Sunday, January 7, 2018

Cinta Untuk Mr. Hero - 9

Keningnya berkerut-kerut. Dia duduk mencangkung lalu menyentuh kesan calar pada kereta itu. Mujur kesan itu tidak terlalu dalam sampai boleh nampak warna badan kereta. Kalau tidak, dia kena tampal dahulu sebelum boleh dicat.
“Macam mana boleh calar ni, bro?” Alex mendongak. Muka Nazif ditatapnya.
“Kena langgar.”
“Langgar lari?” Alex bangun, berdiri sama tinggi dengan Nazif.
“Taklah.”
"Then?" Alex tertanya-tanya.
"Langgar tapi tak lari."
"Loyar buruk nampak?"
Nazif senyum segaris. Bila keretanya dilanggar tadi, jantungnya serasa hendak meletup. Sebab dia trauma dek pernah kemalangan dulu. Namun sebaik melihat wajah Zalya, hatinya rasa hendak pecah. Risau jika sesuatu yang buruk telah berlaku.
“Siapa yang langgar? Perempuan ke?” Alex meneka.
Nazif angguk.
“Cantik?” cungkil Alex.
Tanpa sedar Nazif mengangguk sekali lagi.
“Dah agak dah...”
Nazif geleng. Bagai dapat agak apa di dalam kepala Alex.
“Alex, cantik atau tidak, itu bergantung pada mata seseorang. Mungkin dia cantik pada mata saya, tapi biasa pada mata orang lain.”
Bro, kalau kau dah cakap dia cantik, maknanya memang cantiklah dia. Ini kali pertama dalam hidup aku tahu, dengar kau puji orang perempuan.”
“Tak mungkinlah...” Nazif menggeleng. Mana mungkin Zalya orang pertama yang dipujinya?
“Kalau macam tu, beritahu aku siapa tiga orang perempuan yang paling cantik di mata kau.”
“Senang sangat tu. Yang pertama Umi, kedua Airin dan ketiga...” Nazif berjeda. Nama itu hampir meniti di bibirnya.
“Perempuan yang langgar kereta kau?” sambung Alex.
Nazif teragak-agak sebelum mengangguk. Memang betul dia hampir menyebut nama Zalya tadi. Tapi kenapa?
“Saya rasa awak dah jatuh ni.” Suara Zalya terngiang-ngiang di telinga.
“Jatuh apa?”
“Jatuh cinta dengan saya.”
Senyuman Nazif terukir panjang. Keletah gadis bernama Anna Zalya itu sedikit sebanyak mengusik perasaan.
Tapi kenapa dia semacam pernah dengar semua ayat itu? Otaknya ligat memproses input. Terus Nazif teringat akan mesej pelik yang dia terima beberapa hari ini. Selama ini, Zalya yang hantar semua mesej itu kepada dia?
Bro, kau sedar tak dua orang pertama yang kau sebut tadi adalah keluarga kau. Yang ketiga tu, bakal jadi ahli keluarga juga ke apa?” Suara Alex mematikan lamunannya.
Tersenyum Nazif dengar usikan Alex. Nasib baik mereka berdua sahaja yang sedang berdiri di depan bengkel itu. Kalau tidak, malu juga dibuatnya.
“Bila boleh siap repair ni?” Nazif cuba alih topik. Enggan bercakap tentang Zalya lagi.
“Kenapa? Kau nak rushing pergi mana-mana ke?”
“Tadi saya ambil umi saya. Petang nanti saya kena temankan Airin pergi Putrajaya.”
“Oh, nak memanjat lagilah tu?”
Nazif angguk. Boleh tahan banyak juga yang Alex tahu tentang keluarganya. Seingatnya, dia tidak banyak bercerita mengenai mereka kecuali dengan orang yang betul-betul rapat dengannya.
“Bagi aku dalam sejam. Kau duduklah kat dalam office aku dulu. Dah siap nanti aku panggil.”
Nazif terus melangkah ke dalam bengkel dan menuju ke arah sofa yang disediakan. Sementara menunggu, dia buka jurnalnya lalu duduk menulis di situ.

Nazif berikan sepenuh perhatian kepada satu susuk tubuh yang sedang memanjat di atas. Satu demi satu batu dipijak laju. Namun bila tiba di sudut yang condong 30 darjah, tubuh itu tidak bergerak-gerak. Hanya statik di situ.
“Airin okey tak?” Nazif jadi risau.
Not okay. Tight!”
Pantas Nazif kuat cengkaman tangan. Tali ditegangkan. Airin perlahan-lahan lepaskan tangan. Dibiarkan dirinya terawang di udara. Dia mahu berehat seketika untuk mengumpul tenaga.
“Airin nak naik lagi ke?” Nazif kuatkan suara agar dapat didengar oleh Airin.
“Ya! Loose!”
Tali dilonggarkan. Kemudian Airin memanjat semula. Tali dicangkuk pada anchor yang tersedia. Digunakan kekuatan kaki untuk menolak tubuhnya ke atas sehingga akhirnya Airin berjaya tiba di poin terakhir.
Kemudian perlahan-lahan dia menggelungsur turun dengan bantuan harness yang dipakai. Dua kakinya mendarat di atas lantai.
“Macam mana rekod Airin hari ini?” Walaupun penat, dia mahu tahu catatan masanya.
“Tujuh minit tiga belas saat. Awal tiga saat daripada minggu lepas. Tahniah,” ucap Nazif, senada.
“Ucap tahniah macam takde perasaan!” cebik Airin.
Senyum Nazif terukir nipis. Jika Airin tidak masuk hutan, adik perempuannya itu akan turun ke Putrajaya. Aktiviti wall climbing sudah jadi hobi kedua Airin.
Setiap kali Airin memanjat di Taman Cabaran, memang dia akan diheret bersama-sama sebagai penambat ataupun belayer. Tugasnya, untuk menjaga dan mengawal ketegangan tali. Lebih kurang seperti sauh yang menghalang adiknya daripada jatuh menghentak lantai.
“Along tak nak cuba?” Airin suakan tali ke arah abangnya.
“Tak naklah. Buat penat saja.”
“Ala... Along cubalah panjat dinding yang paling basic dulu. Kalau along tak tahu, jangan risau. Airin kan ada?” Beriya-iya Airin memujuk.
“Panjat dinding tu hobi Airin. Bukan along,” balas Nazif. Dihulurkan tuala kepada adik perempuannya itu.
Mata Airin mengecil. Degil juga abangnya ini. Pujuk macam mana pun, tetap tak jalan. Tuala yang diberi oleh Nazif digunakan untuk kesat peluh di lengan dan dahi. Terasa melekit seluruh badan.
Namun Airin tidak kisah. Selagi boleh lakukan aktiviti riadah, dia tidak kisah jika terpaksa bermandi peluh.
“Esok along nak pergi ke Indon kan? Along pergi mana, eh? Bandung? Jogja? Takpun, Lombok?”
Semua tekaan Airin dibalas dengan gelengan Nazif.
“Bali.”
“Berapa hari?”
“Tujuh. Kenapa? Nak ikut sekali?”
“Tak naklah. Airin ingatkan along nak pergi Lombok. Kalau along pergi ke sana, bolehlah Airin tumpang sekaki. Teringin juga Airin nak pergi ke Air Terjun Sendang Gile. Orang kata tempat tu cantik gila."
“Memang cantik pun. Along pun tak tahulah bila lagi along boleh pergi ke sana,” keluh Nazif. Dia tunduk, memandang jam di pergelangan tangan. Sudah hampir 1.00 petang.
“Airin nak panjat lagi ke? Perut along dah lapar ni.”
“Sepatutnya Airin yang cakap macam tu. Along dah buat apa sampai boleh rasa lapar pula? Lainlah kalau along pun memanjat macam Airin tadi.”
“Duduk berfikir pun guna tenaga, Airin.”
Mulut Airin berdecit-decit sambil kepalanya tergeleng.
“Betul cakap umi. Memang takkan menang kalau bercakap dengan along ni.”
“Tapi apa along cakap tadi tak salah kan?”
Okay, fine! Along betul. Airin salah. Puas hati?”
Nazif senyum. Suka bila lihat muka masam adiknya. Sehari tak buat adiknya geram, memang tak sah.
“Airin pergi mandi dulu. Lepas tu baru kita pergi lunch. Along jangan ke mana-mana, tahu?” pesan Airin.
“Ya, along tak pergi mana-mana. Along duduk sini diam-diam tunggu Airin.”
Airin terus bergegas ke bilik mandi yang disediakan. Sementara menunggu, Nazif perhatikan pengunjung lain di Taman Cabaran itu.
Ada ibu bapa yang menemani anak mereka memanjat. Ada juga pasangan yang mencabar diri dengan memanjat dinding. Tak kurang juga, pendaki profesional yang memilih untuk memanjat dinding tahap expert.
“Zalia!”
Laungan itu buat Nazif berpaling. Zalya ada di sini? Pantas matanya cuba mencari wajah gadis itu.
“Zalia nak ke mana tu? Meh, ikut mama.”
Terkedek-kedek budak perempuan itu berlari ke arah ibunya. Nazif sangka Zalya turut ada di situ. Rupa-rupanya, cuma seorang kanak-kanak perempuan dengan nama hampir serupa.
Comel sungguh kanak-kanak itu. Nampak begitu gembira di dalam pelukan ibunya. Terus Nazif teringat pada umi di rumah. Lantas dia hubungi wanita paling dia sayang itu.
“Assalamualaikum, umi. Along dengan Airin nak pergi makan. Umi nak ikut tak?” soal Nazif sebaik panggilan dijawab.
“Wassalam. Takpelah, long. Umi temankan walid makan kat rumah. Along dengan Airin pergilah berdua sahaja, ya?”
“Baik, umi.”
 Pandangannya terarah pada kanak-kanak tadi. Nama kanak-kanak itu mendorong Nazif menatap telefonnya kembali. Dibaca semula mesej yang dikirim oleh private number.
Melebar senyumannya. Betapa nakalnya Zalya kerana menghantar semua mesej itu kepadanya. Tapi kenapa tiada sebarang pesanan dia terima hari ini? Sibuk sangatkah Zalya hingga lupa hantar mesej kepadanya?
“Along, jom!”
Nazif berpaling bila bahunya ditepuk. Cepat sungguh Airin bersiap. Lekas dia bangun untuk meninggalkan tempat rekreasi itu bersama-sama adiknya.
“Kita nak makan kat mana ni, long?”
“Makan kat mulut.”
“Along ni...” Airin tarik muncung panjang.
Nazif tertawa. Sempat dia berpaling semula untuk melihat kanak-kanak yang bernama Zalia tadi. Senyumannya terukir nipis.

Oh, my god! Apa dah jadi ni, Zalya? Macam mana boleh jadi begini?” Mata Fida melekat pada calar di bumper kereta Zalya.
“Saya kena langgar,” Zalya. Dia duduk menopang dagu di hadapan keretanya. Rasa tidak mahu dia baiki kesan calar itu sampai bila-bila. Biar jadi kenangan paling berharga.
“Kalau kereta kau calar di bahagian depan, maknanya kau yang langgar orang kan? Jadi, beritahu aku sekarang. Siapa yang kau dah langgar?”
“Awak rasa?” Zalya mahu seksa sekejap hidup kawannya itu.
“Zalya...” Fida tenung muka Zalya tajam-tajam.
“Saya langgar kereta Nazif tadi.”
Tercengang-cengang Fida dengar nama itu. Mengapa lelaki yang pernah selamatkan Zalya jadi mangsa dalam kemalangan itu pula?
“Serius kau sengaja langgar kereta dia? Siapa suruh kau buat kerja-kerja macam tu, Zalya? Kalau kau nak pergi mengintip, buat cara mengintip. Mana ada pengintip pergi langgar kereta orang yang dia ikut!”
“Saya tak boleh buat apa-apa, Fida. Awak pun nampak lepas dia dapat call tu, dia tergesa-gesa tinggalkan restoran. Macam mana kalau dia pergi jumpa girlfriend dia?”
“Eh, lantak dialah kalau dia nak pergi jumpa girlfriend atau isteri dia sekalipun. Kenapa kau nak halang pula? Kau sukakan dia ke?”
“Saya? Suka dia?” Zalya ketawa berdekah-dekah sampai mengalir air mata.
Fida peluk tubuh. Dia mahu tengok sampai bila Zalya mahu menafikan perasaannya.
“Fida, saya teringin nak tengok macam mana cara Nazif bawa diri bila jumpa orang di luar. It's how he act and interact with others that matters. Kalau awak jadi saya, takkan awak tak nak tahu macam mana perangai dia?”
“Eleh! Mengaku sahajalah yang kau memang sukakan si Nazif tu. Sebab tu kau beriya-iya intip dia. Betul tak?”
“Mana ada...” Suara Zalya perlahan sahaja.
“Mana ada, mana ada! Aku kenal kau dah lama, Zalya. Dekat lapan tahun. Ini kali pertama kau buat kerja gila begini. Jadi spy konon! Kalau bukan suka, apa maknanya?” tambah Fida lagi.
Suka? Betulkah dia suka? Zalya diam. Soalan Fida dibiar tidak berjawab kerana dia sendiri tidak punya jawapannya.

6 comments:

Munyrah Azry said...

Hahaha.. Kevin ni mcm ade hati je dgn Zalya.. Huhuhu.. Tapi Zalya dah ade buah hati.. Nazif tu..

Amboii Zalya berani betul ye tegur adik stalker mcm tu.. Kesian dye.. Haihh.. ^_^
Suke suke kaq Diya :*

diya jamal said...

thank you. thank you. laptop problem. sekarang menaip dgn henfon je. iya ke Kevin ada hati dengan Zalya? tak kot.. hahahha

azuha said...

Bila novel ini akan diterbitkan...nak beli...jalan ceritanya menarik.

azuha said...

Bila novel ini akan diterbitkan...nak beli...jalan ceritanya menarik.

azuha said...

Jalan cerita menarik bila akan diterbitkan ...nak Beli.

diya jamal said...

hihi.. sabar ye. nanti dah keluar saya gitau.

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)