Thursday, December 22, 2016

Mr. Wrong - 3

Sepanjang minggu Zalya begitu sibuk. Tidak menang tangan menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh Tina. Tak cukup dengan itu, Tina minta dia tulis beberapa artikel pula.
“Untuk apa saya tulis artikel? Siapa yang nak baca?” Pernah Zalya tanya soalan itu pada Tina.
“I! I yang akan baca. Boleh tak you jangan bagi banyak alasan dan ikut saja apa yang I suruh?”
Kalau artikelnya disiarkan, takpelah juga. Ini tidak. Semuanya ditolak. Ada sahaja alasan yang ditunjuk oleh Tina. Mahu Zalya tak berasap satu badan?
Mungkin hobi Tina untuk melihat dia terseksa agaknya. Kalau tak kerana sayangkan kerja, Zalya tak mungkin dapat bertahan sehingga hari ini.
Kesibukan membuat Zalya terlupa langsung akan lelaki yang dia temui minggu lalu. Sehinggalah dia terlihat kelibat Nazriq sekali lagi. Jejaka itu dilihat sedang makan bersama-sama beberapa orang lelaki di restoran yang sama.
Terlopong mulut Zalya. Benarlah kata bidalan; enggang sama enggang, pipit sama pipit. Bagai ada sekumpulan peragawan sedang mengadakan sesi penggambaran berlatarbelakangkan restoran di depan matanya.
Handsomenya dia... Zalya memuji dalam diam. Walaupun dikelilingi lelaki kacak yang lain, matanya hanya tertumpu pada Nazriq. Tiap kali dia tatap wajah Nazriq, jantung berdegup selaju keretapi. Pantas sekali!
Seakan menyedari dirinya sedang diperhatikan, Nazriq tiba-tiba menoleh ke arahnya. Pandangan mata mereka bertaut. Terukir senyum di bibir Nazriq. Senyuman sama yang pernah Nazriq lemparkan bila mereka berada di dalam lif tempoh hari.
Terkebil-kebil mata Zalya tika melihat Nazriq bangun dan mengatur langkah. Makin lama makin dekat dengan mejanya. Eh, buat apa dia datang ke meja aku ni?
“Saya minta maaf tapi cik kenal saya ke?” Soalan Nazriq mengundang garis-garis di dahi Zalya.
“Sebab sejak tadi saya perasan cik asyik pandang saya. Sebab tu saya datang bertanya.”
Lawak antarabangsa apakah ini?
“Awak tak kenal saya?” Zalya tuding jari pada dirinya sendiri. Takkanlah kepala lelaki ini sudah terhantuk di mana-mana lalu hilang ingatan?
Meletus tawa di celah bibir Nazriq.
“Maaf, saya bergurau saja tadi. Takkanlah saya boleh lupakan Cik Zalya. Boleh saya duduk?” Tangan Nazriq sudah mendarat di kepala kerusi.
Zalya ketap bibir. Terus panas hati Zalya. Selama ini dia mengenakan orang. Alih-alih, hari ini dia pula yang ‘terkena’. Hampeh! Ikutkan hati, dia nak jerut leher Nazriq dengan skarf corak harimau bintang yang sedang dia pakai ini. Main gurau kasar pula!
“Boleh tak, Cik Zalya?” soal Nazriq bila Zalya diam saja.
Zalya akhirnya angguk, beri kebenaran. Lagipun siapalah dia untuk menghalang? Dia bukannya tauke besar restoran ayam panggang yang terkenal itu.
“Makan seorang saja ke?” Nazriq bertanya.
Taklah. Ada sepuluh orang lain kat meja ini. Tak nampak ke? Zalya tarik senyum. Jangan celupar sangat, Zalya! Dia pesan pada diri sendiri.
“Ya, seorang.” Matanya melekat pada wajah Nazriq. Smart sungguh penampilan lelaki ini. Sut kelabu yang tersarung bagai ditempah khas. Begitu elok mengikut bentuk tubuh. Tapi Zalya kurang berkenan dengan tali leher Nazriq yang agak lebar. Tak berapa nak padan dengan usia jejaka itu.
“Itu semua kawan-kawan awak ke?” Zalya berbasa-basi. Spontan mata mereka terarah pada rakan-rakan Nazriq tadi.
“Ha’ah, mereka semua kawan rapat saya sejak zaman sekolah lagi.”
Lima lelaki kacak itu spontan melambaikan tangan ke arah Zalya, tanda menyapa. Melayang sekejap perasaan Zalya. Sekolah jenis apa yang ada begitu ramai lelaki kacak dalam satu-satu masa?
“Tapi kenapa cik langsung tak telefon saya semula?”
Lelaki ini menunggu panggilannya ke? Mengarutlah! Mungkin lelaki itu sedang bertanya tentang pakej pelancongannya.
“Saya dah buat tempahan pakej itu dengan staf awak. Tak silap saya, Damien namanya.” Awal-awal lagi Zalya sudah selesaikan segala urusan dengan staf Ruhani Travel Tours itu. Malas nak ganggu Nazriq sebenarnya. Lelaki itu kan berpangkat bos?
“Kan saya dah cakap, cik boleh berurusan terus dengan saya. Sampai pukul 3.00 pagi saya tunggu tahu?”
Terlepas tawa Zalya. Ada dia suruh Nazriq tunggu?
“Yang penting, awak dapat buat bisnes dengan rakan saya kan?”
Bayangkanlah, kos satu kepala untuk menyertai lawatan ke Eropah sudah cecah RM8000. Kalau 10 orang? Belum masuk membeli-belah dan lain-lain lagi!
“Tapi urusan cik dengan saya belum habis lagi.”
“Maksud awak?” Dahi Zalya berkerut. Setahunya, dia sudah tidak punya sebarang urusan lain dengan Nazriq. Segalanya selesai. Finish.
“Apa kata cik makan dengan saya? Lepas tu, saya akan beritahu.”
Nazriq senyum lagi. Aduhai lelaki ini... Sengaja nak uji kadar degupan jantung aku ke apa?
“Tapi saya baru saja habis makan.” Zalya tuding jari pada pinggannya yang sudah bersih.
“Takpe. Kita masih boleh makan malam, kan?”
Undangan yang cukup menggoda. Perlukah dia terima? Zalya pandang komputer riba di depan mata. Tugasan masih bertimbun dengan banyaknya. Tapi sampai bila-bila pun kerja takkan habis!
“Saya..." Zalya berjeda. Mukanya berkerut-kerut. Walaupun hati kata mahu, takkanlah Zalya hendak segera setuju? Jatuhlah air muka dia nanti!
"Kita cuma makan malam saja. Kalau cik tak percayakan saya, cik boleh tetapkan tempatnya."
Zalya tidak segera menjawab. Wajah Nazriq memenuhi ruang mata. Renungan lelaki itu begitu tulus.
"Nanti saya call awak. Boleh?" Sengaja Zalya tidak memberi sebarang kata putus. Dia perlu fikir dahulu. Fikir semasak-masaknya.
"Okey. Saya tunggu." Nazriq senyum sebelum bangun dan kembali ke mejanya tadi.

“Kau nak ke mana malam-malam begini?” tanya Fida, bercekak pinggang di muka pintu. Hairan bila melihat rakan serumahnya itu sedang bersiap.
“Aku nak pergi makan malam di luar.” Zalya menarik laci. Beberapa cincin disusun elok di dalam bekas. Dicapai sebentuk cincin berbentuk sayap lalu disarung ke jari manisnya. Cantik! Dia tersenyum sendiri.
“Selama ini kau tak pernah makan di luar. Tiba-tiba hari ini berubah? Siapa lelaki bertuah yang berjaya sentuh hati batu kau tu?” Fida ingin tahu. Zalya punya permintaan yang tinggi bila melibatkan soal lelaki. Tapi tak salah Zalya memilih. Zalya ada rupa dan gaya tersendiri. Takkanlah rakannya itu hendak pilih lelaki sembarangan?
“Adalah...” Zalya sengaja berteka-teki. Dia rasa seronok jika dapat menyeksa perasaan Fida. Biar Fida penasaran. Biar Fida tidak senang duduk memikirkan tentang lelaki yang keluar dengannya itu.
“Oh, sekarang kau dah pandai nak berahsia-rahsia dengan aku?”
Zalya tersengih. Dia sangkut anting-anting di telinganya.
“Selama kau keluar dengan Rayyan aku tak pernah pun ambil tahu, Fida.” Zalya mengingatkan.
“Ya, aku tahu. Aku bertanya sebab aku ambil berat. Takkan nama dia pun kau tak nak beritahu? Buatnya apa-apa jadi nanti, senang aku nak report pada polis.”
“Mak jangan risau, ya? Dia lelaki yang baik. Zalya percayakan dia sepenuh hati," Zalya memujuk, membuat muka Fida herot-berot.
“Susah nak cakap dengan kau ni. Degil betul!” omel Fida, tergeleng. Dia tahu Zalya susah untuk percayakan mana-mana lelaki. Tetapi jika lelaki itu diberi pengecualian khas, pastinya lelaki itu cukup istimewa.
“Tapi takkan kau nak keluar begini saja?”
Zalya menoleh. Wajahnya berkerut mendengar soalan Fida tadi.
“Apa maksud kau? Aku tak cukup cantik ke?” Zalya berdiri, tayangkan pakaian yang tersarung di tubuhnya.
“Aku tahu kau tu memang dah sedia cantik. Tapi cubalah mekap sikit. Bagi muka tu nampak bersemangat sikit. Takdelah pucat lesi saja!” tegur Fida.
Zalya tatap kembali mukanya di cermin. Dia sudah sapu bedak nipis dan mengoles gincu. Masih nampak pucat ke? Dia pusing, menghadap Fida semula. Senyuman diukir semanis mungkin.
“Kau tolong mekapkan muka aku, boleh?” pinta Zalya seraya mengerdipkan matanya. Buat-buat muka comel.

Nazriq sudah menunggu bila Zalya sampai di kafe itu. Jejaka itu tersenyum sebaik menyedari kehadirannya. Lantas dihayun langkah mendekati Nazriq.
"Sorry! Saya lambat sikit. Dah lama awak tunggu?"
"Baru je," jawab Nazriq.
Zalya tarik nafas lega. Lelaki itu nampak berbeza bila tidak bersut. Nazriq kelihatan santai berkemeja petak-petak kecil warna biru dan putih. Biasanya Zalya akan gelar baju itu baju kain alas meja. Tapi nampak segak pula bila disarung Nazriq.
Cuma lengan panjangnya buat mata Zalya jadi rimas. Rasa macam nak tolong lipat sampai ke siku. Baru seksi! Zalya gelak dalam hati.
"Cik Zalya nampak... lain." Itu perkataan pertama keluar dari mulut Nazriq.
Zalya senyum semanisnya. Hari ini dia bergaya dengan smokey eyes dan gincu pink cair matte. Bukan bersapu bedak nipis sahaja seperti kebiasaannya. Of course nampak lain!
"Tak perlulah awak nak bercik-cik dengan saya lagi. Panggil saya Zalya saja. Dan semua ni kerja housemate saya. Dia tak izinkan saya keluar tanpa mekap."
Beriya-iya Fida suruh dia mekap sebelum keluar tadi. Selagi tak menepati standard piawaian Fida, selagi itulah rakannya itu bertahan di muka pintu. Kalaulah Fida tahu dengan siapa dia keluar, agak-agak rakan serumahnya itu meroyan tak?
"Patutlah Zalya nampak lain hari ini." Laju sungguh Nazriq membuang panggilan 'cik' daripada namanya. Macam memang sudah sekian lama ditunggu-tunggu.
"Lain yang macam mana?" duga Zalya. Keningnya sedikit terangkat. Saja nak usik lelaki di depannya ini.
"Cantik."
Zalya menelan liur. Tak pasal-pasal dia rasa malu sendiri. Dia tertunduk sebelum tertawa untuk sembunyikan rasa kekok.
"Zalya tinggal dengan berapa orang housemate?"
"Kami tinggal berdua sahaja. Housemate ketiga dah pindah dua bulan lepas sebab dah berkahwin."
Zalya panjatkan kesyukuran kerana teman serumah itu akhirnya berpindah. Seumur hidup, tak pernah dia bertemu perempuan pengotor sebegitu. Bila keluar, pandai pula melawa bagai. Tapi keadaan bilik macam kapal karam! Dia tak boleh bayangkan bagaimana hidup teman serumahnya itu selepas berkahwin.
"Roommate?"
Awak nak jadi roommate saya ke? Zalya tersenyum. Soalan itu dia telan dalam-dalam. Bimbang andai terlepas dari mulutnya.
"Kami tinggal seorang sebilik. Awak?" Asyik lelaki itu sahaja yang bertanya. Biar dia pula yang menyoal.
“Sama. Tapi saya tinggal dengan umi, walid dan Airin.”
Raut wajah Zalya berubah. Dia tunduk. Senyumannya bertukar pahit. Nazriq beruntung kerana dapat tinggal dengan keluarganya. Sedangkan dia?
Serta-merta terbayang wajah ahli keluarga di dalam ingatan. Sudah lama dia tidak pulang ke kampung. Dia begitu rindukan ayah, ibu dan adik perempuannya. Tapi adakah mereka rindukan dia? Mengingatinya sepertimana dia sentiasa mengingati mereka?
Tapi siapa pula Airin yang baru disebut Nazriq tadi? Nama itu buat Zalya tertanya-tanya.
“Airin tu... siapa?” Teragak-agak Zalya melontarkan soalan.
“Adik perempuan saya. Dia betul-betul manja dengan saya. Tapi saya rasa dia akan sangat sukakan awak.”
Apasal adik dia nak sukakan aku pula? Abang dia pula macam mana? Zalya hendak ketawa dengan soalannya itu. Pelayan tiba di meja mereka untuk mengambil pesanan.
"Spaghetti Aglio e Olio with Shrimp and strawberry juice." Zalya segera memesan kerana terbiasa. Menu diletakkan semula ke atas meja.
"Beri saya T-bone steak with barbeque sauce. Medium. Dan segelas jus oren."
Pelayan berlalu selepas mengambil pesanan. Buat seketika mereka berdua sepi tanpa kata. Hanya lagu perlahan yang dipasang di kafe itu menceriakan suasana.
Zalya ambil kesempatan untuk mengamati wajah Nazriq. Makin lama dia tengok wajah Nazriq, makin dia pasti mereka pernah bertemu. Tapi di mana? Aduh! Kenapalah aku pelupa sangat ni?
"Saya harap awak tak salah faham tapi pernah tak kita jumpa sebelum ini? Maksud saya, sebelum di pejabat awak.”
“Ya, kita jumpa dalam lif. Masa tu awak asyik perhatikan saya.”
Zalya tergelak, cuba sembunyikan rasa malu sebaik mengenangkan insiden itu. Ralit sangat sehingga tidak sedar dia diperhatikan.
“Tak. Bukan dalam lif. Tapi sebelum tu. Mungkin beberapa bulan lepas? Atau tahun-tahun sudah?”
Kening Nazriq berkerut. Wajahnya direnung, membuat dia berdebar-debar. Tiba-tiba Nazriq senyum. Senyuman lelaki itu bisa buat hatinya cair seperti ais di tengah Gurun Sahara.
“Awak nak mengurat saya ke, Zalya?”
Hish, ke situ pula mamat ni!
“Bukan macam tu. Saya tahu saya pernah jumpa awak. Saya betul-betul pasti!”
Nazriq diam seketika. Mungkin cuba mengingati pertemuan lalu.
“Saya tak tahulah kenapa saya selalu dengar benda yang sama. Tapi awak tak perlu peningkan kepala. Mungkin awak dah salah tengok. Pertama kali saya lihat awak bila kita berada di dalam lif,” terang Nazriq.
Bahu Zalya jatuh tak bermaya. Mungkin benar kata Nazriq. Aku tersalah tengok agaknya...
Makanan yang dipesan akhirnya sampai ke meja. Zalya terus makan kerana lapar. Sedapnya memang tak terkata! Terpejam mata Zalya menikmati keenakan spageti kegemarannya itu. Langsung tidak sedar Nazriq leka memerhatikan gerak-gerinya.
“Sedap sangat ke?” Nazriq ingin tahu.
“Nak rasa?” Zalya angkat garfu, lalu disuakan ke arah jejaka itu. Sudah terbiasa berkongsi makanan dengan Fida sehingga tidak sedar terlepas laku.
“Lain kali saya datang ke sini, saya akan rasa.”
Nazriq menolak. Jejaka itu tunduk memotong steak kepada hirisan sederhana tebal sebelum dikunyah perlahan. Buat seketika masing-masing selesa menikmati makanan tanpa berkata apa-apa.
“Zalya kerja di mana?” Suara Nazriq membuat Zalya tersenyum. Rasa nak record suara Nazriq dan dijadikan ringtone, alarm, dan message tone. Sungguh, dia sukakan suara lelaki ini.
“Awak tahu majalah E-Hawa?”
“Umi saya pernah sebut tentangnya. Awak kerja di situ ke?”
“Ya. Sebagai pembantu editor. Bos saya Kristina Lee, editor untuk kolum Tanya Tina.”
“Kolum yang jawab apa sahaja soalan pembaca tu, kan? Kalau tak silap, saya pernah terbaca beberapa kali. Tapi betul ke Tina jawab semua soalan tu?”
“Sebenarnya, sebelum soalan tu sampai ke meja Tina, saya yang akan tapis terlebih dahulu. Saya kena pastikan semua soalan tu relevan untuk dijawab sebab kadang-kadang ada pembaca yang main-main dan sengaja bergurau. Kadang-kadang, soalan remeh pun diorang nak tanya pada bos saya."
“Bunyinya macam seronok kerja awak tu.”
Seronok? Memang seronok. Dia sukakan kerjanya kerana tiap-tiap hari dia lakukan perkara berbeza. Taklah dia terasa bosan buat kerja yang sama.
"Tapi urusan apa yang awak kata masih belum selesai tu?" tanya Zalya. Pandangannya ditala menatap wajah Nazriq. Bertuahnya dia kerana dapat makan bertemankan lelaki sekacak ini.
"Tentang Redang. Kami ada promosi jika cik berminat. Tarikh percutian adalah sekitar bulan Februari tahun hadapan."
Pasal bisnes rupanya! Raut wajah Zalya berubah suram. Iya tak iya juga. Takkanlah lelaki itu mahu berbicara tentang soal hati dan perasaan pula? Dia sedar siapalah dirinya. Cuma seorang pembantu editor tak ternama yang bekerja di bawah Tina. Air diteguk perlahan, membasuh rasa payau di tekaknya.
"Sebenarnya, itu semua alasan semata-mata. Saya ajak awak makan sebab saya nak berkawan dengan awak. Boleh?"
Uhuk, uhuk, uhuk! Zalya terbatuk-batuk. Nazriq tersenyum tenang ketika menghulurkan tisu kepadanya.

"Zalya, saya baru ajak awak berkawan saja. Belum ajak kahwin lagi." Sambung Nazriq, membuat Zalya tersedak makin teruk. Matanya terkebil-kebil merenung Nazriq. Lelaki ini sebenarnya bergurau atau apa?

1 comments:

aqilah said...

Best...akak follow tau!

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)