Wednesday, June 8, 2011

Andainya Kau Tahu - 19


Nombor yang sama didail buat kali yang entah keberapa. Namun jawapannya tetap sama.

"Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi.." Hizwan menekan butang merah sebelum melemparkan telefon bimbitnya ke dinding. Berkecai di atas lantai.

Hizwan meraup wajahnya ke belakang, membetulkan rambutnya yang kusut. Sedikitpun tidak rasa kesal melihat serpihan telefon bimbitnya. Hatinya membungkal dengan rasa marah. Tiga hari Aliya menghilangkan diri tanpa khabar berita. Telefon bimbit langsung tidak dapat dihubungi. Seolah dimatikan dengan sengaja oleh tunangnya itu. 

Ke mana dia pergi?! Hizwan membentak dalam diam. Dia merengus perlahan. Matanya tertoleh ke arah kunci kereta di atas meja. Laju sahaja tangannya mencapai kunci kereta sebelum melangkah keluar dari biliknya. Pintu bilik berdentum kuat, dihempas Hizwan.

"Tuan Hizwan.." Panggil pembantu rumahnya.

"Saya nak keluar." Ujar Hizwan, memotong kata-kata pembantu rumahnya itu.

Dia mara ke arah kereta. Enjin kereta dihidupkan sebelum Hizwan memecut laju meninggalkan kediamannya. Dalam perjalanan pelbagai andaian melintasi fikirannya. Mengapa Aliya enggan menjawab panggilannya? Marah lagikah dengan dirinya?

Sedar tidak sedar keretanya sudah tiba di hadapan rumah sewa Aliya. Matanya dapat melihat kereta Aliya ada di rumah itu. Serta-merta dia tersenyum.


***
Sinar mentari pagi menyentuh pipi Zaril yang sedang lena. Perlahan-lahan dia membuka mata dan beransur bangun lalu bersandar pada kepala katil. Zaril menyentuh bahagian perut kirinya. Dia memejamkan mata, masih terasa sakit. 

Dari ekor matanya, dia seakan dapat melihat ada seseorang sedang bersandar di dinding, memerhatikannya. Zaril menoleh. Hampir gugur jantungnya melihat Nizam berdiri di situ sambil merenung dirinya.

Pantas dia mengurut dada, begitu terkejut dengan kehadiran Nizam. Bila pula lelaki itu masuk ke biliknya?

"Aku dengar kau sakit." Tutur Nizam. Dia mara ke arah katil Zaril. Sebuah kerusi ditarik lalu dia duduk dekat dengan rakannya itu.

"Taklah. Kan aku dah beritahu kau hari tu, aku penat sikit je."

"Penat sikit?" Nizam tergeleng. Ada senyuman sinis di hujung bibirnya. Tiba-tiba dia bangun dan menyelak baju Zaril, menampakkan kesan balutan dekat bahagian perut Zaril.

"Habis tu, itu apa?" Nizam menuding jari ke arah kesan balutan itu.

Zaril menarik semula bajunya. "Mana kau tahu?"

Wajah Zaril biasa-biasa sahaja. Hairan pula dari mana Nizam mengetahui hal itu. Setahunya, dia sudah memaksa Azhar berjanji dengannya. Takkanlah Azhar nak mungkir janji pula?

"Jururawat yang balut kau beritahu aku. Tak susah nak korek rahsia cuma kena pandai mengayat sikit aje." Nizam tersenyum seraya mengangkat-angkat keningnya.

Zaril tergeleng. Dia terlupa akan 'bakat' semulajadi Nizam itu. Tidak ada perempuan yang gagal cair di tangan Nizam. Sama seperti dirinya juga.

"Berbaloi ke kau buat semua ni hanya untuk perempuan tu?" tanya Nizam.

"Apa yang kau cakap ni?" Zaril pura-pura tidak mengerti. Baru sahaja Nizam mahu membuka mulut, Aliya pula masuk ke dalam bilik.

"Dia buat apa di sini?" Nizam terkejut. Mendongak matanya memandang Aliya yang berdiri dengan dulang berisi makanan dan minuman. Sejak bila pula ada perempuan di rumah Zaril?

"Dia Aliya. Dua tiga hari ni dia yang jaga aku." Ujar Zaril lalu memperkenalkan Nizam kepada Aliya. Nizam tersenyum ramah. Oh, dialah Aliya..

"Saya bawakan sarapan untuk Zaril dan untuk awak juga." Beritahu Aliya, kekok dengan pandangan Nizam. Apa yang tak kena?


"Thanks a lot honey." Zaril menggeleng melihat usikan Nizam. Nizam pula hanya memandang Aliya melangkah keluar dari bilik Zaril. Kemudian pandangannya terus ditujukan semula ke arah Zaril.

"Apa?" Zaril bertanya, tidak faham dengan renungan nakal Nizam itu.

"Sejak bila benda ni berlaku, Zaril? Kenapa aku tak tahu apa-apa?" Nizam bertanya penuh minat. Wajah Nizam begitu ceria, beria-ia ingin mengetahui segala-galanya.

Zaril menepuk dahi.

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:

 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 11  | 12  | 13  | 14  | 15  | 16  |  17  |  18  |

4 comments:

i M a Z a i M i said...

jap2! *mukaberkerut*

asal sume laki dlm cerita ni hensem2? *musykil* agagagaga

rubi @ cawan2 said...

maap. saya tak kenal lelaki yang tak kacak. agagaga...

a'aina camilla said...

oh no...not my dean..huhu...u xknl lelaki xkacak?pergh...

rubi @ cawan2 said...

statement undang penampar. haha.. mcm tak biasa. kekekeke..

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)