Monday, December 12, 2016

Mr. Wrong - 2

Zalya hentak tumit kasutnya berkali-kali. Dia cuba bersabar namun suhu bilik mesyuarat itu terlalu sejuk macam kutub utara. Nak bagi dia mati keras ke apa?
Sesekali dia telek jam di tangan kiri. 15 minit yang telah berlalu terasa bagai 15 jam lamanya. Ikutkan hati Zalya tak ingin datang. Tetapi disebabkan Fitriah, rakannya yang manja itu merengek minta bantuan, dia akhirnya beralah. Dia gagahkan diri dan mengambil cuti separuh hari untuk menapak ke pejabat agensi pelancongan itu.
Bila ejen tu datang nanti, siaplah aku sembur. Aku datang ni nak bagi bisnes! Tapi buat aku menunggu pula. Bagus sangatkah diorang semua ni?
Pintu bilik beku itu akhirnya ditolak dari luar. Zalya sudah bersedia dengan mod tempur. Dia tak kira! Lelaki atau perempuan, dia akan ajar cukup-cukup.
"Maaf sebab lambat. Saya tengah uruskan klien di telefon tadi."
Zalya mendongak. Terus hilang melayang kata-kata yang direncananya tadi. Dia, lelaki dalam lif tadi! Matanya bergerak mengekori setiap gerak-geri lelaki itu. Kerusi di sebelah kirinya ditarik.
"Cik Anna Zalya?" Lelaki itu menyebut nama penuhnya sebelum duduk di situ. Suaranya yang sungguh maskulin itu bagai menikam-nikam ke dalam jiwa. Aduhai, jantung! Dia buat hal pula...
"Zalya. Panggil saya Zalya." Zalya tegakkan posisi duduknya. Tergugat juga perasaannya bila terpaksa berdepan dengan lelaki sekacak ini. Patutnya lelaki ini jadi model ke... Jadi pelakon ke... Buat apa bazirkan rupa yang ada dengan bekerja di agensi pelancongan ini?
"Saya Nazriq. Kita jumpa dalam lif tadi kan?"
Zalya sekadar mengangguk. Wajah serta-merta terasa hangat. Janganlah lelaki itu ejek dia atas insiden di dalam lif tadi.
"Saya difahamkan Cik Zalya berminat dengan pakej lawatan kami ke Eropah? Betul?"
"Ya." Zalya menjawab, gugup. Ditatap wajah jejaka itu untuk kesekian kali. Sumpah! Dia pernah lihat wajah itu tapi di mana, ya?
"Kenapa cik tak hubungi kami supaya kami datang ke pejabat cik sahaja? Bukankah lebih mudah untuk cik?"
Wajahnya menjadi santapan mata lelaki itu. Lantas Zalya tundukkan pandangan. Segan.
"Ini lawatan peribadi untuk rakan saya. Takde kaitan dengan kerja. Sebab tu saya ambil cuti setengah hari dan datang ke sini. Kawan saya tu nak kahwin hujung bulan hadapan dan minta tolong carikan pakej pelancongan untuk mereka sekeluarga."
"Cik Zalya ikut sekali tak dalam lawatan tu?"
Zalya menggeleng. "Saya kerja."
"Oh..."
Dia tersalah tengok atau Nazriq nampak kecewa dengan jawapannya? Ah, jangan nak perasan sangatlah Zalya oi!
"Saya akan cadangkan pakej pelancongan yang sesuai. Tapi saya perlu tahu juga berapa ramai yang pergi dan berapa hari tempoh lawatan tu." Lelaki bernama Nazriq itu mulai berbicara dengan profesional.
Tanpa membuang masa, Zalya menerangkan segala-galanya. Tentang resepsi majlis yang diadakan pada hujung bulan hadapan. Tentang bilangan ahli keluarga Fitriah dan keluarga bakal suaminya. Semua info dia sudah ingat dalam kepala.
Nazriq dilihat begitu tekun mencatatkan segala maklumat di dalam buku notanya. Zalya juga boleh lihat betapa kemasnya tulisan lelaki itu.
"Kalau saya lihat pada bajet dan tempoh lawatan, saya ada dua pakej yang sesuai." Nazriq pusingkan skrin laptop agar menghadap Zalya.
"Pakej pertama melancong ke London, Paris, Amsterdam, Brussel, Luxembourg dan Switzerland selama 9 hari 6 malam. Pakej kedua pula meliputi kawasan UK, Belgium, Belanda dan Paris. Tempoh masa pun sama. Pakej termasuk tiker penerbangan pergi dan balik, tempat penginapan, kenderaan, tourist guide dan lain-lain.” Nazriq mula memberi penerangan.
Perbincangan memakan masa hampir setengah jam. Setiap soalan Zalya dijawab tenang oleh Nazriq.
“Kalau cik nak, saya akan berikan quotation bagi kedua-dua pakej untuk cik berbincang dengan kawan cik dahulu. Apa-apa soalan, cik boleh terus hubungi saya," Nazriq memberikan jaminan. Dihulurkan kad namanya kepada Zalya.
Zalya membaca nama yang tertera.
A. Nazriq bin A. Kamal.
Ruhani Travel Tours Sdn. Bhd.
Zalya berjanji akan menghubungi lelaki itu semula selepas berbincang dengan rakannya. Bila dia bangun untuk meninggalkan pejabat, Nazriq mengiringinya hingga ke pintu.
"Dah jadi tanggungjawab saya untuk pastikan klien keluar dengan selamat," kata Nazriq bila Zalya menolak dengan sopan. Kekok pula bila sekali lagi dia berada di dalam lif dengan lelaki itu. Rasa hendak ketawa tika mengenangkan apa yang terjadi pagi tadi.
"Selepas ini Cik Zalya terus balik ke pejabat ke?"
Kenapa? Awak nak ajak saya pergi makan ke? Zalya cuba sembunyikan senyuman gatalnya.
"Ya. Saya nak balik ke pejabat," jawab Zalya selepas beroleh kewarasan.
"Bukan tadi cik kata cik ambil cuti separuh hari ke? Sekarang baru 10.00 pagi. Cik dah sarapan?"
Zalya letakkan telapak tangan ke atas perutnya. Dia bukan sahaja lapar tapi dah tahap kebulur. Lebih-lebih lagi bila dia duduk di dalam bilik mesyuarat yang sejuk beku tadi.
"Kalau Cik Zalya belum makan, saya nak bawa cik isi perut dulu. Ada kedai makan yang sedap di depan sana."
Pucuk dicita, ulam mendatang! Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan. Segala macam peribahasa melintas dalam kepala. Tapi betul ke lelaki ini sedang ajak dia makan? Mereka berdua? Bersama-sama?
"Cik jangan risau. Syarikat tanggung." Sambung Nazriq bila dia berdiam.
"Depan ni saja, kan?" tanya Zalya, mengundang senyuman Nazriq. Jejaka itu mengangguk.
Zalya mengikut sahaja Nazriq membawanya ke restoran makanan Melayu yang terletak beberapa meter dari pejabat agensi tadi. Lelaki itu tidak menarik kerusi untuknya dan hanya mempersilakan dia duduk. Satu markah bonus! Zalya memang tidak gemar lelaki over-gentleman yang melayan perempuan seolah tiada tangan atau kaki sendiri.
"Minum apa, bang?" seorang pelayan lelaki datang menyapa dengan senyuman. Nampak seperti lepasan sekolah, fikir Zalya.
"Teh tarik. Cik?" Nazriq halakan pandangan ke wajahnya.
"Teh o suam satu."
"Makan?" Nazriq tanya Zalya lagi. Aik, siapa yang kerja di sini sebenarnya?
"Roti telur satu. Tapi tak nak bawang, ya?"
"Takkan makan itu saja?"
Ingin saja dia order nasi briyani gajah dan telur paus goreng tadi. Memandangkan lelaki ini tanya elok-elok, lebih baik dia jawab macam orang bertamadun. Skarf yang membelit lehernya dilonggarkan.
"Ya, cukuplah untuk alas perut. Sekejap lagi dah nak masuk waktu lunch." Zalya maniskan muka.
"Okey. Satu roti telur tanpa bawang. Abang?" Pelayan itu masih ambil pesanan.
"Sama."
Sambil menunggu, sempat Zalya meneliti beberapa pamplet yang diberikan oleh Nazriq. Ada beberapa pakej percutian ke pulau tempatan yang memikat hatinya. Sesuai dengan bajetnya. Lagipun dia bukannya stok kaya-raya macam keluarga rakannya itu. Hendak jejakkan kaki ke Eropah? Memang dalam mimpilah!
“Ada mana-mana pulau yang cik berminat nak pergi?”
“Pulau Redang nampak cantik.”
“Pilihan yang baik. Pulau Redang antara pulau tercantik dan merupakan protected island di negara kita. Di sana, cik boleh pilih sama ada nak buat snorkelling atau scuba diving."
Nazriq ingin sambung lagi namun roti canai telur dan minuman tiba di meja mereka.
“Terima kasih,” ucap Zalya sebelum meneguk teh ‘o suam kegemarannya. Haus sungguh!
"Lokasi ini juga sesuai untuk berbulan madu. Cik boleh cuba pergi ke pulau ini dengan suami cik.”
Uhuk! Zalya terbatuk-batuk. Segera dia teguk air untuk bersihkan tekak.
“Cik okey tak?” Nazriq hulurkan tisu kepadanya.
“Saya belum kahwin lagi, Encik Nazriq.” Zalya jelaskan. Dari celah mana dia nampak seperti isteri orang?
"Jadi, itu cincin tunang?" Nazriq tuding pada cincin di jari manisnya.
"Saya pakai cincin sebab suka-suka. Like the one on my little finger." Zalya tunjukkan cincin perak berbentuk lingkaran bunga di jari kelingkingnya. Dia ada banyak lagi cincin lain sebagai hiasan.
"Teman lelaki?"
Zalya diam. Banyak pula soalan lelaki ini. Dia minat dengan aku ke?
"Takde. No boyfriend."
Terangguk-angguk lelaki itu, seakan puas hati dengan jawapannya.
“Tentang pakej pelancongan tu, saya akan berikan quotation bagi kedua-dua pakej supaya cik dapat berbincang dengan rakan cik dahulu. Lepas dapat keputusan, cik boleh hubungi saya." Nazriq tukar topik.
“Kalau ada apa-apa yang cik tak faham, cik boleh telefon saya bila-bila masa saja.”
“Saya telefon pukul 3.00 pagi, boleh?” Zalya sengaja nak menguji. Tadi kata bila-bila masa sangat kan! Lelaki itu hanya ketawa mendengar soalannya.
“Boleh...”
Amboi, tenang sungguh mamat ni melayan loyar buruk aku! Zalya pula yang tidak tenang selepas mendengar tawa Nazriq. Berdobar jantung den!
"Memang awak layan semua klien begini ke? Hantar keluar sampai ke pintu. Lepas tu siap belanja makan lagi." Zalya tertanya-tanya. Agaknya begini caranya bila buat bisnes melibatkan orang. Nasib baik dia buat bisnes dengan beruang. Eh, silap! Dengan pembaca laman web E-Hawa. Dia ketawa berdekah-dekah dalam hati.
"Biasanya staf saya yang buat semua kerja tu."
Staf dia? Bola mata Zalya terangkat memandang wajah Nazriq.
"Maksud awak..."
"Ya, saya pemilik Ruhani Travel Tours."
Zalya berhenti mengunyah. Dia sangka pemilik agensi itu seorang perempuan. Patulah lelaki itu tenang sahaja bila dia tanya itu ini. Rupa-rupanya, dia sedang berurusan dengan pemilik agensi itu sendiri!
"Habis, Ruhani pula nama siapa?" Soalan itu melompat keluar dari mulut Zalya.
“Cik rasa?”
Isteri? Soalan itu Zalya tahan di dalam hati. Alahai, untunglah isteri lelaki itu kerana namanya digunakan sebagai nama syarikat. Dia pun satu! Mana mungkin lelaki yang punya bibir Jude Law ini tidak berpunya. Entah-entah sudah ada anak lima. Melepaslah dia! Zalya rasa hendak nyanyi lagu NewBoyz bertajuk Meraung, saat itu juga.
"Ruhani itu nama umi saya. Cik ingat itu nama siapa? Isteri? Saya belum kahwin lagilah, Cik Zalya."
Zalya terasa hendak buat lompat bintang di tengah-tengah restoran. Riangnya rasa hati. Senyuman di wajahnya ditahan agar tidak ketara gatalnya. Apa salahnya dia berangan? Tak luak mana pun.

Zalya tiba di pejabat tepat pada jam 2.00 petang. Dari nun jauh, dia boleh lihat bosnya. Wanita berkaca mata berbingkai penuh dan rambut diikat sanggul siput itu kelihatan sedang bercakap dengan staf bahagian promosi.
Tengah membebel lah tu! Zalya buka langkah sekecil-kecilnya. Sengaja mahu melewatkan ketibaannya masuk ke dalam pejabat.
“Zalya! Nasib baik you masuk office! You pergi ke mana tadi?” tanya Tina sebaik menyedari kehadirannya.
Perlu ke dia jawab soalan itu? Suka hati dialah nak pergi rompak bank ke... Pergi sabit rumput ke...
“Dan apa yang you pakai ni?”
Tina pandang dirinya dari atas bawah. Zalya tunduk. Apa yang tak kena dengan pakaiannya? Blaus longgar rona krim berlengan pendek dan seluar jenis skinny tersarung di tubuhnya. Skarf warna pelangi pula tergantung cantik di lehernya. Cantik apa!
“Cubalah pakai baju yang sopan sikit. Baru sesuai dengan imej kita sebagai editor majalah E-Hawa.”
Zalya tersengih. Cakap memanglah senang. Meh sini bagi duit. Biar dia borong koleksi terbaru Tunku Tun Aminah - Jovian Mandagie.
“Ini signature style saya, bos. Mana boleh pakai sama dengan orang lain?"
Tina hanya mampu geleng kepala. Selama ini dia bersabar dengan kerenah Zalya kerana hasil kerja Zalya tidak pernah mengecewakan.
“Suka hati you lah! I nak you tolong jawab semua soalan pengirim emel dalam kolum ‘Tanya Tina’. Pastikan semuanya dijawab sebelum jam 5.00 petang. Ramai sangat yang tanya soalan sampai tak menang tangan I dibuatnya. I kena pergi keluar sekejap. Ada meeting.”
“Meeting ke dating, bos?”
“Eh, sibuk nak tahu pula you ni! I pergi dulu. Jangan lupa buat kerja yang I suruh tu!”
“Okey, bos."
Tina beredar dengan senyuman panjang. Zalya bukannya tak tahu, bosnya itu sedang hangat bercinta dengan lelaki muda tujuh tahun daripada usianya. Muda atau tak, semua itu tak penting kerana Tina nampak begitu bahagia.
“Tapi tolong pastikan you tak bagi jawapan yang merapu-rapu pada mereka, ya! I baca semua emel yang you reply, okey!” Sempat Tina memberi amaran.
Melebar senyum Zalya. Dia buat tanda ‘OK’ dengan jarinya. Sebaik membuka emel, Zalya bagai hendak terduduk dan telangkup atas lantai. Kenapa Tina langsung tak beritahu jumlah emel sudah masuk angka 47? Apa yang bosnya buat sepanjang pagi tadi?!
Mukanya diraup dengan telapak tangan. Bos memang saja nak seksa hidupnya. Kalau dia tahu, dia takkan ambil cuti separuh hari. Segera dia capai tetikus lalu membuka emel pertama.
 ‘Salam Kak Tina. Suami saya selalu merungut. Mulutnya tak henti-henti membebel setiap kali balik ke rumah kerana rumah kami asyik bersepah. Salah sayakah kalau tak sempat mengemas? Saya bukannya tak bekerja. Anak-anak kami pula masih kecil. Apa yang perlu saya buat, Kak Tina? –Manisah, Pahang.’
Zalya segera menaip laju untuk membalas.
‘Wassalam, Manisah. Tahukah anda, masih ramai suami di luar sana yang langsung tak jumpa jalan pulang ke rumah? Anda bertuah kerana suami anda hanya membebel saja. Ada orang yang langsung tiada suami mahupun anak-anak. Belajarlah bersyukur.’
Dia pergi kepada soalan kedua pula.
'Hai Kak Tina. Saya ada boyfriend yang sangat sayangkan saya. Tak pernah marah-marah. Apa yang saya minta, semua saya dapat. Tapi baru-baru ini ada seorang lelaki cuba memikat saya. Dia lebih kacak daripada teman lelaki saya sekarang. Tolong saya, Kak Tina. Perlukah saya tinggalkan boyfriend saya? -Nonie, Bangsar'
'Wahai Adik Nonie kusayang, pernah dengar peribahasa yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran? Kalau adik rasa adik hot sangat, pergilah kejar lelaki kacak yang adik katakan itu. Kami doakan adik hidup takkan bahagia sampai bila-bila.’
Tergelak besar Zalya bila membaca jawapannya sendiri. Mesti Tina naik hantu jika baca emel balasnya ini. Tak pasal-pasal suara Tina bertempik menggegarkan pejabat nanti.
Pengalaman hidup Zalya mungkin tidak sebanyak Tina. Tetapi dia sudah belajar selok-belok jawapan bosnya itu. Tahulah dia bagaimana hendak jawab soalan-soalan pembaca E-Hawa, majalah paling laris jualannya di negara ini.
Terus dia padam jawapannya dan diganti dengan jawapan mengikut standard Tina.

Sebaik kereta diparkir di depan rumah, Zalya sandarkan kepalanya pada stereng. Dia betul-betul penat. Serius! Bukan main-main punya penat. Tangannya rasa nak tercabut menjawab semua soalan untuk kolum Tanya Tina.
Habis jawab emel, dia kena pilih artikel yang sesuai untuk dinilai oleh Tina. Segala artikel dia tapis dahulu sebelum sampai ke meja Tina. Nampak kerja macam hebat. Tapi boleh pening kepala jika asyik membaca dari pagi ke petang. Nasib baik dia kerja separuh hari saja.
Zalya toleh kepala, pandang ke sisi. Pintu keretanya masih tertutup rapat. Alangkah baiknya kalau ada lelaki yang bukakan pintu untuknya. Alangkah bahagianya jika tubuhnya didukung masuk ke dalam rumah. Betapa indahnya hidup, jika lelaki itu adalah Nazriq.
Tak habis-habislah kau berangan, Zalya! Dia tersenyum. Namun senyumannya setakat separuh jalan. Dia sudah tak larat walau untuk menarik bibir.
Lantas Zalya pejamkan mata. Cukuplah kalau dia dapat berehat walau untuk...  Ketukan di cermin kereta buat Zalya tersentak.
“Weh, mak cik! Kau dah pengsan ke?” tanya Fida yang berdiri di luar kereta.
 Zalya angkat muka dengan malas. Bulat macam guli mata rakan serumahnya itu merenung dirinya.
“Aku penatlah...”
"Habis takkan kau nak tidur di luar? Dah nak masuk waktu maghrib dah ni! Cepat masuk!"
Lambat-lambat Zalya keluar dari kereta. Diatur langkah masuk ke dalam rumah. Fida mengekori rapat di belakang.
“So, how was the meeting?” Fida angkat-angkat kening.
“Meeting apa pula, Fida?”  Zalya terus humbankan diri ke atas sofa.
“Ala kau ni! Buat-buat tak tahu pula. Tadi kau pergi jumpa Mr. A. Nazriq, pemilik Ruhani Travel Tours kan? Aku dah Google tentang dia tadi. Cuba kau tengok gambar ni.” Fida suakan skrin telefon. Terpapar gambar Nazriq di situ.
“Kalau aku tahu dia kacak macam ni, mesti aku ikut kau pergi ke travel agency tu tadi! Takkan kau tak rasa apa-apa bila jumpa dia?”
"Menipu je gambar yang kau tengok tu. Nama pun internet. Kau tahu tak gigi dia rongak? Kepala botak. Perut pula boyot. Sekali tengok, aku ingat toyol."
"Kau ni cakaplah betul-betul, Lya!" Fida sudah tarik muka masam. Makin mencuka mukanya bila Zalya ketawa berdekah-dekah.
“Betullah gambar dia tu.” Akhirnya Zalya mengaku.
“Dia orang yang macam mana?”
Berkerut dahi Zalya melihat Fida yang begitu teruja. Wajah Nazriq terbayang dalam ingatan.
“Boleh tahan.” Perkataan itu memang tak layak untuk gambarkan diri Nazriq yang sebenar.
“Takkan boleh tahan saja kot?”Fida tidak percaya.
Zalya sembamkan mukanya ke bantal kecil di sofa. Entah kenapa bibir dia gatal nak senyum bila teringatkan lelaki itu. Kes cedera parah tahap masuk ICU dah ni!

2 comments:

Post a Comment>

Anon Banned. Thanks. :)