Friday, June 24, 2011

Bukan Sekadar Cinta - 1

Sebuah kereta meluncur perlahan di jalan kampung yang tidak berturap itu. Jejaka berkaca mata itu menurunkan cermin tingkap kereta, membiarkan udara kampung menghembus ke dalam. Segar, dia menghirup udara bersih kampung itu.

"Masuk habuklah, Haikal!" Marah lelaki yang duduk di sebelahnya.

"Mana ada habuk, Nizam. Kau jangan nak merepek.." Ujar Haikal. Nizam diam, mencebik. Dia sebenarnya tidak mahu Haikal membuka tingkap. Biarlah tingkap bertutup! Aku nak air-cond. Kampung ni panas, tahu tak?

"Kampung, tempat yang paling aman. Bebas dari pencemaran dan kesesakan kota." Tiba-tiba Haikal berkata lalu tersenyum lebar sebelum menoleh ke arah Nizam.

"Dan jauh dari arus kemodenan. Juga tiada rangkaian telefon bimbit di sini? What the..?" Nizam menjulurkan tangan, menjulang tinggi telefon bimbitnya dari dalam tingkap kereta. Kemudian menarik tangannya semula. Dia tergeleng-geleng melihat tiada servis talian disediakan di situ.

"Kau bawa aku ke ceruk mana ni, Haikal? Macam tempat jin bertendang je aku tengok!" Rungut Nizam. Haikal tertawa perlahan. Dia tergeleng-geleng.

"Macam mana aku nak cek emel? Macam mana aku nak update status aku kat facebook? Kau tahu tak betapa ramainya follower yang setia mengikuti perkembangan hidup aku?" Tambah Nizam lagi. Dia tidak boleh hidup di kampung itu. Aku akan 'mati'! 'Mati'!!

"Perasan lah kau!" Haikal tertawa kuat. Namun dia tetap meneruskan pemanduannya dengan cermat. Sedikitpun tidak terganggu dengan rungutan Nizam.

"Apalah aku nak buat di kampung ni, Haikal.." Luah Nizam.

Dapat dirasakan betapa bosannya tinggal di situ tanpa mampu berhubung dengan dunia luar. Macam manalah ada orang boleh tahan duduk kat kampung ni? Seminit dirasakan seperti sehari lamanya. Argh!! Nizam mulai rasa tertekan.

"Relaks. Kau sendiri yang kata nak lari sekejap dari 'huru-hara' di bandar." Beritahu Haikal.

"Ya, kalau bukan kerana perempuan tak betul tu kejar aku, aku takkan ikut kau ke sini." Ujar Nizam. Mindanya terus teringatkan Nisha. Dia cuma keluar sekali sahaja dengan model sambilan itu dan secara tiba-tiba dia seolah menjadi buruan. Ke mana sahaja dia pergi, pasti ada Nisha.

Gila! Perempuan gila! Nizam berkata dalam diam. Dia tergeleng-geleng, kesal dengan sikap sesetengah perempuan. Terlalu mudah salah anggap. Baru keluar sekali kot! 

Kerana itu dia datang ke kampung itu. Dia meminta Haikal membawanya ke mana sahaja asalkan Nisha tidak dapat menjejaknya. Jika selepas ini, Nisha muncul di hadapan dirinya lagi, tahulah bagaimana dia 'mengajar' Nisha. Lagipun, sudah agak lama dia tidak bercuti. Kali terakhir dia mengambil cuti ialah ketika sahabatnya berkahwin. Bagaimana Zaril dengan Aliya agaknya? 

Kereta yang dipandu Haikal akhirnya terhenti di suatu tempat. Nizam membetulkan duduknya. Matanya melilau memandang ke luar.

"Kita kat mana, Haikal?" Dia bertanya. Pandangannya tertumpu pada sebuah rumah besar yang memenuhi ruang matanya. Buat sebuah kampung yang terpinggir jauh dari pembangunan, rumah itu tampak agak mewah baginya.

Haikal ada memberitahunya nama kampung itu namun dia terlupa. Perlahan-lahan dia melangkah keluar dari perut kereta. Matanya beralih ke arah sawah terbentang luas, menghijau saujana mata memandang.

Hairan, dia seperti pernah berdiri di sini. Sawah di depan matanya itu bagai pernah dilihat. Bezanya, sawah di ingatannya berwarna kuning keemasan, bukan hijau seperti sekarang. Angin bertiup, mengelus wajahnya perlahan. Terasa segar udara di kampung berbanding di bandar.

"Nama kampung ni Kampung Paya Tenang." Beritahu Haikal.

Paya Tenang? Nama jenis apa tu? Dia tergelak sendiri. Kelakar dengan nama kampung itu. Tapi macam pernah dengar nama kampung ni. Dia diam, cuba berfikir seketika. Ah, malaslah nak fikir!

"Nizam, cuba tengok tu." Haikal menuding jari ke arah sekumpulan budak yang sedang bermain layang-layang. Angin kencang dari Laut China Selatan yang bertiup membantu menaikkan layang-layang tinggi ke udara.

Melihat keriangan kanak-kanak di tengah bendang itu sahaja sudah cukup untuk membuat Nizam tersenyum. Tiba-tiba dia terkenangkan zaman kanak-kanaknya. Begitu cepat masa berlalu.


Ingatannya mengenai zaman kanak-kanak terlalu kabur. Namun dia masih mampu mengingati beberapa perkara. Betapa gembiranya dia bila berjaya menaikkan layang-layang ketika kecil dahulu. Betapa gembiranya dirinya bila dapat terjun ke dalam sungai, membiarkan air sejuk beku menyimbah tubuhnya. 

Serta-merta fikiran Nizam terasa senang. Hatinya jadi lapang melipat tanah sawah yang terbentang luas. Jiwanya terasa damai melihat langit biru yang bersih tanpa dicalar sebarang pencakar langit. Indahnya suasana, dia memuji.

"Berani kau balik sini, ya?!" Pekik satu suara dari belakang.

Nizam dan Haikal sama-sama menoleh. Berkerut dahi Nizam memandang gadis berambut tocang dan berkaca mata itu. Dipandangnya gadis yang selesa berbaju kurung kain kapas itu dari atas ke bawah.

"Awak siapa?" Nizam bertanya.

bersambung..

Terima kasih sudi membaca BSC~


Thursday, June 23, 2011

Andainya Kau Tahu - 33

Namun belum sempat dia membuka langkah, pintu bilik itu tiba-tiba dikatup rapat. Dikunci dari dalam. Zaril tersentak. Pandangan matanya terarah ke pintu. Aliya juga memandang ke arah yang sama.

"Duduk." Arah suara itu kepada Zaril. 

Sekali lagi Zaril kehilangan kata-kata. Mahu mengatakan sesuatu namun tersekat di kerongkong. Serta-merta dia duduk.

"Duduk Aliya." Suara itu mengarah Aliya pula. Dia mengambil tempat duduk bertentangan dengan Zaril.

"Apa semua ni, Hizwan? Kenapa awak tak bersiap lagi? Mana baju pengantin awak?" Aliya bertanya bertubi-tubi. Dia memerhatikan Hizwan. Selamba sahaja dengan seluar jean dan jaket kulit. Beginikah keadaan lelaki itu ketika bernikah nanti?


Hizwan tersenyum. Matanya merenung Aliya. Cantik, dia memuji. Kemudian, dia mengeluarkan sebuah buku dengan ketebalan sederhana yang dibawa bersamanya. Raut wajah Zaril serta-merta berubah. Direnungnya wajah Hizwan namun sepupunya itu berlagak selamba.

"Saya nak bacakan sebuah cerita untuk awak, Aliya." Tutur Hizwan.

"Cerita apa pula? Awak sedar tak kita akan berkahwin sekejap lagi, Hizwan?" Soal Aliya, tidak faham dengan apa yang sedang berlaku.

Namun kata-katanya tidak diendahkan oleh Hizwan. Lelaki itu membuka lembaran buku yang dikeluarkannya.

"2 Januari 2008. Pertama kali aku bersua dengan dia. Si dia berkaca mata. Rambut panjangnya dibiar lepas. Comel. Tanpa sedar aku mengekorinya. Mataku tidak lepas menilik wajahnya. Namun dia hilang dalam kesesakan ramai. Aku kecewa. Adakah aku boleh bertemunya esok?" Hizwan membaca lancar. Matanya mengerling ke arah Zaril. Dapat dikesan sepupunya itu tunduk, enggan mengangkat muka.

"Buku apa awak baca tu, Hizwan?" tanya Aliya. Tidak faham dengan apa yang dibaca oleh tunangnya itu.

"4 Januari 2008. Semalam aku tak nampak dia di mana-mana. Tapi hari ini aku jumpa dia lagi. Aku bertembung bahu dengannya. Aku sengaja sebenarnya. Dia terjatuh. Fail yang dipegangnya dan kaca matanya jatuh ke lantai. Cepat-cepat dia tunduk, mengutip barangnya. Aku tunduk sama. Hati diserang rasa bersalah. Aku mencapai kaca matanya lalu dihulurkan kepadanya. Saat itulah aku kehilangan kata-kata. Aku terkedu melihat sepasang matanya yang cantik. Sudah jatuh cintakah aku?"

"Hizwan, saya takde masa nak dengar cerita awak ni." Aliya hilang sabar bila dirinya tidak diendahkan oleh Hizwan.

"10 Januari 2008. Akhirnya aku berjaya juga melihat nama yang tertera pada kad pekerja yang digantung di lehernya. Liya. Dia pekerja di Syarikat Mega Union rupanya. Liya, tahukah kau aku dah jatuh cinta kepada kau? Andainya kau tahu apa yang ada di dalam hati ini.." Hizwan menghentikan pembacaannya.

Aliya terdiam. Syarikat Mega Union? Itu tempat kerja lamanya tiga tahun lalu. Hizwan tidak pernah tahu tentang hal itu. Nanti dulu! Buku apa yang dibaca oleh Hizwan itu?

"Buku ni, diari milik Zaril. Maaf Zaril, aku terpaksa 'pinjam' diari kau hari ini," kata Hizwan, menghulurkan diari Zaril semula kepada Zaril.

Zaril sekadar membisu. Lidah Aliya terasa kelu. Diari Zaril? Tiga tahun lalu? Jadi lelaki itu mencintainya? Sejak tiga tahun lalu? Kenapa Zaril menipunya tempoh hari?

"Dan untuk kau Zaril, diari Aliya." Hizwan mengeluarkan pula sebuah buku tebal berwarna merah jambu. Aliya terkejut. Bagaimana diari miliknya berada di tangan Hizwan? Satu nama melintas di fikirannya saat itu. Suhani..

"13 Februari 2009. Dear diari. Hari ni aku ternampak sepasang kekasih. Sama-sama kacak dan cantik. Hairan, aku seperti pernah melihat lelaki itu tapi di mana, ya?" Hizwan menyelak helaian lain pula.

"21 Februari 2009. Dear diari. Aku ternampak sepasang kekasih. Lelaki yang sama tetapi perempuan lain pula. Buaya rupanya lelaki itu. Aku terdengar perempuan itu memanggilnya Zaril. Zaril? Pernahkah kita berjumpa sebelum ini?"

Zaril merenung wajah Aliya. Gadis itu juga diam, seperti dirinya sebentar tadi.

"Zaril cintakan Aliya sejak tiga tahun lalu. Aliya pula cintakan Zaril sejak dua tahun lalu. Dan aku hanya kenal Aliya setahun yang lalu. Apalah sangat kehadiran aku kalau nak dibandingkan dengan kamu berdua?"

"Hizwan.." Aliya memanggil nama itu. Dia tidak mahu lelaki itu berkata apa-apa lagi. Sudah cukuplah tu. Jangan kata apa-apa lagi, Hizwan. Dia merayu. 

"Hari ni, bukan aku yang akan bernikah dengan Aliya malam ni. Tapi kau, Zaril." Ujar Hizwan. Sudah lama dia berfikir. Secara tidak sengaja dia terjumpa diari Zaril bila pembantu rumahnya mengemaskan barangan Zaril yang masih tertinggal di rumahnya. Dan selepas itulah baru dia sedar Zaril sudah lama mencintai Aliya. Aliya tidak bertepuk sebelah tangan.

"Kau bergurau kan?" Soal Zaril. Seakan tidak dapat mempercayai segala bicara Hizwan. Sudah hilang akalkah sepupunya itu? Sudahlah diarinya dan Aliya 'dipinjam' oleh Hizwan tanpa kebenaran. Kini, Hizwan mahu dia berkahwin dengan Aliya pula?


"Tak. Aku tak bergurau. Semua orang di luar dah tahu aku takkan berkahwin dengan Aliya tapi kau. Kau yang akan kahwin dengan Aliya. Tok kadi pun tengah tunggu kau sekarang." Ujar Hizwan, memandang ke arah Zaril.

"What?!" Zaril terkejut. Aliya terperanjat. Lelaki itu sudah menentukan segalanya sejak mula.

"Aku tahu kau buat semua ni sebab nak balas budi keluarga aku. Tapi Zaril, keluarga aku menjaga kau selepas kemalangan yang berlaku ke atas ibu bapa kau sebab kita sekeluarga. Takde kaitan kalau kau nak balas budi keluarga aku dengan cara ni." 

Zaril hanya mampu mendiamkan diri. Ya, dia memang melakukan segalanya kerana Hizwan dan keluarganya telah banyak berbudi kepadanya. Saat dia keseorangan, melihat ibu dan bapanya di dalam liang lahad, Hizwan lah yang menjadi temannya. Ketika dia terasa sendiri di dunia, Hizwanlah yang membawanya tinggal bersama keluarganya.

Tidak sanggup rasanya dia berebut Aliya dengan sepupunya itu bila dia mendapat tahu Hizwan bertunang dengan Aliya. Dia lebih rela mengundur diri.

Hizwan bangun. Dia memaut bahu sepupunya itu, membuat Zaril juga berdiri.

"Baju pengantin dah tersedia. Cepat pakai, okey?" Ujar Hizwan. Zaril mengukir senyum. Dia menarik tubuh Hizwan, memeluk sepupunya erat. Hizwan memandang ke arah Aliya. Gadis itu merenungnya sayu. Ada tangisan bergenang di mata itu.

"Hizwan.." Dia menyebut nama lelaki itu. Sungguh, dia tidak menduga Hizwan akan mengambil tindakan sebegitu.

Hizwan melepaskan Zaril. Dia mendekati Aliya. Air mata yang mengalir di pipi gadis itu diseka perlahan.

"Mulai hari ni saya pasti Zaril takkan biarkan air mata awak menitik walau setitis pun."

"Tapi.."

"Shh.. Saya cintakan awak, Aliya. Sangat-sangat cintakan awak. Tapi ada orang lebih cintakan awak daripada saya. Dan awak pun cintakan dia." Hizwan menuturkan kata-kata.

Aliya cuba mengukir senyum. Dia terharu. Sungguh.

"Pergilah," kata Hizwan, melepaskan Aliya pergi. Zaril sudah pun berdiri di muka pintu dengan Nizam yang sedang memegang pakaian pengantinnya.

Aliya mengorak langkah, mara ke arah pintu. Namun tangannya tiba-tiba direntap Hizwan. Langkah Aliya terhenti. Pandangannya tertumpu pada Hizwan.

"Awak tak perlukan ini lagi." Perlahan-lahan Hizwan menarik cincin tunang dari jari manis Aliya. Aliya memandang jarinya yang kosong.

"Terima kasih, Hizwan." Ucap Aliya, ikhlas dari hati.

Hizwan sekadar mengangguk. Dia memerhatikan sahaja Aliya dan Zaril keluar dari bilik tersebut. Meninggalkan dirinya sendiri di situ. Dia tunduk memandang cincin Aliya di tangannya. Air mata lelakinya jatuh jua ke pipi.

***
Aliya bangun dari lenanya. Matanya terpaku pada Zaril yang berdiri di beranda menghadap cahaya purnama yang terang. Dia bangkit dari katil. Langkahnya diatur kemas ke arah Zaril.

"Awak tak pernah cakap awak cintakan saya." Bisik Aliya. Terasa bahagia. Sudah hampir satu minggu berlalu sejak mereka berkahwin. Dia benar-benar bahagia di sisi Zaril.

"Kan saya dah pernah cakap." Balas Zaril, mengundang cubitan dari tangan Aliya. Zaril mengaduh sakit. Terasa berbisa pada lengannya. Aduh..

"Mana ada! Hizwan yang baca dari diari awak. Awak mana pernah cakap awak cintakan saya. Awak cuma kata, 'Tapi saya tak, Liya. Saya tak cintakan awak.'" Aliya mengajuk kata-kata Zaril. Lengkap dengan gayanya sekali.

Membuntang mata Zaril. Berani Aliya mengajuk dirinya?

"Berani awak, ya!" Zaril berpusing. Cuba mengejar Aliya namun gadis itu pantas melarikan diri. Namun Zaril  berjaya menggapai tangan Aliya. Pegangannya kemas.

"Lepas." Pinta Aliya, bila gagal menarik semula tangannya.

"Saya takkan lepaskan awak sampai bila-bila." Ditarik Aliya rapat ke dalam dakapan. Aliya terpana. Terkedu seketika melihat Zaril yang begitu hampir dengan dirinya. Jantungnya berdegup laju. Ada debar di dadanya. Dapat dirasakan Zaril juga punya debaran yang sama.

"I love you, Liya." Ucap Zaril. Aliya tersenyum. Terharu. Pertama kali dia mendengar Zaril mengungkapkan kata-kata cinta kepadanya.

"Tak dengar." Usik Aliya, berbohong. Masakan dia tidak mendengar suara Zaril yang jelas menampan telinganya.

"I love you." Ulang Zaril.

"Apa dia? Tak dengar."

Zaril tertawa perlahan. Tahu Aliya sengaja mahu mengusik jiwanya.

" I love you, I love you, I love you. Awak nak saya ulang sampai bila-bila pun boleh, Liya."

Kedengaran tawa Aliya meletus. " Love you too."

-TAMAT-

Terima kasih pencinta Andainya Kau Tahu

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:

 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 11  | 12  | 13  | 14  | 15  | 16  |  17  |  18  |  19  |  20  |  21  |  22  |  23  | 24  | 25  |  26  |  27  |  28  |  29  |  30  |  31  |  32  |


Wednesday, June 22, 2011

Andainya Kau Tahu - 32


Rumah bernombor 23 itu tampak meriah. Orang ramai sudah mula memenuhi rumah keluarga Aliya. Ibu bapa Aliya adalah yang paling sibuk pada hari itu. Mereka cuba melayan setiap tetamu yang datang sebaiknya. Cuba memastikan majlis berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. 

Walaubagaimanapun, majlis akad nikah pada hari itu hanya dihadiri saudara terdekat atas permintaan Hizwan dan Aliya. Pada majlis persandingan nanti, barulah lebih ramai tetamu akan datang. 

"Aliya tak siap lagi ke, Hani?" tanya ibu Aliya. Wajahnya ceria berseri-seri. Pertama kali dia akan menerima menantu sulung, pastinya dialah insan yang paling gembira pada hari itu.

"Dah. Tinggal tunggu pengantin lelaki sahaja." Ujar Suhani. Telefonnya berbunyi, menandakan ada mesej masuk. 

"Sekejap ye, mak. Ada mesej." Beritahu Suhani lalu tersengih. Cepat sahaja dia berlalu pergi, sepantas lipas kudung. Tergeleng kepala ibu pengantin itu melihat keletah anak bongsunya itu.

Aliya melangkah keluar dari biliknya. Tersarung persalinan pengantin lengkap di tubuhnya. Namun, matanya melilau seolah sedang mencari sesuatu. 

Perlahan-lahan dia melangkah ke bilik adiknya. Dia mahu mencari telefon bimbit yang dicaj oleh Suhani di dalam bilik itu. Daun pintu ditolak perlahan. Matanya terpaku bila melihat ada satu susuk tubuh berada di dalam bilik Suhani.

"Zaril?" Aliya terkejut. Mengapa lelaki itu berada di dalam bilik Suhani?

Zaril menoleh. Pandangannya terus terpanah pada wajah ayu Aliya. Dia tergamam. Aliya tampak begitu menawan dalam busana pengantinnya. Bagai bidadari, hatinya berbisik sendiri.


"Ini bilik adik saya. Apa awak buat di sini?" soal Aliya. Sungguh, dia tidak menduga akan melihat Zaril di situ. Pada hari pernikahannya!

Dia mengorak langkah ke depan. Pandangannya tidak lepas dari memandang wajah Zaril. Ada sendu di hujung hati. Sayu kerana dia akan menjadi milik Hizwan selepas akad nikah nanti. Zaril bukan untuk dirinya.

"Suhani kata awak nak cakap sesuatu pada saya. Dia yang minta saya tunggu di sini." Beritahu Zaril. Ya, dia berada di situ kerana Suhani memberikan mesej kepadanya.

'Akak nak bercakap dengan Abang Zaril. Plis datang sekarang ya.'

Malah mesej tersebut masih ada di dalam telefon bimbitnya. Boleh sahaja dia menyuakan telefon bimbitnya kepada Aliya untuk diperiksa. 

"Saya nak cakap apa pula pada awak? Hari ini saya akan berkahwin. Dengan Hizwan! Lebih baik awak keluar dari rumah saya, Zaril." Arah Aliya.

Suhani reka cerita apa ni? Takkan dia tak tahu apa yang dah berlaku? Hatinya mula terasa geram dengan tindakan Suhani yang cuba memandai-mandai. Bagaimana jika Hizwan tahu Zaril ada di situ saat ini? Bagaimana jika tetamu di luar menyedari akan kehadiran lelaki lain di dalam rumahnya tika itu? Tidakkah haru jadinya nanti?

Zaril bungkam. Jadi, Suhani yang sengaja menghantar mesej kepadanya? Tapi kenapa? Dia memerhatikan Aliya. Mata bundar Aliya sudah mulai digenangi air mata. Lidahnya jadi terkelu. Perlahan dia bangun dari kerusi. Kehadirannya langsung tidak dialu-alukan. Lebih baik dia pergi.

Namun belum sempat dia membuka langkah, pintu bilik itu tiba-tiba dikatup rapat. Dikunci dari dalam. Zaril tersentak.

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:

 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 11  | 12  | 13  | 14  | 15  | 16  |  17  |  18  |  19  |  20  |  21  |  22  |  23  | 24  | 25  |  26  |  27  |  28  |  29  |  30  |  31  |

Tuesday, June 21, 2011

Andainya Kau Tahu - 31


Deringan panggilan telefon membuatkan dia berlari-lari ke ruang tamu. Berkerut dahinya bila melihat nombor yang tertera. Suatu nombor yang tidak dikenali sedang menghubunginya. Perlukah dia menjawabnya?

Namun jarinya lebih pantas menekan butang hijau.

"Hello. Siapa tu?" Dia bertanya.

"Fiza! Saya ni!" Suara itu berbunyi ceria.

"Nizam?" Pantas sahaja Fiza mengecam suara itu. 

"Awak ingat saya? Terharunya!"

Fiza tertawa. Masakan dia boleh lupa pada suara ceria milik jejaka penuh semangat itu. Takkan mungkin dia dapat melupakan Nizam. Lelaki itu punya aura yang kuat, sekuat personalitinya. Fiza tersenyum bila memikirkan keletah lelaki itu.

"Ada apa Nizam?"

"Akhirnya Hizwan dan Aliya akan kahwin esok! Yahoo! Awak datang kan?" soal Nizam.

Fiza diam. Oh, esok kah? Hampir dia terlupa mengenai hal itu. Sejak meninggalkan luar negara, sengaja dia menyibukkan diri dengan segala macam benda. Zaril ada menghantar jemputan kepadanya cuma dia sahaja yang terlupa.

"Fiza? Hello? Ada orang tak?" Nizam bergurau di hujung talian.

"Ya, Nizam. Saya ada di sini. Mungkin saya tak dapat datang. Entah. Saya pun tak tahu." Fiza tidak dapat memberikan jawapan. Hadir ke majlis perkahwinan lelaki yang pernah dicintainya? Mampukah dia untuk terus berdiri di situ nanti? Tak. Tak mungkin.

"Saya betul-betul harap awak dapat datang, Fiza." Nizam memujuk. Fiza tertawa perlahan.

"Saya cuba tapi saya tak janji, okey?" Ujar Fiza. 

Setelah beberapa minit berbual, Fiza akhirnya meletakkan gagang. Buat seketika dia membisu di situ. Lama dia berfikir samada dia patut pergi ataupun tidak. Dia tidak ingin pergi jika kehadirannya hanya memburukkan keadaan.

"Saya fikir awak patut pergi, Fiza." Sapa satu suara dari belakang. Spontan Fiza menoleh. Bibirnya mengukir senyum.

"Awak pasang telinga ya?"


Sharil tersenyum. Bukan sengaja mahu mencuri dengar tetapi kebetulan dia berdiri di pintu ruang tamu itu. Sengaja dia singgah ke rumah Fiza, mahu mengajak gadis itu keluar. Tidak sangka pula dia akan terdengar perbualan gadis itu di telefon.

"Tak sengaja." Sharil menjawab. Dia mengatur langkah ke depan, menghampiri gadis itu. 

"Awak patut pergi, Fiza." Dia mengulang kata-katanya tadi. 

Fiza menggeleng. "Saya tak tahu, Sharil. Lebih baik saya tak datang. Saya tak sanggup bedepan dengan mereka semua seorang diri."

"Sebab tu saya akan temankan awak. Awak tak bersendirian, Fiza." Ujar Sharil. 

Dia sudah tahu kisah silam gadis itu. Fiza menceritakan segalanya tentang Hizwan, tentang Zaril dan juga tentang seorang gadis bernama Aliya. Mungkin tindakan Fiza agak mementingkan diri tika itu namun apa yang penting Fiza sudah berubah. Dia menjadi lebih baik daripada dahulu.


Fiza tergamam. Dia tidak tahu bagaimana mahu membalas kata-kata Sharil.

"Dah, jangan nak buat muka terharu awak yang comel tu. Kita bersiap sekarang. Okey?" Ajak Sharil.

Akhirnya Fiza mengukir senyum. Dia mengangguk, setuju.

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:

 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 11  | 12  | 13  | 14  | 15  | 16  |  17  |  18  |  19  |  20  |  21  |  22  |  23  | 24  | 25  |  26  |  27  |  28  |  29  |  30  |


Andainya Kau Tahu - 30



"Sibuk ke?" Lelaki itu bertanya. Wajahnya ceria lelaki itu membuatkan Aliya tertanya. Apa dia buat di sini?

"Apa awak buat kat sini?" Aliya menyuarakan persoalan yang bermain di fikirannya.

"Saya teringatkan awak. So, saya terus drive ke sini. And here I am." Ujar Hizwan lalu tersenyum. 

Aliya membisu seketika. Tiada angin, tiada ribut, lelaki itu tiba-tiba datang ke tempat kerjanya. Selama ini sudah berbuih mulut dia mengajak Hizwan singgah ke pejabatnya namun lelaki itu tidak menunjukkan minat. Dan hari ini Hizwan ada di dalam ruang pejabatnya pula.

"Awak datang sebab teringatkan saya?" Aliya menyoal lagi. Tidak berpuas hati dengan jawapan tadi.

"Saya telefon ke rumah awak. Suhani kata awak belum balik lagi jadi saya terus datang ke sini. Dan kenapa saya telefon awak di rumah? Sebab saya tak dapat call handphone awak. Saya risau kalau apa-apa terjadi pada awak." Hizwan menerangkan perkara sebenar. Risau juga bila panggilannya ke telefon bimbit Aliya langsung tidak berjawab.

Aliya mengeluarkan telefon bimbitnya. Patutlah tak dengar apa-apa, dia berkata dalam hati tatkala melihat telefon bimbit yang telah ditetapkan kepada mod senyap.


"Jangan fikir yang bukan-bukan, Hizwan. Saya okey, je." Kata-kata Aliya hanya membuatkan Hizwan diam, kemudian mengangguk.

"Banyak kerja lagi?" soal Hizwan.

Dia mengambil tempat duduk di atas sofa yang tersedia di dalam pejabat Aliya. Matanya melilau memandang sekeliling. Pertama kali dia berada di situ. Pejabat Aliya ternyata kemas dan menarik. Banyak warna ceria menghias pejabat tunangnya itu.

Berbeza sungguh dengan pejabatnya. Terlalu formal dan tidak menarik seperti pejabat milik Aliya. Dalam diam Hizwan membuat perbandingan.

"Cantik bilik awak." Spontan Hizwan memuji.

Aliya tersenyum nipis. "Terima kasih. Awak nak air? Saya ambilkan." 

Hizwan mengangguk. Dia membiarkan sahaja Aliya keluar seketika sebelum pulang semula dengan segelas air.

"Maaf. Coffee maker dah rosak." Beritahu Aliya bila menghulurkan segelas air kosong.

Kedengaran Hizwan tertawa kecil. "Takpe." Ujar Hizwan, menyambut minuman yang diberikan.

"Awak tunggu sekejap ye. Saya nak kemas meja saya dulu." Beritahu Aliya, cepat-cepat mengemas mejanya.

Tidak pula Hizwan berkata apa-apa. Sempat dia merenung ke arah Aliya ketika meneguk minumannya. 


Okey kah dia? Hizwan teringat peristiwa tempoh hari bila Aliya meluahkan rasa pada sepupunya. Aliya sukakan Zaril, dia mengingatkan dirinya. Namun Zaril tidak pula menyukai tunangnya itu.

Setelah mendengar semua itu, dia terus mengangkat kaki pergi. Dia tidak ingin Aliya mahupun Zaril tahu dia ada di situ. Nizam dan Suhani juga telah dipinta agar tidak membuka mulut.

Hizwan cuba memutar kembali apa yang telah berlaku.

"Tapi saya tak, Liya. Saya tak cintakan awak." Zaril tak cintakan Aliya? Betulkah? Dia tidak yakin dengan apa yang keluar dari mulut sepupunya itu. Tetapi semenjak dia meninggalkan Fiza, tidak pula dia mendengar sebarang berita mengenai gadis itu. Bukankah sepatutnya Fiza dengan Zaril sekarang?

Liya.. Hizwan memendekkan nama tunangnya itu. Beberapa hari ini baru dia tersedar Zaril sahaja yang memanggil Aliya sebagai Liya. Kenapa?

"Hizwan?" Panggilan Aliya mematikan lamunannya. Dia meletakkan gelas ke atas meja sebelum memandang wajah polos Aliya.

"Saya dah siap kemas. Jom?" Ajak Aliya, mahu meninggalkan pejabatnya. Walaupun kerjanya masih belum selesai, dia takkan mampu melakukan kerjanya juga andai Hizwan duduk menunggu di situ. Sambung esok sajalah, fikirnya.

Hizwan mengangguk. Perlahan-lahan dia bangkit dari tempat duduknya. Dia mengekori langkah Aliya yang laju menuju ke arah pintu.

"Liya.." Panggil Hizwan, sengaja menyebut nama itu.

Langkah Aliya terhenti. Degup jantungnya serasa hampir terhenti mendengar namanya disebut begitu. Dia berpaling, melihat Hizwan yang berdiri di depan matanya.

"Ya?"

Hizwan tersenyum. "Takde apa."

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:

 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 11  | 12  | 13  | 14  | 15  | 16  |  17  |  18  |  19  |  20  |  21  |  22  |  23  | 24  | 25  |  26  |  27  |  28  |  29  |

Monday, June 20, 2011

Andainya Kau Tahu - 29


Majlis pada malam itu kelihatan meriah. Beberapa tetamu sudah pun datang, berbual sesama diri. 

Aliya yang duduk sendirian di situ mulai terasa bosan. Bosan kerana tidak mengenali sesiapa. Bosan kerana tiada sesiapa yang boleh diajak berbual dengannya. Semuanya datang kerana bisnes, bisnes, bisnes.. Aliya merungut dalam diam.

Dia memandang ke arah gelasnya yang separuh penuh dengan air kosong. Kosong air itu, kosong lagi jiwanya tika itu. Tawar hatinya mendengar muzik berentak perlahan yang entah apa-apa. 

"Aliya, orang yang awak tunggu dah datang." Sapa Dahlia, satu-satunya tetamu di situ yang rajin menegurnya.


Aliya mengangkat pandangan. Matanya terus memanah wajah seseorang. Dahinya berkerut. Hizwan? 

Hizwan tersenyum memandang dirinya. Aliya seakan tidak percaya melihat apa yang ada di depan matanya. Hizwan kah itu? Kemana perginya rambut panjang cecah bahu lelaki itu? Bila pula Hizwan memotong rambutnya?

Lelaki itu tampak segak dengan sutnya. Tinggal beberapa tapak lagi, Hizwan akan menghampiri mejanya, lelaki itu disapa oleh beberapa orang tetamu majlis itu. Rakan bisnes agaknya, fikir Aliya.


"Tahniah. Saya dengar awak akan berkahwin tak lama lagi." Ujar seorang tetamu, berjabat mesra dengan Hizwan. Hizwan sekadar mengangguk dan tersenyum.

"Terima kasih. Saya kenalkan dengan tunang saya?" Pelawa Hizwan, membawa rakan perniagaannya ke meja Aliya. 

Aliya bangun bila Hizwan memperkenalkannya dengan tetamu yang lain. Kekok, kerana tidak mengenali sesiapa pun namun diikutkan sahaja rentak Hizwan.

Usai berbual sekadar berkenalan, Hizwan akhirnya ditinggalkan bersama dirinya. Buat seketika, suasana jadi sepi di antara mereka.

"Bila awak potong rambut?" soal Aliya, memecah kebuntuan.

"Semalam. Kenapa? Tak elok kah?" Hizwan bertanya.



"Lebih kemas." Aliya menjawab sepatah. Jawapan Aliya mengundang senyuman lebar dari lelaki itu. 

Sungguh, Aliya tidak tahu hendak memuji bagaimana lagi. Memang penampilan lelaki itu lebih kemas bila berambut pendek. Sangkanya Hizwan tidak akan memotong rambut sampai bila-bila. 

"Maaf sebab lambat. Traffic jammed. Dah makan?" soal Hizwan. Aliya menggeleng, tidak.

"Saya ambilkan makanan untuk awak, ya?" Kali ini Aliya hanya mengangguk sahaja.

***
"Aliya? Kau tak balik lagi?" tanya Nurhana bila menyedari rakan sekerjanya itu belum pulang lagi.

"Tak. Banyak kerja lagi." Pendek sahaja jawapan Aliya. Tumpuannya masih ke atas kerja. Masih tidak terasa untuk pulang ke rumah pada masa itu.


"Persiapan perkahwinan macam mana? Dah setel?" Nurhana bertanya, ingin tahu.

"Dah. Agaknya."  Acuh tak acuh sahaja jawapan Aliya.

Berkerut dahi Nurhana. Agaknya? Biar betul Aliya ni.

"Dah minta cuti kahwin?"

Aliya sekadar menggeleng. Dia bangun, menyusun fail yang dikeluarkannya tadi. Sesekali matanya beralih ke skrin komputer dan menggerakkan tetikus. Kedengaran bunyi tetikus diklik beberapa kali.

"Perkahwinan awak tinggal beberapa hari saja lagi dan awak nampak tak kisah langsung, Aliya." Ujar Nurhana, meluahkan apa yang dirasakannya.

Ya, Aliya nampak tak kisah! Seperti dia tak peduli andainya majlis akan berlangsung ataupun tidak. Tidakkah dia teruja untuk berkahwin seperti bakal pengantin yang lain? Bukankah bakal pengantin sepatutnya berwajah berseri-seri mengalahkan bulan di langit malam, mahupun suria di siang hari?

"Cakaplah apa saja, Nur. Saya sibuk ni." Beritahu Aliya. Nurhana mengeluh perlahan. Dia tergeleng sebelum melangkah keluar dari bilik Aliya, membiarkan Aliya menyibukkan diri sendiri.

Aliya berhenti bila rakannya itu keluar. Raut wajahnya suram. Memang sengaja dia menyibukkan diri. Dia perlukan masa untuk melupakan apa yang telah berlaku.

"Saya tak cintakan awak, Liya." Kata-kata Zaril terngiang-ngiang di telinganya. Wajah suram Zaril bagaikan masih terbayang jelas di depan matanya.

"Terima kasih sebab cintakan saya. Tapi saya tak mungkin dapat membalasnya. Saya tak boleh."

"Kenapa?"

"Saya cuma.. tak boleh." Hanya itu sahaja jawapan lelaki itu. Tak boleh? Kenapa tak boleh pula? Apa masalah Zaril? Sudah kahwinkah dia? Atau dia sukakan orang lain? Tapi siapa? 

Aliya menghentak fail ke atas meja. Serabut fikirannya hanya kerana lelaki yang tidak menyambut cintanya. Ah, salah aku juga. Dah ada tunang, boleh pula fikirkan tentang orang lain.

Dan kerana itulah dia memutuskan untuk meneruskan sahaja perkahwinannya dengan Hizwan. Biarlah dia berkahwin dengan lelaki yang mencintainya. Bukankah itu lebih baik.

"Aliya?" Panggilan itu membuat Aliya terdongak. Pandangannya terarah ke pintu. Dahinya berkerut.

"Sibuk ke?" Lelaki itu bertanya. Wajahnya ceria lelaki itu membuatkan Aliya tertanya. Apa dia buat di sini?

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:

 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 11  | 12  | 13  | 14  | 15  | 16  |  17  |  18  |  19  |  20  |  21  |  22  |  23  | 24  | 25  |  26  |  27  |  28  |


Friday, June 17, 2011

Andainya Kau Tahu - 28


"Aliya mana?" Satu suara bertanya perlahan. Nizam dan Suhani pantas menoleh.

"Saya datang lepas baca mesej Hani. Kenapa dengan Aliya, Hani?" Suara itu berkata lagi.

Nizam kaku. Seakan terasa beku seluruh tubuh bila melihat Hizwan berdiri di depannya. Kenapa dia datang masa ni pula?! Pandangannya tertumpu ke arah Suhani. Jelas sekali dia hairan bagaimana Hizwan boleh sampai di situ sedangkan telefon bimbit Suhani ada di tangannya.

"Hani hantar mesej bila tak dapat call tadi." Beritahu Suhani, tanpa dipinta.

You what?! Nizam menepuk dahinya. 

Hizwan yang tidak mengerti apa-apa bergerak ke hadapan. Matanya terus terarah ke pintu bilik yang terbuka. Pandangannya tertumpu ke arah dalam ruang bilik tersebut. Aliya, Hizwan menyebut nama itu. Dan Zaril? Matanya terpaku ke arah lelaki itu.

"Kalau kau bergerak setapak lagi.." Nizam tiba-tiba berdiri di hadapan Hizwan.


"Jangan risau." Tutur Hizwan. Dahi Nizam berkerut.

"Bukannya aku nak masuk ke dalam pun." Perlahan suara Hizwan. Nyata, dia tidak mahu kehadirannya disedari oleh Aliya mahupun Zaril. Dia berdiri di balik pintu. Telinganya cuba mendengar segala butir bicara.


Nizam terdiam. Dia tidak mungkin dapat memahami sepupu rakannya itu namun dia mengunci mulut. Membiarkan Hizwan berdiri di balik pintu itu.

***

"Apa yang awak cakap ni, Liya?" tanya Zaril, mengulang soalannya. Matanya merenung ke dalam mata Aliya yang berkaca-kaca. Ya, mungkin dia tersalah dengar. Takkanlah..

"Ya, saya cintakan awak, Zaril! Saya cintakan awak! Awak tahu tak betapa sakitnya hati saya terpaksa pendam semua ni sendirian?" Luah  Aliya.

Wajah Zaril jelas terpinga-pinga. Dia berundur. Kemudian tergeleng-geleng.

"Apa? Awak dengar tak apa yang keluar dari mulut awak ni?" Zaril menyoal.

"Saya tahu! Saya tahu apa yang saya rasa! Sejak saya nampak awak dengan perempuan tu, saya jadi marah! Saya benci! Saya sakit hati! Sakit hati saya, awak tahu tak, Zaril?" 

Perempuan mana? Zaril tertanya-tanya. Dia tidak faham. Dia tidak mengerti apa pun.

"Mungkin dia maksudkan Fiza. Aku terlupa nak beritahu kau. Selepas aku tinggalkan bilik kau dan biarkan kau dan Fiza, tak lama kemudian Aliya datang semula." Terang Nizam, yang berdiri di luar pintu.

Zaril kehilangan kata-kata. Jadi Aliya ada di situ?

"Saya sendiri tak faham mengapa saya rasa semua perasaan tu sedangkan saya tunang Hizwan! Saya ingatkan diri saya sendiri, saya tunang Hizwan! Tapi saya tak boleh hilangkan semua perasaan tu. Saya tak tahu bila saya mulai sayangkan awak. Bila saya cintakan awak. Saya tak tahu. Saya tak tahu." Tutur Aliya. Tangisannya tidak ingin berhenti. 

Sudah puas dia cuba membuang perasaan itu. Namun semuanya gagal. Dia dihambat rasa bersalah. Bersalah pada tunangnya kerana mencintai orang lain. Kerana itulah dia menjauhkan diri daripada Hizwan. Mengharapkan masa akan dapat mengubah perasaannya semula. 

Tetapi bila Hizwan mencarinya dan memberitahu tentang Fiza, jiwanya makin merana. Kesedihannya bukan kerana mengetahui Hizwan curang atau menipunya. Aneh, sedikitpun dia tidak merasa sedih kerana kecurangan tunangnya itu.  

Semasa Hizwan berkata-kata, dia hanya nampak Zaril. Ketika Hizwan bercerita tentang kecurangannya, dia hanya nampak Zaril memeluk seorang perempuan berambut panjang. Ketika Hizwan memohon maaf, dia cuma nampak Zaril di depannya. Segala-galanya Zaril!


"Saya tak boleh berdepan dengan semua ini lagi, Zaril! Saya tak boleh!" Luah Aliya. 

Zaril bungkam. Air mata Aliya dan segala pengakuannya cukup membuatkan dia kehilangan kata-kata. Fikirannya terasa kosong saat itu. Kosong.


"Saya cintakan awak, Zaril." Ucap Aliya. Dia sudah tidak mampu untuk menyembunyikan hakikat itu lagi. Dia cintakan lelaki itu. Dia cintakan Zaril!

Perlahan-lahan Zaril mendekati Aliya dan duduk betul-betul di hadapan gadis itu. Wajah Aliya ditatap lama. Mata bundar Aliya yang berkaca-kaca direnung, bersatu dengan matanya. Perlahan dia mengangkat tangan, menyentuh kedua pipi Aliya. Dia menarik nafas dalam-dalam. 

"Tapi saya tak, Liya. Saya tak cintakan awak." Bisik Zaril.

Terima kasih kepada semua pecinta Andainya Kau Tahu (Zaril, Aliya, Hizwan, Nizam, Fiza)!

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:

 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 11  | 12  | 13  | 14  | 15  | 16  |  17  |  18  |  19  |  20  |  21  |  22  |  23  | 24  | 25  |  26  |  27  |

Thursday, June 16, 2011

Andainya Kau Tahu - 27



Nizam cuba memutar tombol dari luar. Dahinya berkerut bila gagal memutar tombol pintu itu.

"Terkunci?" tanya Suhani, bila melihat reaksi wajahnya.

Nizam mengangguk. Gila ke apa, Zaril ni? Sekurang-kurangnya, bukalah pintu ni! Dia mengutuk di dalam hati. Matanya berkalih ke arah Suhani yang mengeluarkan telefon bimbitnya.

"Nak telefon JAIS ke?" Spontan pertanyaan itu melompat dari mulutnya.

Suhani terus menggeleng. "Abang Hizwan. Dari tadi call tak dapat-dapat." Beritahu Suhani, jujur.

"Eh, tak payah! Nanti-nanti saja call si Hizwan tu." Nizam terus menyambar telefon dari tangan Suhani.

"Tapi.."

"Shh.." Nizam mendekatkan telinga ke daun pintu, cuba mendengar apa yang berlaku di dalam bilik itu.

***

"Tolong pergi, Zaril." Luah Aliya, diselang-seli sedu-sedan.

"Saya takkan tinggalkan awak, Liya." Not now. Not ever. Tambah Zaril. Aliya dipeluk semakin erat. Dapat dirasakan hambatan kesedihan yang menyelubungi gadis itu. 

"Everything is going to be okay." Bisik Zaril. Aliya menahan sedu-sedan. Sungguh, dia benci dengan semua ini. Dia benci dengan apa yang terjadi. Tidak ada sesiapa pun yang akan memahami di dalam situasinya itu. Takde sesiapa! Termasuk Zaril sekalipun!

"Saya bawa makanan untuk awak, ya? Lepas ni awak isi perut awak yang kosong tu." Suara Zaril menampan lembut di telinga Aliya. Lelaki itu bangun. Langkahnya diheret ke arah pintu. Sempat dia menoleh ke arah Aliya yang terduduk di hujung katil sebelum memutar tombol pintu. Daun pintu dikuak perlahan.

Nizam yang mencuri dengar dari luar hampir terjatuh bila pintu dibuka. Cepat-cepat dia mengimbangkan tubuh, berdiri tegak semula. Raut wajahnya selamba, bagai tidak pernah membuat salah.

"Awak langsung tak tanya kenapa saya jadi macam ni, kan?" Tiba-tiba Aliya bersuara. Langkah Zaril mati di muka pintu. Nizam hanya diam mendengar. Suhani sekadar memerhati.

"Awak dah tahu kan?" Soal Aliya. Wajah Zaril direnung tajam. Ada sisa kemarahan di matanya itu.

Zaril diam sesaat. Dia tunduk, tidak sanggup bertentang mata dengan Aliya. Namun, tidak pula dia sampai hati untuk menipu gadis itu.

"Ya, mak Zaril ada beritahu saya tentang tindakan Hizwan. Tapi Hizwan dah tinggalkan Fiza, Liya. Itu semua cerita lama." Tutur Zaril.

"Fiza? Awak tahu nama perempuan tu? Apa lagi yang awak sembunyikan daripada saya, Zaril? Apa lagi?!" Tangisan Aliya semakin menjadi-jadi.

"Saya tak sembunyikan apa-apa lagi daripada awak." 

"Sepatutnya awak beritahu saya tentang Fiza. Tentang semuanya! Semua orang memang suka buat saya nampak bodoh, kan? Saya memang bodoh, Zaril. Bodoh sebab percayakan Hizwan. Dan bodoh sebab percayakan awak!"

"Jangan kata diri awak macam tu, Aliya." 

"Habis tu awak nak kata saya apa? Salah saya kerana terlalu percaya pada Hizwan."

"Saya sembunyikan semua tu sebab saya tak nak tengok awak bersedih macam ni, Liya!" Marah Zaril. Sudah tidak tahan dengan sikap Aliya. Apa lagi yang tidak kena? Mencerlung matanya memandang wajah sembab Aliya. Tidakkah Aliya faham, dia lakukan semua ini untuk diri Aliya? 


"Awak tahu tak adik awak di luar sedang bersedih sebab tengok awak dalam keadaan tak tentu arah begini.  Sampai hati awak biarkan orang lain bersedih kerana awak?" Soal Zaril. 

Aliya menutup kedua telinga. Enggan mendengar kata-kata Zaril. Enggan mendengar apa pun.

"Ada sebabnya Hizwan sembunyikan hal ini daripada awak selama ini. Dan saya cuma nak tengok awak bahagia dengan Hizwan. Susah sangatkah nak faham semua tu, Liya?!" Tambah Zaril, sakit hati melihat tindakan Aliya.

"Bahagia apa?! Hizwan tak cintakan saya! Dia cuma main-mainkan perasaan saya! Dia tipu saya! Dia tipu!" 

"Hizwan cintakan awak, Liya!"

"Tapi saya cintakan awak, Zaril!"

Nizam tergamam. Suhani terdiam. Zaril terpaku. Dia terpana.

"Apa, Liya?"

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:


 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 11  | 12  | 13  | 14  | 15  | 16  |  17  |  18  |  19  |  20  |  21  |  22  |  23  | 24  | 25  |  26  |