Thursday, December 28, 2017

Cinta untuk Mr. Hero - 7

Zalya pandang keliling. Staf di agensi itu nampak selamba sahaja buat kerja masing-masing. Takkan mereka tak rasa apa-apa duduk di dalam office yang sejuk beku begini? Agaknya semua berkulit tebal macam buaya kut!
Dia betulkan skarf yang melingkar di leher. Nasib baik ada skarf. Tidaklah dia menggigil kesejukan.
Damien akhirnya muncul di depan mata. Berkerut sekejap dahi Zalya bila lelaki berkulit sawo matang itu kenalkan diri sebagai Damien Cheung. Kacukan Cina India agaknya, fikir Zalya.
“Encik Nazif ada?”
Timbul garis-garis halus di dahi Damien. Tidak semena-mena klien di hadapannya ini mencari bosnya.
“Kenapa Cik Zalya nak cari bos saya, ya?”
Damien tatap wajah klien berskarf biru itu. Klien di depannya ini memang cantik! Adakah sebab ini Nazif mahu gantikan tempatnya?
“Oh, bukan apa. Saya saja nak tahu sebab hari tu saya jumpa dia. Dia tak masuk pejabat ke hari ini?” Zalya cuba korek cerita.
“Hari ini Encik Nazif takde. Dia keluar pergi meeting. Tapi biasanya dia takkan turun ke bilik meeting ini. Saya sendiri tak faham kenapa dia beriya-iya nak ganti saya hari tu,” tutur Damien, berkias. Sengaja mahu hantar maksud tersirat.
Zalya hairan. Nanti dulu! Adakah ini bermakna, Nazif sendiri yang mahu menemuinya? Jadi pertemuan mereka tempoh hari bukan lagi satu kebetulan?
“Bila dia akan masuk semula ke pejabat?”
“Mungkin petang nanti.”
Zalya hampa. Punyalah dia teruja datang ke Wisma Seri pada hari ini. Ingatkan dapatlah dia tengok bayang lelaki itu walau untuk sepintas lalu. Namun sia-sia sahaja. Takkan dia nak jadi penunggu di pejabat itu sampai petang? Dia pun ada banyak kerja lain yang perlu dibuat.
“Tapi kalau cik nak bercakap dengan bos saya, saya boleh telefon dia.” Damien sudah keluarkan telefon bimbitnya.
“Eh, tak payah! Tak payah!” Zalya cepat-cepat menghalang. Dia bukannya tiada nombor telefon lelaki itu. Bila-bila masa sahaja Zalya boleh hubungi Nazif. Persoalannya, hendak atau tak sahaja.
“Betul Cik Zalya tak nak saya telefon dia?”
“Ya, awak tak perlu ganggu dia. Mesti bos awak tengah sibuk sekarang kan?”
Damien angkat bahu sebelum simpan semula telefonnya.
“Memandangkan cik dah setuju dengan pakej ini, saya akan sediakan sebut harga. Lepas pihak cik buat bayaran, kami akan terus buat segala persiapan untuk tempah hotel, tiket penerbangan dan lain-lain.”
“Okey. Sebut harga tu bila saya boleh dapat?”
“Sekejap lagi saya akan berikan kepada cik. Cik ada apa-apa soalan lain sebelum saya keluar?”
Zalya geleng. Sementara menunggu, Zalya sandarkan tubuhnya pada kerusi. Selepas Hanim buat bayaran nanti, dia tiada alasan lagi untuk datang ke sini. Itu bermakna, peluangnya untuk menemui Nazif semakin tipis.
Macam mana dia nak jumpa Nazif sekali lagi? Dalam diam Zalya mulai memasang rencana. Tetapi tiada satu pun idea muncul dalam kepala. Otaknya seakan membeku dek suhu aircond yang terlampau sejuk.
Zalya tenung telefon yang berada di tangan. Perlahan-lahan senyumannya teroles nakal.

Nazif sibuk menyemak itinerari untuk pakej pelancongan ke Warsaw. Lokasi itu merupakan antara pakej baru yang bakal ditawarkan oleh agensinya. Jadi, dia perlu beri sepenuh tumpuan tanpa sebarang gangguan.
Matanya meneliti lokasi lawatan yang akan dimasukkan dalam pakej tersebut. Antara yang jadi pilihan adalah Lazienki Park, Lazienki Place, Sigismund’s Column, Castle Square dan Muzium Fryderyk Chopin.
Semua lokasi begitu ikonik dan wajib dikunjungi. Tapi dia perlu pastikan perjalanan ke setiap destinasi itu tersusun demi keselesaan pelancong.
“Dan mana pula perginya senarai hotel tadi?” Nazif garu kening.
Diselak lembaran demi lembaran dokumen yang tersusun di atas meja. Senarai hotel di Poland akhirnya ditemui di balik gambar Wilanow Palace.
Selesai susun aturcara, Nazif kemaskan semuanya ke dalam satu fail. Rimas jika keadaan mejanya bersepah-sepah. Selesai mengemas, mata Nazif mendarat pada telefon bimbit di atas meja. Keningnya bertaut.
Satu minggu berlalu sekelip mata. Sepanjang waktu itu jugalah, Nazif asyik kerling telefon bimbitnya. Memang banyak panggilan dan mesej yang masuk tetapi tiada satu pun daripada Zalya.
Nazif tergaru-garu keningnya. Takkan Zalya tak jadi ambil pakej dengan agensinya? Hesy, tak mungkinlah!
Perlukah dia telefon dan tanya pada Zalya? Tapi tak nampak macam memaksa pula ke nanti? Dia mana pernah mendesak klien untuk terima pakejnya? Aduh, serabut ni...
Ketukan di pintu membuat Nazif tersentak. Pantas dia mengangkat muka.
“Masuk.” Suaranya bergema.
“Encik Nazif, saya ni,” Damien tersenyum-senyum.
“Ada apa, Damien?”
“Takde apa. Saya cuma nak beritahu Encik Nazif, saya dah locked satu trip ke Europe untuk 16 orang. Mereka dah buat payment dan tunggu hari berlepas saja.”
“Tahniah. Nampaknya awak akan jadi top agent sekali lagilah untuk bulan ni?”
Yes, I am!” Damien tersengih. Memang itu yang menjadi sasarannya. Dapat klien yang ramai, bermaksud dia akan jadi nombor satu. Dapat nombor satu bermakna dia akan dapat komisen yang masyuk!
“Tapi semua ni sebab Cik Anna Zalya. Kalau bukan kerana dia, saya pun takkan dapat klien seramai tu.”
Nama yang meniti di bibir Damien itu buat Nazif terkedu.
“Nama siapa yang awak sebut tadi?”
“Cik Anna Zalya. Tak silap saya, Encik Nazif yang ambil alih appointment saya dengan dia pada hari tu. Encik Nazif ingat lagi kan?”
Nazif terdiam. Mana mungkin dia tak ingat? Memang dia yang minta Damien lakukan kerja lain pada petang itu. Semuanya sebab dia mahu bertemu gadis berskarf merah itu sekali lagi.
Jangan tanya dia kenapa. Dia sendiri tak faham mengapa hatinya meronta-ronta mahu melihat gadis itu lagi.
Tapi Nazif tak faham kenapa Zalya buat temujanji dengan Damien. Kenapa Zalya tidak hubungi dia? Bukankah dia dah berikan kad nama kepada Zalya? Atau kad namanya itu sudah hilang? Sebab itu Zalya telefon pejabat dan selesaikan segalanya dengan Damien?
“Saya baru jumpa Cik Zalya semalam. Kecil molek orangnya. Comel pula tu. Macam anak patung pun ada.”
Melambung pujian Damien. Kalau tak teringatkan tunangnya, pasti sudah lama dia mengayat Zalya.
“Awak dah bertunang dengan Grace kan?” Nazif mengingatkan Damien pada Grace, eksekutif sumber manusia di agensinya. Takkan baru bertunang, Damien mahu buat hal?
“Saya cuma puji saja. Bukan ada apa-apa maksud pun. Tapi kalau Cik Zalya sudi terima diri saya, saya sanggup lepaskan Grace,” tutur Damien, tak malu.
“Okey, saya akan call Grace sekarang.” Nazif terus angkat gagang untuk menghubungi Grace.
“Jangan, Encik Nazif! Saya bergurau sahaja. Tak perlulah sampai nak call tunang saya pula. Mengamuk dia nanti.” Kelam-kabut Damien buat penjelasan.
Nazif letakkan gagang semula. Tahu pun takut!
“Saya pergi sambung kerja semula ya, Encik Nazif?” Damien cepat-cepat undur diri. Pintu ditutup rapat.
Lama Nazif tenung pintu. Emosinya bercampur-baur. Dia sangka Zalya tak jadi ambil pakej dengan agensinya. Rupa-rupanya gadis itu sudah selesaikan urusan dengan Damien.
Dan kata-kata Damien tadi buat Nazif sedikit terganggu. Jika Damien yang sudah bertunang dengan Grace yang cantik jelita itu pun boleh terpikat dengan Zalya, bagaimana pula dengan lelaki lain di luar sana?
Aduh, kenapa dia perlu rasa risau pula? Peduli apa jika ada orang sukakan Zalya atau tidak? Itu bukan urusan dia. Tumpuannya teralih pada telefon bimbit yang bergetar. Ada pesanan tertera di skrin.
‘Bila awak nak sambut?’
Terpinga-pinga Nazif baca mesej itu. Sudahlah datang dari private number. Tanya soalan tergantung pula. Lantas dia taip pesanan balas.
‘Sambut apa?’
Tidak lama selepas itu, mesejnya dibalas.
‘Sambut salam cinta kasih sayang dari saya. cia cia cia...’
Nazif tepuk dahi. Siapa pula yang sedang bergurau dengan dia ini?

Zalya tergelak. Dia tahu mesej itu mungkin takkan dibalas. Lantas disimpan telefon ke dalam beg. Lain kali sahaja dia akan hantar pesanan yang lain.
“You buat apa tu?” tegur Kevin. Diletakkan choco latte di atas meja sebelum duduk di depan Zalya.
“Takde apa,” dalih Zalya.
“You ada dua telefon?”
“Bukan semua orang pun ada dua telefon ke?”
“Cuma orang yang ada rahsia sahaja ada dua telefon.”
Cis! Mamat mata sepet ini macam tahu-tahu sahaja apa yang baru dia lakukan tadi.
“You tak nak makan ke? Chef I buat pavlova cupcake hari ini. Dijamin tak menyesal. Tak nak cuba?" usul Kevin.
"Percuma ke?"
"Kalau you nak makan percuma, you kena jadi isteri tauke dulu."
Isteri tauke? Maksudnya, jadi isteri Kevin? Huh! Tak ingin dia!
"Banyak cantik muka awak?"
"Bukan banyak cantik, tapi handsome. Shuài gē (Lelaki kacak)," Kevin angkat-angkat kening.
Bahagian handsome itu, Zalya setuju. Jejaka bernama Kevin ini memang ada rupa. Mujur selera Zalya bukan tahap interracial. Jika tidak, sudah lama dia layan usikan Kevin.
"Awak memang takde kerja nak dibuat ke, Kevin? Boleh pula awak layan berborak dengan customer macam saya?"
"I borak dengan you sebab you pelanggan setia kafe I. Lagi satu..." Kevin bongkok ke depan, seolah mahu bisikkan sesuatu.
"You nampak tak budak perempuan yang tengah duduk kat belakang I ni?"
Zalya angkat pandangan, melihat gerangan yang dimaksudkan. Terlihat kelibat seorang gadis duduk tidak jauh di belakang mejanya.
Wajah gadis itu tersorok dek topi yang dipakai begitu rendah. Zalya hanya boleh nampak hidung dan mulutnya sahaja.
"Kenapa dengan dia?" tanya Zalya.
"I rasa dia stalk I lah," bisik Kevin.
"Awak jangan nak perasanlah! Entah-entah dia suka minum di kafe awak sahaja."
"Tak, Zalya. Ini semua bukan perasaan I semata-mata. Dia hanya akan minum di kafe bila I ada. Staf I cakap, kalau I takde, dia takkan masuk ke sini pun. Sebab tu I duduk dengan you. I nak tengok apa reaction dia."
"Kalau betul dia stalker awak, awak sedar tak awak baru sahaja mengancam keselamatan diri saya? Macam mana kalau dia salah faham dan serang saya pula nanti?"
"Please tolong I, Zalya. Pura-pura jadi kekasih I depan stalker I ni. Nanti I belanja you minum choco latte free sebulan.”
"No way! Saya tak nak jadi fake girlfriend awak. Awak ingat ini cerita apa? Teman wanita upahan? Kenapa awak tak cakap terus-terang sahaja dengan stalker awak tu? Suruh dia jangan ikut awak lagi.”
“I takut..." rengek Kevin.
Biar betul? Takkan Kevin takut dengan perempuan?
“You tolong I, ya?” pujuk Kevin lagi.
“Saya boleh tolong awak. Tapi dengan cara lain." Zalya angkat-angkat kening. Senyumannya membuat Kevin risau.
"Zalya, you nak ke mana tu???" Kevin diserang panik. Tak sempat dia menghalang Zalya yang menonong ke meja stalkernya.
"Excuse me. Adik, awak tengah buat apa ni? Jadi stalker Kevin?" Zalya terpaksa bahasakan gadis itu sebagai adik. Sebab nampak muda sangat. Macam budak sekolah.
"Huh?" Gadis itu mendongak. Nampak terpinga-pinga, macam tak faham apa-apa.
"Akak tanya, awak tengah buat apa? Stalk Kevin ke?" ulang Zalya. Muka gadis bertopi besbol itu ditatap. Boleh tahan comel juga orangnya. Takkan Kevin takut dengan budak macam ni?
"Tak, kak. Saya cuma datang minum kopi je."
"Kopi? Yang adik tengah minum tu bukan air teh ke?" Zalya tergeleng. Budak ini pun satu. Agak-agaklah kalau nak membohong sekalipun.
"Err..." Mulalah budak perempuan itu nampak gabra satu macam.
"Kenapa adik ikut Kevin?" Zalya mula sesi soal siasat, berlagak macam inspektor polis. Semua ini penangan drama Gerak Khas. Sejak dia kecil sampai sekarang, rancangan itu masih gigih disiarkan di tv. Seolah tiada penghujungnya!
"Saya...”
“Adik tahu tak apa yang adik buat ni salah?”
“Salah ke? Saya cuma ikut dia sebab saya suka tengok muka Abang Kevin. Muka  dia macam artis Korea kak."
Pulak dah? Dahsyat sungguh penangan artis Korea. Sampai Kevin pun terkena tempiasnya.
"Adik pernah terus-terang dengan dia tak?" tanya Zalya lagi. Dah gaya macam polis pun ada.
Laju gadis itu menggeleng. 
"Nak akak tolong beritahu pada Kevin?"
"Jangan kak. Saya cuma suka tengok dia dari jauh saja. Kalau dia tak selesa, akak tolong beritahu dia, saya minta maaf. Saya janji takkan buat lagi."
Usai berkata begitu, gadis itu terus bangkit dan berlalu. Zalya pula yang tergamam. Tidak sangka gadis itu akan pergi.
Kevin pantas mendekati Zalya. Sungguh dia terkejut bila stalkernya tergesa-gesa meninggalkan kafe.
“Apa yang you dah cakap dengan dia? You halau dia ke? Kenapa you halau dia? You tahu tak dia pun pelanggan kafe I juga!” Kevin menyoal bertubi-tubi.
“Bukan saya yang halau tapi dia sendiri yang nak pergi. Takkan saya nak halang? Lagipun bukan awak juga ke yang minta saya tolong awak tadi?”
Buat pertama kali Kevin terdiam, gagal membalas kata-kata pelanggan setianya itu.
Zalya malas hendak endahkan Kevin. Matanya tertumpu pada gadis yang semakin menjauh dari pandangan. Tak sangka, gadis itu begitu berani mengekori Kevin. Itupun hanya semata-mata sebab suka tengok muka Kevin?
Zalya tergeleng. Namun sesaat kemudian, bibirnya terus menyimpul senyum.
“Kenapa you tiba-tiba tersenyum pula ni?” Kevin tertanya-tanya. Pelik pula melihat senyuman Zalya yang tak semena-mena itu.
“Disebabkan stalker awak, saya dapat idea yang paling bernas sekali. Thank you, Kevin! Nanti saya belanja awak minum kopi ya!” Zalya pantas capai beg tangannya. Laju dia menghilangkan diri, sehingga Kevin terkebil-kebil melihatnya.
“Belanja minum kopi? I tauke kedai kopi kut!” gumam Kevin perlahan.

2 comments:

Munyrah Azry said...

Zalya .. Zalya .. Rupanya ada kngan dgn Nazif .. Waaa ada kah jodoh mereka ni sgat kuat ? Yeayyy I'm happy.. Nak Nazif please.. Hehehe

diya jamal said...

Nazif tengah busy. hehe.. on the way~

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)