Friday, December 15, 2017

Cinta Untuk Mr. Hero - 6

Mengantuknya! Tiap kali Zalya menghadap kerja yang satu ini, kelopak matanya mesti akan jadi berat. Macam ada entiti sedang bergayutan. Menggoda dan menghasut dia agar terpejam.
Hesy, tak boleh jadi ni! Zalya tepuk-tepuk pipi sendiri. Biar hilang rasa mengantuknya. Matanya dikalih pada bilik mesyuarat. Sejak awal pagi lagi semua editor masuk ke dalam bilik berdinding kaca itu untuk berbincang. Tak tahulah bincang pasal apa. Tapi masing-masing nampak serius sahaja.
Nasib baik jawatan dia tak sebesar mana. Tak perlulah dia pening kepala ketika dipanggil untuk bermesyuarat. Senang hidupnya kan?
Skrin komputer kembali ditatap. Tugas untuk menjawab emel perlu diteruskan. Walaupun masih ada banyak emel yang belum dibuka, Zalya percaya dia boleh membalas semuanya. Chaiyok, Zalya!
Baru dia hendak jawab satu emel, telefon bimbitnya bergetar di atas meja. Tertera nama Hanim. Panggilan segera dijawab.

"Macam mana? Dah pilih mana yang berkenan di hati?" 


"Saya confuselah, Zalya. Awak rasa pakej mana yang best?"
Pulak dah?
"Kalau ikutkan hati, dua-dua pakej memang best. Tapi awak kena tengok siapa yang join rombongan tu. Pakej pertama memang ada lebih banyak tempat untuk dilawati berbanding pakej kedua. Tapi jadualnya mungkin agak padat dan kurang sesuai untuk orang-orang tua. Benda-benda macam tu awak kena ambil kira, Nim."
Setahu Zalya, datuk dan nenek Hanim pun ikut serta dalam lawatan itu. Sudah tentu, Hanim kena mempertimbangkan keadaan warga emas itu.
"Maknanya, saya kena ambil pakej kedua lah ni?"
"Saya cuma cadangkan saja. Terpulanglah sama ada awak nak ikut atau tidak."
"Kalau awak dah kata okey, saya pun okey saja."
Mudah sungguh Hanim buat keputusan. Orang banyak duitlah katakan... Kalau Zalya, sepuluh kali fikir pun belum tentu dia kata okey. Nak melancong kena banyak pakai duit. Nak ber-backpackers? Mana dia reti!
"Kalau gitu, saya confirmkan dengan agensi tu. Senang mereka nak tempah tiket, hotel semua."
"Thank you so much, Zalya sayang! Nasib baik awak ada. Nanti saya belikan souvenir yang best-best untuk awak, ya?"
“Jangan lupa belikan skarf yang cantik-cantik untuk saya, ya?” pesan Zalya.
“Untuk awak, satu kilang skarf pun saya boleh belikan!” balas Hanim, mengundang tawa Zalya.
Butang merah di skrin ditekan selepas habis  berborak. Zalya terus tarik keluar kad nama Nazif dari dompetnya. Ada dua nombor di situ. Satu nombor pejabat. Satu nombor telefon bimbit.
Ikutkan hati, Zalya mahu sahaja telefon Nazif. Tapi dah namanya pegang jawatan nombor satu dalam agensi sendiri, mestilah lelaki itu sibuk. Mana ada masa untuk jawab panggilan telefon kan?
Dalam keterpaksaan, Zalya dail nombor pejabat agensi itu. Baru dua kali deringan, panggilannya berjaya disambungkan.
“Selamat pagi, Ruhani Travel & Tours. Boleh saya bantu?”
Terdengar suara seorang perempuan di hujung talian. Ceria sangat, macam orang takde masalah hidup.
“Hai, nama saya Zalya. Minggu lepas saya ada datang ke pejabat untuk bertanya tentang pakej pelancongan. Saya call sebab nak sahkan pilihan pakej.”
“Cik tunggu sebentar sementara saya semak dahulu, ya?”
Sunyi seketika di dalam talian.
“Semalam Cik Anna Zalya ada temujanji dengan Encik Damien kan?” Suara merdu itu bertanya.
Dahi Zalya timbul garis halus. Memang betul namanya Anna Zalya. Tapi kenapa perempuan dalam telefon kata Damien yang sepatutnya ada temujanji dengannya? Bukan Nazif?
“Ya. Boleh saya bercakap dengan Damien?”
“Boleh. Cik tunggu sebentar.”
Tunggu sebentar lagi? Agaknya, satu agensi itu suka buat dia tertunggu-tunggu. Masa Zalya pergi untuk kali pertama, Nazif buat dia menunggu di dalam bilik sejuk beku.
Tidak lama Zalya menanti, terdengar suara Damien di hujung talian. Nada suaranya kedengaran begitu ramah. Malah dengan senang hati mahu bertemu bila-bila masa untuk berikan penjelasan lanjut.
Senang sangat berurusan dengan Damien. Ah, mungkin sudah jadi lumrah ejen pelancongan agaknya. Kalau tak ramah-mesra, macam mana bisnes nak masuk? Selepas tetapkan tarikh temujanji kedua, panggilan ditamatkan.
Kad nama Nazif ditenung lama. Tiba-tiba Zalya diserang rasa sesal. Sepatutnya dia terus telefon Nazif sahaja tadi. Aduh, hilang sudah peluangnya untuk bertemu Nazif sekali lagi.
Zalya raup mukanya dengan kedua-dua telapak tangan. Sudah terlambat untuk dia menyesal sekarang. Meskipun tidak rela, Zalya pasrah. Nampaknya, sampai bila-bila pun dia takkan tahu di mana dia jumpa Nazif sebelum ini.
Laci meja dibuka sebelum kad nama itu disimpan di dalamnya. Perlahan-lahan laci ditutup rapat.

Selepas dua jam, barulah pintu bilik mesyuarat dibuka. Semua editor keluar dengan muka serabut. Macam orang sembelit pun ada! Teruk sangatkah mesyuarat tadi sampai semuanya tarik muka?
"Zalya, masuk bilik I sekejap." Tina mengarah bila mendekati mejanya.
Arahan itu buat Zalya berdebar satu macam. Apatah lagi bila dia dipanggil selepas mereka habis bermesyuarat. Hati mulai rasa tak sedap semacam.
Takkan Tina hendak menilai prestasi kerjanya? Bonus lambat lagi kut! Tapi kalau bukan sebab bonus, sebab apa? Tina hendak suruh dia berhenti kerja ke? Tidak!!!
Langkah Zalya semakin berat bila mendekati pejabat Tina. Daun pintu ditolak perlahan.
"Bos panggil saya ke?" Teragak-agak Zalya menyoal.
"Yes. Have a seat."
Zalya tarik kerusi dan duduk tegak di hadapan Tina. Wajah kusut Tina membuat dia makin resah.
"Dah berapa lama you kerja dengan I?"
"Dua... tahun?"
"You suka dengan kerja you sekarang?"
Sah! Memang Tina mahu berhentikan dia.
"Bos, tolong jangan berhentikan saya. Kalau saya tak buat kerja saya dengan elok, bos marahlah saya. Kalau bos nak denda saya pun saya tak kisah. Tapi jangan buang saya dari sini. Saya masih perlukan kerja saya. Kalau saya diberhentikan, macam mana saya nak bayar hutang kereta dan sewa rumah semua? Saya ada banyak tanggungan lagi, bos!"
"Zalya, you cakap apa ni? Bila masa pula I kata I nak berhentikan you?"
“Eh? Bukan ke? Habis, kenapa bos tanya saya soalan yang pelik-pelik tadi?" Zalya kembali tersenyum. Lega jangan cakaplah! Rasa macam terangkat beban yang menhempap tubuhnya tadi.
“Mana ada pelik! You tu yang kelam-kabut. Boleh tak you jawab dulu sama ada suka dengan kerja you atau tidak?”
“Su... suka, bos,” jawab Zalya dalam keterpaksaan.
“Bagus. You tahu tak apa hasil mesyuarat tadi?”
“Mestilah saya tak tahu.”
Zalya terus kunci mulut bila Tina jungkit kening. Baru sahaja Tina hendak membuka mulut, terdengar bunyi ketukan di pintu. Terjegul muka editor lelaki yang segak dengan kaca mata.
“Tina, you nak jumpa I ke?”
Yes, Luq. Please join us.” Tina mempersilakan lelaki itu duduk.
“Zalya, you kenal dengan Mr. Luq kan?”
Of course Zalya kenal editor fesyen yang bernama Luqman Zakri itu! Masa mula-mula kerja di e-Hawa, Zalya memang tak percaya lelaki itu ketua di bahagian fesyen. Bayangkanlah, orang lelaki jadi ketua editor bagi bidang yang majoritinya melibatkan kaum wanita? Tak logik langsung!
Tapi tak lama selepas itu, Zalya lihat sendiri kewibawaan editor yang sentiasa segak bergaya itu. Lelaki itu punya mata yang bagus. Setiap gambar yang dipilih Luqman cukup memukau dan mengagumkan. Iyalah, dah namanya ada mata empat kan?
Fida kata, Luqman pernah bekerja dengan majalah Harper's Bazaar dan Vogue Paris. Namun selepas empat tahun, lelaki itu pulang semula ke Malaysia dan bekerja dengan e-Hawa. Rindukan tanah air kononnya.
“Luq, you ingat apa yang kita bincang dalam bilik meeting tadi?”
Dahi Zalya berkerut bila Luqman pandang dia atas bawah. Dah kenapa editor ini pandang dia macam tu? Macam tengah buat penilaian untuk penampilannya.
“You serious nak suruh dia jadi model?” Suara Luqman mendatar, tidak beremosi.
Suruh siapa jadi model?!! Spontan Zalya tatap muka Tina. Tapi wanita itu terus bercakap dengan Luqman tanpa mempedulikannya.
“You sendiri yang kata, model you tak dapat dihubungi dan you perlukan pengganti. Staf you yang paling cantik itu pula tengah sarat mengandung. Zalya is the next beautiful face that we have in our office.
Terhembus keluhan berat dari mulut Luqman. Berserabut kepala otaknya. Jurugambar sudah sedia. Lokasi pun sudah disewa. Tapi watak utama untuk sesi pengambaran itu hilang tanpa dapat dikesan. Paling buat dia pening, siapa nak ganti segala modal yang telah dikeluarkan? Takkanlah dia?
Fine...” Luqman terpaksa akur dengan pilihan yang dia ada.
Great! Zalya, you ikut Mr. Luq pergi ke set untuk sesi photoshoot. Lepas habis shooting, you tak perlu masuk office.”
“Nanti, nanti, nanti! Bos cakap apa ni? Bos nak saya jadi model? No way! Bos dah lupa ke, saya cuma pembantu editor sahaja. Bukannya model!”
Zalya panik. Apa semua ini? Pasal cuti bergaji, memang dia takde masalah. Lagi suka adalah! Tapi kenapa mereka buat keputusan untuk jadikan dia model terjun tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu?
Come on, Zalya. You kan staf e-Hawa. Sepatutnya you sanggup buat apa saja demi kepentingan majalah kita. Lagipun Mr. Luq tengah stres sebab model dia M.I.A. Dia tak dapat hubungi model untuk gantikan last minute sebab jadual mereka penuh. Biasanya kita akan gunakan Laura untuk jadi model terjun. Tapi you pun tahu Laura tengah tunggu masa sahaja untuk bersalin. Takkan you nak suruh Laura pergi juga? Buatnya dia terberanak kat set nanti, macam mana?”
“Tapi kenapa mesti saya?” Zalya tuding jari ke arah dirinya. Ramai lagi staf yang pastinya teruja untuk jadi model terjun. Mengapa dia juga yang terpilih?
“Sebab muka you cantik. Puas hati? Dah, jangan banyak soal. Ikut I sekarang sebelum I ubah fikiran.” Luqman terus bangun, meninggalkan bilik Tina.
Zalya terpinga-pinga. Luqman makin menjauh. Tina pula buat derk sahaja.
“Kenapa you tercegat lagi kat sini? Pergilah ikut Luq,” arah Tina.
“Tapi bos...”
“I tak nak dengar apa-apa alasan.” Tina tayangkan telapak tangan. Isyarat ‘talk to the hand’. Maksudnya cukup jelas dan nyata.
“Tapi saya...”
Nope.”
“Bos...”
Not a word.”
Zalya ketap bibir.
Uwa...
Bos memang kejam.
Macam Hitler.
Diktator!
Zalya rasa hendak menangis bila terpaksa membuntuti Luqman.

'Zal sihat?'
Terkedu Zalya baca mesej yang baru diterima itu. Lama direnung skrin sebelum dia taip pesanan balas.
'Alhamdulillah, Zal sihat. Ayah?'
Zalya terus menerima selfie ayahnya. Siap dengan simbol peace lagi. Terulas senyum Zalya. Lucu dengan kerenah ayahnya. Namun dia lega melihat ayahnya yang kelihatan berisi. Tidak lagi kurus cengkung seperti dua minggu yang lalu.
“Zalya, set dah ready,” panggil Luqman. Zalya terus menapak ke tempat yang ditunjukkan.
Lokasi pengambaran pada hari itu terletak di sebuah villa di pinggir ibu kota. Kediaman itu dikelilingi kehijauan alam semula jadi. Rimbunan pokok buluh yang yang menjadi latar membuat suasana tampil eksotik.
"Zalya, tolong posing cantik-cantik, ya? I nak letak gambar you dalam majalah niii..." Suara jurugambar bergema di set.
Berbulu mata Zalya melihat keletah jurugambar yang lemah gemalai. Dia sendiri tidak selembut itu. Bagi Zalya, orang lelaki sepatutnya bergaya penuh kelelakian dan maskulin macam Nazif.
Ah, sudah! Tiba-tiba dia teringatkan Nazif pula dah kenapa? Laju Zalya geleng, cuba mengusir imej lelaki itu pergi.
“Saya mana retilah, Moon,” luah Zalya.
Zalya tidak tahu apa nama penuh jurugambar itu. Zalya dengar Luqman panggil lelaki itu, Moon sahaja. Mungkin Sailormoon. Tak pun full moon. Tapi lensa kamera yang dihalakan oleh Moon buat Zalya rasa rimas yang teramat.
Manalah dia suka posing-posing ini. Lainlah kalau selfie. Haa... Itu dia suka! Muncung itik, muncung biawak, segala jenis muncung dia boleh bawak.
“I janji dengan you, ini last frame. Senyum sikit ya? Sikit saja tahu? Buat muka ala-ala sombong sikit. Yes, macam tulah! Cantik!” puji Moon bila dia ikut arahan.
Muzik dipasang untuk membangkitkan mood. Sekurang-kurangnya Zalya tidak rasa kekok bergaya dalam suasana sunyi. Kali ini dia cuba bergaya sehabis baik.
Selepas tiga jam, barulah sesi pengambaran itu selesai. Sebaik habis shooting, Zalya terus tukar baju. Takut dia hendak terus memakai baju yang entah berapa ribu harganya.
Luqman kata, itu baju pereka tersohor. Siap diperincikan dengan batu permata Swaroski. Terus satu badan Zalya naik kejung.
Nasib baik dia sudah habis posing. Jika tidak, percuma sahaja dia kena marah dengan Moon dek terlalu kaku di depan kamera.
Lepas tukar baju, Zalya terus galas beg tangannya. Jam pun sudah tunjuk 6.00 petang. Waktu kerjanya sudah lama tamat. Dia mahu balik untuk mencari katil yang tercinta.
“You nak terus balik? Mekap kat muka you tu, tak nak bersihkan?” Jari telunjuk Luqman berputar dekat wajah sendiri.
It’s okay. Saya boleh bersihkan sendiri kat rumah. Lagipun bila lagi saya ada can nak balik dengan muka yang cantik macam retis ni, kan?” Senyuman Zalya meleret kerana terlalu suka dengan riasan di wajahnya.
 “Ikut suka you lah, Zalya. Thanks to you, we don't have to cancel today's photoshoot. Nanti I belanja you makan kat Tony Roma's, okey?”
“Makan kat Tony Roma's aje ke, Mr. Luq?” duga Zalya, cuba nasib. Mana tahu kalau-kalau dia dapat makan di tempat yang lebih mewah.
“Cukuplah tu. You ni, dah bagi betis nak paha pulak!”
Luqman tergelak. Ada sahaja kerenah staf Tina yang seorang ini. Kehadiran Zalya bawa aura yang positif di set pengambaran. Beberapa kali krew ketawa bila gadis itu acah gaya seperti model profesional.
“Saya gurau saja. Saya gerak dulu ya, Mr. Luq.” Zalya tersengih. Dicapai beg dan skarf miliknya.
Drive elok-elok. Take care!” ucap Luqman.
Zalya lambaikan tangan. Selama ini dia sangka editor bahagian fesyen itu garang orangnya. Mana tidaknya? Muka asyik ketat 24 jam. Bila tiba di set, lain pula perangainya. Lebih santai. Malah banyak pula ketawa.
"Itu staf baru ke?" soal Moon, mendekati Luqman yang tidak lepas dari memandang Zalya.
"Taklah. Itu staf Tina. I minta dia tolong gantikan Laura hari ini."
"Oh, tapi muka dia memang fotogeniklah. I suka ambil gambar dia," luah Moon. Matanya sibuk meneliti satu demi satu gambar di dalam kamera.
"I pun."
Moon tertoleh pada Luqman. Berkerut-kerut dahinya. Seakan tidak percaya mendengar kata-kata itu keluar dari mulut editor fesyen itu.
"Kenapa pandang I macam tu? Cepat wrap up. I sewa tempat in sampai jam 7.00 petang sahaja."
Moon tidak menyahut. Hanya matanya menyorot langkah Luqman yang menjauh dari dirinya.

2 comments:

Munyrah Azry said...

Hahahaha.. Entah entah nnti jumpa Nazif kt sana.. Huhu

Nak lagi kaq Diya.. Saya suke #ZalyaNazif..

diya jamal said...

hehehe.. tunggu part 7 ya.

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)