Friday, September 20, 2019

Demi Rindumu (Drama) - Akan Datang Megadrama Astro Ria

Salam semua. Mesti ramai dah tahu novel pertama Diya akan jadi adaptasi kan? Alhamdulillah... Memang syukur sangat dengan rezeki yang Dia berikan. Tak sabar nak tengok novel di kaca tv. Mungkin ada sikit sahaja lain dari novel tapi Diya harap jalan cerita utamanya tak berubah.


Drama akan disiarkan di slot MegaDrama Astro Ria sebanyak 16 episod.

SIARAN TV : MegaDrama (Astro Ria)
WAKTU SIARAN : Isnin-Khamis, 9:00 malam.
PENULIS NOVEL : Diya Jamal
PENGARAH : Haris Fadilah
PRODUKSI : Zamriez Golden Picture Sdn Bhd

BARISAN PELAKON :
Sean Lee sebagai Haznik
Janna Nick sebagai Nurhana
Norman Hakim sebagai Nasrul
Elvina Mohamad sebagai Rania

Riz Amin sebagai Johar
Sherry Ibrahim sebagai Suraya
Mustapha Kamal sebagai Hassan (dalam novel Hussin)
Raja Norbaizura sebagai Maryam
Aleza Shadan sebagai Aida
Asri Sabri sebagai Izlan

Jangan lupa duduk depan kaca tv nanti. Boleh juga layan OST drama kat bawah ni. Salam sayang semua.


Thursday, January 24, 2019

Cinta untuk Mr. Hero - versi cetak

Hai semua. Nak beritahu novel Cinta untuk Mr. Hero dah ada versi cetak. Kalau ada sesiapa nak beli, tinggalkan emel di bahagian komen ya. 

Harga RM25.00
Kos poslaju RM8 Semenanjung Malaysia / RM12 Sabah Sarawak

Beli dengan saya, dapat cop mohor, tandatangan, freegift special (terhad) lagi.

Jangan lupa komen ya? Thank you. Muah2. 


Wednesday, May 30, 2018

Cinta Untuk Mr. Hero - 10


Meriah! Perkataan itu masih tak cukup untuk menggambarkan majlis resepsi Hanim. Seisi dewan dihias cantik bertemakan kayangan. Harum bunga segar semerbak di dalam dewan.
Ramai tetamu yang hadir untuk memeriahkan majlis. Di atas pelamin, Hanim kelihatan begitu bahagia di samping suaminya. Seri pengantinlah katakan. Terpaku juga Zalya melihatnya tadi.
Agak-agaknya kalau dia kahwin nanti, mampukah dia buat majlis sebesar ini? Mampu dalam mimpi sahajalah gamaknya!
Dewan bertukar hingar-bingar bila pengantin lelaki tiba-tiba bangun dan mencapai mikrofon. Seluruh tumpuan beralih pada pentas pelamin.
"Assalamualaikum dan selamat petang semua. Pertama sekali, saya ingin ucapkan terima kasih yang tak terhingga pada semua tetamu yang hadir ke majlis kami ini. Doakan kebahagiaan kami. Kalau ada apa-apa yang terkurang, saya dengan rendah diri ingin memohon maaf.”
Bicaranya terhenti. Matanya mendarat pada wajah pengantinnya. Pandangannya melimpah dengan rasa cinta. Bersulam kasih yang tak terhingga.
“Buat Hanim, suri hidup saya, terima kasih kerana sudi menerima saya sebagai suami. I love you and InsyaAllah, will always be. Lagu ini saya tujukan khas untuk awak," tutur raja sehari itu, mengundang tepukan tetamu. 
Alolo... Sweet sawit sangat! Hanim nampak malu-malu kucing. Pengantin lelaki maju ke tengah pentas. Seisi dewan bergema dengan irama acapella yang amat Zalya kenali. Eh, inikan lagu...
“Dengarlah bisikan angin bayu. Dengarlah bisikan ooo hatiku..."
Bukan main romantik lagi! Nasib baik suara pengantin lelaki merdu macam penyanyi asal. Kalau tidak, jam itu juga Zalya pergi rampas mikrofon!
Sebaik tamat dendangan suara oleh pengantin lelaki, seisi dewan bertepuk tangan. Punyalah gemuruh!
Zalya pun antara yang kuat bertepuk tangan. Tumpang gembira melihat kebahagiaan Hanim. Selesai makan, Zalya curi peluang untuk mendekati Hanim.
“Cantiknya awak hari ini, Hanim! Macam puteri kayangan!” Kembang-kempis hidung Hanim bila dipuji.
Thank you, darling. Awak datang seorang saja ke?”
“Habis? Awak nak saya datang dengan siapa?”
Zalya mula tenung Hanim tajam-tajam. Peduli apa dia jika hari ini hari kahwin rakannya? Kalau Hanim berani tanya tentang pasangan hidup, siaplah dia cubit-cubit mulut Hanim nanti.
“Dengan Fida lah. Mana perginya housemate kesayangan awak tu? Kenapa saya tak nampak dia?”
Kecil besar mata Zalya menikam muka Hanim. Aik, macam perli je bunyinya!
“Kebetulan hari ini kakak Rayyan pun buat majlis kahwin. Nak tak nak Fida kena tunjukkan muka di sana. Takkanlah saya nak paksa Fida datang ke sini pula? Bagi can lah dia nak rapat dengan keluarga bakal mertua kan?” Zalya memberitahu.
Hanim terangguk-angguk, mengerti.
"Awak dah makan kan? Ada apa-apa yang terkurang tak? Tak cukup garam ke?" Hanim bertanya, risau. Dia tahu betapa jujurnya Zalya. Jika dia tanya Zalya, gadis itu akan berterus-terang tanpa berselindung.
"Jangan risau, makanan semua sedap-sedap. Marvellous!" puji Zalya, menegakkan dua ibu jari.
“Iya? Lega saya mendengarnya. Tapi kenapa awak datang pakai begini? Awak memang sengaja nak curi spotlight dari saya kan? Cubalah pakai sopan sikit. Baju kurung zaman sekarang dah cantik-cantik tahu! Siap ada french lace lagi.” 
Hanim amati penampilan Zalya. Rakannya selamba menyarung kebaya warna biru dan berseluar jeans. Rambutnya pula disisir rapi ke sisi kiri, melepasi bahu. Memang berbeza jika hendak dibandingkan dengan tetamu lain yang berbaju kurung, berkebaya mahupun abaya.
“Eh, tolonglah! Memang taklah saya nak pakai baju kurung segala. Sepatutnya awak bersyukur tahu sebab saya nak pakai baju kebaya ni. Buatnya saya datang pakai straplessmini dress saja, macam mana?”
“Jangan cari pasal nak pakai seksi-meksi kat majlis kahwin saya ni, ya! Pengsan bakal mak mertua awak tengok nanti.”
“Masalahnya, ada ke bakal mak mertua kat sini yang nak ambil saya sebagai menantu?”
“Mana awak tahu bakal mak mertua awak takde di sini?”
“Mana awak tahu ada? Tunjukkanlah pada saya.”
Hanim geleng lemah. Buat habis air liur saja bercakap dengan Zalya. Bukannya peduli apa orang kata pun!
“Suka hati awaklah, Zalya. Anyway, terima kasih sebab tolong uruskan percutian tu. Kurang satu benda yang buat kepala saya berserabut,” Hanim separuh berbisik. Bimbang rancangan itu diketahui oleh ahli keluarga. Dia mahu semuanya kekal rahsia hingga tiba saatnya nanti.
"Tak payahlah nak berterima kasih sangat. Kawan punya pasal, takde masalah!"
“Auw..! Awaklah bestfriend saya yang terbaik sekali dalam dunia ini!” Hanim peluk bahu Zalya erat.
“Awak pun, Hanim,” Tertawa Zalya tika membalas pelukan rakannya.
“Seronok nampak?”
Pandangan Zalya dan Hanim sama-sama terkilas.
“Mestilah seronok, Bie. Hari ini kan hari perkahwinan kita.” Hanim mengulit tangan suaminya dengan manja. Jari-jemari bersilangan mesra.
“Agak-agaklah kalau nak bermesra sekalipun. Awak ingat saya ni tunggul kayu ke kat sini?” tegur Zalya. Naik juling mata melihat aksi lovey-dovey Hanim.
“Tak payah nak mengata sayalah, Zalya. Entah-entah awak lebih teruk daripada saya lepas kahwin nanti.”
“Huh, takde maknanya!” balas Zalya. Persona manja memang tidak sesuai langsung dengan jiwanya!
By the way Irham, pandai juga awak menyanyi eh? Lagu penyanyi favorite saya pula tu! Mati-mati saya ingat memang Anuar Zain yang datang menyanyi tadi.”
Terburai tawa Irham sebaik mendengar pujian Zalya. Bukannya dia tak kenal rakan baik isterinya itu. Telatahnya lepas laku. Namun gadis itu mudah disenangi kerana karakternya penuh selamba.
“Saya menyanyi suka-suka saja, Zalya. Demi isteri tercinta. Kalau awak nak tahu, Hanim yang paksa saya menyanyi. Lepas tu dia buat-buat muka terkejut pula. Kaki drama betul kan?”
“Amboi, suka-suka hati Bie sahaja mengutuk kita ya?” Hanim menjeling manja.
Irham lepaskan tawa. Suka dengan jelingan isterinya.
“Maknanya, dari awal-awal lagi memang awak dah planlah semua ni?” Pandangan Zalya terhala pada muka selamba Hanim. Sama sekali tidak menduga plot twist dalam cerita ini.
“Mestilah! Saya kena pastikan majlis saya berjalan dengan lancar. Senarai jemputan pun saya semak satu persatu, okey? Saya tak nak tiba-tiba ada drama tak jadi kahwin pula kat sini nanti!”
“Awak dah terpengaruh dengan drama tv ni. Bukan semua majlis akan berakhir macam tu.”
“Tapi tak salah berjaga-jaga kan?” Hanim tetap tidak mahu kalah.
Fine...
“Majlis awak pula bila akan langsungnya, Zalya? Saya dan Hanim teringin juga nak makan nasi minyak di majlis awak.” Irham menyoal.
Soon, Irham. Soon...” Senyuman tawar melewati bibir Zalya. Dia hendak berkahwin dengan siapa? Kawan lelaki pun takde!
Sekonyong-konyong imej Nazif terpancar di depan mata. Huh? Kenapa pula dia teringatkan lelaki itu? Rindu? Memang dia ada teringatkan lelaki itu tapi tidaklah selalu. Kadang-kadang sahaja. Sehari sekurang-kurangnya lima enam belas kali. Tak banyak mana pun kan?
Lepas insiden dia sengaja langgar Nazif tempoh hari, dia sudah tak nampak kelibat lelaki itu. Walau berapa lama dia bertapak di depan agensi, bayang lelaki itu langsung tak kelihatan. Lesap begitu saja. Nazif menghilang ke mana agaknya?
“Kalau awak masih single, saya boleh kenalkan awak dengan kawan-kawan saya. Takpun, awak boleh berkenalan dengan sepupu saya. Dia bujang lagi, tahu!” Suara Irham menarik Zalya ke alam nyata.
“Terima kasih sahajalah, Irham. Saya belum puas enjoy lagi.”
Hakikatnya, dia yang memilih. Ya, memang dia terpaksa memilih. Kahwin tak suka macam pakai baju. Tak suka, tukar. Tak berkenan, buang. Dia tak mahu hidup sengsara di kemudian hari.
“Terpulanglah pada awak. Tapi kalau awak dah habis enjoy, cepat-cepat beritahu saya. Nanti saya akan kenalkan awak dengan dia.”
Zalya cuba fikir positif. Mungkin Irham berniat baik. Mungkin Irham cuma mahu lihat dia juga berjaya menemui pasangan hidup, seperti mana Irham menemui Hanim. Dia akhirnya mengangguk walaupun tidak bermaksud apa-apa.
“Okeylah, Hanim. Saya nak pergi enjoy zaman solo yang awak dah tinggalkan buat selama-lamanya tu. Anyway, selamat pengantin baru. Semoga bahagia ke anak cucu.”
Tergelak Hanim dan Irham mendengar ucapan Zalya.
Thanks again, Zalya sayang.” Hanim peluk Zalya sebelum lagakan pipi mereka kiri dan kanan.
You are welcome, Hanim sayang...
Hanim tergelak.
Zalya terus membawa haluan ke pintu keluar. Sempat dia lihat pasangan raja sehari itu buat kesekian kali. Namun ruang pandangannya dihalang oleh satu pasangan yang berdiri di hadapan Hanim dan Irham.
Makin buat dia geram, bila si perempuan asyik memaut tangan si lelaki. Langsung tak nak lepas. Manja bukan main!
“Hesy, kalau ya pun nak tengok pengantin, janganlah block orang lain!” Zalya menggumam geram.
Macam tahu-tahu perbuatan mereka sedang mengundang kemarahannya, pasangan itu tiba-tiba berkalih. Barulah pandangan Zalya tidak lagi terbatas.
Tetapi sebaik kedua-duanya menoleh, Zalya terpempan. Dada terasa hendak meletup. Beberapa kali dia pejam celikkan mata. Namun wajah itu tetap serupa.
Tatkala pandangannya bersatu dengan mata si lelaki, Zalya tahu dia perlu angkat kaki. Sekarang juga!