Thursday, June 23, 2011

Andainya Kau Tahu - 33

Namun belum sempat dia membuka langkah, pintu bilik itu tiba-tiba dikatup rapat. Dikunci dari dalam. Zaril tersentak. Pandangan matanya terarah ke pintu. Aliya juga memandang ke arah yang sama.

"Duduk." Arah suara itu kepada Zaril. 

Sekali lagi Zaril kehilangan kata-kata. Mahu mengatakan sesuatu namun tersekat di kerongkong. Serta-merta dia duduk.

"Duduk Aliya." Suara itu mengarah Aliya pula. Dia mengambil tempat duduk bertentangan dengan Zaril.

"Apa semua ni, Hizwan? Kenapa awak tak bersiap lagi? Mana baju pengantin awak?" Aliya bertanya bertubi-tubi. Dia memerhatikan Hizwan. Selamba sahaja dengan seluar jean dan jaket kulit. Beginikah keadaan lelaki itu ketika bernikah nanti?


Hizwan tersenyum. Matanya merenung Aliya. Cantik, dia memuji. Kemudian, dia mengeluarkan sebuah buku dengan ketebalan sederhana yang dibawa bersamanya. Raut wajah Zaril serta-merta berubah. Direnungnya wajah Hizwan namun sepupunya itu berlagak selamba.

"Saya nak bacakan sebuah cerita untuk awak, Aliya." Tutur Hizwan.

"Cerita apa pula? Awak sedar tak kita akan berkahwin sekejap lagi, Hizwan?" Soal Aliya, tidak faham dengan apa yang sedang berlaku.

Namun kata-katanya tidak diendahkan oleh Hizwan. Lelaki itu membuka lembaran buku yang dikeluarkannya.

"2 Januari 2008. Pertama kali aku bersua dengan dia. Si dia berkaca mata. Rambut panjangnya dibiar lepas. Comel. Tanpa sedar aku mengekorinya. Mataku tidak lepas menilik wajahnya. Namun dia hilang dalam kesesakan ramai. Aku kecewa. Adakah aku boleh bertemunya esok?" Hizwan membaca lancar. Matanya mengerling ke arah Zaril. Dapat dikesan sepupunya itu tunduk, enggan mengangkat muka.

"Buku apa awak baca tu, Hizwan?" tanya Aliya. Tidak faham dengan apa yang dibaca oleh tunangnya itu.

"4 Januari 2008. Semalam aku tak nampak dia di mana-mana. Tapi hari ini aku jumpa dia lagi. Aku bertembung bahu dengannya. Aku sengaja sebenarnya. Dia terjatuh. Fail yang dipegangnya dan kaca matanya jatuh ke lantai. Cepat-cepat dia tunduk, mengutip barangnya. Aku tunduk sama. Hati diserang rasa bersalah. Aku mencapai kaca matanya lalu dihulurkan kepadanya. Saat itulah aku kehilangan kata-kata. Aku terkedu melihat sepasang matanya yang cantik. Sudah jatuh cintakah aku?"

"Hizwan, saya takde masa nak dengar cerita awak ni." Aliya hilang sabar bila dirinya tidak diendahkan oleh Hizwan.

"10 Januari 2008. Akhirnya aku berjaya juga melihat nama yang tertera pada kad pekerja yang digantung di lehernya. Liya. Dia pekerja di Syarikat Mega Union rupanya. Liya, tahukah kau aku dah jatuh cinta kepada kau? Andainya kau tahu apa yang ada di dalam hati ini.." Hizwan menghentikan pembacaannya.

Aliya terdiam. Syarikat Mega Union? Itu tempat kerja lamanya tiga tahun lalu. Hizwan tidak pernah tahu tentang hal itu. Nanti dulu! Buku apa yang dibaca oleh Hizwan itu?

"Buku ni, diari milik Zaril. Maaf Zaril, aku terpaksa 'pinjam' diari kau hari ini," kata Hizwan, menghulurkan diari Zaril semula kepada Zaril.

Zaril sekadar membisu. Lidah Aliya terasa kelu. Diari Zaril? Tiga tahun lalu? Jadi lelaki itu mencintainya? Sejak tiga tahun lalu? Kenapa Zaril menipunya tempoh hari?

"Dan untuk kau Zaril, diari Aliya." Hizwan mengeluarkan pula sebuah buku tebal berwarna merah jambu. Aliya terkejut. Bagaimana diari miliknya berada di tangan Hizwan? Satu nama melintas di fikirannya saat itu. Suhani..

"13 Februari 2009. Dear diari. Hari ni aku ternampak sepasang kekasih. Sama-sama kacak dan cantik. Hairan, aku seperti pernah melihat lelaki itu tapi di mana, ya?" Hizwan menyelak helaian lain pula.

"21 Februari 2009. Dear diari. Aku ternampak sepasang kekasih. Lelaki yang sama tetapi perempuan lain pula. Buaya rupanya lelaki itu. Aku terdengar perempuan itu memanggilnya Zaril. Zaril? Pernahkah kita berjumpa sebelum ini?"

Zaril merenung wajah Aliya. Gadis itu juga diam, seperti dirinya sebentar tadi.

"Zaril cintakan Aliya sejak tiga tahun lalu. Aliya pula cintakan Zaril sejak dua tahun lalu. Dan aku hanya kenal Aliya setahun yang lalu. Apalah sangat kehadiran aku kalau nak dibandingkan dengan kamu berdua?"

"Hizwan.." Aliya memanggil nama itu. Dia tidak mahu lelaki itu berkata apa-apa lagi. Sudah cukuplah tu. Jangan kata apa-apa lagi, Hizwan. Dia merayu. 

"Hari ni, bukan aku yang akan bernikah dengan Aliya malam ni. Tapi kau, Zaril." Ujar Hizwan. Sudah lama dia berfikir. Secara tidak sengaja dia terjumpa diari Zaril bila pembantu rumahnya mengemaskan barangan Zaril yang masih tertinggal di rumahnya. Dan selepas itulah baru dia sedar Zaril sudah lama mencintai Aliya. Aliya tidak bertepuk sebelah tangan.

"Kau bergurau kan?" Soal Zaril. Seakan tidak dapat mempercayai segala bicara Hizwan. Sudah hilang akalkah sepupunya itu? Sudahlah diarinya dan Aliya 'dipinjam' oleh Hizwan tanpa kebenaran. Kini, Hizwan mahu dia berkahwin dengan Aliya pula?


"Tak. Aku tak bergurau. Semua orang di luar dah tahu aku takkan berkahwin dengan Aliya tapi kau. Kau yang akan kahwin dengan Aliya. Tok kadi pun tengah tunggu kau sekarang." Ujar Hizwan, memandang ke arah Zaril.

"What?!" Zaril terkejut. Aliya terperanjat. Lelaki itu sudah menentukan segalanya sejak mula.

"Aku tahu kau buat semua ni sebab nak balas budi keluarga aku. Tapi Zaril, keluarga aku menjaga kau selepas kemalangan yang berlaku ke atas ibu bapa kau sebab kita sekeluarga. Takde kaitan kalau kau nak balas budi keluarga aku dengan cara ni." 

Zaril hanya mampu mendiamkan diri. Ya, dia memang melakukan segalanya kerana Hizwan dan keluarganya telah banyak berbudi kepadanya. Saat dia keseorangan, melihat ibu dan bapanya di dalam liang lahad, Hizwan lah yang menjadi temannya. Ketika dia terasa sendiri di dunia, Hizwanlah yang membawanya tinggal bersama keluarganya.

Tidak sanggup rasanya dia berebut Aliya dengan sepupunya itu bila dia mendapat tahu Hizwan bertunang dengan Aliya. Dia lebih rela mengundur diri.

Hizwan bangun. Dia memaut bahu sepupunya itu, membuat Zaril juga berdiri.

"Baju pengantin dah tersedia. Cepat pakai, okey?" Ujar Hizwan. Zaril mengukir senyum. Dia menarik tubuh Hizwan, memeluk sepupunya erat. Hizwan memandang ke arah Aliya. Gadis itu merenungnya sayu. Ada tangisan bergenang di mata itu.

"Hizwan.." Dia menyebut nama lelaki itu. Sungguh, dia tidak menduga Hizwan akan mengambil tindakan sebegitu.

Hizwan melepaskan Zaril. Dia mendekati Aliya. Air mata yang mengalir di pipi gadis itu diseka perlahan.

"Mulai hari ni saya pasti Zaril takkan biarkan air mata awak menitik walau setitis pun."

"Tapi.."

"Shh.. Saya cintakan awak, Aliya. Sangat-sangat cintakan awak. Tapi ada orang lebih cintakan awak daripada saya. Dan awak pun cintakan dia." Hizwan menuturkan kata-kata.

Aliya cuba mengukir senyum. Dia terharu. Sungguh.

"Pergilah," kata Hizwan, melepaskan Aliya pergi. Zaril sudah pun berdiri di muka pintu dengan Nizam yang sedang memegang pakaian pengantinnya.

Aliya mengorak langkah, mara ke arah pintu. Namun tangannya tiba-tiba direntap Hizwan. Langkah Aliya terhenti. Pandangannya tertumpu pada Hizwan.

"Awak tak perlukan ini lagi." Perlahan-lahan Hizwan menarik cincin tunang dari jari manis Aliya. Aliya memandang jarinya yang kosong.

"Terima kasih, Hizwan." Ucap Aliya, ikhlas dari hati.

Hizwan sekadar mengangguk. Dia memerhatikan sahaja Aliya dan Zaril keluar dari bilik tersebut. Meninggalkan dirinya sendiri di situ. Dia tunduk memandang cincin Aliya di tangannya. Air mata lelakinya jatuh jua ke pipi.

***
Aliya bangun dari lenanya. Matanya terpaku pada Zaril yang berdiri di beranda menghadap cahaya purnama yang terang. Dia bangkit dari katil. Langkahnya diatur kemas ke arah Zaril.

"Awak tak pernah cakap awak cintakan saya." Bisik Aliya. Terasa bahagia. Sudah hampir satu minggu berlalu sejak mereka berkahwin. Dia benar-benar bahagia di sisi Zaril.

"Kan saya dah pernah cakap." Balas Zaril, mengundang cubitan dari tangan Aliya. Zaril mengaduh sakit. Terasa berbisa pada lengannya. Aduh..

"Mana ada! Hizwan yang baca dari diari awak. Awak mana pernah cakap awak cintakan saya. Awak cuma kata, 'Tapi saya tak, Liya. Saya tak cintakan awak.'" Aliya mengajuk kata-kata Zaril. Lengkap dengan gayanya sekali.

Membuntang mata Zaril. Berani Aliya mengajuk dirinya?

"Berani awak, ya!" Zaril berpusing. Cuba mengejar Aliya namun gadis itu pantas melarikan diri. Namun Zaril  berjaya menggapai tangan Aliya. Pegangannya kemas.

"Lepas." Pinta Aliya, bila gagal menarik semula tangannya.

"Saya takkan lepaskan awak sampai bila-bila." Ditarik Aliya rapat ke dalam dakapan. Aliya terpana. Terkedu seketika melihat Zaril yang begitu hampir dengan dirinya. Jantungnya berdegup laju. Ada debar di dadanya. Dapat dirasakan Zaril juga punya debaran yang sama.

"I love you, Liya." Ucap Zaril. Aliya tersenyum. Terharu. Pertama kali dia mendengar Zaril mengungkapkan kata-kata cinta kepadanya.

"Tak dengar." Usik Aliya, berbohong. Masakan dia tidak mendengar suara Zaril yang jelas menampan telinganya.

"I love you." Ulang Zaril.

"Apa dia? Tak dengar."

Zaril tertawa perlahan. Tahu Aliya sengaja mahu mengusik jiwanya.

" I love you, I love you, I love you. Awak nak saya ulang sampai bila-bila pun boleh, Liya."

Kedengaran tawa Aliya meletus. " Love you too."

-TAMAT-

Terima kasih pencinta Andainya Kau Tahu

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:

 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 11  | 12  | 13  | 14  | 15  | 16  |  17  |  18  |  19  |  20  |  21  |  22  |  23  | 24  | 25  |  26  |  27  |  28  |  29  |  30  |  31  |  32  |


8 comments:

a'aina camilla said...

yeay..dh abes..happy ending~hehe

Anonymous said...

nk sambung lg...x puas lg baca...

rubi @ cawan2 said...

yeay!!! hehe..

anon: permintaan tanpa nama akan diabaikan. haha.. tgok lah. kalo ada jodoh, ada la AKT 2. (agaknya)

i M a Z a i M i said...

alamak..dah hbs ke?? x puas lahhh...

rubi @ cawan2 said...

cukup le tewww... hehehe...

after this, new novel!

Ayie a.k.a Yizuue said...

Yeeeahh!
New novel nya romantis jg ya
hehehe

anne anney said...

1st time dtg sni, i bce munkinkah hatimu milikku, then bukan sekadar cinta lepas tu andainya kau tahu. Heran apasal nama nizam, hizwan n zaril ni ada kt sni. Rupanya bukan sekadar cinta adalah kesinambungan cerita ni la yer cik writer? Tapi ceritanya adalah ttg nizam la pula kn....kn..?

norihan mohd yusof said...

best nyer..akk baca dr awal hingga end dek,teramat amat best nyer...pengakhiran yg sungguh memuas kn hati akk dek...tq 2 u dek...

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)