Monday, June 19, 2017

Berikan Dia Cinta - 2 part 2

Laju Zalya berlari ke mejanya. Dibongkar isi perut tas tangan. Berkerut-kerut mukanya, cuba mencari benda yang tiada.
“Kau cari apa tu, mek?” Fida panjangkan leher dari kubikel sebelah.
“Kunci kereta aku. Mana kau sorok kunci aku, Fida?"
"Kau ingat aku takde kerja lain? Nak sorok-sorok kunci kereta kau? Cuba cari guna mata. Bukan dengan mulut," balas Fida.
Zalya menembak satu das jelingan maut pada Fida. Selamba sahaja Fida duduk  goyang kaki sambil kunyah kerepek ubi. Krap krup krap bunyinya. Aku koyak-koyak mulut tu karang baru tahu!
"Hari ni kau takde kerja eh? Duduk melepak je."
“Kerja aku dah lama siap. Kau tu yang banyak kerja bertimbun-timbun!” Fida membalas. Bibirnya menjuih pada timbunan fail di atas meja Zalya.
“Esok aku siapkanlah.”
Tangan terus menarik laci. Lega Zalya bila lihat kunci keretanya terbaring elok di dalamnya. Pantas dia capai dan campak ke dalam tas tangan putih miliknya.
“Kau nak pergi mana pula ni? Takkan nak balik? Baru jam 2.00 petang kot!”
“Aku kena pergi ke Ruhani Travel & Tours. Ada appointment.”
“Kenapa? Kau nak melancong ke mana?” Fida tunjuk minat bila terdengar perkataan ‘travel & tours’.
“Bukan aku yang nak pergi tapi Hanim. Dia minta aku tolong pilihkan pakej pelancongan untuk dia dan keluarga dia.” Zalya cabut pengecas dari telefon kemudian dihumban ke dalam tas tangan.
“Apasal dia tak buat sendiri?”
“Dia kan sibuk. Mana sempat nak tempah baju katering semua. Sebab tu dia minta aku tolong uruskan.”
Bulat bibir Fida, menjadi huruf ‘o.
"Aku dah lambat ni. Pergi dulu!" Zalya terburu-buru meninggalkan kubikel.
“Okey! Kalau jumpa steamroll, jangan elak. Rempuh je.”
“Kurang asam!” hambur Zalya, mengundang tawa Fida.

Bertuah sungguh Zalya pada petang itu. Elok saja dia sampai di depan Wisma Seri, ada kereta keluar dari tempat parkir. Apalagi, Zalya pun terus letakkan kereta kesayangannya. Seperti biasa, dia tidak lupa gores kad untuk dipamerkan atas dashboard. Kalau tak letak, percuma sahaja dia dapat surat cinta dari DBKL.
"Selamat pagi, cik." Pengawal di kaunter menyapanya.
"Selamat pagi. Ruhani Travel Tours di tingkat 21 kan?"
"Ya. Cik daftarkan nama, nombor IC dan nama pejabat di sini dulu, ya?"
Zalya segera capai pen. Tulisannya macam cakar ayam kerana hendak cepat. Mana tidaknya? Dari jauh dia sudah nampak pintu lif yang ternganga. Selesai ambil tag ‘pelawat’, Zalya segera berlari. Dia tak mahu terlewat!
"Tunggu sekejap!" laung Zalya.
Tup! Pintu terkatup rapat di depan mata. Terlongo Zalya di situ. Hampa dan kecewa bergaul sebati. Takkan orang dalam lif tak dengar suaranya? Kalau dia tahu siapa...
Ting! Pintu lif tiba-tiba terbuka semula. Zalya angkat muka. Tadi beriya-iya dia nak naik hantu. Tapi sebaik terlihat gerangan di balik pintu, lidah terbius kelu.
Aduhai, putera kayangan dari mana kerajaan mana pula yang sedang berdiri di depan pancainderanya ini?
“Cik nak naik tak?” Si ‘putera kayangan’ bertanya.
“Nak!” Zalya cepat-cepat masuk. Di tangan lelaki itu ada secawan minuman dengan label yang amat dia kenali. Pelanggan kafe Choco & Coffee juga rupanya!
"Err.. thanks," ucap Zalya.
Putera kayangan hanya leretkan senyum.
Zalya terus pandang ke depan. Tak mahu tertawan dengan senyuman seindah peragawan. Senyum yang bisa buat dia tak tidur malam. Zalya, keraskan hati. Be strong!
Butang nombor 22 sudah menyala. Zalya pasti pejabat putera kayangan yang baik hati itu terletak di aras 22. Jari telunjuk Zalya picit butang nombor 21, tempat agensi yang hendak dituju.
Lif bergerak naik ke atas. Tiada siapa di dalam lif kecuali mereka berdua. Zalya talakan pandangan ke depan. Cermin pada dinding lif membolehkan dia lihat wajah si dia yang sedang berdiri di belakang.
Waduh, keren bangat wajahnya! Sukar untuk Zalya gambarkan dengan kata-kata. Lelaki itu punya aura yang mampu memukau kaum Hawa. Hidungnya mancung. Matanya redup menikam. Bibirnya pula seksi. Kalau dapat cium... Hish, apa yang aku melalut ni? Cepat-cepat Zalya gelengkan kepala.
Namun wajah ini... Mengecil mata Zalya untuk mengamati. Jantungnya tiba-tiba berdegup laju. Selaju keretapi ekspres di Jepun. Kelajuannya mampu membunuh!
Dari biasan cermin, Zalya lihat jejaka itu tersenyum. Handsome! Tapi kenapa tiba-tiba dia senyum pula? Terkebil-kebil Zalya cuba memerah otak. Takkanlah!
Kelam-kabut Zalya larikan pandangan. Alamak, dia perasan ke aku tengok dia tadi? Tak mungkinlah! Zalya cuba sedapkan hati sendiri. Dia pandang skrin kecil di dinding. Lif mereka naiki baru tiba di tingkat 7. Apasal lambat sangat lif ni?
Muka terasa panas walaupun pendingin hawa menderu laju. Dalam kepala, dia hanya mahu segera sampai ke tingkat 22. Matanya melekap pada skrin. 19, 20, 21!

Sebaik tiba di tingkat 21, Zalya berlari bak lipas kudung. Sedikitpun tak berani untuk berpaling. Sempat Zalya menangkap bunyi tawa datang dari arah lif. Sah! Lelaki itu tahu apa yang dia dah buat tadi. Malu! MALUNYA!!!

0 comments:

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)