Pena dakwat hitam meluncur laju di atas helaian jurnal. Setiap malam
sebelum tidur, memang inilah rutinnya. Menulis catatan harian. Jika hari ini
dia terlupa, esok awal-awal pagi dia akan segera mencatatnya. Tak mahu dia
terlepas walau sesaat pun dalam hidupnya.
Habis menulis, bibir Nazif melarik senyum. Perasaannya bagai sedang
digeletek. Lucu bila teringatkan insiden petang tadi.
Anna Zalya. Takkan dia jemu menyebut nama itu berkali-kali. Bila dia lihat
gadis itu di kafe, matanya asyik melekat pada wajah Zalya. Dia tidak sengaja
bila bergerak serentak ke kiri dan kanan; mengikut rentak Zalya yang hendak
keluar dari kafe.
Saat terdengar gadis itu merengus geram, Nazif sudah rasa hendak tergelak.
Comel sangat! Tetapi dia tak berani buat gadis itu naik darah. Sebab itu dia
berhenti dan beri laluan.
Kemudian mereka bertemu lagi. Kali ini di dalam lif di Wisma Seri. Bila
Zalya tenung dia di dalam lif, Nazif langsung tidak melarang. Bahkan dibiarkan
sahaja. Suka dia melihat wajah Zalya yang berkerut-kerut bila merenungnya.
Ketukan di pintu mengalih perhatian Nazif. Dia menoleh.
“Tak tidur lagi along?”
“Belum umi. Along nak tulis sikit lagi.”
“Tak penat ke along asyik menulis? Tiap-tiap hari pula tu.”
Nazif senyum nipis. Diletakkan pen di atas buku. Segala tumpuan diberikan
kepada ibunya.
“Pernah tak umi rasa penat bila buat kek?”
“Tak pernah pula. Kenapa along tanya soalan macam tu?”
“Samalah macam along. Kita takkan rasa penat kalau kita buat apa yang kita
suka. Lagipun along seronok bila dapat baca balik apa yang along tulis dulu.”
“Ada sahaja jawapan along kan?” balas Ruhani. Anak lelakinya hanya menarik
senyum. Nasib baik Nazif tak jadi ambil bidang perundangan dulu. Kalau Nazif
jadi peguam, agaknya lagi teruk bicaranya dipangkah.
“Oh, ya! Umi nak tanya. Hujung minggu ini along tak buat apa-apa kan?”
“Hujung minggu ini? Maaflah, umi. Along ada kerja sikit nak buat.” Terpamer
riak bersalah di wajahnya. Namun tuntutan kerja perlu diutamakan.
“Along ni asyik sibuk memanjang. Along tahukan umur along dah masuk three series? Bukannya muda lagi! Kalau
begini, bila umi boleh dapat menantu?"
“Menantu apa pula, umi? Kawan perempuan pun along takde. Macam mana nak ada
menantu?”
“Takkan seorang kawan pun langsung takde, long?” Makin resah Ruhani
mendengar jawapan itu.
“Hesy!” Suara Zalya tiba-tiba
menampan telinga.
“Awak tengok muka saya betul-betul.
Pernah tak awak nampak muka saya sebelum ini?”
Terlepas tawa kecil dari mulut Nazif. Keletah Zalya yang mencuit hati,
tiba-tiba menerpa ruang memori.
“Along dah kenapa tiba-tiba ketawa?” Ruhani naik pelik. Tak pernah Nazif
berperangai begini. Ketawa tanpa diketahui hujng pangkal!
“Takde apa-apalah, umi. Along pergi ke Indon untuk tujuh hari. Umi nak
kirim apa-apa?” Nazif cepat-cepat alih topik.
Ruhani tarik muka. Faham Nazif mahu mengelak dari menjawab soalannya tadi.
“Ada. Umi nak minta satu aje dengan along.”
“Apa dia, umi?”
“Umi harap anak umi pergi dan balik dengan selamat. Boleh along janji
dengan ibu?”
Hati Ruhani sentiasa tidak tenang mengenangkan berita yang menyiarkan
tentang nahas kapal terbang. Ada sahaja tragedi yang berlaku. Sehingga dia jadi
tidak berani untuk terbang lagi. Tetapi anaknya yang seorang ini asyik keluar
masuk negara. Risau sungguh dibuatnya!
“Insya-ALLAH, umi. Along takkan apa-apa. Tapi kalau dah tertulis ajal kita,
dalam tidur pun kita boleh dijemput-Nya.” Nazif mengingatkan.
Ruhani tahu tentang itu. Ajal maut tetap akan menjemput walaupun mereka
duduk di dalam bilik paling kebal di dunia. Bukankah itu semua sudah
ditentukan-Nya sejak di loh mahfuz lagi?
“Iya, umi tahu. Umi cuma risau kalau bisnes bakeri umi tu tiada siapa yang
nak ambil alih?”
Perniagaan kek milik Ruhani sudah dibuka sejak 20 tahun lalu. Rangkaian
kafenya sudah memasuki cawangan ke-60. Dia berharap anaknya dapat menyambung
legasi yang dia tinggalkan nanti. Namun Nazif lebih fokus pada agensi
pelancongannya sendiri.
“Airin kan ada? Lagipun bukan ke Airin selalu tolong umi di bakeri umi tu?”
“Airin tu muda lagi, long. Takkanlah umi nak letakkan tanggungjawab sebesar
itu ke atas dia? Lagipun, macamlah along tak kenal perangai adik along tu. Asal
hujung minggu saja, pergi memanjat gunung-ganang. Takpun pergi berkhemah di
dalam hutan. Entah apa jenis ketenangan yang dia cari di sana, umi pun tak
tahu!”
“Eloklah tu, umi. Lebih baik Airin berkawan dengan flora dan fauna di dalam
hutan sana daripada berkawan dengan orang yang entah apa-apa.”
“Along, umi risaukan Airin sebab adik along tu budak perempuan. Buatnya
apa-apa jadi pada dia dalam hutan tu, siapa nak tolong?”
“Airin pergi bukan seorang diri. Tapi dia pergi berkumpulan dengan
kawan-kawan satu universiti dia. Umi tak perlulah risaukan dia sangat. Airin tu
dah besar panjang. Pandailah dia jaga diri.”
Geram sungguh Ruhani mendengar jawapan Nazif. Ikutkan hati, dia memang
tidak hendak ambil peduli. Tetapi naluri sebagai ibu mengatasi segala-gala.
Bila anak-anak tiada di depan mata, mulalah hatinya diserang gundah-gulana.
Serba tak kena jadinya.
“Hesy, susah betul umi nak bercakap dengan along ni. Ada saja jawapannya!”
Nazif tersengih. Bukannya sengaja mahu menjawab. Dia cuma tidak mahu ibunya
terlalu risau. Ibunya perlu belajar mempercayai Airin yang bijak menjaga diri.
“Dahlah. Sebelum walid cari umi, lebih baik umi pergi masuk bilik dulu.
Along jangan leka sangat menulis sampai tak tidur pula!” pesan Ruhani.
“Ya umi, along dah nak habis tulis dah ni. Selamat malam. Assalamualaikum.”
Nazif segera gapai tangan ibunya lalu dia tunduk dan mengucupnya.
“Waalaikumsalam,” balas Ruhani. Sempat digosok rambut anaknya, biar
berserabut.
“Umi ni...” Nazif tergeleng. Rambutnya dirapikan dengan jari. Semacam acara
wajib, hampir setiap malam uminya pasti akan kusutkan rambutnya sebelum dia
tidur.
Ruhani ketawa sebelum berlalu pergi. Nazif kembali menghabiskan beberapa
ayat di dalam jurnal. Tidak lupa dia selitkan tentang perbualannya dengan umi
tadi.
Habis menulis, barulah dia tutup lampu untuk tidur. Direbahkan dirinya ke
atas katil. Esok dia perlu bekerja lagi. Dia perlu
teliti laporan daripada staf. Kemudian, buat business plan untuk tahun suku
kedua yang akan datang. Aduh, banyaknya kerja!
Nazif pejamkan mata, cuba
lenyapkan segala masalah dari membebani kepala. Baru sahaja dia hendak lelap,
wajah Zalya menerpa kotak ingatan. Senyumannya terukir panjang.
Harap-harap gadis itu akan muncul di dalam mimpinya malam nanti.
“Awak pergi ke mana tadi?” Adha segera tutup buku sebaik Ruhani tunjukkan
diri.
Ruhani atur langkah ke arah katil lalu duduk di samping suaminya. Selimut
ditarik hingga ke paras pinggang.
“Saya tak ke mana pun. Saya cuma pergi berborak sekejap dengan along di
biliknya tadi.”
“Along tak tidur lagi? Dah pukul berapa sekarang ni?” Adha pandang jam di
dinidng. Dekat 11.00 malam. Patutlah matanya terasa berat sejak tadi.
“Macamlah awak tak tahu yang dia tu suka menulis. Satu rak buku dalam bilik
dia tu penuh dengan diari dia.”
“Bukan diari, tapi jurnal. Orang lelaki tak mainlah tulis-tulis diari ni,” Adha
membetulkan.
“Diari ke, jurnal ke, sama saja! Kedua-duanya catatan harian.”
“Diari tu buku untuk luahan perasaan dan emosi. Jurnal tu baru betul
catatan harian. Mana sama?” protes Adha.
Ruhani tarik muka empat belas. Anak lelakinya asyik menjawab. Lelakinya
pula tak reti nak beralah! Sakit pula hati dia.
“Awak dengan along memang dua kali lima, kan? Takkan berhenti selagi tak
menang!”
“Merajuk ke?” Adha tersenyum. Lucu melihat wajah isterinya tetap mencuka.
“Janganlah marah, sayang. Saya minta maaf. Janji tak buat lagi,” Adha
berikar. Barulah Ruhani tersenyum semula.
“Apa cerita anak-anak kita hari ini?” tanya Adha.
“Airin macam biasa, pergi masuk hutan. Along pula sibuk dengan kerjanya.
Katanya hujung minggu ini dia nak pergi ke Indonesia.”
“Indonesia? Along nak pergi ke Jakarta ke?”
“Lupa pula saya nak tanya. Kenapa?”
“Awak tak kirim apa-apa?”
“Tak. Awak nak kirim apa? Nanti saya beritahu along.”
“Saya nak along tolong kirim salam.”
“Hesy, awak ni loyar buruk pula dengan saya kan?” Ruhani labuhkan punggung
ke atas katil. Selimut ditarik hingga ke paras pinggang. Namun matanya tertumpu
pada buku di tangan suaminya.
“Awak baca buku apa tadi?” Ruhani ingin tahu.
“Saya baca buku ‘Indahnya Hidup Berpoligami’.”
“Buku apa awak kata???” Menjegil mata Ruhani menatap wajah suaminya.
“Saya gurau sahajalah.” Adha tertawa. Seronok dapat menyakat isterinya.
Enggan percaya, Ruhani tarik buku yang berada di tangan Adha. Tajuknya nyata
berbeza dengan apa yang Adha kata. Diselak isi kandungan pula. Buku motivasi
itu penuh dengan ayat yang buat dia pening kepala. Lantas buku itu dikembalikan
kepada Adha semula.
“Awak cakap betul-betul dengan saya. Dalam hati awak tu memang ada niat nak
madukan saya kan?” siasat Ruhani.
“Mana ada... Tak baik awak tuduh saya begitu. Daripada madukan awak, lebih
baik saya carikan isteri untuk along. Awak kan teringin sangat nak dapat
menantu?”
“Tengok tu! Cepat sahaja awak tukar topik kan?”
“Eh eh... Memang betul apa yang saya cakap? Kenapa? Awak dah tak nak
menantu lagi ke?”
“Malaslah nak cakap dengan awak ni!” Ruhani peluk tubuh. Entah kenapalah
ahli keluarganya ada bermacam ragam.
“Awak janganlah marah, Hani.”
Adha cuba memujuk. Bahu Ruhani digoyang-goyang perlahan. Namun Ruhani tetap
diam begitu juga. Sensitif sungguh jika hal poligami dibangkitkan. Padahal dia
sengaja mahu mengusik.
“Hani...” seru Adha lagi. Namun sesaat kemudian, dia ketawa.
“Yang awak tergelak-gelak ni, kenapa? Awak tahu tak saya tengah marah lagi
ni?” Ruhani tak puas hati bila Adha memujuk separuh hati. Macam tak sudi pun
ada!
“Tiba-tiba saya rasa kelakar pula. Awak tahu kan dalam bahasa Melayu, honey maksudnya madu?”
"Awak cakap apa tadi?" Meninggi suara Ruhani.
Namun Adha hanya ketawa. Tak peduli walaupun disoal Ruhani bertalu-talu.
2 comments:
Sukenya tgok keluarga bahagia mcm ni. Haaa nazif cpt2lah cari calon.. Zalya kn ade.. Hehehe..
Seterusnya.. Yeayy best kaq Diya ..
nanti berkenalan dengan keluarga Zalya pula yer? :)
Post a Comment>
Anon Banned. Thanks. :)