Tuesday, June 7, 2011

Andainya Kau Tahu - 17


"Hah? Kalah lagi? Nasib baik aku tak tengok!" Lelaki yang berbual di telefon bimbit itu ketawa berdekah-dekah. Dia menolak pintu kafe.

"Okey, okey! Aku dalam kafe ni. Karang mengamuk pula orang dalam kafe bila dengar aku berborak macam  orang pekak ni." Ujarnya lalu tergelak-gelak lagi. Dia menyimpan semula telefon bimbitnya. Dia melangkah masuk ke dalam kafe. Bau aroma kopi yang harum menusuk hidungnya.

Tika itu, pandangannya terarah kepada seorang jejaka yang duduk menopang kepala di meja. Dia kenal benar dengan jejaka itu. Perlahan langkahnya diatur ke arah itu. Kerusi ditarik, dan dia duduk di sebelahnya.


"Zaril?" Dia menyapa. Zaril mendongak. Wajahnya tampak benar-benar lesu dan letih. Dia mengurut pangkal hidungnya, cuba menghilangkan kepenatan.

"Ada apa Nizam?" tanya Zaril. Suaranya kedengaran tidak bermaya sahaja.

"Kenapa dengan kau ni? Penat semacam je aku tengok?" tanya Nizam, tidak menjawab pula soalan tadi. Soalan Zaril tadi tidak penting. Namun keadaan Zaril benar-benar membimbangkan dirinya. Sudah agak lama juga Zaril menghilangkan diri. Ke mana Zaril pergi? Mengapa dia kelihatan begitu tidak terurus?

Zaril membisu. Lebih baik dia tidak menceritakan apa-apa kepada sahabatnya itu. Lagipun, Nizam tidak perlu tahu, fikir Zaril.

"Takde apa-apa. Aku cuma penat." Bohong Zaril.

Nizam sekadar menjungkit bahu. Bukannya tidak kenal pada Zaril. Segalanya hendak dipendamkan dan ditanggung sendiri. 

"Coffee latte satu, ya." Pesan Nizam bila ditanya oleh pelayan kafe. Sementara menunggu, matanya ralat memerhatikan Zaril. Secawan kopi panas sampai ke meja mereka. Dihirup Nizam perlahan-lahan. 

Nikmatnya, bisik Nizam. Lega dapat menikmati kopi di waktu sejuk sebegitu. Sesekali matanya beralih ke arah luar. Hujan turun lebat sejak tadi membuatkan suasana kota jadi sejuk. Sehingga menggigit ke tulang hitam.

"Oh, ya. Malam ni Nurin adakan majlis hari lahir. Aku nak ke sana sekejap lagi. Kau nak ikut?" tanya Nizam.

Zaril menggeleng. Tidak larat rasanya untuk ke mana-mana. Dia hanya mahu berehat, melepaskan keletihan yang menghambat dirinya.

"Kalau macam tu, aku gerak dulu. Betul, tak nak ikut?" soal Nizam, sekali lagi. Nizam meletakkan beberapa keping not kertas di bawah cawan kopinya. 

Zaril hanya mengangguk. Dihantarnya Nizam keluar dengan pandangan mata. Zaril berpaling semula ke arah cawannya dan saat itu, pandangannya jatuh ke atas satu wajah yang amat dikenalinya. Dia tergamam.


"Liya?" Zaril menyebut nama itu.

Aliya tersenyum namun sinar matanya tidak menunjukkan keceriaan. Zaril kehairanan. Dia bangun, menuju ke arah Aliya. Gadis itu hanya tunduk, memandang cawannya yang telah kosong.

"Sejak bila awak ada di sini?" tanya Zaril. Sungguh dia tidak perasan sejak bila gadis itu ada di dalam kafe yang sama. Saat itu baru dia tersedar. Sudah agak lama dia tidak bertemu gadis itu. Liya.. diseru nama itu lagi.

"Dah lama. Saya pun baru perasan awak tadi." Ujar Aliya, tidak ceria seperti biasa.

"Liya ok? Sebab saya nampak Liya macam tak kena saja." Ujar Zaril. Lupa dia pada keletihan yang dialaminya sejak seminggu lalu. Lupa pada Hizwan yang mula memusuhi dirinya.

"Saya.. ok. Saya okey." Jawapan Aliya sendiri kedengaran teragak-agak. Zaril diam, tidak mampu terkata apa lagi. Dia tahu ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Aliya. Tetapi siapalah dia untuk memaksa jika Aliya enggan membuka mulut.

"Awak ok? Nampak penat saja." Tegur Aliya, memerhatikan Zaril. Lelaki itu tampak lelah. Pucat muka Zaril di matanya tika itu.

"Saya okey." Zaril meneguk minumannya. Keadaan jadi sunyi seketika. Hanya terdengar alunan muzik yang dipasang di kafe.

"Kalau ada apa-apa masalah, awak tahu awak boleh harapkan saya, Liya." Tutur Zaril, memandang cawannya yang sudah kosong.

Aliya diam. Saya tahu.. Dia menjawab dalam diam. Tika itu dia teringatkan tuduhan Hizwan. Ah, lelaki itu makin sukar untuk difahami. Takkanlah hendak cemburu dengan sepupu sendiri?

Agak lama Zaril dan Aliya duduk di kafe itu. Masing-masing meneladeni perasaan sendiri. Langsung tidak berbicara walau sepatah pun. Zaril  kusut dengan masalahnya. Aliya rimas dengan masalahnya.

"Kami nak tutup kedai." Sapa pemilik kafe kepada Zaril dan Aliya. Menghormati permintaan pemilik kafe, Zaril dan Aliya bangun dari tempat duduk. Ketika Aliya membuka dompet untuk membayar, Zaril terlebih dahulu membayar untuknya.

"Takpe. Saya belanja." Bicara Zaril. Aliya mengangguk lalu mengucapkan terima kasih.

Hujan lebat pada malam itu sudah pun reda. Zaril dan Aliya melangkah di sepanjang jalan. Zaril memasukkan kedua tangan ke dalam saku baju kulitnya. Adakah cuaca memang sesejuk itu atau dia sahaja yang menggigil kesejukan?

"Saya gaduh dengan Hizwan." Aliya akhirnya membuka mulut.

Dah agak dah.. "Pasal apa?"

"Entahlah. Saya pun tak tahu. Tiba-tiba sahaja.." Aliya diam. Takkanlah dia hendak memberitahu Zaril bahawa Hizwan cemburu dengan diri Zaril? Apa pula yang akan difikirkan Zaril nanti.

"Kadang-kadang Hizwan memang ada angin. Self-possession. Suka take control." Pendek sahaja kata-kata Zaril, namun cukup bermakna untuk difikirkan oleh Aliya. Ya, mungkin Hizwan tidak dapat mengawal perasaannya tika itu.

"Tapi Zaril.." Aliya menoleh ke sisi. Lelaki itu sudah tiada di sebelahnya. Ke mana lelaki itu pergi?

Dia menoleh ke belakang. Matanya terpaku ke arah Zaril yang tertunduk di atas jalan. Wajah Zaril jelas pucat lesi, bagai tiada darah.

"Zaril?! Kenapa ni?" Aliya bimbang. Apa yang tidak kena pada Zaril? Diperhatikan Zaril bernafas perlahan. Wajahnya berkerut, seakan sedang menanggung rasa sakit yang tidak tertahan.


Zaril tidak memberi apa-apa respons. Tubuhnya terasa lemah dan akhirnya dia rebah di dalam dakapan Aliya.

"Zaril? Tolong! Tolong!!" Aliya memaut tubuh Zaril. Pandangannya dihalakan ke arah beberapa orang yang sedang meluru ke arah mereka.

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:

 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 11  | 12  | 13  | 14  | 15  | 16  |

5 comments:

a'aina camilla said...

ad missing word di situ...tapi xpe..i phm..nice..more observation and details..reader pn le feel suasana kt sane...congrates..

diya jamal said...

hehe.. tengs~ 1st reader yg prihatin. i loike~ da btulkan pon. wuhuuu..

i M a Z a i M i said...

semakin x leh tinggalkan cerita ni..btw, suka sangat bila dah mula banyak gambar2 yg kena dgn jln cerita..membantu pemahaman :)

diya jamal said...

separuh nyawa cari gmbr diorg. help~ help~

i M a Z a i M i said...

ade kerja kosong x? haha

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)