Saturday, November 18, 2017

Cinta Untuk Mr. Hero - 3

Zalya hentak tumit kasutnya berkali-kali. 15 minit yang berlalu terasa bagai 15 jam lamanya. Ditambah pula dengan suhu bilik mesyuarat yang sejuk beku. Macam duduk kat kutub utara! Nak bagi dia mati keras ke apa?
Ikutkan hati Zalya tidak ingin datang. Tetapi kerana Hanim merengek-rengek, dia akhirnya beralah. Punyalah gigih dia ambil cuti separuh hari. Semuanya semata-mata untuk menapak ke pejabat agensi pelancongan itu.
Hentakan tumit kasut Zalya makin laju. Bila ejen pelancongan itu sampai nanti, siaplah dia sembur! Pintu bilik beku itu akhirnya ditolak dari luar. Zalya sudah bersedia dengan mod tempur. Dia tak kira! Lelaki atau perempuan, dia akan ajar cukup-cukup.
"Maaf sebab terlambat. Saya tengah uruskan klien di telefon tadi."
Sikit lagi dia nak mati kejung dalam bilik ini, boleh pula travel agent ini pergi layan klien lain?! Darah Zalya terus capai takat didih. Memang sengaja mahu cari bala ni!
Baru sahaja Zalya membuka mulut, matanya melekat di wajah itu. Zalya terlopong. Oh, my god!!! Sepantas kilat Zalya menunduk. Bersembunyi di bawah meja.
“Cik cari apa?”
“Saya... saya tengah cari anting-anting saya.” Zalya beri alasan.
“Cik nak saya tolong carikan?”
"Eh, takpe, takpe! Saya boleh cari sendiri."
Tangan meraba lantai. Pura-pura mencari benda yang tak wujud. Padahal otak sedang ligat mencari jalan. Bolehkah dia pergi tanpa disedari? Tapi kalau dia pergi, siapa akan selesaikan urusan pelancongan Hanim?  
Aduh, stress dia begini! Macam manalah putera kayangan dalam lif tadi boleh muncul di sini? Bukankah mereka turun di tingkat yang lain tadi?
Mata Zalya tertumpu pada beg tangan yang tersadai di atas kerusi. Agak-agak kalau dia sumbat muka dalam begnya, muat tak?
"Cik dah jumpa?"
Zalya angkat wajah. Sinar mata lelaki itu membuat Zalya terkedu. Serta-merta jantungnya berdetak laju. Baru Zalya teringat di mana dia pernah melihat wajah itu.
“Cik Zalya?”
Lelaki itu menyeru namanya bila Zalya terdiam bisu.
“Ya?”
“Dah jumpa?”
“Saya dah jumpa.” Senyuman ditarik penuh makna. Mereka berdua bangun dan berdiri semula.
"Nama saya Nazif.”
Tangan tidak dihulurkan bila Nazif memperkenalkan diri. Berkerut sekejap dahi Zalya.
"Saya Zalya." Zalya amati lelaki bernama Nazif itu. Namun dari pemerhatiannya, Nazif seakan tidak mengenali dirinya. Tak kenal atau buat-buat tak kenal?
“Cik Zalya nak minum apa-apa? Kopi atau teh?”
Soalan Nazif mematikan lamunan Zalya.
“Coklat ada?”
Zalya rasa nak lempang mulut sendiri laju-laju. Dia ingat ini kafe ke nak order minuman kegemarannya sesuka hati?
“Kak Sha, tolong bagi coklat... Ais atau panas?” Mata Nazif terhala kepadanya. Jarinya masih tidak lepas dari menekan butang interkom.
“Bagi yang suam, boleh?” Zalya tak berani tempah maut untuk meneguk minuman sejuk berais atau panas berapi di dalam bilik sesejuk ini.
Nazif tahan senyum. Lain macam sungguh perangai kliennya ini. Namun dilayankan sahaja. Nama pun pelanggan. Semua mesti dilayan dengan sebaiknya.
“Kak Sha, warm choco dan kopi panas di bilik meeting. Thank you.
Nazif kembali duduk menghadapnya. Berdebak-debuk jantung Zalya saat mata mereka bertentangan. Apa masalahnya dengan organ penyambung nyawanya ini?
“Saya difahamkan Cik Zalya berminat dengan pakej lawatan kami ke Eropah. Betul?"
“Ya, memang betul. Tapi sebenarnya saya datang bagi pihak kawan baik saya. Dia nak kahwin pada hujung bulan hadapan dan minta tolong carikan pakej pelancongan untuk mereka sekeluarga."
"Cik Zalya ikut sekali dalam lawatan tu?"
"Tak. Saya tak ikut."
"Oh..."
Zalya tersalah tengok atau Nazif nampak kecewa dengan jawapannya? Ah, jangan nak perasan sangatlah Zalya hoi! Khayalan semata-mata saja semua itu.
Pintu bilik beku itu diketuk perlahan dari luar. Seorang wanita muncul membawa minuman mereka. Secawan coklat suam diletakkan di hadapannya manakala kopi pula untuk lelaki itu. Sepiring kuih turut dihidangkan. Kuih keria? Favorite dia tu!
“Terima kasih, Kak Sha,” ucap Nazif.
Wanita itu mengangguk sebelum beredar pergi.
“Jemput minum, Cik Zalya." Nazif mempelawa.
Perlahan-lahan Zalya teguk minumannya. Sedapnya!
"Ada beberapa pakej pelancongan yang saya boleh cadangkan. Tapi saya perlu tahu juga berapa ramai yang pergi dan berapa hari tempoh lawatan tu."
Tanpa membuang masa, Zalya terangkan segala-gala. Semua maklumat ada di hujung jari. Nazif pula dilihat begitu tekun mencatat segala info. Zalya panjangkan leher. Kemasnya tulisan! Kalah tulisan dia yang serupa cakar ayam.
"Kalau saya lihat pada bajet dan tempoh lawatan, kami ada dua pakej yang sesuai." Nazif pusingkan skrin laptop.
Pantas Zalya duduk tegak semula. Berlagak macam tak buat apa-apa sekejap tadi.
"Pakej pertama melancong ke London, Paris, Amsterdam, Brussel, Luxembourg dan Switzerland selama 9 hari 6 malam. Pakej kedua pula meliputi kawasan UK, Belgium, Belanda dan Paris. Tempoh masa pun sama 9 hari 6 malam. Pakej termasuk tiket penerbangan pergi dan balik, tempat penginapan, makanan, kenderaan, tourist guide dan lain-lain.”
Tourist guide tu penduduk tempatan sana atau orang Malaysia? Kalau boleh kawan saya hendak pemandu pelancong dari Malaysia. Lebih senang nak berurusan.”
“Pemandu pelancong tu orang kita, Cik Zalya.”
Orang kita? Adakah akan ada kita di antara awak dan saya? Chewah! Dalam diam Zalya mengusik miang.
Sesi soal jawab memakan masa hampir setengah jam. Setiap soalan Zalya dijawab oleh Nazif dengan tenang, tepat dan padat. Langsung takde belok-belok. Cekap sungguh staf agensi ini bekerja! Padanlah beriya-iya Hanim suruh dia ke mari.
“Kalau cik berminat, saya akan berikan quotation bagi kedua-dua pakej supaya cik dapat berbincang dengan kawan cik dahulu. Ada apa-apa soalan, cik boleh terus hubungi saya," Nazif memberikan jaminan. Dihulurkan kad namanya kepada Zalya.
A. Nazif bin A. Norman.
Ruhani Travel & Tours Sdn. Bhd.
Zalya baca nama yang tertera. ‘A’ untuk apa? Ahmad? Abdul? Sorotan matanya kembali pada wajah jejaka itu. Bibirnya gagal membendung senyum.
“Kenapa... cik pandang saya macam tu?” Nazif teragak-agak bersuara. Terus-terang, dia hairan bila ditilik begitu. Bukannya tidak selesa. Tapi lebih kepada segan. Ada apa-apakah di mukanya?
“Awak rasa kita pernah jumpa tak sebelum ini?”
“Ya. Dalam lif tadi. Masa cik tengah leka tengok saya.”
Cis! Muka Zalya bertukar jadi warna epal merah. Malu kuasa dua. Tahulah dia lelaki itu perasan apa dia buat dalam lif tadi. Dalam erti kata lain, kantoi.
“Bukan. Sebelum itu lagi.”
“Saya tak faham. Maksud cik?”
“Awak tengok muka saya betul-betul. Pernah tak awak nampak muka saya sebelum ini? Maksud saya, sebelum kita jumpa di dalam lif tadi?”
“Hurm..."
Zalya menanti penuh debar. Menunggu lelaki itu menggali memori yang disebut.
"Tak. Saya tak rasa kita pernah jumpa.”
“Cuba awak ingat perlahan-lahan. Mungkin kita pernah jumpa tahun-tahun sudah?”
“Tak, Cik Zalya. Saya takkan sesekali lupa kalau saya pernah jumpa orang secantik Cik Zalya.”
Zalya terkedu. Lelaki itu juga nampaknya terkejut dengan apa yang baru melompat keluar dari mulutnya.
"Maaf. Saya tak patut cakap macam tu.” Kelam-kabut Nazif minta maaf.
Lesap sudah lelaki tenang yang mendepani Zalya tadi. Terlucut tawa Zalya. Kelakar dengan reaksi lelaki ini.
Tadi dia malu kerana kantoi merenung Nazif di dalam lif. Sekarang muka Nazif merah padam kerana terlepas kata. Baguslah tu! Sekarang mereka sudah seri satu sama. Yes! Yahoo!

Tepat jam 6.00 petang, Zalya tiba di rumah. Sebaik kereta diparkir, Zalya lentokkan kepala pada stereng. Dia letih sangat. Serius! Bukan main-main punya penat.
Selalunya jalan menghala ke rumahnya tidak sesibuk ini. Tetapi dek sekatan jalan raya, trafik jadi sesak sehingga beberapa kilometer.
Kalau hari-hari begini, pasti dia akan merangkak balik ke rumah macam Ju-On, hantu dalam filem seram yang dia tonton tempoh hari.
Zalya paling muka ke sisi. Pintu kereta masih tertutup rapat. Alangkah baiknya kalau ada lelaki yang tolong bukakan pintu untuk dia. Alangkah bahagianya jika tubuhnya didukung masuk ke dalam rumah. Betapa indahnya hidup, jika lelaki itu adalah Nazif.
Buat kali keseratus empat puluh tiga, wajah Nazif mengasak ruang ingatan. Sungguh tidak disangka, setelah sekian lama lelaki itu akhirnya muncul semula di depan mata. Betapa kecilnya dunia. Zalya tersenyum-senyum. Alangkah bahagianya kalau dia dapat bermimpi yang indah-indah tentang Nazif.
Baru hendak terlelap, cermin kereta diketuk kuat. Tersentak tubuh Zalya. Bagaikan baru terkena renjatan.
“Weh, kau dah pengsan ke?” Muka Fida bertukar risau dan gelabah yang amat.
“Saya penatlah, Fida. Tak larat nak bangun...”
"Habis takkan kau nak tidur di luar? Dah nak masuk waktu maghrib dah ni! Cepat masuk!"
Lambat-lambat Zalya keluar kereta. Diheret langkah berat sebelum humbankan diri ke atas sofa.
“Macam mana dengan meeting tadi?”
Meeting apa, Fida?”
“Ala kau ni! Buat-buat tak tahu pula. Tadi kau pergi ke Ruhani Travel & Tours kan? Ceritalah pada aku, apa yang dah jadi,” gesa Fida.
“Nak cerita apa? Biasalah kalau pergi travel agency. Saya tanya pasal pakej, mereka bagi jawapan. Saya minta quotation, mereka bagi. Itu aje.”
“Takkan itu aje?”
Zalya tersengih-sengih. Fida macam tahu-tahu sahaja ada benda yang sedang dia sembunyikan.
“Awak nak tahu tak siapa yang saya jumpa?”
“Kau jumpa siapa? Pelakon ke penyanyi?” Fida sudah termakan umpan.
No, no, no...” Zalya goyang-goyangkan jari telunjuknya.
“Orang yang saya tunggu-tunggu akhirnya muncul juga di depan mata saya. Fida, saya dah jumpa dia!” Zalya menjerit keriangan.
Terkebil-kebil mata Fida. Tidak mengerti.
“Kau cakap pasal siapa ni?” Muka Fida sudah berkerut-kerut.
Zalya tidak segera menyahut. Terbayang-bayang raut Nazif. Segak dan bergaya. Sopan-santun pula tu! Memang sesuai sangat kalau dibuat suami. Eh, apahal menyimpang sangat angan-angan mat jenin dia ni?
“Fida, takkan awak tak tahu? Bukankah ada orang yang selama ini saya tunggu? Ala, dia tu..." Jari Zalya menggawang ke belakang.
Fida segera faham apa yang Zalya cuba katakan.
“Dia? Memang betul ke kau jumpa dia?”
“Iya, Fida! Masa saya terserempak dengan dia dalam lif, saya ingat-ingat lupa. Rasa macam pernah nampak dia. Tapi tak lama lepas tu baru saya tersedar. Memang 100% confirm! Dia lah orangnya!”
“Maknanya kau ada jodohlah dengan dia. Apa lagi? Pergilah mengorat! Mana tahu kot-kot sangkut.”
“Awak ni kan, sedap mulut sahaja suruh saya pergi mengorat! Awak ingat senang ke? Kenyit-kenyit mata, terus sangkut?”
“Apa salahnya kalau kau cuba dulu?”
“Hesy... Tak kuasa!” Zalya menepis. Lagipun, dia sendiri tak tahu sama ada lelaki itu sudah berpunya atau tidak. Entah-entah sudah kahwin dan beranak tiga!
“Dia ingat dengan kau tak?”
“Saya dah tanya tapi dia tak mengaku. Dia kata dia takkan lupa kalau...” Zalya matikan bicara.
“Saya takkan sesekali lupa kalau saya pernah jumpa perempuan secantik Cik Zalya.”
Dia kata aku cantik?
Aku?
Cantik?
Oh, my god!!!
Bibir Zalya terus gatal nak senyum sebaik teringatkan lelaki itu. Tidak dilayan Fida yang mendesak dia habiskan kata-kata. Ini namanya kes cedera parah tahap masuk ICU dah ni!

2 comments:

Munyrah Azry said...

Amboii untungnya Zalya ye dpt jumpa bos terus... hahaha..

Makin best kaq Diya.. Muahh sikitt

diya jamal said...

muah balik. hihihih

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)