Saturday, November 18, 2017

Cinta Untuk Mr. Hero - 2

Rimaslah pula! Belitan skarf merah yang menjerut lehernya pantas dilonggarkan. Zalya tarik kerusi untuk menikmati minumannya. Choco latte disedut perlahan. Automatik matanya terpejam rapat.
Pergh! Kenapa sedap gila coklat yang Kevin buat ni? Zalya sedut lagi untuk basahkan tekak. Terasa segar satu badan. Pulih sudah semangat yang hilang.
Kevin memang tak pernah gagal menyediakan minuman yang menepati piawaian citarasanya. Sebab itulah dia jadi pelanggan setia. Kafe lain dia tak pandang walau sebelah mata.
Matanya terkalih pada Americano milik bosnya. Alamak! Zalya tepuk dahi. Pantas diletakkan minumannya ke atas meja. Berlari dia ke bilik Tina. Tidak dilupakan, kopi milik Tina diangkut bersama-sama.
“Americano untuk bos.” Termengah-mengah Zalya cari oksigen.
“Siapa suruh you berlari-lari ni? You ingat office ini trek balapan untuk you?” Kening Tina hampir bertaut sementara tangannya membuka penutup cawan.
Zalya terseringai. Lega dia melihat kepulan wap yang masih jelas kelihatan. Masih dia ingat lagi amukan Tina pada Rafa yang menghidangkan kopi sejuk. Sudahnya, budak pejabat itu trauma dan berhenti kerja.
“Saja je saya nak exercise, bos. Plus, regular breathing exercise can increase lung capacity,” ujar Zalya.
Nampak tak betapa berilmunya dia dalam bidang sukan? Ini Zalya, bekas atlet pecut 100 meter okey! Jangan main-main. Sekali dia berlari, pencuri atau polis pun belum tentu dapat kejar.
Whatever. But thanks anyway.” Tina hirup kopinya berhati-hati. Keningnya hampir bertaut melihat Zalya masih terseringai di depan meja.
“You nak apa lagi, Zalya?” Tina silang dua tangan. Mengecil matanya menembus wajah pembantunya itu.
“Bos, boleh tak kalau saya nak ambil half-day hari ini? Please?”
Mata Zalya berkelip-kelip penuh mengharap. Semalam dia sudah menyuarakan hasrat. Namun Tina suruh dia tanya semula esok. Maknanya, hari inilah kan?
“You dah siapkan kerja-kerja yang I suruh?”
“Dah.” Pantas Zalya menjawab, yakin.
“Emel pembaca?”
Done.”
“Semua?” Nada Tina sedikit tinggi. Terkejut.
“Err...”
Zalya garu belakang kepala. Mustahil dia boleh jawab semua emel itu. Satu dia balas, lima emel baru akan masuk. Habis, sampai kiamat pun kerja takkan habis!
"You ada hal apa, Zalya? Tak boleh ke you settlekan pada hujung minggu saja?" Sebelah kening Tina terjongket. Dah serupa Ziana Zain pula Zalya tengok.
"Tak boleh, bos. Saya kena selesaikan hari ini juga. Lagipun, selama ini saya tak pernah ambil cuti. Tahun lepas punya cuti pun belum habis guna lagi. Jadi, apa salahnya kalau kali ini saya ambil cuti tu? Bolehlah ya, bos?" Zalya pamer muka seposen macam kucing Puss ‘n Boot. Tapi bosnya haram tak pandang.
Bila Tina terus diam, Zalya diburu resah. Bosnya ini memang sengaja mahu dera perasaannya ke?
“Bos?” Zalya teragak-agak menyeru Tina, menuntut jawapannya.
“Okey, okey. Pergilah.”
“Betul ke ni, bos? I love you, bos!” Zalya meloncat keriangan.
Tina tidak menyahut. Sebaliknya dia hayunkan tangan agar Zalya lekas-lekas dari pejabatnya.

“Mr. Edmund, you kena faham. Harga untuk letak iklan di page 4 dan 5 tak sama seperti harga untuk page 20 dan 21. You mana boleh suka-suka hati minta I letak iklan you di page depan tapi ikut harga page belakang?” suara Fida sedikit meninggi. Geram bila klien yang seorang ini tak faham-faham bahasa.
Tumpuannya teralih pada Zalya yang laju melintasi mejanya. Nampak terburu-buru membongkar isi perut tas tangan. Sesekali muka Zalya berkerut-kerut.
“Beginilah, Mr. Edmund. Apa kata you bincang dengan bos you dulu? Lepas tu you beritahu dia, kalau dia tetap nak guna harga lama, iklannya akan diletakkan di tempat yang sama. Bukan bahagian depan. Okey?” Fida terus hempas gagang. Nafas dihembus kasar. Pandangannya kembali ditala pada Zalya.
“Kau cari apa tu, mek?” Fida panjangkan leher.
“Kunci kereta saya. Mana awak sorok kunci saya, Fida?"
Bila tak jumpa barang yang dicari, mulalah Zalya naik serabut. Padahal baru sekejap tadi dia nampak kuncinya. Tapi sekelip mata pula boleh lesap. Inilah padahnya kalau banyak sangat makan semut!
"Kau ingat aku takde kerja lain? Nak sorok-sorok kunci kereta kau? Cuba cari guna mata. Bukan dengan mulut.”
Zalya tembak sedas jelingan maut pada Fida. Berapi-api mulut itu bercakap. Macam cili api! Dia koyak-koyakkan mulut itu karang baru tahu!
“Tadi ada atas meja ni. Betul ke awak tak nampak?”
“Cuba kau cari betul-betul. Mesti ada di situ juga. Takde oranglah nak ambil kunci kereta buruk kau tu.”
“Amboi, sesedap mulut awak sahaja mengutuk kereta saya tu kan? Lebih baik awak pergi ke klinik, check mata awak tu. Kereta cantik dengan kereta buruk pun tak reti beza!”
“Kau yang kena pergi periksa mata kau tu dulu. Kereta Kelisa tu sepatutnya dah kena letak dalam muzium. Bahaya kalau dibawa atas jalan raya!”
Zalya mencebik. Dia peduli apa? Tangannya terus menarik laci. Betapa leganya dia bila lihat kunci kereta terbaring elok di situ. Pantas kunci dicapai.
“Kau nak keluar ke mana pula? Kerja kau yang bertimbun-timbun tu bila kau nak siapkan?” Fida menjuih pada timbunan fail di atas meja Zalya.
“Esok sahajalah saya siapkan. Saya kena pergi ke Ruhani Travel & Tours. Ada appointment.”
“Kenapa? Kau nak melancong ke mana?” Fida tunjukkan minat bila terdengar perkataan ‘travel & tours’.
“Bukan saya yang nak pergi tapi Hanim. Dia minta saya tolong pilihkan pakej pelancongan untuk dia dan keluarga dia.” Zalya cabut telefon dari pengecas sebelum dihumban ke dalam tas tangan.
“Apasal Hanim suruh kau? Apasal dia tak buat sendiri?”
“Dia kan sibuk. Mana sempat nak tempah baju, pelamin, katering semua. Sebab tu dia minta saya tolong uruskan. Dahlah. Saya dah lambat ni. Pergi dulu! Adios!"
“Ya. Adios. Berambus.”
Grr... Mata Zalya mengecil tajam.

Bertuah sungguh Zalya pada petang itu. Elok saja dia sampai di depan Wisma Seri, dia ternampak ada kereta hendak keluar tempat parkir. Apalagi, Zalya pun terus bagi signal untuk masuk.
Setelah kereta diparkir, kupon yang telah digores dipamerkan atas dashboard. Kalau tidak, percuma sahaja dia dapat ‘surat cinta’ dari orang Majlis Perbandaran. Ingat murah ke nak bayar saman itu? Lebih baik dia guna duit untuk beli choco latte dari kafe Kevin.
Langkah diatur melintasi lobi. Dari jauh dia sudah nampak pintu lif yang ternganga. Apalagi? Kaki segera memecut kerana enggan terlepas lif.
"Tunggu!!!" laung Zalya.
Tup! Pintu terkatup rapat di depan mata. Terlongo Zalya di situ. Punyalah kuat dia melaung tadi, takkanlah orang dalam lif tadi tak dengar suaranya? Kalau dia tahu siapa manusia yang takde kesedaran sivik itu, siaplah dia...
Ting!
Pintu lif tiba-tiba terbuka semula. Zalya angkat muka. Tadi beriya-iya dia nak naik hantu. Tapi sebaik terlihat gerangan di balik pintu, lidah terbius kelu. Api kemarahannya terpadam saat menatap raut yang satu itu.
“Cik nak naik tak?”
Aduhai, putera kayangan dari langit mana pula yang sedang berdiri di depannya ini?
“Cik?” Putera kayangan itu bertanya lagi. Zalya cepat-cepat melangkah masuk.
"Terima kasih," ucap Zalya.
Si putera kayangan membalas dengan senyuman nipis.
Zalya terus pandang ke depan. Tak mahu tertawan dengan senyuman seindah peragawan. Senyuman yang bisa buat dia tak tidur malam. Zalya, keraskan hati! Be strong!
Butang nombor 22 sudah menyala. Zalya pasti pejabat putera kayangan yang baik hati itu terletak di aras 22. Jari telunjuk Zalya picit butang nombor 21, tempat agensi yang dituju.
Kotak lif mula bergerak naik. Ruang itu sunyi memandangkan hanya ada mereka berdua sahaja. Zalya talakan pandangan ke depan. Cermin pada dinding lif membolehkan Zalya lihat wajah si dia yang sedang berdiri di belakang.
Tipulah Zalya kalau dia kata muka putera kayangan itu biasa-biasa sahaja. Zalya percaya kalau muka lelaki itu terpampan di muka hadapan majalah e-Hawa, sekelip mata akan sold out. Mata si dia begitu redup. Hidung jejaka itu terletak mancung. Bibirnya pula seksi teramat. Kalau dia dapat ci...
Hoi, Zalya! Apa yang kau dah melalut ni? Idea nakal yang mulai bertunas lekas dicantas. Memang beginilah jadinya kalau virus gatal miang menyerang. Silap hari bulan, dia akan minta nombor telefon putera kayangan itu. Nampak tak betapa tak malunya dia?
Tapi muka lelaki ini... Mata Zalya mengecil untuk mengamati. Kenapa dia macam pernah nampak muka lelaki ini? Laju otaknya memproses maklumat. Tapi segalanya kosong. Zero. Zilch.
Dari biasan cermin, jejaka itu tersenyum. Terserlah kekacakannya. Tapi kenapa tiba-tiba dia tersenyum pula? Apa yang lucunya? Takkanlah!
Kelam-kabut Zalya larikan pandangan. Dia tak perasan kan? Tak mungkin dia sudah kantoi mengusyar tadi. Mata terus pandang skrin kecil di dinding. Lif baru tiba di tingkat 7. Apasal lambat sangat lif kat bangunan ni?
Dalam kepala, Zalya hanya mahu segera sampai ke tingkat 21. Matanya melekap pada skrin. 19, 20, 21!
Sebaik tiba di tingkat 21, Zalya berlari keluar bak lipas kudung. Sedikitpun tak berani untuk berpaling. Sempat telinga Zalya tangkap bunyi tawa datang dari arah lif.
Sah! Dia dah terkantoi.
Malu!
MALUNYA!!!

2 comments:

Munyrah Azry said...

Wahhh wahh sapekah gerangan tu kaq Diya.. Zalya dh jatuh ehh.. Aipp aippp..

Best best kaq..

diya jamal said...

belum jatuh lagi ni. sipi sipi je. kih kih kih

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)