Sunday, June 12, 2011

Andainya Kau Tahu - 23


Lapangan terbang kedengaran hingar-bingar dengan bunyi pesawat terbang di udara. Fiza mengheret begnya ke arah pintu pelepasan. Dia berpaling sekali, memandang negara ini buat kali terakhir. Melihat suasana yang bakal dirinduinya.

Dia akan merindui udara di negara itu. Dia akan merindui Hizwan yang pernah bertakhta di hatinya. Dan nyata sekali, dia akan merindui Zaril yang begitu baik kepada dirinya. Hanya dia sahaja yang tersilap memahami lelaki itu selama ini.

Fiza tunduk, cuba menahan air matanya daripada mengalir. Dia datang sendirian ke negara itu dan akan pergi sendirian. Terasa begitu sunyi jiwanya tika itu. Benarkah kata Zaril, dia akan menemui apa yang dicarinya di tempat lain? Benarkah kekosongannya akan terubat di tempat baru?

Beg ditarik mendekati pintu pelepasan yang terletak tidak jauh di hadapan. Langkahnya digagahkan agar dapat terus meninggalkan tempat yang penuh kenangan itu.

"Pergi tanpa ucapkan selamat tinggal?" tanya satu suara.

Fiza berpaling. Dia tergamam. Namun tidak lama kemudian, ada senyuman terukir mekar di wajahnya. 


"You tak patut datang," kata Fiza.

"I tak sampai hati biarkan you pergi macam tu aje. Oh, sebelum terlupa, ini kawan I, Nizam." Tutur Zaril, membuatkan sekeping hati Fiza terharu gembira.

Fiza menghulurkan tangan kepada jejaka itu. "Fiza." Dia memperkenalkan dirinya. 

"Saya tahu." Nizam tersengih ramah, seperti biasa.

"Ada hadiah untuk you. Dari I dan Nizam. Well, Nizam yang nak sangat beli untuk you sebenarnya." Beritahu Zaril, spontan mengundang Nizam menyiku tubuhnya. Fiza tergelak melihat telatah dua sahabat itu. Terubat lara di hatinya tika itu. Hadiah berbalut indah itu diterima dengan hati terbuka.

"Thanks, Nizam, Zaril. I naik dulu?" Fiza mengundur diri. Zaril dan Nizam sama-sama mengangguk.

"Take care." Ucap Zaril dan Nizam, hampir serentak. Mereka melambaikan tangan tika Fiza yang berdiri di pintu pelepasan melambai ke arah mereka.

"She's so sweet, Zaril." Luah Nizam, ketika berpatah balik meninggalkan kawasan lapangan terbang.

"Kenapa? Berminat?" tanya Zaril. Rakannya itu pantang melihat perempuan cantik. Semua hendak dikebasnya. 

Nizam menggeleng sekali. "Aku ada pilihan aku sendiri." 

Zaril hanya tertawa. "Iyalah tu!" Mereka berdua menyusun langkah keluar dari lapangan terbang.

***
Fiza menyeka air matanya. Dia memegang kemas hadiah daripada Zaril dan Nizam. Dia akan menyimpan kenangan itu sebaiknya. 

"Excuse me. Boleh saya.." Fiza mendongak, memerhatikan penumpang kapal terbang yang memintanya beralih agar dia dapat masuk ke tempat duduknya. 

"Sorry." Fiza bangun, memberikan laluan kepada penumpang itu.

Penumpang bertubuh tinggi lampai itu duduk di sebelahnya. "Minta maaflah kalau menyibuk tapi awak menangis?"

Fiza menggeleng. "Tak. Mata saya masuk habuk."

"Oh, saya nampak pramugari tadi bukak tingkap kapal terbang tadi. Mungkin ada habuk masuk dari situ." Gurau penumpang itu. Fiza terpinga seketika namun akhirnya dia tertawa. Mana mungkin tingkap kapal terbang dibuka sembarangan.


"By the way, saya Sharil." Lelaki itu memperkenalkan diri. Dia memberikan sapu tangannya kepada gadis tersebut.

"Saya Fiza. Terima kasih." Fiza menyambut sapu tangan yang dihulurkan.

"Kasih diterima." 

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:

 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 11  | 12  | 13  | 14  | 15  | 16  |  17  |  18  |  19  |  20  |  21  |  22  |

2 comments:

i M a Z a i M i said...

hahaha...superman lak muncul? kikiki

IVORYGINGER said...

Yoo... my hero is here. Asal la xjumpakan dia dgn Liya??? cik Fiza ni lak yg dpt. he... ;D

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)