Tuesday, June 7, 2011

Andainya Kau Tahu - 16


"Hizwan, siapa Fiza?"

"Mana awak dapat nama tu?" Riak muka Hizwan biasa-biasa sahaja Seolah tidak terkesan dengan nama itu. Dia mara ke arah cermin, memastikan tali leher dipakai elok.

"Emel awak muncul tadi. It says.."

"We need to talk. Please?" Potong Hizwan.

Berkerut dahi Aliya. Tepat sekali kata-kata Hizwan. "Ya, macam mana awak tahu?"

"Saya pasti dia cuma nak minta sumbangan dari syarikat saya. Abaikan saja." Jelas Hizwan. Aliya mengangguk faham. 

"Awak tak nak balas emel tu? Apa salahnya berikan sumbangan jika betul dia memerlukan."

Hizwan menggeleng, tidak setuju. "Dia mungkin dah hantar emel yang sama pada Zaril. Biar Zaril yang uruskan."

Hizwan melangkah ke arah Aliya. Dihulurkan tangannya ke arah tunangnya itu. "Jom?"

Aliya menyambut huluran tangan Hizwan. Seulas senyum mekar di bibir lelaki itu. 

***
Aliya sedang melihat cincin yang ada di kedai barang kemas itu bila disapa seseorang. Spontan, bibirnya mengukir senyuman mesra.


"Shah? Awak buat apa di sini?" tanya Aliya. Gembira dapat melihat rakannya yang seorang itu. Sudah lama dia tidak bertemu dengan Shah. Baru hari ini mereka dapat berjumpa.

"Main tenis." Gurau Shah, mengundang tawa Aliya. Dia sedar lelaki itu bergurau. Mana mungkin orang datang ke pusat membeli belah untuk bermain tenis.

"Seorang saja ke?" tanya Aliya. Shah pantas mengangguk. 

"Macam biasalah. Aliya pula? Datang dengan siapa? Tunang?" Teka Shah. 

"Ya, tunang saya tengah betulkan cincin. Longgar sangat." Aliya menunjukkan jarinya yang kosong. Matanya beralih ke arah Hizwan yang sedang berdiri membelakangi dirinya dan Shah, sedang memerhatikan tukang emas membetulkan cincinnya.

Berkerut dahi Shah. "Tunang awak yang berambut cecah leher tu ke?" Dia bertanya.

"Ya. Kenapa tanya macam tu?" Kali ini Aliya pula pelik.

"Saya ingat lelaki yang rambut pendek tu tunang Aliya. Salah orang rupanya." Shah tersengih-sengih. 

Aliya terkedu. Dia maksudkan Zaril ke? Dia tergeleng. Zaril disangka tunangnya? Memang selama ini Zaril yang selalu menemankannya walau ke mana sahaja andainya Hizwan sibuk. Ah, apa khabar Zaril agaknya? Sudah lama lelaki itu menghilang. Ke mana lelaki itu pergi?

"Yang awak selalu nampak tu, Zaril. Dia sepupu Hizwan." Beritahu Aliya, tidak mahu Shah terus salah faham.

"Siapa ni, Aliya?" tanya Hizwan, tiba-tiba muncul di hadapan Aliya dan Shah. Sejak tadi dia memerhatikan gerak geri mereka berdua. Mesra sahaja tingkahlaku Aliya di hadapan Shah. Sakit pula hatinya. Ingin sahaja dikoyak-koyakkan bibir lelaki yang tersenyum ketika berbual dengan tunangnya itu. 

"Shah, ini Hizwan, tunang saya. Hizwan, Shah." Aliya memperkenalkan. Tidak pula dia mengesan api kemarahan di wajah Hizwan tika itu.

"Hai, saya kawan lama Aliya." Shah menghulurkan tangan untuk bejabat. Riak wajahnya berubah bila Hizwan menyambut tangannya dengan genggaman kemas.

"Tunang Aliya." Tutur Hizwan, senada.

Shah mengangguk faham. Seolah dapat mengesan ketegangan daripada Hizwan.

"Aliya, saya tak boleh lama-lama ni. Kawan saya tunggu."

"Tapi bukankah awak kata awak datang seorang tadi?"

"Ya, datang seorang. Tapi balik ramai. Saya pergi dulu." Shah cepat-cepat mengangkat kaki, pergi dari situ. 

"Awak tak pernah beritahu saya apa-apa tentang Shah." Ujar Hizwan setelah memastikan Shah hilang dari pandangan matanya.

"Sebab saya dah lama tak jumpa dia. Mana cincin saya?" tanya Aliya, mencari cincinnya di tangan Hizwan.

"Berapa ramai kawan yang awak tak ceritakan pada saya, Aliya?"

Wajah Aliya berkerut. Diperhatikan Hizwan yang sedang merenungnya tajam, seakan sedang menahan marah.


"Saya sibuk betulkan cincin awak dan awak boleh berbual dengan lelaki lain, di belakang saya?" Perlahan suara Hizwan, namun setiap bait katanya cukup menghiris hati Aliya.

"Shah cuma kawan biasa, Hizwan." Terang Aliya. Air matanya terasa mahu mengalir saat itu.

"Shah kawan biasa. Habis tu, Zaril? Kawan luar biasa?"

"Hizwan?!" Aliya semakin keliru. Dari mana pula datangnya isu tentang Zaril? Tidak faham mengapa Hizwan tiba-tiba berubah angin.

"Dahlah, saya nak balik!" Hizwan melangkah, meninggalkan Aliya sendiri di situ. 

bersambung..

Episod 'Andainya Kau Tahu' yang lalu:

 |  |  |  |  |   |  |   |   |  10  | 11  | 12  | 13  | 14  | 15  |

3 comments:

i M a Z a i M i said...

nampak sgt hizwan ni tamak...kwn lama pun dah cemburu x tentu pasal..yg dia lagi lah besar kslahan dia. x berterus terang ngan aliya. huh!

diya jamal said...

waa.. jgn slhkan hizwan.. i suke hizwan~ (haha.. giler..)

Hajar said...

cis, emosi lak hizwan nih. padahal dia yang selalu suruh zaril temankan aliya. heh.

oh hai tuan rumah! saya datang follow cerita awak =)

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)