Tuesday, November 21, 2017

Cinta Untuk Mr. Hero - 5

"Hey, you’re okay?"
Tiga perkataan. Satu ayat. Tubuh Zalya bagai terkena renjatan sebelum bangkit dari perbaringan. Tercungap-cungap oksigen disedut.
Mata Zalya pantas mengitar segenap ruang. Pantas mengecam bilik sendiri. Zalya tarik nafas lega. Dikesat peluh yang merenik di dahi.
“Mek, kau okey ke?” Fida bertanya. Entah bila rakannya itu berdiri di ambang pintu, Zalya sendiri tak tahu.
“Aku dengar suara kau tadi. Kau mengigau lagi ke?” tanya Fida lagi.
Zalya mengangguk lemah.
“Maaf sebab buat awak terjaga.” Zalya diterpa rasa bersalah. Tak pasal-pasal dia mengganggu ketenteraman hidup rakan serumahnya.
It’s okay. Sebenarnya aku pun belum tidur lagi. Sebab aku tengah berborak dengan Rayyan tadi. Kau okey tak ni?”
“Saya okey.”
“Betul? Kau nak aku teman tidur dengan kau?” Terpapar rona kebimbangan di wajah Fida.
“Jangan risau. Saya okey.”
“Kalau takde apa-apa, aku masuk bilik dulu. Jangan lupa basuh kaki dan baca doa sebelum tidur,” pesan Fida sebelum menutup pintu rapat.
Zalya sandarkan tubuh pada kepala katil. Entah kenapa mimpi ngeri itu makin kerap mengganggu. Igauan yang satu itu tidak pernah berubah. Setiap kali dia bermimpi, nafasnya bagai tersekat. Dia akan menggeletar satu badan.
Ini mesti sebab dia sudah terjumpa semula dengan Nazif! Zalya lepaskan keluhan perlahan. Dia sangka selepas dia bertemu semula lelaki itu, dia takkan mimpi ngeri lagi. Tapi sama sahaja!
Nazif... Nazif... Nama itu diseru perlahan. Baru sekarang dia tahu nama lelaki itu. Tapi kenapa lelaki itu buat-buat tak ingat padanya? Siap kata takkan lupa kalau pernah jumpa perempuan secantik dia.
Tapi, bila dia fikirkan semula, memang keadaannya ketika itu agak tak semenggah. Selekeh. Comot. Mungkin sebab itu Nazif tak ingat pada dirinya. Terus Zalya tarik muncung panjang sedepa. Kecewa sangat-sangat.
Dia turun dari katil. Dia mahu basuh kaki sebelum tidur. Bila suis ditekan, lampu bilik air berkelip-kelip. Dahi Zalya berkerut. Aduhai... Dah rosak ke?

Kelentang kelentung bunyi sudip berlaga dengan kuali. Perencah ligat ditumis di atas dapur. Bila daging ayam sudah masak, dimasukkan pula dua mangkuk nasi. Semerbak harum bau nasi goreng memenuhi seantero ruang dapur. Akhir sekali baru dia pecahkan sebiji telur.
Zalya yang baru pulang terus menonong ke dapur. Berkerut-kerut matanya merenung belakang Fida.
“Awak tengah buat apa tu, Fida?” Zalya bertanya.
“Aku buat nasi gorenglah. Takkan buat kuak lentang pula?”
“Memasak apa sampai macam tu sekali bunyinya? Saya ingat ada orang berperang tadi. Sampai ke luar saya dengar tahu!”
“Suka hati akulah nak masak ke nak berperang ke. Kau pulang pergi ke mana? Awal-awal pagi dah ghaib?”
“Awak ni tanya saya macam tak biasa pula. Saya pergi jogging kat taman rekreasi lah.” Zalya teguk air kosong untuk basahkan tekak. Lega dapat hilangkan rasa dahaga.
“Aku ingatkan kau membuta tadi.”
“Tolong sikit! Awak ingat saya ni kaki tidur ke?”
Teman serumah merangkap teman sepejabatnya ini memang suka cakap ikut sedap anak tekak saja. Nasib baik dia buka jenis kaki sentap. Kalau tak dah lama Zalya pindah cari rumah sewa lain. Takpun, dia halau Fida keluar. Tapi kalau dia tinggal seorang diri, siapa nak kongsi bayar sewa rumah nanti? Nahi nahi!

“Nasi goreng untuk saya ada tak?” 


Tumpuan dialih pada nasi di dalam kuali. Bau nasi goreng itu sendiri sudah cukup mengancam. Apatah lagi rasanya? Zalya telan liur laju-laju.
“Sudah tentu ada, tuan puteri. Patik sudah siapkan santapan cukup untuk satu kampung makan.”
“Iya? Ini yang buat saya sayang sangat dengan awak, Fida!” Tubuh Fida dipeluk Zalya erat-erat.
"Eii... apa peluk-peluk ni? Dahlah tak mandi. Busuklah!” Fida menolak tubuh Zalya, menjauhi dirinya. Namun mukanya tersenyum-senyum, tanda cuma bergurau.
“Mana ada busuk?”
“Aku peduli apa? Badan kau melekit-lekit tahu tak? Kalau kau nak makan, pergi mandi dulu!"
"Okey, sekarang juga saya pergi mandi. Nanti awak tolong goreng telur mata kerbau untuk saya, ya?" Zalya bergegas ke bilik air selepas habiskan kata-kata.
"Banyak cantik? Goreng sendirilah!"
Laungan Fida dari dapur hanya dibalas tawa Zalya. Dia terus pergi untuk membersihkan diri.
Kali ini dia terpaksa mandi tanpa cahaya lampu. Bila tekan-tekan suis, lampu tak mahu hidup. Nasib baik di luar sudah terang. Tidaklah dia mandi dalam gelap.
Selesai mandi, Zalya turun semula ke ruang makan. Nasi goreng sudah terhidang dengan hiasan daun salad dan tomato. Begitu juga dengan telur goreng mata kerbau di atas nasi. Aik? Jarang-jarang dia lihat dua kuning telur seperti itu.
“Tengok apa lagi? Duduklah.”
Kerusi laju ditarik. Zalya duduk menghadap Fida. Tanpa membuang masa, Zalya menyuap nasi ke dalam mulut.
"Sedapnya nasi goreng awak, Fida! Kalah nasi goreng kat hotel lima bintang."
Nasib baik ada Fida. Nak harapkan diri sendiri memasak? Kirim salamlah!
"Tengok tanganlah. Lagipun, bila masa aku masak tak sedap?”
“Amboi, bukan main riak lagi. Karang Tuhan tarik balik bakat tu, baru tahu!” Zalya mengingatkan.
“Aku bukan riaklah. Aku cuma cakap benda yang betul. Kenyataan. Fakta.”
Suka hatilah. Zalya malas nak berdebat dengan tukang masak favoritenya itu. Silap hari bulan, Fida merajuk dan tak mahu masak lagi.  
“Oh, ya! Kau ingat lagi tak mamat handsome yang aku kenalkan dengan kau hari tu?”
“Mamat handsome mana pula ni, Fida?”
Tumpuan Zalya hanya pada makanan di depan mata. Kalau ada makanan sedap, bom jatuh sebelah rumah pun dia buat dono.
“Ala, apa nama dia?” Fida petik-petik jari, cuba mengingat.
“Haa... Fakrul!”
Zalya rasa hendak tercekik sebaik dengar nama itu. Cepat-cepat dia teguk air. Mana mungkin dia lupa lelaki yang bernama Fakrul itu? Dari awal sampai akhir, asyik bercerita tentang diri sendiri. Suka pergi memanjat gununglah. Selalu sertai maraton atau triatlonlah. Masalahnya, ada dia kesah?
“Oh, kenapa dengan mamat tu?” Zalya sambung makan. Tak berminat pun nak tahu sebenarnya.
“Dia tanya aku bila kau free. Aku rasa dia nak ajak kau datinglah! Jadi, apa kata kau keluar dengan dia? Mana tahu, kut-kut sangkut. Bolehlah kita bersanding serentak!” Fida bersuara teruja.
“Eii... Tak naklah saya keluar dengan dia!” Zalya buat muka tertelan peria.
“Dah kenapa pula? Apa dia dah buat sampai kau tak suka keluar dengan dia?”
“Awak tahu tak dia tu self-centered? Narcissist. Saya tak sanggup tadah telinga untuk dengar dia seorang sahaja yang bercakap. Langsung tak beri orang lain peluang pada orang lain. Boleh darah tinggi saya dibuatnya!”
“Janganlah cerewet sangat, Zalya. Lagipun, sampai bila kau nak terus single? Aku teringin juga nak tengok kau bahagia macam aku dengan Rayyan.”
Zalya tarik muka annoying. Balik-balik bagi alasan yang sama! Dia tahu Fida sedang diulit bahagia dengan Rayyan. Cinta pertama dan terakhirlah katakan! Sebab itu Fida mahu lihat dia bahagia juga agaknya.
“Fida, saya belum terdesak lagi nak kahwin. Kalau saya nak kahwin pun, bukan dengan Fakrul. Lagipun saya tak boleh ngamlah dengan dia. Takde chemistry!”
“Habis kau ada chemistry dengan siapa? Nazif?”
Sekonyong-konyong muka Nazif menerpa ke dalam ingatan. Lelaki itu memang serba sempurna. Dahlah ada rupa, sopan pula tu! Tak sangka lelaki seperti itu masih belum pupus dari muka bumi.
“Mek, kau dengar tak apa yang aku cakap tadi?” Fida serentak menampar meja.
“Mak!” Tak pasal-pasal Zalya melatah. Ditepuk dada perlahan. Fida pula sudah ketawa terkekeh-kekeh, minta pelempang.
“Yang awak sergah saya tu kenapa? Rasa nak meletup jantung tahu!” Menjegil mata Zalya.
“Siapa suruh kau berangan tadi?”
“Mana ada!”
“Kalau tak ada, muka kau jadi blushing-blushing tu kenapa?”
Susah betul Zalya hendak sembunyikan apa-apa daripada pengetahuan Fida. Rakannya itu macam ada kuasa luar biasa untuk tahu apa yang ada di dalam kepalanya.
Okay, fine! Saya mengaku memang saya tengah fikir pasal dia. Tapi siapalah saya kan? Kami berdua betul-betul berbeza.” Zalya buat muka sedih.
Mengenangkan cara pembawakan diri Nazif, Zalya dapat rasa mereka begitu berbeza. Tutur kata lelaki itu tersusun. Tingkahnya juga terjaga. Sedangkan dia? Redah ikut suka hati dia sahaja.
“Eleh, acah-acah rendah diri konon! Kau dengan dia takde beza apa pun. Cuma satu sahajalah. Dia lelaki. Kau pula perempuan. Tapi takkan kau suka dengan perempuan pula kan?” Fida perlahan-lahan silang tangan merentangi dada sendiri. Mukanya nampak takut-takut.
"Fida! Bila masa pula saya cakap saya suka perempuan?" Bulat mata Zalya merenung rakannya itu. Namun Fida hanya ketawa berdekah-dekah.


Monday, November 20, 2017

Cinta Untuk Mr. Hero - 4

Pena dakwat hitam meluncur laju di atas helaian jurnal. Setiap malam sebelum tidur, memang inilah rutinnya. Menulis catatan harian. Jika hari ini dia terlupa, esok awal-awal pagi dia akan segera mencatatnya. Tak mahu dia terlepas walau sesaat pun dalam hidupnya.
Habis menulis, bibir Nazif melarik senyum. Perasaannya bagai sedang digeletek. Lucu bila teringatkan insiden petang tadi.
Anna Zalya. Takkan dia jemu menyebut nama itu berkali-kali. Bila dia lihat gadis itu di kafe, matanya asyik melekat pada wajah Zalya. Dia tidak sengaja bila bergerak serentak ke kiri dan kanan; mengikut rentak Zalya yang hendak keluar dari kafe.
Saat terdengar gadis itu merengus geram, Nazif sudah rasa hendak tergelak. Comel sangat! Tetapi dia tak berani buat gadis itu naik darah. Sebab itu dia berhenti dan beri laluan.
Kemudian mereka bertemu lagi. Kali ini di dalam lif di Wisma Seri. Bila Zalya tenung dia di dalam lif, Nazif langsung tidak melarang. Bahkan dibiarkan sahaja. Suka dia melihat wajah Zalya yang berkerut-kerut bila merenungnya.
Ketukan di pintu mengalih perhatian Nazif. Dia menoleh.
“Tak tidur lagi along?”
“Belum umi. Along nak tulis sikit lagi.”
“Tak penat ke along asyik menulis? Tiap-tiap hari pula tu.”
Nazif senyum nipis. Diletakkan pen di atas buku. Segala tumpuan diberikan kepada ibunya.
“Pernah tak umi rasa penat bila buat kek?”
“Tak pernah pula. Kenapa along tanya soalan macam tu?”
“Samalah macam along. Kita takkan rasa penat kalau kita buat apa yang kita suka. Lagipun along seronok bila dapat baca balik apa yang along tulis dulu.”
“Ada sahaja jawapan along kan?” balas Ruhani. Anak lelakinya hanya menarik senyum. Nasib baik Nazif tak jadi ambil bidang perundangan dulu. Kalau Nazif jadi peguam, agaknya lagi teruk bicaranya dipangkah.
“Oh, ya! Umi nak tanya. Hujung minggu ini along tak buat apa-apa kan?”
“Hujung minggu ini? Maaflah, umi. Along ada kerja sikit nak buat.” Terpamer riak bersalah di wajahnya. Namun tuntutan kerja perlu diutamakan.
“Along ni asyik sibuk memanjang. Along tahukan umur along dah masuk three series? Bukannya muda lagi! Kalau begini, bila umi boleh dapat menantu?"
“Menantu apa pula, umi? Kawan perempuan pun along takde. Macam mana nak ada menantu?”
“Takkan seorang kawan pun langsung takde, long?” Makin resah Ruhani mendengar jawapan itu.
Hesy!” Suara Zalya tiba-tiba menampan telinga.
Awak tengok muka saya betul-betul. Pernah tak awak nampak muka saya sebelum ini?
Terlepas tawa kecil dari mulut Nazif. Keletah Zalya yang mencuit hati, tiba-tiba menerpa ruang memori.
“Along dah kenapa tiba-tiba ketawa?” Ruhani naik pelik. Tak pernah Nazif berperangai begini. Ketawa tanpa diketahui hujng pangkal!
“Takde apa-apalah, umi. Along pergi ke Indon untuk tujuh hari. Umi nak kirim apa-apa?” Nazif cepat-cepat alih topik.
Ruhani tarik muka. Faham Nazif mahu mengelak dari menjawab soalannya tadi.
“Ada. Umi nak minta satu aje dengan along.”
“Apa dia, umi?”
“Umi harap anak umi pergi dan balik dengan selamat. Boleh along janji dengan ibu?”
Hati Ruhani sentiasa tidak tenang mengenangkan berita yang menyiarkan tentang nahas kapal terbang. Ada sahaja tragedi yang berlaku. Sehingga dia jadi tidak berani untuk terbang lagi. Tetapi anaknya yang seorang ini asyik keluar masuk negara. Risau sungguh dibuatnya!
“Insya-ALLAH, umi. Along takkan apa-apa. Tapi kalau dah tertulis ajal kita, dalam tidur pun kita boleh dijemput-Nya.” Nazif mengingatkan.
Ruhani tahu tentang itu. Ajal maut tetap akan menjemput walaupun mereka duduk di dalam bilik paling kebal di dunia. Bukankah itu semua sudah ditentukan-Nya sejak di loh mahfuz lagi?
“Iya, umi tahu. Umi cuma risau kalau bisnes bakeri umi tu tiada siapa yang nak ambil alih?”
Perniagaan kek milik Ruhani sudah dibuka sejak 20 tahun lalu. Rangkaian kafenya sudah memasuki cawangan ke-60. Dia berharap anaknya dapat menyambung legasi yang dia tinggalkan nanti. Namun Nazif lebih fokus pada agensi pelancongannya sendiri.
“Airin kan ada? Lagipun bukan ke Airin selalu tolong umi di bakeri umi tu?”
“Airin tu muda lagi, long. Takkanlah umi nak letakkan tanggungjawab sebesar itu ke atas dia? Lagipun, macamlah along tak kenal perangai adik along tu. Asal hujung minggu saja, pergi memanjat gunung-ganang. Takpun pergi berkhemah di dalam hutan. Entah apa jenis ketenangan yang dia cari di sana, umi pun tak tahu!”
“Eloklah tu, umi. Lebih baik Airin berkawan dengan flora dan fauna di dalam hutan sana daripada berkawan dengan orang yang entah apa-apa.”
“Along, umi risaukan Airin sebab adik along tu budak perempuan. Buatnya apa-apa jadi pada dia dalam hutan tu, siapa nak tolong?”
“Airin pergi bukan seorang diri. Tapi dia pergi berkumpulan dengan kawan-kawan satu universiti dia. Umi tak perlulah risaukan dia sangat. Airin tu dah besar panjang. Pandailah dia jaga diri.”
Geram sungguh Ruhani mendengar jawapan Nazif. Ikutkan hati, dia memang tidak hendak ambil peduli. Tetapi naluri sebagai ibu mengatasi segala-gala. Bila anak-anak tiada di depan mata, mulalah hatinya diserang gundah-gulana. Serba tak kena jadinya.
“Hesy, susah betul umi nak bercakap dengan along ni. Ada saja jawapannya!”
Nazif tersengih. Bukannya sengaja mahu menjawab. Dia cuma tidak mahu ibunya terlalu risau. Ibunya perlu belajar mempercayai Airin yang bijak menjaga diri.
“Dahlah. Sebelum walid cari umi, lebih baik umi pergi masuk bilik dulu. Along jangan leka sangat menulis sampai tak tidur pula!” pesan Ruhani.
“Ya umi, along dah nak habis tulis dah ni. Selamat malam. Assalamualaikum.” Nazif segera gapai tangan ibunya lalu dia tunduk dan mengucupnya.
“Waalaikumsalam,” balas Ruhani. Sempat digosok rambut anaknya, biar berserabut.
“Umi ni...” Nazif tergeleng. Rambutnya dirapikan dengan jari. Semacam acara wajib, hampir setiap malam uminya pasti akan kusutkan rambutnya sebelum dia tidur.
Ruhani ketawa sebelum berlalu pergi. Nazif kembali menghabiskan beberapa ayat di dalam jurnal. Tidak lupa dia selitkan tentang perbualannya dengan umi tadi.
Habis menulis, barulah dia tutup lampu untuk tidur. Direbahkan dirinya ke atas katil. Esok dia perlu bekerja lagi. Dia perlu teliti laporan daripada staf. Kemudian, buat business plan untuk tahun suku kedua yang akan datang. Aduh, banyaknya kerja!
Nazif pejamkan mata, cuba lenyapkan segala masalah dari membebani kepala. Baru sahaja dia hendak lelap, wajah Zalya menerpa kotak ingatan. Senyumannya terukir panjang. Harap-harap gadis itu akan muncul di dalam mimpinya malam nanti.

“Awak pergi ke mana tadi?” Adha segera tutup buku sebaik Ruhani tunjukkan diri.
Ruhani atur langkah ke arah katil lalu duduk di samping suaminya. Selimut ditarik hingga ke paras pinggang.
“Saya tak ke mana pun. Saya cuma pergi berborak sekejap dengan along di biliknya tadi.”
“Along tak tidur lagi? Dah pukul berapa sekarang ni?” Adha pandang jam di dinidng. Dekat 11.00 malam. Patutlah matanya terasa berat sejak tadi.
“Macamlah awak tak tahu yang dia tu suka menulis. Satu rak buku dalam bilik dia tu penuh dengan diari dia.”
“Bukan diari, tapi jurnal. Orang lelaki tak mainlah tulis-tulis diari ni,” Adha membetulkan.
“Diari ke, jurnal ke, sama saja! Kedua-duanya catatan harian.”
“Diari tu buku untuk luahan perasaan dan emosi. Jurnal tu baru betul catatan harian. Mana sama?” protes Adha.
Ruhani tarik muka empat belas. Anak lelakinya asyik menjawab. Lelakinya pula tak reti nak beralah! Sakit pula hati dia.
“Awak dengan along memang dua kali lima, kan? Takkan berhenti selagi tak menang!”
“Merajuk ke?” Adha tersenyum. Lucu melihat wajah isterinya tetap mencuka.
“Janganlah marah, sayang. Saya minta maaf. Janji tak buat lagi,” Adha berikar. Barulah Ruhani tersenyum semula.
“Apa cerita anak-anak kita hari ini?” tanya Adha.
“Airin macam biasa, pergi masuk hutan. Along pula sibuk dengan kerjanya. Katanya hujung minggu ini dia nak pergi ke Indonesia.”
“Indonesia? Along nak pergi ke Jakarta ke?”
“Lupa pula saya nak tanya. Kenapa?”
“Awak tak kirim apa-apa?”
“Tak. Awak nak kirim apa? Nanti saya beritahu along.”
“Saya nak along tolong kirim salam.”
“Hesy, awak ni loyar buruk pula dengan saya kan?” Ruhani labuhkan punggung ke atas katil. Selimut ditarik hingga ke paras pinggang. Namun matanya tertumpu pada buku di tangan suaminya.
“Awak baca buku apa tadi?” Ruhani ingin tahu.
“Saya baca buku ‘Indahnya Hidup Berpoligami’.”
“Buku apa awak kata???” Menjegil mata Ruhani menatap wajah suaminya.
“Saya gurau sahajalah.” Adha tertawa. Seronok dapat menyakat isterinya.
Enggan percaya, Ruhani tarik buku yang berada di tangan Adha. Tajuknya nyata berbeza dengan apa yang Adha kata. Diselak isi kandungan pula. Buku motivasi itu penuh dengan ayat yang buat dia pening kepala. Lantas buku itu dikembalikan kepada Adha semula.
“Awak cakap betul-betul dengan saya. Dalam hati awak tu memang ada niat nak madukan saya kan?” siasat Ruhani.
“Mana ada... Tak baik awak tuduh saya begitu. Daripada madukan awak, lebih baik saya carikan isteri untuk along. Awak kan teringin sangat nak dapat menantu?”
“Tengok tu! Cepat sahaja awak tukar topik kan?”
“Eh eh... Memang betul apa yang saya cakap? Kenapa? Awak dah tak nak menantu lagi ke?”
“Malaslah nak cakap dengan awak ni!” Ruhani peluk tubuh. Entah kenapalah ahli keluarganya ada bermacam ragam.
“Awak janganlah marah, Hani.”
Adha cuba memujuk. Bahu Ruhani digoyang-goyang perlahan. Namun Ruhani tetap diam begitu juga. Sensitif sungguh jika hal poligami dibangkitkan. Padahal dia sengaja mahu mengusik.
“Hani...” seru Adha lagi. Namun sesaat kemudian, dia ketawa.
“Yang awak tergelak-gelak ni, kenapa? Awak tahu tak saya tengah marah lagi ni?” Ruhani tak puas hati bila Adha memujuk separuh hati. Macam tak sudi pun ada!
“Tiba-tiba saya rasa kelakar pula. Awak tahu kan dalam bahasa Melayu, honey maksudnya madu?”
"Awak cakap apa tadi?" Meninggi suara Ruhani.
Namun Adha hanya ketawa. Tak peduli walaupun disoal Ruhani bertalu-talu.


Saturday, November 18, 2017

Cinta Untuk Mr. Hero - 3

Zalya hentak tumit kasutnya berkali-kali. 15 minit yang berlalu terasa bagai 15 jam lamanya. Ditambah pula dengan suhu bilik mesyuarat yang sejuk beku. Macam duduk kat kutub utara! Nak bagi dia mati keras ke apa?
Ikutkan hati Zalya tidak ingin datang. Tetapi kerana Hanim merengek-rengek, dia akhirnya beralah. Punyalah gigih dia ambil cuti separuh hari. Semuanya semata-mata untuk menapak ke pejabat agensi pelancongan itu.
Hentakan tumit kasut Zalya makin laju. Bila ejen pelancongan itu sampai nanti, siaplah dia sembur! Pintu bilik beku itu akhirnya ditolak dari luar. Zalya sudah bersedia dengan mod tempur. Dia tak kira! Lelaki atau perempuan, dia akan ajar cukup-cukup.
"Maaf sebab terlambat. Saya tengah uruskan klien di telefon tadi."
Sikit lagi dia nak mati kejung dalam bilik ini, boleh pula travel agent ini pergi layan klien lain?! Darah Zalya terus capai takat didih. Memang sengaja mahu cari bala ni!
Baru sahaja Zalya membuka mulut, matanya melekat di wajah itu. Zalya terlopong. Oh, my god!!! Sepantas kilat Zalya menunduk. Bersembunyi di bawah meja.
“Cik cari apa?”
“Saya... saya tengah cari anting-anting saya.” Zalya beri alasan.
“Cik nak saya tolong carikan?”
"Eh, takpe, takpe! Saya boleh cari sendiri."
Tangan meraba lantai. Pura-pura mencari benda yang tak wujud. Padahal otak sedang ligat mencari jalan. Bolehkah dia pergi tanpa disedari? Tapi kalau dia pergi, siapa akan selesaikan urusan pelancongan Hanim?  
Aduh, stress dia begini! Macam manalah putera kayangan dalam lif tadi boleh muncul di sini? Bukankah mereka turun di tingkat yang lain tadi?
Mata Zalya tertumpu pada beg tangan yang tersadai di atas kerusi. Agak-agak kalau dia sumbat muka dalam begnya, muat tak?
"Cik dah jumpa?"
Zalya angkat wajah. Sinar mata lelaki itu membuat Zalya terkedu. Serta-merta jantungnya berdetak laju. Baru Zalya teringat di mana dia pernah melihat wajah itu.
“Cik Zalya?”
Lelaki itu menyeru namanya bila Zalya terdiam bisu.
“Ya?”
“Dah jumpa?”
“Saya dah jumpa.” Senyuman ditarik penuh makna. Mereka berdua bangun dan berdiri semula.
"Nama saya Nazif.”
Tangan tidak dihulurkan bila Nazif memperkenalkan diri. Berkerut sekejap dahi Zalya.
"Saya Zalya." Zalya amati lelaki bernama Nazif itu. Namun dari pemerhatiannya, Nazif seakan tidak mengenali dirinya. Tak kenal atau buat-buat tak kenal?
“Cik Zalya nak minum apa-apa? Kopi atau teh?”
Soalan Nazif mematikan lamunan Zalya.
“Coklat ada?”
Zalya rasa nak lempang mulut sendiri laju-laju. Dia ingat ini kafe ke nak order minuman kegemarannya sesuka hati?
“Kak Sha, tolong bagi coklat... Ais atau panas?” Mata Nazif terhala kepadanya. Jarinya masih tidak lepas dari menekan butang interkom.
“Bagi yang suam, boleh?” Zalya tak berani tempah maut untuk meneguk minuman sejuk berais atau panas berapi di dalam bilik sesejuk ini.
Nazif tahan senyum. Lain macam sungguh perangai kliennya ini. Namun dilayankan sahaja. Nama pun pelanggan. Semua mesti dilayan dengan sebaiknya.
“Kak Sha, warm choco dan kopi panas di bilik meeting. Thank you.
Nazif kembali duduk menghadapnya. Berdebak-debuk jantung Zalya saat mata mereka bertentangan. Apa masalahnya dengan organ penyambung nyawanya ini?
“Saya difahamkan Cik Zalya berminat dengan pakej lawatan kami ke Eropah. Betul?"
“Ya, memang betul. Tapi sebenarnya saya datang bagi pihak kawan baik saya. Dia nak kahwin pada hujung bulan hadapan dan minta tolong carikan pakej pelancongan untuk mereka sekeluarga."
"Cik Zalya ikut sekali dalam lawatan tu?"
"Tak. Saya tak ikut."
"Oh..."
Zalya tersalah tengok atau Nazif nampak kecewa dengan jawapannya? Ah, jangan nak perasan sangatlah Zalya hoi! Khayalan semata-mata saja semua itu.
Pintu bilik beku itu diketuk perlahan dari luar. Seorang wanita muncul membawa minuman mereka. Secawan coklat suam diletakkan di hadapannya manakala kopi pula untuk lelaki itu. Sepiring kuih turut dihidangkan. Kuih keria? Favorite dia tu!
“Terima kasih, Kak Sha,” ucap Nazif.
Wanita itu mengangguk sebelum beredar pergi.
“Jemput minum, Cik Zalya." Nazif mempelawa.
Perlahan-lahan Zalya teguk minumannya. Sedapnya!
"Ada beberapa pakej pelancongan yang saya boleh cadangkan. Tapi saya perlu tahu juga berapa ramai yang pergi dan berapa hari tempoh lawatan tu."
Tanpa membuang masa, Zalya terangkan segala-gala. Semua maklumat ada di hujung jari. Nazif pula dilihat begitu tekun mencatat segala info. Zalya panjangkan leher. Kemasnya tulisan! Kalah tulisan dia yang serupa cakar ayam.
"Kalau saya lihat pada bajet dan tempoh lawatan, kami ada dua pakej yang sesuai." Nazif pusingkan skrin laptop.
Pantas Zalya duduk tegak semula. Berlagak macam tak buat apa-apa sekejap tadi.
"Pakej pertama melancong ke London, Paris, Amsterdam, Brussel, Luxembourg dan Switzerland selama 9 hari 6 malam. Pakej kedua pula meliputi kawasan UK, Belgium, Belanda dan Paris. Tempoh masa pun sama 9 hari 6 malam. Pakej termasuk tiket penerbangan pergi dan balik, tempat penginapan, makanan, kenderaan, tourist guide dan lain-lain.”
Tourist guide tu penduduk tempatan sana atau orang Malaysia? Kalau boleh kawan saya hendak pemandu pelancong dari Malaysia. Lebih senang nak berurusan.”
“Pemandu pelancong tu orang kita, Cik Zalya.”
Orang kita? Adakah akan ada kita di antara awak dan saya? Chewah! Dalam diam Zalya mengusik miang.
Sesi soal jawab memakan masa hampir setengah jam. Setiap soalan Zalya dijawab oleh Nazif dengan tenang, tepat dan padat. Langsung takde belok-belok. Cekap sungguh staf agensi ini bekerja! Padanlah beriya-iya Hanim suruh dia ke mari.
“Kalau cik berminat, saya akan berikan quotation bagi kedua-dua pakej supaya cik dapat berbincang dengan kawan cik dahulu. Ada apa-apa soalan, cik boleh terus hubungi saya," Nazif memberikan jaminan. Dihulurkan kad namanya kepada Zalya.
A. Nazif bin A. Norman.
Ruhani Travel & Tours Sdn. Bhd.
Zalya baca nama yang tertera. ‘A’ untuk apa? Ahmad? Abdul? Sorotan matanya kembali pada wajah jejaka itu. Bibirnya gagal membendung senyum.
“Kenapa... cik pandang saya macam tu?” Nazif teragak-agak bersuara. Terus-terang, dia hairan bila ditilik begitu. Bukannya tidak selesa. Tapi lebih kepada segan. Ada apa-apakah di mukanya?
“Awak rasa kita pernah jumpa tak sebelum ini?”
“Ya. Dalam lif tadi. Masa cik tengah leka tengok saya.”
Cis! Muka Zalya bertukar jadi warna epal merah. Malu kuasa dua. Tahulah dia lelaki itu perasan apa dia buat dalam lif tadi. Dalam erti kata lain, kantoi.
“Bukan. Sebelum itu lagi.”
“Saya tak faham. Maksud cik?”
“Awak tengok muka saya betul-betul. Pernah tak awak nampak muka saya sebelum ini? Maksud saya, sebelum kita jumpa di dalam lif tadi?”
“Hurm..."
Zalya menanti penuh debar. Menunggu lelaki itu menggali memori yang disebut.
"Tak. Saya tak rasa kita pernah jumpa.”
“Cuba awak ingat perlahan-lahan. Mungkin kita pernah jumpa tahun-tahun sudah?”
“Tak, Cik Zalya. Saya takkan sesekali lupa kalau saya pernah jumpa orang secantik Cik Zalya.”
Zalya terkedu. Lelaki itu juga nampaknya terkejut dengan apa yang baru melompat keluar dari mulutnya.
"Maaf. Saya tak patut cakap macam tu.” Kelam-kabut Nazif minta maaf.
Lesap sudah lelaki tenang yang mendepani Zalya tadi. Terlucut tawa Zalya. Kelakar dengan reaksi lelaki ini.
Tadi dia malu kerana kantoi merenung Nazif di dalam lif. Sekarang muka Nazif merah padam kerana terlepas kata. Baguslah tu! Sekarang mereka sudah seri satu sama. Yes! Yahoo!

Tepat jam 6.00 petang, Zalya tiba di rumah. Sebaik kereta diparkir, Zalya lentokkan kepala pada stereng. Dia letih sangat. Serius! Bukan main-main punya penat.
Selalunya jalan menghala ke rumahnya tidak sesibuk ini. Tetapi dek sekatan jalan raya, trafik jadi sesak sehingga beberapa kilometer.
Kalau hari-hari begini, pasti dia akan merangkak balik ke rumah macam Ju-On, hantu dalam filem seram yang dia tonton tempoh hari.
Zalya paling muka ke sisi. Pintu kereta masih tertutup rapat. Alangkah baiknya kalau ada lelaki yang tolong bukakan pintu untuk dia. Alangkah bahagianya jika tubuhnya didukung masuk ke dalam rumah. Betapa indahnya hidup, jika lelaki itu adalah Nazif.
Buat kali keseratus empat puluh tiga, wajah Nazif mengasak ruang ingatan. Sungguh tidak disangka, setelah sekian lama lelaki itu akhirnya muncul semula di depan mata. Betapa kecilnya dunia. Zalya tersenyum-senyum. Alangkah bahagianya kalau dia dapat bermimpi yang indah-indah tentang Nazif.
Baru hendak terlelap, cermin kereta diketuk kuat. Tersentak tubuh Zalya. Bagaikan baru terkena renjatan.
“Weh, kau dah pengsan ke?” Muka Fida bertukar risau dan gelabah yang amat.
“Saya penatlah, Fida. Tak larat nak bangun...”
"Habis takkan kau nak tidur di luar? Dah nak masuk waktu maghrib dah ni! Cepat masuk!"
Lambat-lambat Zalya keluar kereta. Diheret langkah berat sebelum humbankan diri ke atas sofa.
“Macam mana dengan meeting tadi?”
Meeting apa, Fida?”
“Ala kau ni! Buat-buat tak tahu pula. Tadi kau pergi ke Ruhani Travel & Tours kan? Ceritalah pada aku, apa yang dah jadi,” gesa Fida.
“Nak cerita apa? Biasalah kalau pergi travel agency. Saya tanya pasal pakej, mereka bagi jawapan. Saya minta quotation, mereka bagi. Itu aje.”
“Takkan itu aje?”
Zalya tersengih-sengih. Fida macam tahu-tahu sahaja ada benda yang sedang dia sembunyikan.
“Awak nak tahu tak siapa yang saya jumpa?”
“Kau jumpa siapa? Pelakon ke penyanyi?” Fida sudah termakan umpan.
No, no, no...” Zalya goyang-goyangkan jari telunjuknya.
“Orang yang saya tunggu-tunggu akhirnya muncul juga di depan mata saya. Fida, saya dah jumpa dia!” Zalya menjerit keriangan.
Terkebil-kebil mata Fida. Tidak mengerti.
“Kau cakap pasal siapa ni?” Muka Fida sudah berkerut-kerut.
Zalya tidak segera menyahut. Terbayang-bayang raut Nazif. Segak dan bergaya. Sopan-santun pula tu! Memang sesuai sangat kalau dibuat suami. Eh, apahal menyimpang sangat angan-angan mat jenin dia ni?
“Fida, takkan awak tak tahu? Bukankah ada orang yang selama ini saya tunggu? Ala, dia tu..." Jari Zalya menggawang ke belakang.
Fida segera faham apa yang Zalya cuba katakan.
“Dia? Memang betul ke kau jumpa dia?”
“Iya, Fida! Masa saya terserempak dengan dia dalam lif, saya ingat-ingat lupa. Rasa macam pernah nampak dia. Tapi tak lama lepas tu baru saya tersedar. Memang 100% confirm! Dia lah orangnya!”
“Maknanya kau ada jodohlah dengan dia. Apa lagi? Pergilah mengorat! Mana tahu kot-kot sangkut.”
“Awak ni kan, sedap mulut sahaja suruh saya pergi mengorat! Awak ingat senang ke? Kenyit-kenyit mata, terus sangkut?”
“Apa salahnya kalau kau cuba dulu?”
“Hesy... Tak kuasa!” Zalya menepis. Lagipun, dia sendiri tak tahu sama ada lelaki itu sudah berpunya atau tidak. Entah-entah sudah kahwin dan beranak tiga!
“Dia ingat dengan kau tak?”
“Saya dah tanya tapi dia tak mengaku. Dia kata dia takkan lupa kalau...” Zalya matikan bicara.
“Saya takkan sesekali lupa kalau saya pernah jumpa perempuan secantik Cik Zalya.”
Dia kata aku cantik?
Aku?
Cantik?
Oh, my god!!!
Bibir Zalya terus gatal nak senyum sebaik teringatkan lelaki itu. Tidak dilayan Fida yang mendesak dia habiskan kata-kata. Ini namanya kes cedera parah tahap masuk ICU dah ni!