Saturday, November 18, 2017

Cinta Untuk Mr. Hero - 1

Ping! Satu dentingan berbunyi perlahan, petanda ada emel baru masuk. Tertangguh sekejap aksi makan. Cepat-cepat dia capai tisu untuk lap tangan. Semuanya gara-gara french fries dari restoran badut berbaju merah kuning.
Ya, dia tahu memang tak elok makan makanan segera. Kolestrol tinggi. Lemak tinggi. Harga pun tinggi. Dalam dunia sekarang ini, apa yang tak tinggi?
Oh, ya! Hanya badan dia sahaja yang tak tinggi-tinggi. Sejak umurnya 17 sehingga 27 tahun, tetap rendang macam itu juga.
'Macam pokok bonsai!' Itulah ayat favorite Fida dan Hanim. Kurang asam punya member! Kalau bab mengutuk, memang takde hati perut langsung. Mentang-mentang kedua-duanya bertubuh tinggi lampai bak supermodel!
Ping!
Ping!
Kali ini dua emel masuk serentak.
“Iya... Sabar boleh tak?” Panas pula hatinya. Digerakkan tetikus untuk alihkan kursor di skrin. Emel yang baru tiba itu lekas dibaca.
‘Salam Kak Tina. Suami saya selalu merungut. Mulutnya tak henti-henti membebel setiap kali balik ke rumah kerana rumah kami asyik bersepah. Salah sayakah kalau tak sempat mengemas? Saya bukannya tak bekerja. Mana sempat nak siapkan anak-anak dan memasak? Anak-anak kami pula masih kecil. Apa yang perlu saya buat, Kak Tina? –Manisah, Pahang.’
“Untunglah dah ada suami. Ada anak-anak. Habis aku ni? Anak tekak sahajalah yang ada.” Mulutnya mengomel sendirian.
Jari-jemari lantas menari bak penari balet di atas papan kekunci. Menaip satu demi satu aksara dengan gerakan yang pastinya mengundang markah penuh dari juri.
‘Wassalam, Manisah. Tahukah anda, masih ramai suami di luar sana yang langsung tak jumpa jalan pulang ke rumah? Anda bertuah kerana suami anda hanya membebel saja. Ada orang yang langsung tiada suami mahupun anak-anak. Belajarlah bersyukur.’
“Pwahaha!”
Bergegar bilik itu dengan tawanya. Kalau orang dengar, mungkin ingat pontianak tengah mengilai. Silap hari bulan, bos dia panggil ustaz untuk pasang ‘pagar’.
'Hai Kak Tina. Saya ada boyfriend yang sangat sayangkan saya. Tak pernah marah-marah atau tinggikan suara. Apa yang saya minta, semua saya dapat. Tapi baru-baru ini ada seorang lelaki cuba memikat saya. Dia lebih kacak daripada teman lelaki saya sekarang. Tolong saya, Kak Tina. Perlukah saya tinggalkan boyfriend saya? -Nonie, Gombak’
Fuh! Berapi-api perasaan bila membaca emel kedua itu. Banyak cantik muka! Kalau ada di depan mata, pasti sudah dia cekik-cekik sampai biru. Tanpa lengah, dia tekan papan kekunci.
'Wahai Adik Nonie kusayang, pernah dengar peribahasa yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran? Kalau adik rasa adik hot sangat, pergilah kejar lelaki kacak yang adik katakan itu. Kami doakan adik hidup takkan bahagia sampai bila-bila.’
Dia tergelak besar bila membaca jawapan sendiri. Mesti bosnya naik hantu jika terbaca emel balasnya ini. Tak pasal-pasal suara tempikan ala halilintar akan menggegarkan pejabat.
“Ehem!” Satu suara berdehem kuat.
Serentak dia melompat. Sikit lagi dia hendak terjatuh dari kerusi. Kelam-kabut dia berdiri bila lihat Tina ada di depan mata.
“Ini kerja you rupanya, Zalya?” Suara petir sekuat 1000 gigavolt itu terus menyambar telinga.
“Siap buat jamuan atas meja I pula tu!” Mata Tina menikam-nikam makanan di tangan Zalya.
French fries je bos.”
“Ada saja jawapan you kan? Dan apa yang you pakai ni?” Tina pandang Zalya dari atas bawah.
“Apa tak kena dengan baju saya, bos?”
Blaus longgar rona krim berlengan pendek dan seluar jenis skinny tersarung di tubuhnya. Skarf warna merah pula tergantung elok di lehernya. Cantik apa!
“Cubalah you pakai baju yang sopan sikit. Baru sesuai dengan imej kita yang bekerja dengan majalah E-Hawa.”
Zalya tersengih. Cakap memanglah senang. Meh sini bagi duit. Biar dia borong koleksi terbaru Tunku Tun Aminah x Jovian Mandagie.
“Ini signature style saya, bos. Mana boleh pakai baju yang sama dengan orang lain?"
“Ada saja jawapan you kan? I suruh you jawab semua soalan pengirim emel dalam kolum ‘Tanya Tina’. Bukan suruh you mengarut!”
“Saya gurau je, bos. Lagipun semua emel tu masih dalam bentuk draf. Takkanlah saya nak hantar jawapan begitu pada mereka semua, kan?” Zalya cuba bela diri. Dia karang jawapan mengarut itu sekadar suka-suka. Mahu lepaskan tekanan. Bosan okey kalau terpaksa jawab ikut skema!
Hampir dua tahun dia bekerja dengan majalah e-Hawa. Sebagai pembantu editor di bahagian lifestyle, tugasnya adalah membantu Tina dalam apa jua hal. Dari sekecil-kecil perkara seperti belikan kopi sehinggalah menyemak dan menulis artikel untuk disiarkan dalam majalah e-Hawa.
Paling utama sekali, dia perlu jawab soalan pembaca dalam kolum Tanya Tina, kolum paling popular dalam majalah itu. Tiap hari beratus-ratus emel yang diterima.
Macam-macam soalan yang ditanya. Ada tentang kerja, pasal keluarga dan paling banyak sekali, cinta. Jika semuanya dibiar tidak dijawab, satu office akan diamuk Tina. Nanti siapa yang susah? Dia juga.
“Kalau you tersalah tekan dan terhantar jawapan you yang bukan-bukan tu, apa you nak buat?” Tina bercekak pinggang.
“Kalau dah terhantar, nak buat apa lagi? Minta maaf ajelah, bos.”
“Amboooi, ikut sedap mulut you bercakap kan? Cuba you letakkan diri you di tempat mereka. Kalau orang buat salah pada you, you rasa you boleh maafkan semudah itu saja?”
Bibir Zalya terkatup rapat. Kalau sebatang pen dari mejanya lesap pun boleh buat dia meroyan, apatah lagi kalau buat salah dengannya?
“Dah, bangun! Lebih baik you pergi belikan kopi untuk I. Lagi bagus!” arah Tina. Jari telunjuk sudah dituding menghala pintu.
“Americano ke, bos?” Zalya hendak memastikan Tina memesan minuman yang sama seperti kebiasaannya.
Of course lah! Takkan itu pun you tak tahu lagi?”
“Baik, bos! Sekarang juga saya pergi beli.” Berdesup Zalya meninggalkan pejabat.

Zalya keluarkan telefon yang asyik bergetar. Mata mendarat pada skrin telefon. Tertera nama Hanim di situ. Serta-merta bibirnya menguntum senyum nakal. Dirapatkan telefon dekat telinga.
“Selamat pagi, Balai Polis Alor Setar.”
“Balai polis?!”
Zalya rasa hendak ketawa guling-guling. Dapat dia bayangkan reaksi Hanim ketika ini. Mesti tengah terperanjat biawak!
“Ini sayalah, Nim. Zalya!”
“Kurang asam punya kawan! Mati-mati saya ingat tengah bercakap dengan pegawai polis tadi. Awak dah sampai ke pejabat agensi ke belum?”
“Belum lagi, Hanim sayang. Petang nanti baru saya pergi ke sana.”
“Laa... Saya ingatkan awak dah pergi pagi tadi. Jangan lupa, pejabat agensi tu letaknya di tingkat 21. Bila awak keluar lif nanti, pejabatnya terletak di sebelah kanan. Awak ingat lagi kan apa yang awak kena cakap dengan mereka nanti kan?”
“Hanim, masuk kali ini dah tiga kali awak telefon saya. Tak penat ke awak asyik ulang benda yang sama?” Zalya tarik muka bosan.
“Iya ke dah tiga kali saya call awak?” Nada Hanim bagai tidak percaya.
“Iyalah! Awak ni macam tak percayakan saya pula. Kalau tak yakin dengan saya, kenapa beriya-iya minta saya tolong awak? Sudahlah! Saya nak merajuk. Tak mahu pergilah macam ni. Biar awak buat semuanya sendiri.”
“Ala... Janganlah merajuk, Zalya. Saya percayakan awak 200%. Saya telefon awak banyak kali sebab saya risau. Iyalah, saya kan nak buat surprise untuk family saya. Tapi saya janji, ini kali terakhir saya telefon awak. Lepas dah jumpa ejen tu nanti, awak beritahu saya, ya? Please...”
Meleret-leret suara Hanim di telinga Zalya. Mengada-ngada sungguh budak manja ni! Macam ni nak jadi bini orang?
“Iya. Nanti saya call. Lebih baik awak fikirkan tentang persiapan kahwin awak tu. Hal kecil begini, awak serah bulat-bulat saja pada saya. Okey?”
“Okey...”
Tamat panggilan, Zalya simpan telefon ke dalam tas tangan semula. Kaki dihayun ke arah The Cabin. Kafe itu terletak di sebelah pejabatnya sahaja.
Sebaik pintu kaca ditolak, haruman kopi semerbak di udara. Automatik mata Zalya terpejam. Pelik tak kalau dia cuma suka bau saja tapi tak suka minum kopi?
"Hai, Zalya!" Barista di kafe itu menyapa ceria seperti biasa. Tertera perkataan crew di apronnya. Satukan perkataan itu dengan, maka mereka akan jadi Cabin Crew. Kreatif sangat tuan punya kedai kan?
“Hai, Kevin,” balas Zalya, senada.
“Aik? Kenapa you nampak tak bersemangat saja? Senyumlah sikit.”
Kevin mengibas rambutnya yang lurus panjang lagi menawan. Sebiji macam iklan syampu. Rambut Kevin inilah yang buat Zalya cemburu. Kalau ada gunting di tangannya sekarang, sudah lama Zalya potong-potong rambut Kevin itu. Biar pendek seperti lelaki selayaknya. Baru puas hati.
“Awak memang tak reti ikat rambut ya, Kevin?” Bila lihat Kevin, perasaannya terus membengkak. Hatinya jadi sebal. Geram yang amat!
“Kenapa? You jealous eh?”
Jealous? Tolong sikit! Muka saya ni macam tengah jealous ke?” Zalya tuding jari telunjuk ke muka sendiri.
“Baiklah, cik pembantu editor yang tak jealous. I dah ikat rambut I. You nak order apa hari ini? Espresso? Latte? Cappucino? Americano?” tanya Kevin setelah mengikat rambutnya dengan getah.
"Bagi saya satu Americano dan satu choco latte.”
Jika Zalya datang ke kafe itu, memang dua minuman itu sahajalah yang akan dia pinta. Americano untuk bos. Choco latte pula untuk dia.
“Siap!”
Sekelip mata minumannya disiapkan. Tercengang-cengang Zalya lihat Kevin letakkan dua cawan siap berbungkus ke atas kaunter.
“Cepatnya?”
“Dari jauh I boleh nampak you berjalan lenggang kangkung ke kafe I. Sebab tu I siapkan awal-awal. Dan choco latte favorite you tu, I letak extra krim. Macam yang you suka.”
“Auw! Terima kasih sangat-sangat. Pandai awak ambil hati customer kan? Patutlah kafe awak asyik penuh sahaja.”
"Kenapa? You teringin jadi tauke juga? Kalau macam tu, you kahwinlah dengan I. Nanti you duduk rumah goyang kaki sahaja."
Zalya ketawa. Naik lali dengan gurauan Kevin itu.
"You masih tunggu dia lagi ke?" soal Kevin bila Zalya tidak menjawab 'lamarannya'.
Zalya angguk. Tiada rahsia lagi di antara Zalya dengan Kevin. Hampir semua perkara dia ceritakan pada pemilik kafe yang paling dia percayai itu. Termasuklah tentang 'dia'.
"Sampai bila you nak tunggu, Zalya? You sedar tak berapa tahun dah berlalu? Entah-entah dia dah lupakan you. Daripada you terus berharap, lebih baik you hargai orang yang ada di depan mata you ni."
"Baru beberapa tahun, Kevin. Lagipun dunia ini kecil sahaja. Saya percaya saya akan jumpa dia semula." Zalya tersenyum sendiri. Tiap kali mengenangkan dia, hati Zalya pasti akan rasa berdebar-debar. Takkan sesekali Zalya dapat lupakannya. Walaupun beberapa tahun sudah berlalu, Zalya yakin mereka akan bertemu.
Kevin geleng kepala. Dia tak tahulah dari mana Zalya peroleh keyakinan setinggi itu. Kalau dia jadi Zalya, sudah lama dia mengalah.
Minuman bertukar tangan selepas Zalya buat bayaran.
“Datang lagi!” Kevin tidak lupa ucapkan ayat wajib itu.
Zalya bawa kedua-dua cawan menghala ke pintu keluar. Saat itu jugalah, seorang pelanggan melangkah masuk ke dalam kafe.
Tubuh Zalya terus berganjak ke kiri, mahu memberi laluan. Namun bila Zalya ke kiri, dia ke kiri. Zalya ke kanan, dia pun sama. Dah serupa menari tango pula!
“Hesy!”
Berdecit mulut Zalya. Barulah figura tinggi lampai itu akhirnya berhenti bergerak dan berdiri tegak.
“Maaf.”
Ungkapan maaf itu tidak dibalas sebab dia geram. Mahu Zalya tak naik angin bila diajak berdansa tanpa rela?
Sebaik memperoleh ruang, langkah diatur pantas untuk kembali ke pejabatnya semula. Langsung dia tidak berpaling ke belakang.
Welcome to The Cabin. May I take you order?” Kevin menyapa sopan. Dia kenal hampir semua pelanggan kafenya. Jadi dia tahu, lelaki yang berdiri di depannya ini baru pertama kali datang ke sini.
“Ya. Bagi saya kopi ‘o satu. Pekat.”
Tersenyum Kevin mendengar permintaan itu. Jarang sungguh orang minta minuman sebegitu. Biasanya orang order cappucino ataupun Americano. Tapi kopi ‘o? Memang satu dalam seribu.
“Kopi ‘o pekat satu!” Kevin sampaikan pesanan kepada stafnya. Pandangan Kevin kembali pada pelanggannya barunya ini. Jejaka itu dilihat sedang memandang ke arah luar kafe sambil tersenyum.
Apa yang dia tengah pandang? Kevin turut halakan mata ke tempat sama. Gadis berskarf merah menggamit perhatian mereka.

2 comments:

Munyrah Azry said...

Wahhh wahh ade dua herolah pulak.. Kih kih kih..

diya jamal said...

dua orang? Kevin tu watak sampingan je. hehehe

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)