Friday, December 29, 2017

Cinta Untuk Mr. Hero - 8

Spek hitam? Ada. Skarf? Checked! Apa lagi? Oh, ya! Dia perlukan sesuatu untuk menutup muka. Melilau mata Zalya mencari sebarang objek yang boleh dia guna. Majalah e-Hawa yang terdampar di atas meja terus digapainya.

“Kau nak pergi ke mana ni? Siap berbaju hitam macam stalker. Sejak bila tukar kerja baru?” sampuk Fida.
“Takkan sekali-sekala nak buang tebiat tak boleh? Saya nak pergi spy orang ni. Awak nak ikut?” ajak Zalya.
“Daripada ikut kau buat kerja yang tak berfaedah, lebih baik aku pergi keluar dating dengan Rayyan. Lagi bagus!”
Terlepas gelak Zalya. Dia sudah agak jawapan itu akan keluar dari mulut Fida.
“Oh, ya! Lampu bilik air kau rosak ke? Aku tekan-tekan suis dia tapi tak nyala pun?” Fida menyoal. Dia mahu pinjam syampu tadi. Tapi bilik air itu tetap gelap selepas suis ditekan.
“Ha’ah. Memang dah rosak pun.”
“Kenapa kau tak beli lampu baru? Aku rasa mesti lampu dah terbakar tu. Tak pun starter dah rosak. Harganya bukan mahal sangat pun.”
“Nanti-nantilah saya tukar ya?” Zalya malas nak fikir. Lagipun bukannya gelap sangat pun bilik airnya itu. Selagi dia boleh nampak, selagi itu dia tiada masalah. Ditarik keluar telefon bimbit. Ibu jarinya laju menekan-nekan aksara di skrin.
‘Bila awak nak jatuh?’
Butang hantar ditekan. Senyuman Zalya terulas nakal. Hampir setiap hari dia takkan lupa untuk hantar mesej sebegitu. Sengaja mahu mengusik Nazif.
Biasanya lelaki itu pasti akan soal dia balik. Namun setelah lima minit berlalu, masih tiada jawapan. Nazif tengah sibuk sangat ke sekarang ini? Muka Zalya berubah suram.
Ping! Mesej balas muncul saat tidak dijangka. Pantas Zalya membaca ayat yang tertera.
‘Jatuh apa pula?’
‘Jatuh cinta dengan saya. Hahaha...
Zalya ketawa sendiri. Tak dapat dia bayangkan bagaimana reaksi orang di hujung sana. Marah? Bengang? Atau tertanya-tanya?
“Kau tengah mesej siapa tu? Sampai tersengih-sengih macam kerang busuk aku tengok!” tegur Fida. Semenjak beberapa hari ini, Zalya langsung tak berenggang dengan telefon bimbit kedua itu. Sekejap-sekejap, hantar mesej. Entah hantar kepada siapa, dia sendiri tak tahu.
“Adalah...” Zalya kenyitkan mata.
“Amboi! Dah pandai kau nak berahsia dengan aku sekarang?”
“Saya bukannya nak berahsia. Sebab nanti awak akan tahu juga.”
Fida mencebik.
“Fida, saya gerak dulu. Kalau ada apa-apa, roger!” Zalya lambaikan tangan sebelum menghilang.

Paparazzi. Perkataan itu memang kena sangat-sangat dengan Zalya. Saat ini dia macam tengah berlakon dalam filem James Bond! Takpun Mission Impossible.
Tapi kenapa watak utama dalam semua filem itu adalah lelaki? Kenapa takde spy perempuan? Ah, pedulikan! Kaca mata hitam ditolak rapat ke muka. Skarf yang dililit, menutupi hampir separuh wajahnya.
Dekat setengah jam Zalya terhendap-hendap dari balik majalah. Naik lenguh tangannya. Rasa nak tercabut pun ada. Tapi disebabkan rasa ingin tahu yang membuak-buak, misi perlu diteruskan. Gerak-geri Nazif diperhatikan tanpa bosan.
Sepanjang lima hari jadi pengintip, Zalya perasan sesuatu. Semua kemeja Nazif berlengan panjang. Semuanya berwarna lembut. Semuanya nampak muat-muat di tubuh kurus Nazif.
Apa lagi? Oh, ya! Tak pernah sekali Nazif singsing lengan bajunya. Mungkin sebab hendak nampak kemas agaknya.
Hari ini Nazif nampak segak dengan kemeja biru lembut. Lelaki itu memilih meja berdekatan tingkap. Sesekali Nazif pandang ke arah pintu.
Nazif tengah tunggu siapa agaknya? Girlfriend dia ke? Takpun isteri? Oh, tidak! Jangan kata lelaki itu benar-benar sudah berkahwin dan beranak tiga pula! Menangis tepi bucu katil dia nanti. Uwa...!!!
Tidak lama kemudian, muncul satu pasangan di restoran itu. Betapa leganya Zalya bila pasangan itu duduk di meja Nazif. Bukan teman wanita atau isteri seperti yang disangka.
Zalya cuba pasang telinga. Tapi satu apa pun dia tak dengar. Hendak duduk dekat-dekat, takut Nazif perasan kehadirannya pula. Dari pamplet di tangan Nazif, Zalya agak mereka sedang berbincang pasal pakej berbulan madu.
Takkan hari Sabtu pun kerja juga ke? Rajin sungguh! Ralit Zalya perhatikan Nazif. Tapi entah kenapa wajah itu serius sahaja. Lantas Zalya keluarkan telefon bimbitnya. Laju jari-jemarinya menaip.
“Macam mana? Dah tahu nak pergi ke mana?” Nazif bertanya. Demi rakan baik, dia sanggup turun untuk bertemu.
“Aku tak kisah. Ikutkan hati, aku nak pergi ke Bali sahaja. Tapi orang rumah aku nak sangat pergi ke Lombok. Tak tahulah kenapa,” Saiful Azlan mengeluh lemah.
Liyana tarik muka. “Mestilah! Kita kan dah pergi ke Bali tahun lepas?”
“Salahkah kalau kita pergi Bali sekali lagi tahun ni?”
"Tapi tak salah kalau kita pergi tempat lain pula kan?"
Terkebil-kebil Nazif menyaksikan pasangan itu bercakaran di depannya.
“Bali dan Lombok, kedua-dua tempat ada keistimewaan sendiri. Kalau dah pergi ke Bali, apa salahnya pergi ke Lombok pula,” celah Nazif. Dah serupa pakar kaunseling rumahtangga pula dia. Tak pasal-pasal jadi orang tengah.
Pasangan suami isteri itu terangguk-angguk. Nasib baik mereka mudah bertolak ansur. Tumpuan Nazif teralih pada telefon yang bergetar di atas meja. Dia tunduk memandang nombor yang tertera. Private number? Skrin digesek untuk membaca mesej tersebut.
‘Bila awak nak buat?’
Dahi Nazif berkerut-kerut. Dia tidak faham kenapa dia asyik terima mesej sebegini. Pengirimnya juga begitu misteri kerana langsung tidak kenalkan diri. Tapi paling buat dia pelik, Nazif sedikitpun tidak rasa terganggu. Malah mulai ternanti-nanti mesej seterusnya.
‘Buat apa?’
‘Buat hati saya berdebar-debar dengan senyuman awak. 😊
Senyuman Nazif terukir tanpa sempat ditahan.
“Tengah mesej siapa tu? Girlfriend?” tanya rakannya.
Nazif ketawa sebelum menggeleng.
"Kita kat mana tadi?"
"Tengah bincang pasal Lombok," Liyana membalas sebelum mengerling muka suaminya. Saiful Azlan angguk.
Tersenyum Nazif melihat gelagat pasangan di hadapannya. Selepas mengesahkan tempahan, pasangan suami isteri itu beredar pergi. Kemudian Nazif keluarkan sebuah buku tebal. Laju tangannya menulis di atasnya.
Dari jauh Zalya panjangkan leher. Dia begitu teringin tengok apa yang sedang Nazif catatkan. Tapi mata dia bukannya macam Supergirl. Mana boleh zoom jauh-jauh. Jika ditakdirkan punya kuasa luar biasa, Zalya tak ingin pun mata seperti itu. Dia mahu mata yang boleh x-ray. Sebab apa? Hehehe...
“Mek, kau buat apa kat sini?!”
“Mak!!!” Majalah tercampak dari tangan Zalya. Cepat-cepat dia tarik tangan Fida. Dipaksa rakannya tunduk supaya tidak dilihat oleh Nazif.
“Kau buat apa ni?”
“Shh! Saya tengah spy si Nazif tu lah!” Zalya bersuara perlahan.
“Yang kau betul-betul pergi spy dia kenapa?” Fida turut berbisik sama. Terkejut sungguh bila lihat Zalya mengintip di situ.
“Saya cuma nak tahu macam mana perangai dia. Itu aje!”
“Kau tahu tak apa yang kau buat ni salah?” Menjegil mata Fida.
Zalya tarik muka 'ada aku kesah?'.
“Kalau betul kau nak tahu pasal dia, kau sepatutnya terus pergi tanya dia. Bukan jadi spy takde lesen macam ni!”
Zalya tahan sengih. Kata-kata yang hampir serupa dia ucapkan pada stalker Kevin semalam. Sekarang dia terkena balik. Betullah kata Justin Timberlake, what goes around comes around.
“Kenapa awak ikut saya, Fida? Bukan sepatutnya awak keluar dengan Rayyan ke?”
"Memang aku keluar dengan Rayyan. Dia ada kat kedai sebelah, tengah pilih kasut. Aku ternampak kau terhendap-hendap kat sini. Sebab risaukan kau, aku ikut kau ke sini.”
“Auw... So sweet!”
“Tak payah nak sweet sangatlah. Aku takut kau buat benda tak betul saja. Tak sangka memang tepat sekali jangkaan aku.”
“Kalau awak datang sebab nak membebel, jangan duduk sini. Pergi main jauh-jauh,” halau Zalya.
Fida geleng kepala. Zalya memang suka buat hal ikut kepala dia sendiri. Bukannya makan saman pun!
Zalya pandang semula ke arah Nazif yang berbaju lengan panjang pada hari yang panas itu. Hairan sungguh Zalya. Nazif ingat cuaca kat luar ini sama beku macam dalam pejabat dia ke?
“Zalya, kalau setakat stalker dia begini, apa yang kau dapat? Buang masa dan buang tenaga saja. Kau sedar tak bila-bila masa sahaja dia boleh terjumpa dengan perempuan yang lagi cantik daripada kau? Masa tu kau jangan menangis dan mengadu nasib depan aku pula!” Suara Fida singgah di telinga.
“Habis takkan awak nak saya pergi mengurat dia? Jadi perigi yang cari timba?”
“Apa yang kau tengah buat sekarang ni, bukan dah masuk stage pertama untuk pikat dia ke? Kau sedar tak selama ini kau tak pernah pun buat kerja-kerja begini?”
Iya ke? Zalya garu kepala.
“Selama ini punyalah ramai lelaki sibuk nak kenal kau. Tapi seorang pun kau tak layan. Alih-alih, kau jadi stalker Nazif pula.”
“Shh... Janganlah membebel. Saya nak spy dia ni!”
Fida geleng kepala. Bila Zalya menoleh untuk lihat Nazif semula, lelaki itu sedang bercakap dengan seseorang melalui telefon.
“Fida, Fida, Fida! Dia tengah cakap dengan siapa tu?” Zalya tepuk-tepuk tangan kawannya. Resah bila lelaki itu sedang bercakap dengan mesra.
“Manalah aku tahu?” balas Fida.
“Entah-entah dia tengah cakap dengan girlfriend dia tak?” Zalya gelisah. Apatah lagi bila Nazif tersenyum-senyum sepanjang waktu itu. Sepanjang dia mengintip, inilah kali pertama dia lihat Nazif tersenyum lebar sebegini.
Girlfriend mana pula, mek?”
Tiba-tiba Nazif bangun dan mulai angkat kaki. Zalya serentak bangkit sama.
“Kau nak pergi mana pula tu?” Fida lekas menahan Zalya.
“Saya nak ikut dialah.”
“Eh, bahayalah kau buat kerja-kerja begini!”
“Mana ada bahaya. Awak jangan risau, ya? Pergi dulu! Bye!”
“Zalya!” laung Fida, cuba menghentikan perbuatan Zalya. Namun sia-sia sahaja. Zalya terus lesap dari pandangan mata.

Dari jauh Zalya nampak kereta Nazif berada tidak jauh di hadapan. Sudah setengah jam Zalya mengekori. Tapi sehingga sekarang Nazif tidak tunjukkan sebarang tanda akan berhenti. Nazif nak pergi ke mana ni? Jumpa girlfriend? Atau jumpa isteri?
Tak boleh! Lelaki itu tak boleh ada semua itu! Zalya nekad. Apa nak jadi, jadilah! Lantas minyak ditekan kuat. Bila dia makin dekat, brek terus dipijak.
BUM! Dua kereta bertembung dan berdentum. Zalya tersentak. Impak hentakan membuat tubuhnya tersentak ke depan. Nasib baik tali pinggang keledar menyelamatkan dirinya. Jantung Zalya berdebar kuat. Dia tiba-tiba panik.
Alamak! Aku dah langgar kuat sangat ke tadi? Wajah Zalya pucat lesi. Andai ditoreh-toreh mungkin nampak isi sahaja. Tapi berdarah tiada.
Nazif segera keluar dan menapak untuk melihat keadaan. Berkerut-kerut muka melihat keretanya ‘dicium’ kereta lain. Dia toleh pula pada kereta yang telah menodai keretanya. Kereta Kelisa lama berwarna biru itu nampak kecil sahaja di matanya. Namun pemandunya masih tidak keluar.
Lantas langkah diatur ke arah kereta Kelisa kelabu itu. Cermin kereta itu diketuk. Perlahan-lahan cermin tingkap diturunkan. Terjegul wajah gadis berskarf hijau.
Sorry! Tak sangka kita boleh jumpa lagi,” tutur Zalya, tersenyum canggung.
"Boleh tak cik tolong keluar dulu?”
Zalya kaget. Nada lelaki itu sedingin ais di Antartika. Teragak-agak dia turun dari kereta.
“Cuba cik tengok apa yang cik dah buat.”
Zalya panjangkan leher. Matanya mendarat pada arah yang ditunjukkan.
“Cik ingat murah ke nak baiki kesan calar macam tu?”
“Saya minta maaf sangat-sangat pasal kereta awak. Tapi saya memang... Saya tak perasan tadi.” Teragak-agak Zalya membohong. Cuak bila lelaki itu menyinga.
“Tapi takkan awak tak kenal saya ke? Awak tak ingat saya siapa?”
Zalya dirinya bukanlah secantik Miss Malaysia. Apatah lagi Miss Universe. Tapi bukankah mereka baru bertemu minggu lepas? Takkan lelaki ini sudah lupa dia siapa?
“Saya kena kenal cik ke?”
Berdas-das tembakan seakan menembusi jantung. Lidah Zalya kelu tak terkata. Kenapa dia tanya soalan macam tu? Takkan secepat itu dirinya dilupakan? Ke lelaki ini ada amnesia? Atau kepalanya sudah terhantuk lalu terus hilang ingatan?
“Sekarang ni macam mana cik nak settle? Atau cik nak saya pergi ke balai?”
Zalya panik. Pelannya habis hancur lebur! Malah kedinginan Nazif buat Zalya takut. Seolah-olah dia sedang berdepan dengan dua lelaki yang berbeza.
“Takkan benda kecil begini pun nak bawa ke balai?” Takut-takut Zalya bersuara.
“Ini bukan benda kecil. Apa-apa hal kemalangan mesti dilaporkan kepada pihak berkuasa supaya tuntutan insurans dapat dibuat. Cik tahu pasal semua itu kan?”
“Iya, memang betul apa yang awak cakap tu. Tapi tak payahlah sampai perlu libatkan pihak polis.” Zalya dilanda resah. Jika hal itu dipanjangkan, terang-terang dia kena bayar saman.
“Sekarang ni, cik nak bayar atau tak?” Nazif mendesak.
“Okay, saya akan bayar. Berapa yang awak nak?” Zalya kalut. Dalam hati dia berdoa agar lelaki itu tidak meminta di luar kemampuannya. Gaji dia bukannya puluh-puluh ribu.
“Tiga ratus.”
“Ti... tiga ratus?!!” Hendak tercekik leher Zalya. Dalam begnya hanya ada dua ratus lebih sahaja. Mana cukup?
“Saya mana ada duit sebanyak tu.”
“Kalau macam tu, cik bagi saja berapa banyak yang cik ada.”
Zalya rasa hendak menangis. Terketar-ketar tangannya keluarkan empat keping not lima puluh kepada lelaki itu. Namun tidak pula disambut oleh lelaki itu.
“Betul Cik Zalya nak bagi duit kepada saya macam tu aje?”
"Huh?"
Zalya salah dengar atau apa? Adakah lelaki itu baru sahaja menyebut namanya? Bukan dia kata dia tak ingat ke tadi? Pantas Zalya mendongak. Wajah lelaki itu makin ketat. Kelat macam peria.
“Tadi awak kata awak tak kenal saya.”
“Saya belum nyanyuk lagi. Mustahil saya lupa cik siapa.”
“Habis tadi kenapa awak macam tak kenal dengan saya? Lepas tu minta duit pula dengan saya? Awak tahu tak, sikit lagi saya nak nangis tadi!"
"Saya buat macam tu sebab cik ikut saya."
“Ikut? Eh, takdelah! Mana ada saya ikut awak! Kebetulan sahaja saya terjumpa awak di sini.” Zalya pantas menyangkal.
“Bukan cik ke yang menyorok belakang menu sambil pakai skarf, spek dan topi hitam di restoran tadi? Cik pun asyik berkeliaran sekitar kawasan pejabat saya sejak beberapa hari ini kan?”
Alamak! Dia sudah kantoi lagi ke? Mulalah Zalya menggelabah. Sekarang, sendiri fikirlah bagaimana hendak jawab soalan cepucemas Nazif itu.
“Taklah! Awak dah salah orang ni.” Zalya masih cuba untuk menidakkan.
“Ingatan saya kuat. Saya tak rasa saya salah orang. Kenapa cik ikut saya?”
“Saya memang tak ikut awak.”
“Ya, cik ikut saya.”
“Tak.”
“Iya.”
“Tak!”
“Iya...”
“Kalau betul, mana buktinya?”
Nazif terus tunjukkan telefon. Beberapa gambar Zalya sedang bersembunyi di belakang menu sebentar tadi terpapar di skrin. Zalya ternganga. Bila masa Nazif ambil semua gambar ini?
Gambar itu diambil ketika dia sedang bersama Fida. Ini mesti sebab dia bercakap dengan Fida tak ingat dunia. Sebab tu dia langsung tak perasan bila gambarnya diambil!
“Ini cik dan ini pula kawan cik, kan?”
Mulalah Zalya jadi kelam-kabut. Sudah terang lagi bersuluh dia sudah tertangkap. Siap ada bukti pula tu! Tak mungkin dia dapat nafikan. Kalau bawa kes itu ke mahkamah, memang sah dia akan kalah.
“Okay. Saya mengaku itu gambar saya dan kawan saya. Tapi sebelum awak fikir yang bukan-bukan, saya takde sebarang niat buruk pun.”
“Cik sedar tak apa yang cik buat ni salah? Bukan sahaja bahayakan orang lain tapi diri cik sendiri? Kalau ada apa-apa jadi pada cik, macam mana?”
“Saya minta maaf...” Zalya tertunduk.
“Cik tak perlu minta maaf dengan saya. Sepatutnya cik kena fikirkan tentang keselamatan diri cik sendiri. Bukan bahayakan diri dengan buat kerja-kerja begini. Nasib baik terlanggar sikit sahaja. Buatnya apa-apa terjadi tadi, siapa nak menjawab?”
Zalya buka mulut, mahu membalas. Belum sempat dia berkata-kata, lelaki itu pantas memintasnya.
“Tapi kalau terlanggar sekalipun, cik tak patut berikan duit macam tu kepada saya. Takkan kereta tercalar sikit, cik sanggup bagi duit sebanyak ini?” Wajah Nazif makin merah padam. Senang-senang sahaja Zalya hulurkan duit. Padahal kesan calar itu tidaklah seteruk mana.
“Okey! Saya sedar saya salah. Tapi perlukah awak marah saya sampai begini sekali?”
“Saya tak marah tapi saya sakit hati. Boleh tak kalau cik tolong jangan buat saya risau pasal cik?”
Zalya terpinga-pinga. Dia ni dah kenapa? Sepatutnya Nazif marah sebab keretanya remuk akibat dirempuh. Bukan naik angin atas sebab lain!
"Awak risaukan saya? Kenapa?"
Soalan Zalya membuat muka Nazif terus berubah. Tersentak, seolah-olah baru tersedar. Betul juga! Kenapa dia perlu risaukan gadis itu?
“Hurm... Saya tahu kenapa awak risau sangat dengan saya.” Mengecil mata Zalya. Dia terangguk-angguk, penuh mengerti.
Dahi Nazif berkerut.
Saya rasa awak dah jatuh ni.”
“Jatuh apa?” Nazif tidak mengerti.
“Jatuh cinta dengan saya.”
“Saya? Jatuh cinta dengan awak?" Nazif tuding jari ke dada sendiri. Sungguh dia tak percaya dengan apa yang dia baru dengar.
“Ala... Mengaku sahajalah yang awak dah jatuh hati dengan saya kan?” Zalya angkat-angkat kening. Saat itu dia bukan serupa muka tembok. Tapi dah takde rupa muka lagi dah. Namun dia peduli apa?
Nazif rasa hendak tergelak. Bukan main confident lagi gadis yang seorang ini. Sempat pula hendak mengurat di tengah-tengah jalan raya. Tengah-tengah panas terik pula tu!
“Cik Zalya, saya bukan tak nak mengaku tapi...”
“Awak segan?”
“Tak! Cik dah silap ni.” Bersungguh-sungguh Nazif menafikan.
Zalya mempamer muka masam.
"Kalau dua-dua pun bukan, awak bencikan saya ke?"
Serangan soalan Zalya membuat Nazif hilang punca. Sungguh dia tak tahu nak kata apa.
“Beginilah, Cik Zalya. Saya sebenarnya dah terlambat untuk pergi ambil umi saya. Kita cakap lain hari sahajalah ya?” Nazif patah balik ke keretanya.
“Habis, macam mana dengan kereta awak?”
It’s okay. Calar sikit aje. Hati-hati bawa kereta."
Zalya tersenyum melihat Nazif pergi. Tadi dia sangka Nazif hendak pergi jumpa teman wanita. Rupa-rupanya lelaki itu nak pergi jemput ibunya. Riangnya rasa dalam hati!

2 comments:

Munyrah Azry said...

Hahahaha tu mesti Zalya kan.. Ehhh tinggi pulak harapan kite.. heheh.. Zalya dah resah nk jmpe Nazif.. Nazif pun sama.. Haihh spe lah nk mulakan dulu ekk ?

Thanks kaq Diya tunaikan Nazif kali ni.. Muahh syggg akaq byak2..

diya jamal said...

tunggu ya? hehehe...

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)