Tuesday, June 13, 2017

Berikan Dia Cinta

Bling! Satu dentingan perlahan berbunyi menandakan ada emel baru masuk. Tertangguh sekejap aksi makannya. Cepat-cepat dia capai tisu untuk mengelap tangannya yang berminyak. Semuanya gara-gara french fries dari restoran badut berbaju kuning.
Padahal kentang goreng itu tidak berminyak sangat sebenarnya. Cuma dia kena jaga kebersihan. Lebih-lebih lagi bila keyboard atas meja ini bukannya syarikat bapa dia yang punya.
Digerakkan tetikus untuk mengalihkan kursor di skrin. Emel yang baru tiba itu dibuka untuk dibaca.
‘Salam Kak Tina. Suami saya selalu merungut. Mulutnya tak henti-henti membebel setiap kali balik ke rumah kerana rumah kami asyik bersepah. Salah sayakah kalau tak sempat mengemas? Saya bukannya tak bekerja. Mana sempat nak siapkan anak-anak dan memasak? Anak-anak kami pula masih kecil. Apa yang perlu saya buat, Kak Tina? –Manisah, Pahang.’
“Untunglah dah ada suami dan anak-anak. Aku sendiri pun belum kahwin lagi.” Mulutnya mengomel sendirian. Dia tergeleng.
Lantas jari-jemarinya menari-nari bak penari balet di atas papan kekunci. Menaip satu demi satu aksara dengan gerakan yang pastinya mengundang markah penuh dari juri.
‘Wassalam, Manisah. Tahukah anda, masih ramai suami di luar sana yang langsung tak jumpa jalan pulang ke rumah? Anda bertuah kerana suami anda hanya membebel saja. Ada orang yang langsung tiada suami mahupun anak-anak. Belajarlah bersyukur.’
Anak panah digerakkan ke emel yang seterusnya.
'Hai Kak Tina. Saya ada boyfriend yang sangat sayangkan saya. Tak pernah marah-marah atau tinggikan suara. Apa yang saya minta, semua saya dapat. Tapi baru-baru ini ada seorang lelaki cuba memikat saya. Dia lebih kacak daripada teman lelaki saya sekarang. Tolong saya, Kak Tina. Perlukah saya tinggalkan boyfriend saya? -Nonie, Gombak’
Jari telunjuknya mula mengetuk-ngetuk hujung keyboard. Diulang baca emel yang baru dibuka ini. Makin dia baca, makin laju ketukannya. Hatinya terasa panas. Lebih-lebih lagi ayat terakhir pengirim emel itu.
Banyak cantik muka! Budak ni sedar ke tidak, tak semua orang ada boyfriend? Tak cukup seorang, dia nak seorang lagi? Tanpa berlengah lagi, dia mengarang ayat untuk membalas.
'Wahai Adik Nonie kusayang, pernah dengar peribahasa yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran? Kalau adik rasa adik hot sangat, pergilah kejar lelaki kacak yang adik katakan itu. Kami doakan adik hidup takkan bahagia sampai bila-bila.’
Tergelak besar dia bila membaca jawapannya sendiri. Mesti bosnya naik hantu jika terbaca emel balasnya ini. Tak pasal-pasal suara tempikan ala halilintar akan menggegarkan pejabat nanti.
“Ehem!” Satu suara berdehem kuat.
Serentak dia melompat. Hampir dia terjatuh dari kerusi. Kelam-kabut dia bila lihat Tina berdiri betul-betul di depan mata.
“Oh, ini kerja you rupanya, Zalya?” Suara petir serupa 1000 gigavolt itu terus menyambar telinga. Segera Zalya menggapai beg berisi french fries yang masih bersisa.
“Siap buat makan-makan atas meja I pula tu!” Mata Tina menikam-nikam makanan di tangan Zalya.
“French fries je bos.”
“Ada saja jawapan you kan? Dan apa yang you pakai ni?”
Tina pandang dirinya dari atas bawah. Zalya tunduk. Apa yang tak kena dengan bajunya? Blaus longgar rona krim berlengan pendek dan seluar jenis skinny tersarung di tubuhnya. Skarf warna merah pula tergantung elok di lehernya. Cantik apa!
“Kenapa dengan baju saya, bos?”
“Cubalah pakai baju yang sopan sikit. Baru sesuai dengan imej kita yang bekerja dengan majalah E-Hawa.”
Zalya tersengih. Cakap memanglah senang. Meh sini bagi duit. Biar dia borong koleksi terbaru Tunku Tun Aminah x Jovian Mandagie.
“Ini signature style saya, bos. Mana boleh pakai sama dengan orang lain?"
Tina hanya mampu geleng kepala. Selama ini dia bersabar dengan kerenah Zalya kerana hasil kerja Zalya tidak pernah mengecewakan. Walaupun mulut ada sikit menjawab, tangannya laju siapkan kerja.
“Ada saja jawapan you kan? I suruh you jawab semua soalan pengirim emel dalam kolum ‘Tanya Tina’. Bukan suruh you mengarut!”
Zalya ketawa kekok. Dia garu-garu kepala yang terasa gatal. Efisyen sungguh bosnya ini. Lihatlah betapa cepatnya dia tertangkap.
“Saya gurau je, bos. Lagipun semua emel tu masih dalam bentuk draf. Takkanlah saya nak hantar jawapan macam tu pada mereka semua, kan?” Zalya cuba bela diri. Dia karang jawapan mengarut itu sekadar suka-suka. Mahu lepaskan tekanan. Bosan okey jika terpaksa jawab ikut skema!
Sudah hampir dua tahun dia bekerja sebagai pembantu editor di syarikat majalah e-Hawa. Majalah online itu sudah berjaya menduduki tangga kedua dalam carta majalah online paling laris di Malaysia.
Sebagai pembantu editor, tugasnya adalah membantu Tina dalam apa jua hal. Dari sekecil-kecil perkara seperti urusan surat-menyurat sehinggalah menyemak artikel untuk disiarkan dalam majalah e-Hawa.
Paling utama sekali, dia perlu jawab soalan pembaca dalam kolum Tanya Tina, kolum paling popular dalam majalah mereka itu. Tiap hari beratus-ratus emel yang diterima. Jika dibiar tidak dijawab, habis mengamuklah Tina.
“Kalau you tersalah tekan dan terhantar jawapan you yang bukan-bukan tu macam mana?” Tina sudah bercekak pinggang.
“Kalau dah terhantar, nak buat macam mana lagi? Minta maaf ajelah, bos.”
“Ewah, ewah, ewah! Sedap mulut you bercakap kan? Cuba you letakkan diri you di tempat mereka. You rasa you boleh maafkan semudah tu saja?”
Zalya tertunduk. Kata-kata Tina buat dia berfikir lama. Ada benarnya kata bosnya itu. Bolehkah dia maafkan orang yang buat salah dengannya?
“Dah, bangun! Lebih baik you pergi belikan kopi untuk I. Lagi bagus!” arah Tina. Jari telunjuk sudah dituding menghala pintu.
“Americano ke, bos?” Zalya hendak memastikan Tina memesan minuman yang sama seperti kebiasaannya.
“Iya!” Tina menjegilkan mata.
“Baik bos!” Zalya angkat tabik sebelum berdesup meninggalkan pejabat.

Zalya keluarkan telefon yang asyik bergetar sejak tadi. Ketika waktu bekerja, memang dia selesa letakkan telefon dalam mod getar. Dia tak mahu bunyi nada dering mengganggu rakan sepejabat.
Mata mendarat pada skrin telefon. Tertera nama Hanim di situ. Serta-merta bibirnya menguntum senyum nakal. Dirapatkan telefon dekat telinga.
“Selamat pagi, Balai Polis Alor Setar.”
“Balai polis?!” Suara di hujung talian jelas terkejut yang teramat.
Zalya rasa hendak ketawa guling-guling. Dapat dia bayangkan reaksi Hanim ketika itu. Mesti tengah terperanjat biawak!
“Ini akulah, Nim!”
“Kurang asam jawa punya kawan! Mati-mati aku ingat aku bercakap dengan pegawai polis tadi.”
Meledak tawa Zalya. Betapa dia teringin melihat air muka rakannya itu. Pasti pucat lesi kerana percaya telah tersalah telefon.
“Kau dah sampai office agensi tu tak?”
“Belum, Hanim sayang. Aku pergi petang nanti.”
“Lah, ingatkan kau pergi pagi tadi. Takpe. Pejabat agensi tu letak di tingkat 21. Bila kau keluar dari lif, pejabatnya terletak di sebelah kanan. Kau tahu apa yang kau kena cakap dengan mereka nanti kan?”
Zalya hembus nafas perlahan. Sudah masuk tiga kali Hanim menelefonnya kerana perkara ini. Tak penatkah Hanim tanya benda yang sama?
“Kau ni macam tak percayakan aku pula. Kalau tak yakin dengan aku, kenapa beriya-iya minta aku tolong kau? Sudahlah! Aku tak nak pergilah macam ni. Biar kau buat semuanya sendiri.”
“Ala... Janganlah merajuk, Zalya. Aku percayakan kau 200%. Aku tanya sebab aku risau. Tapi aku janji, ini kali terakhir aku telefon kau pasal benda ni. Tapi lepas dah jumpa ejen tu nanti, kau beritahu aku ya? Please...”
Meleret-leret suara Hanim di telinganya. Mengada-ngada sungguh budak manja ni! Macam ni nak jadi bini orang? Zalya tergeleng-geleng.
“Iya... Nanti aku call. Lebih baik kau risaukan tentang persiapan kahwin kau tu. Hal kecik macam ni, serah bulat-bulat saja pada aku. Okey?”
“Yalah...” Hanim membalas lemah.
Tamat panggilan, Zalya simpan telefon ke dalam poket seluarnya semula. Dibawa langkah ke arah kafe yang terletak di sebelah blok pejabatnya. Sebaik pintu kaca ditolak, haruman kopi semerbak di udara. Automatik mata Zalya terpejam, menikmati bau kopi yang begitu wangi.
"Hai, Zalya!" Barista di kafe Choco & Coffee itu menyapa ceria seperti biasa.
“Hai,” balas Zalya, senada. Bila lihat Kevin, perasaannya terus membengkak. Hatinya jadi sebal. Geram sangat.
“Aik, macam tak semangat saja? Senyumlah sikit.”
Kevin mengelus rambutnya yang lurus panjang lagi menawan. Sebiji macam iklan syampu! Rambut lelaki inilah yang mengundang iri di hati Zalya. Cantik mengalahkan rambut orang perempuan.
“You memang tak reti ikat rambut ke, Kevin?” Kalau ada gunting di tangannya sekarang, sudah lama Zalya potong-potong rambut Kevin itu. Biar pendek macam lelaki. Baru puas hati!
“Kenapa? You jealous eh?”
“Banyaklah you punya jealous.” Muncung ditarik panjang sedepa. Bohonglah jika dia kata dia tak cemburu. Dicapai hujung rambutnya sendiri. Rambutnya elok sahaja melepasi paras bahu. Tapi dia teringin juga punya rambut panjang lagi lurus seperti Kevin.
“Baiklah, cik pembantu editor yang tak jealous. I dah ikat rambut I. You nak order apa hari ini?”
“You perli I ke?” Dahi Zalya berkerut-kerut.
“Mana ada.” Kevin tersengih-sengih.
"Bagi I one Americano and one choco latte,” pesan Zalya. Jika dia datang ke kafe itu, memang dua minuman itu sahajalah yang akan dia pesan. Americano untuk bos. Choco latte pula untuk dia.
“Siap.”
Sekelip mata minumannya disediakan. Tercengang-cengang Zalya melihat Kevin letakkan dua cawan siap berbungkus ke atas kaunter.
“Cepatnya!”
“Dari jauh I boleh nampak you berjalan lenggang kangkung ke kafe I ni. Sebab tu I siapkan awal-awal. Dan choco latte favorite you tu, I letak extra krim. Macam yang you suka.”
“Auw! Terima kasih sangat-sangat. Pandai you ambil hati customer kan? Patutlah kafe you ni sibuk memanjang.” Senyuman Zalya terus meletus hingga ke telinga.
Kevin jungkit bahu. Tidak mengiya mahupun menafikan. Minuman bertukar tangan selepas Zalya buat bayaran.
“Datang lagi!” Kevin takkan lupa ucapkan ayat wajib itu kepada semua pelanggan kafe.
“Yalah!” sahut Zalya lalu tergelak. Dibawa kedua-dua cawan di dalam tangan dan menghala ke arah pintu keluar. Saat itu jugalah, seorang pelanggan melangkah masuk ke dalam.
Tubuh Zalya terus bergerak ke kiri, untuk memberi laluan. Namun bila Zalya ke kiri, dia ke kiri. Zalya ke kanan, dia pun sama. Dah serupa menari tango pula mereka di tengah-tengah Choco & Coffee ini.
“Ish!” Terlepas rungutan itu dari mulut Zalya. Barulah figura lelaki itu akhirnya berhenti bergerak dan berdiri tegak.
“Maaf.”
Ungkapan maaf itu tidak dibalas. Zalya geram kerana diajak berdansa tanpa rela sebentar tadi. Sebaik memperoleh ruang, langkah diatur pantas untuk kembali ke pejabatnya semula.
“Welcome to Choco & Coffee. Boleh saya ambil order, encik?” Kevin menyapa pelanggan yang baru masuk itu.
“Ya. Bagi saya kopi ‘o satu. Pekat.”
Tersenyum Kevin mendengar permintaan pelanggannya itu. Zahirnya nampak smart dan bergaya. Malah jika lihat pada usia, masih lagi muda. Tapi selera sangat matang dan tradisional.
“Kopi ‘o pekat satu!” Kevin sampaikan pesanan kepada stafnya. Pandangan Kevin kembali pada pelanggannya yang luar biasa ini. Namun jejaka itu sedang memandang ke arah luar kafe sambil tersenyum.
Dahi Kevin berkerut. Apa yang dia pandang? Kevin turut halakan mata ke tempat sama. Gadis berskarf merah menggamit perhatiannya. Zalya?

bersambung... 
ps: komen apa yang best and tak best, pleaseeeee? xoxo

2 comments:

miss saliha said...

Sambungan pleaseeeeee

diya jamal said...

baik cik puan leha.. :)

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)