

"Janji apa?" Lembut suaranya bertanya.

"Janji dengan saya, awak takkan pengsan lagi. Boleh?" 

Fiza tertawa perlahan. "Saya cuba. Boleh?"

Hizwan tersenyum. Hatinya terasa senang mendengar tawa gadis itu. Dibawa jari-jemari Fiza rapat ke bibirnya. Dikucup jari halus gadis itu, penuh kasih.

"Saya cintakan awak, Fiza." Ucapnya, luhur dari hati. Rambut panjang Fiza dielus lembut. Betapa dia sayang dan cintakan gadis itu. Jika ada apa-apa yang berlaku ke atas Fiza, entah bagaimana dia mahu terus bernafas sendiri.

"Saya pun." Balas Fiza. 

Zaril yang bersembunyi di balik dinding sejak tadi hanya mampu membisu. Bibirnya diketap rapat. Sungguh tidak diduga, selama ini Hizwan menghilang kerana bertemu gadis itu. Fiza! Kenapa mesti Fiza?!! Jiwanya memekik kuat.

Kedua-dua tangannya digenggam erat. Hatinya terasa sakit. Pantas ditinggalkan ruang hospital yang menyakitkan itu.

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:
 |  | 

Wednesday, March 2, 2011

Andainya Kau Tahu - 2


"Apa maksud awak? Mana ada orang sebelah saya!" Tegas Aliya. Takut? Ya, dia mulai ketakutan. Matanya beralih-alih ke kiri, memandang kerusi yang kosong, tidak diduduki.

"Takde? Tapi.." Jejaka itu mengetap bibir. Dia diam seketika. Riak wajahnya berubah. Perlahan-lahan dia bangun dari meja tersebut.

"Awak! Nak ke mana tu?" tanya Aliya, ketakutan. Spontan dia menarik hujung jaket lelaki itu, menahannya daripada pergi.

Jejaka tersebut tiba-tiba tersenyum. Ada tawa di hujung bibirnya. "Tahu takut!"


"Kurang asam! Sampai hati awak tak tipu saya, Zaril!" Marah Aliya. Hampir sahaja dia menangis tika itu. Sejak dulu lagi, dia memang tidak boleh diusik dengan perkara-perkara ghaib. Takut!

Tertawa Zaril melihat reaksinya.

"Siapa suruh awak loyar buruk dulu! Restoran ni penuh dengan kawan-kawan saya, konon!" Balas Zaril, masih lagi ketawa. Sengaja diulang kata-kata Aliya tadi.

"Awak buat apa kat sini?" tanya Aliya. Hairan bila Zaril tiba-tiba muncul di mejanya tadi.

"Kebetulan saya lalu sini dan ternampak awak dalam restoran." Aliya menganggukkan kepala. Ooo..

"Mana Hizwan?" soal Zaril, matanya terarah ke pintu restoran.

"Dia kata dia tak dapat datang. Ada meeting." Jujur Aliya menjawab. Teh ais di hadapannya diteguk perlahan. Sedikitpun dia tidak berkecil hati Hizwan membatalkan pertemuan mereka di saat akhir.

Kalau Hizwan meeting, aku pun meeting juga Cik Aliya oii.. Zaril menggelengkan kepala. Kesal dengan sikap Aliya. Terlalu mudah mempercayai kata-kata sepupunya itu.

"Tolong pergi restoran ni." Hizwan menghulurkan sekeping kertas kepadanya pagi tadi. Tercatat alamat sebuah restoran yang terletak di pusat bandar.

"Buat apa?" Dia terpinga-pinga.

"Aliya makan kat situ. Aku tak dapat datang. Ada hal sikit."

Hal apa pula? Namun malas dia mahu bertanya. Dengan Aliya, dia kata ada meeting. Dengan aku, dia kata ada hal. Apa yang Hizwan cuba buat sekarang ni?

"Awak dah makan?" tanya Aliya, mematikan lamunannya.

"Awak?" Spontan Zaril menyentuh perutnya. Baru sekejap tadi dia menikmati jamuan di pejabat. Ada orang belanja, dia tersengih sendiri.

"Temankan saya makan. Saya lapar.."

"Okay." Zaril menjawab tanpa berfikir panjang. Adeh, meletuplah perut aku lepas ni.

(bersambung)


Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:
 |