Friday, January 27, 2012

Duhai Cintaku - 5

Cantiknya! Subhanallah.. Dalam diam Saffira memuji keindahan alam ciptaan Tuhan. Sungguh dia tidak menduga akan menjejakkan kakinya jua ke pulau tersebut. Perhentian, dia menyebut nama pulau itu penuh kagum. Didepakan kedua tangan, menghayati pemandangan indah itu.

Buat seketika dia terlupa akan hal-hal berkaitan pejabat. Dia terlupa segalanya mengenai pertukaran dirinya ke jabatan lain. Mindanya terasa lapang melihat lautan luas terbentang. Fikirannya tenang memandang langit yang membiru tampak tompokan awan kelabu. Cuaca hari itu begitu indah. Seindah perasaaannya tika itu.

"Hoi, perempuan! Jangan nak berangan macam cerita Hindustan. Angkat sendiri barang-barang kau ni. Takkan semuanya aku kena angkut?" Suara Izlan berdesing di telinganya.

Lantas Saffira tertoleh ke belakang. Dihadiahkan jelingan maut kepada lelaki itu. Potong betul! Desis Saffira, perlahan. Dia memijak tanah berpasir kuat-kuat, menghala ke arah Izlan. Terkumat-kamit bibirnya mengutuk lelaki itu.

"Mengutuk akulah tu!" Tegur Izlan, sedar akan kelakuan Saffira itu.

Ada aku kisah? Saffira mencebik. Beg galasnya diangkat lalu ditampung di bahu. Diekori langkah Izlan yang laju meninggalkannya. Dari kejauhan, Saffira dapat melihat ada seorang wanita berusia lingkungan awal 50-an sedang tersenyum lebar sambil melambaikan tangan ke arah mereka.

"Emak!" Saffira dan Izlan bersuara serentak.

Mereka saling berpandangan dan terdiam sesaat. Namun tidak lama kemudian, Saffira tiba-tiba memecut langkah seribu. Melihat kepantasan Saffira, Izlan juga turut sama berlari. Masing-masing beradu untuk melihat siapa yang sampai dulu di depan wanita itu.

Ternyata kudrat Saffira tidak sehebat Izlan. Awal-awal lagi Izlan tiba di hadapan wanita itu. Dia menarik muncung. Wajahnya jadi masam kerana kalah di tangan Izlan. Izlan pula galak mentertawakannya.

"Iz, kenapa gelakkan Fira tu?" Tergeleng-geleng Zainab melihat keletah kedua-dua anak muda itu. Dipeluknya tubuh Saffira erat-erat, melepaskan rindu.

"Emak sihat?" tanya Saffira, selesai berpelukan dengan ibunya.

"Sihat. Tapi kenapa tak bagitahu emak awal-awal? Dah sampai sini baru nak telefon mak." Spontan Zainab mengalihkan pandangan ke arah anak lelakinya.

Izlan hanya tersengih-sengih, menunjukkan wajah tidak bersalah. Memang dia sengaja tidak menghubungi ibunya sebelum sampai di pulau itu terlebih dahulu. Hajat di hatinya mahu membuat kejutan.

"Mak salahkan Iz. Dia cakap dia dah beritahu mak minggu lepas."

"Nak salahkan aku pula. Mak nak tahu, kat office kan.." Kata-katanya terhenti bila Saffira membuntangkan mata dan menuding jari telunjuk ke mukanya. Tidak berani mengundang marah Saffira, dia memilih untuk mendiamkan diri.

Punyalah aku susah-payah nak lupakan hal itu, dia boleh ungkit-ungkit pula! Gerutu Saffira, geram. Zainab hanya tertawa melihat keletah mereka berdua.

"Dah. Jom kita balik rumah." Ajak Zainab.

***
Saffira meletakkan gambar potret keluarga di atas meja semula. Gambar dia dan Izlan saling bertarik rambut ketika kecil dulu mengundang seribu satu kenangan di dalam memorinya. Dia tertawa perlahan memikirkan kejadian dulu. Mereka berdua sering sahaja bertelagah. Namun penyudahnya, dia akan menangis dan Izlan akan memujuknya semula.

Matanya beralih ke wajah muda Zainab dan arwah suaminya di dalam satu gambar lain. Jika tiada dua orang insan itu, tiada jualah dirinya di dunia ini. Pemergian kedua ibu bapanya dalam kemalangan hampir membuatkan dirinya dihantar ke rumah anak yatim.

Saat dirinya tenggelam punca, Zainab dan arwah suaminya datang memohon penjagaan. Pasangan suami isteri itu merupakan sahabat baik arwah ibu bapanya. Tidak sangka mereka sanggup mengambilnya sebagai anak angkat.

Zainab pula menyayanginya seperti anak sendiri lebih-lebih lagi kerana dia memang menginginkan anak perempuan sejak dulu. Sungguh Saffira merasakan dirinya bertuah kerana dilimpahi kasih sayang tidak berbelah bahagi oleh keluarga angkatnya.

"Kamu buat apa tu, Fira?" tanya Zainab.

Saffira menoleh sebelum menggeleng, tanda tiada apa yang dilakukannya. Diukir senyum di bibir buat ibu angkatnya itu. Langkahnya diatur kemas ke arah Zainab yang menyediakan minum petang buat mereka. Cucur ikan bilis dan air teh o panas sudah terhidang di depan mata.

"Rindunya cucur ikan bilis yang mak buat.." Saffira mencapai sebiji cucur dan disumbat ke dalam mulut.

Rasanya masih sedap, sama seperti dulu. Dapat dia merasakan kemanisan ikan bilis dan kepedasan sos cili yang dicicahnya. Sedapnya!

Zainab tersenyum. Tidak kiralah apa yang orang kata sekalipun, tetapi dia menganggap Saffira seperti darah dagingnya sendiri. Keletah manja Saffira ketika kecil dulu amat menghiburkan hati. Malah sehingga kini Saffira dilihat sama seperti dulu. Manjanya tidak pernah berubah.

"Mak nak tahu tak, Iz sukakan Raisya di pejabat. Tapi sekalipun dia tak pernah cuba bercakap dengan Raisya. Takut agaknya." Adu Saffira.

Raisya, Zainab menyebut nama itu dalam diam. Nama itu sering disebutkan oleh Izlan setiap kali mereka berbual di telefon. Tertanya-tanya juga Zainab siapakah empunya di sebalik nama itu.

"Elokkah orangnya?" Zainab ingin tahu.

Pantas Saffira menganggukkan kepala. Bukan sahaja Izlan, ramai lagi lelaki di pejabat mereka yang sukakan Raisya. Gadis itu memang peramah. Malah, tidak pernah lokek dengan senyuman. Mungkinkah kerana terlalu ramai persaingan, Izlan enggan berebut? Saffira tergeleng lemah.

"Hah! Fira cakap apa dengan mak?" Sergah Izlan, muncul entah dari mana. Dia duduk di sisi ibunya dan mencapai satu cucur. Disumbat sebiji terus ke dalam mulut dan pantas dikunyah.

"Pasal Raisya." Ujar Zainab. Tersedak Izlan dibuatnya. Cepat-cepat dia meneguk air teh, membersihkan tekaknya.

"Apa dia?" tanya Izlan. Tajam matanya memandang Saffira.Berani Saffira bercerita tentang gadis idaman hatinya itu? Bukankah Saffira sudah berjanji tidak akan bercakap mengenai Raisya di depan ibunya?

Namun gadis itu hanya mengejek, menjelirkan lidah sebelum meluru keluar dari rumah milik Zainab itu. Laju sahaja dia menyarung selipar sebelum berlari meninggalkan kawasan rumah itu.

"Saffira!!" Laung Izlan, bengang.

***
Saffira berpaling ke belakang. Dia pasti Izlan tidak dapat mengejarnya. Kelibat lelaki itu tidak kelihatan di mana-mana. Tetapi dia tidak yakin sama ada lelaki itu sudah berputus asa atau tidak.

Dia melilaukan matanya ke sekeliling. Izlan bukannya boleh dipercaya sangat. Mana tahu kalau-kalau Izlan bersembunyi di mana-mana sebelum bertindak menyerangnya.

Berhati-hati dia mengatur gerak tanpa memandang ke hadapan. Risau jika Izlan benar-benar bersembunyi di balik pokok ataupun di dalam semak.

"Saffira, hati-hati!" Terdengar satu suara memberi amaran.

Hati-hati? Dengan apa? Saffira terpinga-pinga. Saat itulah kakinya tersadung pada akar pokok. Spontan tubuhnya melayang jatuh ke tanah. Dia terjerit.

Aneh! Sama seperti dulu, tubuhnya disambut sebelum tersembam ke tanah. Siapa pula yang terpeluknya kali ini? Izlan? Tidak ingin terleka, Saffira cepat-cepat menjauhi gerangan yang memeluk dirinya itu.

"Awak lagi?" Satu suara garau tenang menyoalnya.

Saffira terkedu. Suara ni! Dia pantas mendongak tinggi. Lelaki ni? Apa..? Macam mana..? Saffira bingung.  Namun lelaki bertubuh tinggi lampai ternyata sedang berdiri di depan matanya.

"Apa Encik Zakwan buat di sini?" Akhirnya Saffira memberikan soalan itu.

Dia benar-benar terkejut dengan apa yang sedang dilihatnya. Dalam banyak-banyak tempat, bagaimana ketua mereka boleh berada di sini? Tidak ada tempat lainkah yang boleh dia pergi selain Pulau Perhentian ini?

Saffira benar-benar berharap dia sedang bermimpi ngeri. Sudahlah dia belum dapat melupakan isu pertukaran itu dengan sepenuhnya. Kini, ketua itu tiba-tiba terpacul di depan matanya. Terus dia teringatkan rasa bengangnya.

"Zakwan." Lelaki itu berkata, seraya memasukkan sebelah tangan ke dalam saku seluarnya. Sebelah tangan lagi menanggalkan kaca mata gelapnya sebelum disangkut pada leher baju.

"Apa dia?" Saffira tidak faham. Kenapa lelaki itu menyebut namanya sendiri?

"Kita di luar waktu pejabat. Panggil saya Zakwan. Tak payah berencik-encik." Ujar Zakwan sebelum tersenyum.

Mak! Terasa hampir gugur jantung Saffira. Rasanya inilah pertama kali dia melihat lelaki itu tersenyum. Dan mengapa senyuman lelaki itu sungguh.. Saffira sendiri tidak tahu perkataan apa yang patut digunakan untuk menggambarkan senyuman lelaki itu. Kacak? Menarik? Tertarik? Kau memang da bomb?

Dipandangnya lelaki itu atas ke bawah. Dengan t-shirt rona putih dan seluar panjang warna khaki yang membalut tubuhnya, penampilan Zakwan tampak ketara berbeza. Zakwan di depannya ini lebih kacak ataupun Zakwan di pejabat? Saffira gagal membuat keputusan di antara kedua-duanya. 

Saffira tergeleng-geleng. Dia memejamkan mata sebelum menepuk-nepuk kedua pipinya sendiri. Cuba menyedarkan diri daripada mimpi yang mustahil itu. Tak! Tak mungkin lelaki itu tersenyum!

"Apa awak buat ni?" Zakwan bertanya. Kali ini dia tunduk, mendekatkan wajahnya dengan wajah milik Saffira.

Saffira membuka mata. Pandangannya terus tertumpu pada wajah Zakwan yang berada betul-betul di depan mata. Lelaki itu masih tersenyum! Kenapa? Hantu senyum mana yang dah merasuk ketuanya?

"Awak datang bercuti di sini?" tanya Zakwan, berdiri tegak semula.

Pandangannya dialihkan ke tengah laut sebelum dipulangkan semula ke arah Saffira. Agak berbeza gadis di depannya itu. Selalunya dia hanya melihat Saffira dengan baju kurung. Baru kali ini dia melihat pakaian berbeza disarung oleh gadis itu. Blaus putih dan skirt labuh warna coklat lembut. Nanti dulu! Dia tunduk memandang pakaiannya. Sedondon.

"Tak. Ini kampung saya. Apa encik buat di sini?"

"Saya datang cari awak." Zakwan mengenyitkan mata kirinya.

Jawapan dan tindakan Zakwan itu membuat lidah Saffira terkelu. Seluruh tubuhnya terasa kejang dan kaku dek tingkahlaku Zakwan yang luar biasa itu. Namun Zakwan kemudiannya tertawa, lucu melihat wajah terperanjat Saffira.

"Saya gurau je lah." Ujar Zakwan dengan tawa yang masih bersisa.

Ah, sudah! Tadi senyum. Sekarang ketawa dan buat lawak pula? Boleh sasau aku macam ni! Saffira menahan rasa yang menggila di dada.

bersambung...

6 comments:

Anonymous said...

sangat sukaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa
-fad-

diya jamal said...

fad: terima kasiiiiiih~

Anonymous said...

saffira ni....sukerrrr cepat smbg lgi

Anonymous said...

suka2.. writer sambung cepat ya, apa la si zakwan buat kt pulau tu? = mak Mal

nur79 said...

aik cm de jdoh lak ngn zakwan 2 kn..

zetty said...

Suka dengan cerita ni. Thumb up utk writer