Monday, November 20, 2017

Cinta Untuk Mr. Hero - 4

Pena dakwat hitam meluncur laju di atas helaian jurnal. Setiap malam sebelum tidur, memang inilah rutinnya. Menulis catatan harian. Jika hari ini dia terlupa, esok awal-awal pagi dia akan segera mencatatnya. Tak mahu dia terlepas walau sesaat pun dalam hidupnya.
Habis menulis, bibir Nazif melarik senyum. Perasaannya bagai sedang digeletek. Lucu bila teringatkan insiden petang tadi.
Anna Zalya. Takkan dia jemu menyebut nama itu berkali-kali. Bila dia lihat gadis itu di kafe, matanya asyik melekat pada wajah Zalya. Dia tidak sengaja bila bergerak serentak ke kiri dan kanan; mengikut rentak Zalya yang hendak keluar dari kafe.
Saat terdengar gadis itu merengus geram, Nazif sudah rasa hendak tergelak. Comel sangat! Tetapi dia tak berani buat gadis itu naik darah. Sebab itu dia berhenti dan beri laluan.
Kemudian mereka bertemu lagi. Kali ini di dalam lif di Wisma Seri. Bila Zalya tenung dia di dalam lif, Nazif langsung tidak melarang. Bahkan dibiarkan sahaja. Suka dia melihat wajah Zalya yang berkerut-kerut bila merenungnya.
Ketukan di pintu mengalih perhatian Nazif. Dia menoleh.
“Tak tidur lagi along?”
“Belum umi. Along nak tulis sikit lagi.”
“Tak penat ke along asyik menulis? Tiap-tiap hari pula tu.”
Nazif senyum nipis. Diletakkan pen di atas buku. Segala tumpuan diberikan kepada ibunya.
“Pernah tak umi rasa penat bila buat kek?”
“Tak pernah pula. Kenapa along tanya soalan macam tu?”
“Samalah macam along. Kita takkan rasa penat kalau kita buat apa yang kita suka. Lagipun along seronok bila dapat baca balik apa yang along tulis dulu.”
“Ada sahaja jawapan along kan?” balas Ruhani. Anak lelakinya hanya menarik senyum. Nasib baik Nazif tak jadi ambil bidang perundangan dulu. Kalau Nazif jadi peguam, agaknya lagi teruk bicaranya dipangkah.
“Oh, ya! Umi nak tanya. Hujung minggu ini along tak buat apa-apa kan?”
“Hujung minggu ini? Maaflah, umi. Along ada kerja sikit nak buat.” Terpamer riak bersalah di wajahnya. Namun tuntutan kerja perlu diutamakan.
“Along ni asyik sibuk memanjang. Along tahukan umur along dah masuk three series? Bukannya muda lagi! Kalau begini, bila umi boleh dapat menantu?"
“Menantu apa pula, umi? Kawan perempuan pun along takde. Macam mana nak ada menantu?”
“Takkan seorang kawan pun langsung takde, long?” Makin resah Ruhani mendengar jawapan itu.
Hesy!” Suara Zalya tiba-tiba menampan telinga.
Awak tengok muka saya betul-betul. Pernah tak awak nampak muka saya sebelum ini?
Terlepas tawa kecil dari mulut Nazif. Keletah Zalya yang mencuit hati, tiba-tiba menerpa ruang memori.
“Along dah kenapa tiba-tiba ketawa?” Ruhani naik pelik. Tak pernah Nazif berperangai begini. Ketawa tanpa diketahui hujng pangkal!
“Takde apa-apalah, umi. Along pergi ke Indon untuk tujuh hari. Umi nak kirim apa-apa?” Nazif cepat-cepat alih topik.
Ruhani tarik muka. Faham Nazif mahu mengelak dari menjawab soalannya tadi.
“Ada. Umi nak minta satu aje dengan along.”
“Apa dia, umi?”
“Umi harap anak umi pergi dan balik dengan selamat. Boleh along janji dengan ibu?”
Hati Ruhani sentiasa tidak tenang mengenangkan berita yang menyiarkan tentang nahas kapal terbang. Ada sahaja tragedi yang berlaku. Sehingga dia jadi tidak berani untuk terbang lagi. Tetapi anaknya yang seorang ini asyik keluar masuk negara. Risau sungguh dibuatnya!
“Insya-ALLAH, umi. Along takkan apa-apa. Tapi kalau dah tertulis ajal kita, dalam tidur pun kita boleh dijemput-Nya.” Nazif mengingatkan.
Ruhani tahu tentang itu. Ajal maut tetap akan menjemput walaupun mereka duduk di dalam bilik paling kebal di dunia. Bukankah itu semua sudah ditentukan-Nya sejak di loh mahfuz lagi?
“Iya, umi tahu. Umi cuma risau kalau bisnes bakeri umi tu tiada siapa yang nak ambil alih?”
Perniagaan kek milik Ruhani sudah dibuka sejak 20 tahun lalu. Rangkaian kafenya sudah memasuki cawangan ke-60. Dia berharap anaknya dapat menyambung legasi yang dia tinggalkan nanti. Namun Nazif lebih fokus pada agensi pelancongannya sendiri.
“Airin kan ada? Lagipun bukan ke Airin selalu tolong umi di bakeri umi tu?”
“Airin tu muda lagi, long. Takkanlah umi nak letakkan tanggungjawab sebesar itu ke atas dia? Lagipun, macamlah along tak kenal perangai adik along tu. Asal hujung minggu saja, pergi memanjat gunung-ganang. Takpun pergi berkhemah di dalam hutan. Entah apa jenis ketenangan yang dia cari di sana, umi pun tak tahu!”
“Eloklah tu, umi. Lebih baik Airin berkawan dengan flora dan fauna di dalam hutan sana daripada berkawan dengan orang yang entah apa-apa.”
“Along, umi risaukan Airin sebab adik along tu budak perempuan. Buatnya apa-apa jadi pada dia dalam hutan tu, siapa nak tolong?”
“Airin pergi bukan seorang diri. Tapi dia pergi berkumpulan dengan kawan-kawan satu universiti dia. Umi tak perlulah risaukan dia sangat. Airin tu dah besar panjang. Pandailah dia jaga diri.”
Geram sungguh Ruhani mendengar jawapan Nazif. Ikutkan hati, dia memang tidak hendak ambil peduli. Tetapi naluri sebagai ibu mengatasi segala-gala. Bila anak-anak tiada di depan mata, mulalah hatinya diserang gundah-gulana. Serba tak kena jadinya.
“Hesy, susah betul umi nak bercakap dengan along ni. Ada saja jawapannya!”
Nazif tersengih. Bukannya sengaja mahu menjawab. Dia cuma tidak mahu ibunya terlalu risau. Ibunya perlu belajar mempercayai Airin yang bijak menjaga diri.
“Dahlah. Sebelum walid cari umi, lebih baik umi pergi masuk bilik dulu. Along jangan leka sangat menulis sampai tak tidur pula!” pesan Ruhani.
“Ya umi, along dah nak habis tulis dah ni. Selamat malam. Assalamualaikum.” Nazif segera gapai tangan ibunya lalu dia tunduk dan mengucupnya.
“Waalaikumsalam,” balas Ruhani. Sempat digosok rambut anaknya, biar berserabut.
“Umi ni...” Nazif tergeleng. Rambutnya dirapikan dengan jari. Semacam acara wajib, hampir setiap malam uminya pasti akan kusutkan rambutnya sebelum dia tidur.
Ruhani ketawa sebelum berlalu pergi. Nazif kembali menghabiskan beberapa ayat di dalam jurnal. Tidak lupa dia selitkan tentang perbualannya dengan umi tadi.
Habis menulis, barulah dia tutup lampu untuk tidur. Direbahkan dirinya ke atas katil. Esok dia perlu bekerja lagi. Dia perlu teliti laporan daripada staf. Kemudian, buat business plan untuk tahun suku kedua yang akan datang. Aduh, banyaknya kerja!
Nazif pejamkan mata, cuba lenyapkan segala masalah dari membebani kepala. Baru sahaja dia hendak lelap, wajah Zalya menerpa kotak ingatan. Senyumannya terukir panjang. Harap-harap gadis itu akan muncul di dalam mimpinya malam nanti.

“Awak pergi ke mana tadi?” Adha segera tutup buku sebaik Ruhani tunjukkan diri.
Ruhani atur langkah ke arah katil lalu duduk di samping suaminya. Selimut ditarik hingga ke paras pinggang.
“Saya tak ke mana pun. Saya cuma pergi berborak sekejap dengan along di biliknya tadi.”
“Along tak tidur lagi? Dah pukul berapa sekarang ni?” Adha pandang jam di dinidng. Dekat 11.00 malam. Patutlah matanya terasa berat sejak tadi.
“Macamlah awak tak tahu yang dia tu suka menulis. Satu rak buku dalam bilik dia tu penuh dengan diari dia.”
“Bukan diari, tapi jurnal. Orang lelaki tak mainlah tulis-tulis diari ni,” Adha membetulkan.
“Diari ke, jurnal ke, sama saja! Kedua-duanya catatan harian.”
“Diari tu buku untuk luahan perasaan dan emosi. Jurnal tu baru betul catatan harian. Mana sama?” protes Adha.
Ruhani tarik muka empat belas. Anak lelakinya asyik menjawab. Lelakinya pula tak reti nak beralah! Sakit pula hati dia.
“Awak dengan along memang dua kali lima, kan? Takkan berhenti selagi tak menang!”
“Merajuk ke?” Adha tersenyum. Lucu melihat wajah isterinya tetap mencuka.
“Janganlah marah, sayang. Saya minta maaf. Janji tak buat lagi,” Adha berikar. Barulah Ruhani tersenyum semula.
“Apa cerita anak-anak kita hari ini?” tanya Adha.
“Airin macam biasa, pergi masuk hutan. Along pula sibuk dengan kerjanya. Katanya hujung minggu ini dia nak pergi ke Indonesia.”
“Indonesia? Along nak pergi ke Jakarta ke?”
“Lupa pula saya nak tanya. Kenapa?”
“Awak tak kirim apa-apa?”
“Tak. Awak nak kirim apa? Nanti saya beritahu along.”
“Saya nak along tolong kirim salam.”
“Hesy, awak ni loyar buruk pula dengan saya kan?” Ruhani labuhkan punggung ke atas katil. Selimut ditarik hingga ke paras pinggang. Namun matanya tertumpu pada buku di tangan suaminya.
“Awak baca buku apa tadi?” Ruhani ingin tahu.
“Saya baca buku ‘Indahnya Hidup Berpoligami’.”
“Buku apa awak kata???” Menjegil mata Ruhani menatap wajah suaminya.
“Saya gurau sahajalah.” Adha tertawa. Seronok dapat menyakat isterinya.
Enggan percaya, Ruhani tarik buku yang berada di tangan Adha. Tajuknya nyata berbeza dengan apa yang Adha kata. Diselak isi kandungan pula. Buku motivasi itu penuh dengan ayat yang buat dia pening kepala. Lantas buku itu dikembalikan kepada Adha semula.
“Awak cakap betul-betul dengan saya. Dalam hati awak tu memang ada niat nak madukan saya kan?” siasat Ruhani.
“Mana ada... Tak baik awak tuduh saya begitu. Daripada madukan awak, lebih baik saya carikan isteri untuk along. Awak kan teringin sangat nak dapat menantu?”
“Tengok tu! Cepat sahaja awak tukar topik kan?”
“Eh eh... Memang betul apa yang saya cakap? Kenapa? Awak dah tak nak menantu lagi ke?”
“Malaslah nak cakap dengan awak ni!” Ruhani peluk tubuh. Entah kenapalah ahli keluarganya ada bermacam ragam.
“Awak janganlah marah, Hani.”
Adha cuba memujuk. Bahu Ruhani digoyang-goyang perlahan. Namun Ruhani tetap diam begitu juga. Sensitif sungguh jika hal poligami dibangkitkan. Padahal dia sengaja mahu mengusik.
“Hani...” seru Adha lagi. Namun sesaat kemudian, dia ketawa.
“Yang awak tergelak-gelak ni, kenapa? Awak tahu tak saya tengah marah lagi ni?” Ruhani tak puas hati bila Adha memujuk separuh hati. Macam tak sudi pun ada!
“Tiba-tiba saya rasa kelakar pula. Awak tahu kan dalam bahasa Melayu, honey maksudnya madu?”
"Awak cakap apa tadi?" Meninggi suara Ruhani.
Namun Adha hanya ketawa. Tak peduli walaupun disoal Ruhani bertalu-talu.


2 comments:

Munyrah Azry said...

Sukenya tgok keluarga bahagia mcm ni. Haaa nazif cpt2lah cari calon.. Zalya kn ade.. Hehehe..

Seterusnya.. Yeayy best kaq Diya ..

diya jamal said...

nanti berkenalan dengan keluarga Zalya pula yer? :)

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)